Rabu, 16 Ogos 2017

DR. RIDUAN : 32 TAHUN TRAGEDI MEMALI - SURUHANJAYA SIASATAN DIRAJA PERLU DISEGERAKAN


32 TAHUN TRAGEDI MEMALI: SURUHANJAYA SIASATAN DIRAJA PERLU DISEGERAKAN


OLEH: DR RIDUAN MOHAMAD NOR


Seharian ini alam siber berdecak dengan isu Memali ekoran daripada keganasan yang tercetus di program Tun Mahathir, Nothing to hide di Shah Alam petang 13 Ogos. Soalan berkaitan tragedi Memali dikatakan permulaan detik huru hara dalam program mantan Perdana Menteri yang kini mengetuai blok Pakatan Harapan,sehingga Tun diselamatkan oleh petugas keselamatan. Tragedi Memali yang telah terpahat selama 32 tahun adalah mercu tanda kezaliman BN di zaman pemerintahan Tun Mahathir, segalanya sangat rahsia seperti membuka kotak pandora yang malu. Generasi muda yang kritis membuncah rasa ingin tahu apakah sebab kematian sebenar empat orang anggota keselamatan yang terlibat dan apakah yang dimaksudkan SOP pihak keselamatan oleh Tun, yang menyebabkan 14 orang rakyat menjadi korban tragedi ini.

Baling sekali lagi melakar sejarah, namun dengan lebih tragis dan merobek jantung hati dengan berlakunya peristiwa berdarah Memali pada 19 November 1985. 14 penyokong PAS dan empat orang polis terkorban akibat kerakusan dan kesilapan regim BN menanggani peristiwa ini yang mengundang kritikan berpanjangan sepanjang tiga dekad ini. Dekad 1980an adalah dasawarsa kebangkitan Islam yang menyaksikan kerajaan BN melancarkan kempen Penerapan Nilai Islam untuk menghadapi kebangkitan Islam yang sedang bersemarak hangat.

Tokoh utama yang menjadi watak tragedi ini ialah assyahid Ustaz Ibrahim Mahmud yang dikenali juga sebagai Ustaz Ibrahim Libya. Beliau adalah pendakwah dan ulama yang pernah mendapat pendidikan di Deoband India, Universiti al Azhar Mesir dan juga Maahad Dakwah di Tripoli Libya. Beliau yang juga pemidato yang handal sehingga pernah dinobatkan sebagai pendakwah terbaik di Wilayah Persekutuan, aktif menyampaikan kuliah-kuliah agama di Lembah Klang . Ustaz Ibrahim berkerja dibawah Pusat Islam sehinggalah beliau mengambil keputusan untuk berhenti makan gaji dan pulang ke daerah kelahirannya untuk sepenuh masa menyebarkan pencerahan dan ilmu agama untuk masyarakat desa yang dahagakan ilmu.

Ustaz Ibrahim mengasaskan pusat pengajian Islam di kampung Memali Baling, aktif menyampaikan kuliah agama di Utara Semenanjung dan popularitinya dengan pantas mencuat dikalangan masyarakat Utara Semenanjung. Beliau pernah bertanding dalam pilihanraya umum pada tahun 1978 di DUN Bayu, namun tewas tipis kepada calon BN. Selain itu pernah menjadi Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Kedah, juga Pengerusi ABIM daerah Baling. 

Pada tahun 1984 , berlaku tangkapan kepada tokoh-tokoh pimpinan pemuda pas dibawah ISA , antaranya ustaz Abu bakar Chik, ustaz Abdul Latif Mohamad, Ustaz Bunyamin Yaakob dan Ustaz Ibrahim antara nama yang tersenarai untuk ditahan tanpa bicara. Namun pihak berkuasa gagal menahan Ustaz Ibrahim kerana beliau dikawal rapi oleh penyokong-penyokongnya yang setia. UMNO kedah semakin gelisah dengan populariti almarhum yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman, sentiasa hadir menyampaikan kuliah dimana sahaja beliau dijemput.

Dalam perhimpunan Agong UMNO pada tahun 1985, sekali lagi wakil UMNO Kedah mendesak KDN supaya mengambil tindakan tegas terhadap Ustaz Ibrahim Libya yang dilihat mengancam penguasaan UMNO di Kedah. Pada tahun yang sama berlaku tragedi Lubuk Merbau dalam pilihanraya kecil Padang Terap yang membawa pembunuhan terhadap Osman Talib, seorang aktivis PAS Kedah, juga kecederaan parah seorang ahli PAS dari Besut, Haji Ayub Mir. Bahang kebangkitan PAS semakin menyala di negara ini, apatah lagi dengan fenomena Haji Hadi yang sedang melanda .

Dengan desakan berterusan, maka akhirnya pada 19 November 1985 berlakulah tragedi yang memerihkan hati umat Islam negara ini, plot ceritanya hampir sama dengan peristiwa Talangsari dan Tanjung Periuk di Indonesia. Ribuan anggota keselamatan dikerah untuk mengepung Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya, warga desa tak berdosa. Memali bergema dengan ledakan senjata api, mengalir darah syuhada bahkan menyebabkan anggota polis juga terkorban dalam misi ini. Panggung misteri belum terungkap, dengan senjata apakah anggota polis itu terbunuh. Usai tragedi Memali, seluruh media perdana terus menghukum Ustaz ibrahim dan pengikutnya sebagai penganut ajaran sesat , manakala ulama PAS dan ulama pondok di Kedah seperti Tuan Guru Haji Umar Zuhdi, Tuan Guru Yahya Juneid mengistiharkan mereka yang teraniaya itu sebagai syuhada.

Peristiwa Memali tetap utuh bersemayam ditangkai hati kita yang cintakan kebenaran. Walaupun terabai di mahkamah dunia namun mahkamah akhirat pasti kezaliman ini disingkap tirainya yang berlapis-lapis. Ustaz Ibrahim Mahmud adalah ikon perlawanan diantara hak dan batil, juga keteladanan dijalan dakwah yang penuh dengan hamparan mehnah dan ibtila'. Sosok pendakwah yang mengorbankan kesenangan hidup untuk menjadi lantera dalam kegelapan pekat kejahilan masyarakat desa Baling. " Daripada hidup bercerminkan bangkai, lebih baik mati bergalang tanah" frasa kata itu terpacul daripada mulut almarhum sebagai manifestasi menyintai kebenaran dan tidak akan bermanis muka dengan kebatilan. 
Semoga kita semua tidak melupakan tragedi berdarah Memali 32 tahun lalu walaupun Pakatan Harapan sedang menggema ratih ke Putrajaya. Pencinta-pencinta keadilan dan kebenaran tetap tidak dapat melupakan tragedi Memali yang sebenarnya menjadi siraman kepada baja perjuangan!

[ Penulis ialah Pengerusi Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat ]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan