Sabtu, 23 September 2017

PERUTUSAN PRESIDEN PAS SEMPENA MAAL HIJRAH 1439

PERUTUSAN PRESIDEN PAS SEMPENA MAAL HIJRAH 1439

Pertama kali perlulah difahami bahawa matlamat hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah bukanlah untuk melepaskan diri daripada menghadapi tekanan, penindasan dan ejekan semata-mata, tetapi ia bertujuan untuk membina masyarakat dan negara di negeri yang diizinkan. Oleh sebab itu, hijrah menjadi satu tuntutan fardu ain bagi tiap-tiap yang mampu dan mestilah mengembelingkan tenaga bagi mencapai matlamat yang telah digariskan.
Meninggalkan kampung halaman, tanah tumpah darah yang terikat sebati dengan jiwa raga sejak dilahirkan ke dunia adalah satu tekanan jiwa yang besar kepada kalangan Muhajirin. Adapun kalangan Ansar yang menerima saudara-saudara Muhajirin memikul bebanan dengan janji-janji kelebihan dari Allah. Hijrah menjadi satu ujian kepada mereka bagi memperteguhkan keimanan dan keyakinan kepada janji-janji Allah dan Rasul-Nya, walaupun tidak dilihat dengan mata dan pancaindera.
Penghijrahan Rasulullah SAW dan para sahabat ke Madinah mempunyai matlamat yang besar untuk menegakkan negara Islam. Seandainya tugas mereka menegakkan Islam tidak ada dalam ajaran Islam, umat Islam tidak perlu berhijrah ke Madinah. Dan seandainya ajaran Islam hanya untuk melahirkan penganut-penganut sekadar melakukan syiar ibadah tanpa mengira siapa yang memerintah dan bentuk negara yang menaungi mereka, sudah tentu Rasulullah SAW telah diizinkan oleh Allah SWT untuk menerima jawatan menjadi raja atau pemerintah di Makkah sewaktu ditawarkan oleh pemimpin-pemimpin musyrik Makkah.
Tuntutan matlamat ini bersesuaian dengan Islam itu sendiri yang maha sempurna dan suci dari segala bentuk kekurangan dan Allah tidak mengizinkan dunia ini diperintah sewenang-wenangnya oleh masyarakat dan negara yang mengikut selera manusia yang lemah serta dinaungi oleh sifat-sifat jahiliah.
Peranan menegakkan Islam adalah tugas bersama, tidak mengira sama ada raja-raja, ulama, pemerintah, ahli politik, kumpulan Islam, institusi agama, penjawat awam, ahli akademik bahkan seluruh umat Islam bertanggungjawab menegakkan Islam mengikut keadaan masing-masing. Setelah negara ini ditinggalkan penjajah dan digubal Perlembagaan oleh Suruhanjaya Reid yang meninggalkan tafsiran yang sebenar bagi Islam sebagai Agama Persekutuan, maka tanggungjawab generasi hari ini untuk menafsirkan Islam sebagai Ad-din berpandukan ajaran Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Tonggak Islam sebagai Agama Persekutuan wajib dipertahankan, di samping memberi keadilan kepada masyarakat bukan Islam berkonsepkan masyarakat madani.
Oleh itu, bersempena Sambutan Maal Hijrah 1439H, marilah kita bermuhasabah untuk memikul tanggungjawab menegakkan Islam sebagaimana qudwah yang ditonjolkan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW yang mulia dan para sahabat yang bersabar dan teguh dengan keimanan demi mencapai matlamat meninggikan kalimah Allah dalam masyarakat dan negara.

Saya mengambil kesempatan ini juga bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), untuk mengucapkan Selamat menyambut Maal Hijrah bagi tahun 1439H kepada seluruh umat Islam tidak kira di mana berada. Mudah-mudahan tahun baru ini diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT bagi diri kita, umat Islam dan tanah air.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan