Jumaat, 1 September 2017

PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN 2017 OLEH DPP MALAYSIA


PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
31 Ogos 2017 | 9 Zulhijjah 1438



Berdiri sudah negara kita Malaysia yang tercinta ini selama 60 tahun dengan berpemerintahan oleh bangsa kita sendiri. Dalam pelbagai pembangunan diadakan serta kemajuan dicapai, disebaliknya masih lagi terdapat sisi tamadun dan kehidupan warga yang terjajah oleh tindakan kita sendiri. Kita membelengu dan membiarkan dibelengu oleh keasingan pelbagai idealogi yang saling mewujudkan pertembungan dan ketidaksejahteraan.

Natijahnya, kita mengalami penindasan halus oleh ketidakadilan dalam pelbagai urusan hidup, berbelanja besar menangani pelbagai kebejatan, serta kepincangan yang tidak berkesudahan. Di mana-mana bahagian negeri dalam Malaysia ini, adanya golongan terpinggir biar tidak mampu mengecapi segala kemewahan yang tampak di depan mata. Ada dihalau usir secara terhormat merempat dari perteduhannya sendiri. Malah, ada diambil haknya secara terancang pada perolehan yang penat lelah diusahakannya.

Kerana enam dekad ini kita menghambakan diri kepada sistem manusia yang penuh penyelewengan atau setidak-tidaknya penuh kepentingan. Hanya mereka yang berkuasa menggungguli, memanipulasi dan memeras segala kepunyaan hingga menjadikan diri angkuh serta mengkesampingkan tanggungjawab. Menjadilah rakyat yang sedia majmuk bercerai berai, berkasta dan saling tidak mempedulikan lantaran bebanan pelbagai, lalu memenuhi hidup sekadar keperluan berehat, berpakaian dan lapar dahaga.

Walhal Allah S.W.T Pencipta manusia menjadikan kita secara merdeka dengan segala kelebihan yang hanya diperintahkan mengabdikan diri semata kepada-Nya. Pembebasan inilah perjuangan yang dituntut ke atas kita sebagaimana tergambar dari kata-kata Panglima Islam Parsi, Rub’ie bin ‘Amir:  “Allah mengutuskan kami untuk membebaskan dunia perhambaan sesama manusia kepada pengabdian terhadap Allah. Dari kesempitan dunia kepada kelapangan akhirat. Dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam."

Jelas di situ, segala kerencaman yang merengsakan seluruh jiwa, jasad dan pemikiran hanya dapat dimartabatkan dengan kembali kepada kesyumulan Islam sebagai sistem hidup sempurna dan sejahtera di dunia serta akhirat. Hakikatnya, diri yang ikhlas tidak akan menafikan bahawa kemasyarakatan dan pentadbiran tanah berdaulat ini pernah menjulang Islam. Bahkan setelah ia dimerdekakan lebih separuh abad dahulu, Islam menjadi agama bagi Persekutuan Malaysia yang menggabungkan 14 negeri dengan agama lain bebas diamalkan.

Namun, pelbagai persaingan tidak matang selama ini telah menjebak dan mengikis jati diri, kecintaan dan kasih sayang sebenar kita kepada negara ini serta sesama bangsa. Oleh itu, atas kealpaan lalu, marilah kita insafi untuk tonggak negara iaitu Islam sebagai Agama Persekutuan, Raja-raja yang diberikan hak dalam Perlembagaan, Bahasa Melayu sebagai bahasa negara, Tanah Rizab Melayu dan menghormati hak bangsa serta penganut agama lain, terus dipertahankan demi keharmonian hidup bersama.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan