Rabu, 25 Oktober 2017

MAKAN MALAM AMAL : KUMPUL DANA, SIAP SIAGA HADAPI PRU 14

MAJLIS MAKAN AMAL PAS KAWASAN BAGAN DATUK DIHADIRI TIMBALAN PRESIDEN PAS

Majlis Bertujuan Mengutip dan Mengumpul Dana Pilihan Raya ( PRU 14 )



Parti Islam SeMalaysia ( PAS ) Kawasan Bagan Datoh telah mengadakan Majlis Makan Malam Amal pada 6 Oktober 2017 ( Jumaat ) sebagai langkah persiapan menghadapi Pilihanraya Umum ke 14. Majlis yang telah dilangsungkan di Dewan Utama Markaz Tarbiyah PAS Kawasan, Selekoh itu adalah bertujuan mengutip dan mengumpulkan dana pilihanraya di peringkat kawasan.

Majlis tersebut turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran tetamu jemputan khas iaitu Dato' Ustaz Tuan Ibrahim bin Tuan Man, Timbalan Presiden PAS. Selain beliau, turut hadir ialah Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki iaitu Ahli Jawatankuasa PAS Pusat merangkap Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak dan Yang Dipertua PAS Kawasan Bagan Datuk. Dalam majlis itu mereka turut berkesempatan menyampaikan ucapan dan ceramah.

Kehadiran tetamu yang memenuhi dewan menambahkan lagi semangat para petugas juga jentera pilihanraya. Disamping itu, kalam taujihat dan motivasi melalui ucapan dan kalam pengucapan yang disampaikan menyemarakkan lagi kesungguhan ahli-ahli dan pendokong PAS menghadapi PRU-14 khususnya.









Selasa, 24 Oktober 2017

JUDI : PPIM TIDAK BERSENDIRIAN - YB. USTAZ NASRUDIN

Sekali Serban Dililit. Siri 79
04 Safar 1439 / 24 Oktober 2017
JUDI : PPIM TIDAK BERSENDIRIAN
Oleh : Nasrudin bin Hassan


1. Judi adalah musuh negara. Tiada agama yang membenarkan judi. Justeru itu, pihak pemerintah mestilah serius membenteras judi. Pihak penguatkuasa juga mesti bertegas dan meningkatkan penguatkuasaan untuk menamatkan pengaruh industri judi yang semakin membarah dalam negara kita.
2. Usaha PPIM memerangi judi amat dibanggakan. PAS bersama PPIM. Insyaallah PPIM tidak bersendirian. Lantaran PAS juga senantiasa konsisten dalam memerangi teras kemungkaran dalam negara ini.
3. Malah saya menyeru agar seluruh rakyat tanpa mengira apa agama dan bangsa supaya bangkit dengan penuh sedar dan insaf untuk memerangi judi dan petualangnya hingga ke akar umbi.
4. Jangan biarkan tamadun negara dibinasakan angkara judi dan pengusahanya yang mengaut keuntungan di atas penderitaan dan kesengsaraan mereka yang terjebak dalam kancah perjudian.
5. Malaysia mesti bebas dari bahang panas judi yang merosakkan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Judi inilah yang melahirkan permusuhan dan persengketaan sesama manusia. Akhirnya mengundang ancaman kepada pihak yang tidak bersalah seperti anak isteri dan masyarakat sekitar.
Sejahtera Bersama Islam
Sekian.

YB. USTAZ NIK ABDUH : KERAJAAN MALAYSIA MESTI TEGUH BELA ZAKIR NAIK

Kenyataan Media
23 Oktober 2017 | 3 Safar 1439H
KERAJAAN MALAYSIA MESTI TEGUH BELA ZAKIR NAIK

1. PAS percaya bahawa Kerajaan Malaysia semasa menganugerahkan taraf pemastautin tetap kepada Dr. Zakir Naik telah mengambilkira semua aspek yang melibatkan kepentingan warga negara dan negara ini selain daripada kelulusan profesional dan kepakaran yang dimiliki oleh tokoh pendakwah antarabangsa itu.
2. Proses ini pastinya telah melibatkan pelbagai kementerian dan agensi seperti KDN, PDRM, JPN, Jabatan Imigresen dan lain-lainnya justeru mengesahkan bahawa Dr. Zakir Naik bebas daripada sebarang pengaruh dan aktiviti keganasan yang mengancam keselamatan mana-mana pihak.
3. Oleh itu, PAS menggesa Kerajaan Malaysia agar tetap teguh membela Dr. Zakir Naik yang merupakan seorang pendakwah dan penceramah yang diiktiraf kepakarannya dalam ilmu perbandingan agama dan sangat dihormati oleh para ulamak Islam dan umat Islam di seluruh dunia ini dengan tidak melayan permohonan India untuk mengektradisi Dr. Zakir Naik.
4. PAS percaya tindakan mengaitkan Dr. Zakir Naik dengan keganasan dan pencetus ketegangan antara agama adalah hanya suatu tuduhan dan semata-mata mahu menyekat pengaruh dan usaha Dr. Zakir Naik dalam mencetus kesedaran beragama dalam kalangan masyarakat awam antarabangsa.
Sekian.
“Sejahtera Bersama Islam”
NIK MOHAMAD ABDUH BIN NIK ABDUL AZIZAhli Parlimen Pasir Mas

SERUAN PEMUDA PAS : " WAKE UP PERANGAI DRAGON 9 DAN TALI BARUTNYA !

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
24 Oktober 2017 | 4 Safar 1439

“‘WAKE UP’ PERANGI ‘DRAGON 9’ & TALI BARUTNYA”

1. Aktiviti haram termasuk keupayaan menguasai pihak penguat kuasa oleh sembilan ‘dragon’ sewajibnya dibenteras dan ditangani dengan tegas oleh pihak kerajaan kerana ia adalah masalah jenayah. Kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Nur Jazlan Mohamed bahawa kerajaan sentiasa memantau dan berusaha mengawal kegiatan mereka itu supaya tidak keterlaluan adalah terlalu naif dan mengundang kegusaran.
2. Pengakuan beliau itu sebenarnya mengejutkan dan penuh persoalan seolah-olah kerajaan memerhati perkara tersebut sekadarnya dan tidak mampu untuk menyelesaikan. Malah seakan kegiatan itu dijaga dan dilindungi perkembangannya secara sambilan. Isunya ia bukan masalah kenakalan atau moral, tetapi jenayah berat yang boleh menggugat dan mengancam keselamatan negara serta keharmonian rakyat.
3. Cengkamannya telahpun merebak dalam sektor kerajaan sendiri apabila penguat kuasa boleh ‘dipegang’ dan dirasuah dengan mudah, selain didakwa berpengaruh untuk menukar sesiapa sahaja dalam tempoh 24 jam. Bahkan memiliki kekuatan kewangan mengutip hasil hingga RM5 bilion sebulan dari kegiatan yang mereka jalankan. Sewajarnya ia diperangi untuk tidak merebak membarah sama sekali dalam masyarakat.
4. Jangan hingga nanti wujud kesangsian dari ketidakpercayaan awam bahawa kerajaan terlalu lemah, atau lebih jauh dari itu lahirnya skeptikal mengaitkan orang politik punyai kepentingan dan bersekongkol dengan kumpulan seperti itu. Ia akan menjadi situasi menakutkan bagi masyarakat dan penggera kecemasan mesti segera dibunyikan dan kerajaan wajib serta-merta menanganinya sebelum keadaan menjadi bertambah parah.
5. Kita percaya pihak penguat kuasa utama negara yakni pasukan polis, termasuk KDN sendiri begitu memahami ‘tabiat’ serta potensi dari kegiatan, pelaku serta mara bahaya yang upaya ditimbulkan. Kami menggesa Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sendiri mengumumkan langkah segera yang bersepadu serta jaminan memastikan isu kritikal ini dapat ditangani. Kerana ia kini sangat berkait dengan integriti kerajaan sendiri dan kedaulatan negara.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”
USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia

MINDA PRESIDEN PAS : HALAL DAN HARAM DALAM MASYARAKAT MAJMUK


Minda Presiden PAS

HALAL DAN HARAM DALAM MASYARAKAT MAJMUK



Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣ الحجرات 

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku kaum, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Al-Hujurat: 13)

Ayat ini termasuk dalam surah Madaniyyah (diwahyukan di Madinah) yang diturunkan ketika tegaknya negara Islam bermasyarakat majmuk. 

Tujuannya sebagai petunjuk sepanjang zaman supaya menerima hakikat bermasyarakat Madani walaupun berbeza jantina, bangsa dan agama, serta wajib berdakwah menyampaikan Islam kepada seluruh manusia dengan sikap terbuka, aman damai dan tanpa paksaan beragama. Selain itu juga, hendaklah dijalinkan hubungan kemanusiaan dalam titik persamaan, bertaqwa dengan pegangan agama Islam dan beristiqamah dengan tidak melampau dan tidak hanyut. 

Allah telah menetapkan dalam perkara halal dan haram mengikut sempadan hukum dan dilarang bermudah-mudah dalam menjatuhkan hukumnya. Allah berfirman:

وَلَا تَقُولُواْ لِمَا تَصِفُ أَلۡسِنَتُكُمُ ٱلۡكَذِبَ هَٰذَا حَلَٰلٞ وَهَٰذَا حَرَامٞ لِّتَفۡتَرُواْ عَلَى ٱللَّهِ ٱلۡكَذِبَۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَفۡتَرُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلۡكَذِبَ لَا يُفۡلِحُونَ ١١٦ النحل 

“Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: Ini halal dan ini haram, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya”. (Surah An-Nahl: 116)

Sirah Rasulullah S.A.W telah menunjukkan pendekatan berhubung dengan manusia, disamping pegangan yang teguh kepada agama, hendaklah dengan cara tidak membebankan diri sendiri dan menarik pihak lain kepada Islam dengan terbuka. 

Sabda Baginda S.A.W: 

يَسِّرُوا وَلاَ تُعَسِّرُوا، وَبَشِّرُوا وَلاَ تُنَفِّرُوا. ( متفقٌ عَلَيْهِ)

“Mudahkan, jangan menyusahkan. Gembirakan, jangan meliarkan” (Muttafaqun ‘Alaih)

Dalam perkara pemakanan yang menjadi rukun hidup manusia, Allah S.W.T menetapkan makanan yang sama halal dan haram kepada penganut Islam di antara lelaki dan wanita dan kewajipan ibadat yang sama syarat dan rukunnya. Tetapi ada yang berbeza fitrah walaupun sama wajib, seperti sama konsep menutup aurat, tetapi berbeza sempadan auratnya. 

Dalam menunaikan ibadat solat dipisahkan di antara lelaki dan wanita, tetapi ketika haji bertawaf dan bersa’ie dicampurkan semua dalam keadaan menutup aurat dan menjaga diri masing-masing. 

Dalam hubungan dengan pihak lain yang berbeza agama, Allah memerintah supaya melakukan kebijaksanaan dengan mendahulukan perdamaian dan persaudaraan, tanpa paksaan dalam perkara agama. 

Rasulullah S.A.W mempraktikkan apa yang diperintahkan oleh Allah S.W.T supaya menjadi petunjuk kepada umatnya, tentang bagaimana cara beramal dengan Al-Quran, khususnya dalam perkara bermasyarakat dan bermuamalat. 

Apabila Allah S.W.T berfirman:

ٱلۡيَوۡمَ أُحِلَّ لَكُمُ ٱلطَّيِّبَٰتُۖ وَطَعَامُ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ حِلّٞ لَّكُمۡ وَطَعَامُكُمۡ حِلّٞ لَّهُمۡۖ وَٱلۡمُحۡصَنَٰتُ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنَٰتِ وَٱلۡمُحۡصَنَٰتُ مِنَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ مِن قَبۡلِكُمۡ إِذَآ ءَاتَيۡتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ مُحۡصِنِينَ غَيۡرَ مُسَٰفِحِينَ وَلَا مُتَّخِذِيٓ أَخۡدَانٖۗ وَمَن يَكۡفُرۡ بِٱلۡإِيمَٰنِ فَقَدۡ حَبِطَ عَمَلُهُۥ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ ٥ المائدة 

“Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka) dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka mas kahwinnya, sedang kamu (dengan cara yang demikian), bernikah bukan berzina dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan dan sesiapa yang ingkar (akan syariat Islam) sesudah dia beriman, maka sesungguhnya gugurlah amalnya (yang baik) dan adalah dia pada Hari Akhirat kelak daripada orang-orang yang rugi).” (Surah Al-Maidah: 5)

Ayat ini menunjukkan Allah S.W.T menetapkan ada titik persamaan dalam perkara halal dan haram dengan agama lain daripada kalangan ahli Kitab dan menolak adanya titik perbezaan, apabila mereka sendiri menyelewengkannya, seperti memakan babi, tidak menyembelih binatang, meminum arak dan berjudi. 

Maka, Rasulullah S.A.W. memakan hidangan yang dihantar oleh orang Yahudi dan berwuduk dalam bekas kepunyaan orang Musyrik, bagi melaksanakan kelonggaran yang diizinkan oleh Allah dan mengadakan hubungan bermasyarakat kemanusiaan, serta melaksanakan konsep kebebasan beragama dengan beristiqamah mengikut sempadan halal dan haram mengikut titik persamaan yang tersebut di atas, tanpa menambah sehingga mengharamkan apa yang dihalal dan menghalalkan apa yang diharamkan. Siapakah lagi yang lebih warak daripada Rasulullah S.A.W.?

Ahli sejarah ekonomi Islam melaporkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersama isterinya, Khadijah binti Khuwailid R.A. melaksanakan muamalat Mudarabah dan Murabahah tanpa riba dalam masyarakat Makkah yang syirik menyembah berhala. 

Di masa Hijrah, Baginda S.A.W menugaskan menantunya Ali bin Abi Talib R.A. memulangkan barang simpanan penduduk Makkah yang bermuamalat, tanpa melarikan harta yang diamanahkan kepadanya, walaupun dalam tekanan beragama dan kesibukan berhijrah. 

Ini menunjukkan betapa sifat amanah Rasulullah S.A.W yang dilaksanakan terhadap bukan Islam walaupun bermusuh, sehingga Baginda lebih dipercayai oleh bukan Islam, sifat amanah Baginda ini sangat dihormati. Dalam masa yang sama, rumah Rasulullah S.A.W. menjadi bank yang pertama dalam sejarah ekonomi yang bermuamalat dan berhubungan dengan bukan Islam yang tidak diputuskan dalam kehidupan bermasyarakat. 

Ketika di Madinah juga, Baginda berhutang dan bergadai dengan Yahudi bukan Islam tanpa riba, menunjukkan ketegasan dalam hukum tanpa memutuskan hubungan bermasyarakat. 

Di sana ada perkara yang banyak yang tidak dinaskan halal dan haramnya, maka nyatalah halalnya, mengikut hukum asal sesuatu adalah halal selagi tidak ada nas mengharamkannya. Maka tidaklah perlu meletakkan tanda halal kepada buah-buahan, sayur-sayuran, ikan, pakaian, kenderaan dan sebagainya, kecuali ternyata sudah dicampur dengan bahan-bahan yang diharamkan apabila memasak atau mengawitnya. 

Dalam hal ini, ada tindakan tertentu mengikut keadaan tersendiri yang boleh diputuskan oleh pihak berkuasa bukannya individu, supaya tidak boleh membatalkan hubungan dilapangan umum bagi memperkenalkan Islam.

Islam juga mengizinkan penganut agama lain melaksanakan apa yang diizinkan oleh agama mereka, walaupun diharamkan oleh Islam dengan sempadan menjaga sensitiviti umat Islam. Umat Islam juga disuruh menjaga sensitiviti penganut bukan Islam, sehingga termasuk dalam perkara aqidah ketuhanan. 

Firman Allah S.W.T:

وَلَا تَسُبُّواْ ٱلَّذِينَ يَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَيَسُبُّواْ ٱللَّهَ عَدۡوَۢا بِغَيۡرِ عِلۡمٖۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمۡ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرۡجِعُهُمۡ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ ١٠٨ الأنعام 

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.” (Surah Al-An’am: 108)

Ayat ini menunjukkan betapa hubungan hidup bermasyarakat majmuk yang wajib dipelihara sehingga membolehkan mesej Islam itu disampaikan hendaklah diutamakan. Jangan sekali-kali bertindak dengan cara melulu sehingga menutup pintu bermasyarakat dan menghalang dakwah dengan tindakan kononnya beragama tetapi melakukan kejahilan dengan menghalang Islam disampaikan melalui pergaulan masyarakat yang telah ditetapkan sempadannya oleh hukum Islam.

Di sini perlunya kesimbangan di antara ilmu Islam dan akal. Orang Islam yang tidak seimbang ilmu Islam dan akalnya laksana tidak seimbang di antara saiz kaki dan kasut. Kalau kakinya kecil, kasutnya besar maka tercabut. Kalau kakinya besar, kasutnya kecil maka kakinya melecet. Akhirnya berkaki ayam juga. 

Maka, berwaspadalah dengan mereka yang tidak seimbang di antara ilmu agama dan akalnya, dan mereka yang jahil agama menggunakan akal tetapi buta Al-Quran. Kini ramai kalangan mereka yang menonjolkan diri sehingga mengelirukan masyarakat Islam (umat ijabah) dan menutup pintu hubungan dengan bukan Islam (umat dakwah). 

Allah berfirman:

وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰٓئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسُۡٔولٗا ٣٦ الإسراء.

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” (Surah Al-Isra’: 36)

Para ulama menafsirkan ayat ini dengan maksud yang umum, termasuk juga bercakap, menulis, menjadi saksi dan lain-lain.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 3 Safar 1439 / 24 Oktober 2017

Khamis, 19 Oktober 2017

PEMUDA PAS : " TUNAIKAN IMPIAN GENERASI MUDA MAMPU MEMILIKI RUMAH "

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
18 Oktober 2017 | 27 Muharam 1439


“TUNAI IMPIAN GENERASI MUDA MAMPU MEMILIKI RUMAH”
1. Harga rumah terus menunjukkan unjuran peningkatan secara mendadak sejak tahun 2010, sekali gus meletakkan rakyat khususnya generasi muda dalam dilema. Impian untuk mempunyai Rumah Mampu Milik (RMM) ke arah kesejahteraan keluarga yang baru dibina dilihat mustahil dengan realiti harga rumah ditawarkan pada masa kini. Hingga lahir ungkapan popular masa kini ‘Rumah Mampu Tengok’ yang mewakili rasa hati dan keluhan rakyat.
2. Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan antara ciri RMM ialah kadar bayaran bulanannya tidak melebihi 30 peratus daripada pendapatan bulanan. Harga rumah pula hendaklah tiga kali ganda pendapatan kasar tahunan isi rumah. Ini bermakna, berpandukan kriteria tersebut, harga RMM sewajarnya kepada isi rumah penengah yang kini berpendapatan bulanan RM4,585 atau tahunan RM55,020 adalah antara RM165,000 hingga RM242,000.
3. Walaupun BNM menyatakan RMM ialah RM242,000, tetapi purata rumah dijual di Lembah Klang hanya serendah RM360,000. Realitinya harga rumah kini secara purata adalah 4.4 kali ganda berbanding pendapatan kasar tahunan isi rumah. Ketidakmampuan pembeli memiliki kediaman dapat dilihat berdasarkan rekod tahun 2014 di mana berlaku lebihan tawaran rumah RM500,000 setelah 21 peratus projek perumahan dilancarkan pada harga jualan bawah RM250,000.
4. Ini menunjukkan rakyat tidak mampu memiliki kebanyakan rumah ditawarkan di pasaran. Malangnya, RMM yang punya permintaan tinggi pula tiada penawaran. Terbaru, Jabatan Perangkaan Malaysia mengumumkan Laporan Penyiasatan Pendapatan dan Perbelanjaan serta Kemudahan Asas Isi Rumah 2016. Laporan itu menyatakan pendapatan isi rumah penengah telah meningkat 6.6 peratus daripada RM4,585 tahun 2014 kepada RM5,228 tahun 2016.
5. Sehubungan itu, kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap masalah ini. Tiba masa polisi intervensi dalam pasaran rumah diperkukuh agar harganya dapat distabilkan. Kawal selia dan penetapan syarat kepada pemaju mesti diadakan untuk membina lebih banyak RMM terutama ‘first-time home buyers’ yang menjadi keperluan generasi muda. Ketegasan kerajaan juga perlu untuk menyekat kegiatan spekulasi yang menjadi punca harga rumah melambung.
6. Kerajaan juga digesa meneliti cadangan penyelesaian diutarakan PAS menerusi Dokumen Hijau yang diterbitkan. PAS mencadangkan Program Mampu Memiliki Rumah (Affordable Home-Ownership) sebagai ganti kepada program RMM. Projek diketengahkan PAS ini adalah bagi pemilikan rumah pertama dan boleh dilaksanakan melalui dua cara. Iaitu kaedah Musyarakah yakni perkongsian pemilikan bersama kerajaan dengan pembayaran bertangguh.
7. Manakala kaedah Sukuk Al-Ijarah pula adalah melalui perkongsian pemilikan dengan individu atau organisasi. Kemakmuran negara ini yang dilimpahi Allah dengan segala macam nikmat seharusnya menjadi payung menanungi rakyatnya sendiri ke arah mewujudkan kehidupan bahagia dan sejahtera. Kami percaya, ianya pasti dapat dicapai sekiranya kerajaan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam tindakan yang sebenarnya.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia

DPPM : PEKERJA ASING DIUTAMAKAN, BELIA NEGARA DIBIARKAN MENGANGGUR ?

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
18 Oktober 2017 | 27 Muharam 1439


“PEKERJA ASING DIUTAMAKAN, BELIA NEGARA DIBIARKAN MENGANGGUR?”
1. Kerajaan perlu melihat kebanjiran pekerja asing dan pengangguran tinggi kalangan belia dalam negara ketika ini dengan lebih serius, seterusnya menggubal dasar yang objektif ke arah penyelesaiannya. Apatah lagi pengambilan pekerja asing kini dilihat telah menjadi kebergantungan besar oleh para majikan terutama di sektor swasta.
2. Sedangkan, kebenaran diberikan kerajaan untuk mengambil pekerja asing hanyalah sebagai langkah jangka pendek atau ‘interim solution’. Terutama dalam menangani masalah tenaga kerja berkemahiran rendah yang sangat kurang (labor crunch). Ia sangat dirasai di sektor utama ekonomi negara khususnya pembuatan, pertanian dan pembinaan.
3. Ketiga-tiga sektor ini telah mencatatkan sumbangan besar hampir RM300 bilion atau mewakili satu pertiga dari keseluruhan KDNK dalam negara pada tahun 2015. Ini sekali gus menunjukkan kerajaan mempunyai ‘kepentingan’ yang mungkin menjadi faktor dorongan kebergantungan langsung negara kepada penggunaan tenaga kerja asing.
4. Keadaan diburukkan lagi apabila kerajaan sendiri tidak konsisten dalam polisi pengambilan pekerja asing. Ini sepertimana perubahan tanggungjawab bayaran levi pengambilan pekerja asing daripada majikan kepada pekerja, kemudian ditukar kepada majikan semula. Ini mengesahkan kecelaruan polisi yang dilaksanakan berkaitan pekerja asing.
5. Kebuntuan kerajaan menangani perkara ini telah menimbulkan pelbagai implikasi negatif yang turut menjalar kepada sosio-budaya, keharmonian serta keselamatan negara. Disebalik kebergantungan kepada tenaga kerja asing terutamanya oleh sektor swasta, konflik berlaku apabila pelbagai ancaman dan punca masalah sosial banyak direkod melibatkan golongan ini.
6. Menurut laporan Parlimen, jumlah terkini pekerja asing berdaftar adalah seramai 1.78 juta. Lebih menggerunkan, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menjangkakan jumlah pekerja asing tidak sah pula mencecah dua kali ganda angka tersebut. Ketidakpastian jumlah tersebut berpunca dari tindakan majikan ‘menyorokkan’ pekerja asing yang diambil secara haram.
7. Sasaran untuk menghadkan pengambilan pekerja asing tidak melebihi 15 peratus atau menyamai 2.1 juta daripada jumlah tenaga kerja (labor force) seperti terkandung dalam RMK11 (2016-2020) juga dilihat jauh dari menepati sasaran. Tekanan sektor swasta dilihat punca dolak dalih kerajaan untuk menggapai angka berkaitan atau bertegas mengenainya.
8. Sewajarnya perhatian kritikal dan utama diberikan terhadap kadar pengangguran tinggi kalangan belia negara. Di mana Laporan Tahunan Bank Negara 2016 menyatakan 10.7 peratus belia di negara ini masih menganggur pada tahun 2015 iaitu tiga kali ganda lebih tinggi dari kadar nasional. Jangan jadi seperti kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Rabu, 11 Oktober 2017

" DAP HILANG KEWARASAN SEBELUM MABUK "

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
7 Oktober 2017 | 16 Muharam 1439


“DAP HILANG KEWARASAN SEBELUM MABUK”
1. Kelantangan pemimpin DAP tetap berkeras mempertahan dan mahu pesta arak diadakan sebelum ini, menyerlahkan hakikat sebenar sikap parti itu. Walaupun menyaksikan bantahan ramai, DAP tetap dengan kedegilannya yang lahir dari sikap ego parti itu.
2. DAP sengaja menjadikannya sebagai eksperimen untuk memprovokasi, mencabar dan memperlekeh sensitiviti awam terutamanya umat Islam Melayu di negara ini. Malah, DAP menzahirkan kedudukan politik mereka sebagai kuasa untuk memaksa kehendak mereka dituruti.
3. Sikap DAP ini sebenarnya satu ancaman kepada masa depan keharmonian dan keutuhan negara. Demi sokongan golongan bebal tertentu, mereka mengangkat dan memperjuang isu ini. Sedangkan ia mendatangkan mudarat kepada pelbagai kepentingan awam.
4. Hanya setelah didedahkan info risikan ancaman pengganas oleh Ketua Polis Negara, barulah DAP terpaksa akur. Menunjukkan betapa parti itu lebih awal hilang kewarasannya sebelum mabuk. Malang lagi apabila parti politik bersamanya dalam PH hanya membisu.
5. Rakyat Malaysia yang matang menerima realiti bahawa arak menjadi minuman golongan tertentu terutama kalangan bukan Islam. Tetapi menjadikannya keraian dengan berpesta besar-besaran bukanlah budaya negara ini. Ia jelas diimport dari luar.
6. Jika demikiannya kecenderungan DAP, bayangkan kelak kegilaan mereka untuk mengimport banyak lagi perkara lain ke negara ini. Mereka mahu mensekularkan negara ini, sekali gus menggugat Islam yang menjadi tonggak dan Perlembagaan Negara ini.
7. Tatkala gagal untuk kehendaknya dijayakan, DAP menjadikannya sebagai isu politik untuk membakar sentimen secara tidak matang. Walhal bantahan dikemukakan adalah berkait langsung dengan landskap hidup di Malaysia dan nilai hormat yang perlu diakuri.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

PEMUDA PAS PERAK : JAMBATAN SULTAN YUSOF TELUK INTAN PERLU PERHATIAN SERIUS.

Jambatan Sultan Yusof Teluk Intan Perlu Perhatian Serius.

Merujuk kepada berita dari pautan Sinar Harian bertarikh 2 September 2017
http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/perak/jambatan-sultan-yusuf-ditutup-empat-bulan-1.727433 Datuk Zainol Fadzi Paharudin selaku Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air mengumumkan bahawa Jambatan Sultan Yusof akan dilanjutkan penutupan kepada 4 bulan iaitu sehingga akhir tahun 2017.

Sebelum itu, pada 12 Ogos 2017 di dalam http://m.utusan.com.my/berita/nasional/jambatan-sultan-yusof-di-teluk-intan-ditutup-sehingga-28-ogos-1.514215 beliau mengumumkan penutupan hanya pada 28 dan 29 Ogos 2017 sebagai penutupan sementara.
Manakala pada 9 Ogos 2017 di dalam Suara Perak
http://suaraperak.com/jambatan-sultan-yusof-ditutup-24-jam/ mengumumkan penutupan pada 12 hingga 13 Ogos 2017.

Tambah menghairankan lagi, pada 31 Julai 2017 di dalam Berita Harian
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2017/07/307439/jambatan-sultan-yusuf-selamat-digunakan beliau mengatakan jambatan adalah selamat untuk digunakan oleh orang ramai.

Berikutan dengan kenyataan yang telah dibuat menunjukkan kepada kita seolah-olah tiadanya kepastian yang meyakinkan berkenaan dengan status terkini Jambatan Sultan Yusof di Teluk Intan.
Keadaan ini telah menimbulkan banyak pertanyaan di kalangan pengguna jambatan tersebut. Tambahan pula, ianya melibatkan keselamatan dan nyawa orang ramai.
Oleh yang demikian, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak melalui Lajnah Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar memohon agar satu kajian yang lengkap daripada pihak yang berautoriti berkenaan keadaan terkini Jambatan Sultan Yusof dapat diadakan dengan kadar yang segera dan berharap agar laporan tersebut dimaklumkan kepada semua pengguna sebagai langkah keselamatan.
Disamping itu juga, kita ingin mendapatkan penjelasan apakah faktor yang kemungkinan terjadinya kerosakan kepada jambatan tersebut.
Adakah kerana berlakunya kesan sampingan hasil daripada kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (LPPB) yang dibina semenjak tahun 2014. Antara laluan yang terkesan adalah seperti berikut :
1) Kesan kepada jalan dari Seberang Perak – Kampung Gajah – Teluk Intan..
2) Kesan kepada peniaga dari Jambatan Sultan Yusof ke Simpang Seberang Perak..
3) Meningkatnya kadar kemalangan jalan Teluk Intan – Kg Gajah – Seberang Perak..
Ia merentasi daerah Banting, Selangor dan melalui berhampiran jambatan tersebut di Teluk Intan sehingga ke bandar Taiping, Perak.
Sekiranya ia adalah hasil daripada kesan pembinaan lebuhraya (LPPB) tersebut maka bagaimanakah prosedur sistem perlindungan kerja-kerja pembinaan terhadap bangunan sekitar yang berdekatan telah dilaksanakan.
Pihak kami berharap agar perkara yang berkaitan keselamatan pengguna dan orang awam mendapat perhatian yang serius daripada pihak kerajaan Negeri Perak.
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak juga turut mencadangkan agar laluan alternatif sekarang ini dinaik taraf dan diperbesarkan bagi menghadapi pertambahan kenderaan akibat daripada penutupan jambatan tersebut.
Semoga perhatian dan komitmen yang tinggi dari pihak yang berkaitan mampu mempercepatkan kerja-kerja pengukuhan dan baik pulih jambatan tersebut bagi menangani kesukaran orang ramai kerana meningkatnya masa perjalanan serta perbelanjaan kos minyak akibat daripada terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh dari sebelum ini.
“SEJAHTERA BERSAMA ISLAM”
“Mara Menuju Cita”
“Sedia Memerintah”

Awis Qarni Husain
Pengerusi Lajnah Pekerja,Pengguna dan Alam Sekitar,
Dewan Pemuda PAS Perak
9 Oktober 2017

DPPM : " AWAS, MALAYSIA SEDANG CUBA DIRACUNI ISLAM LIBERAL "

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
10 Oktober 2017 | 19 Muharam 1439


“AWAS, MALAYSIA SEDANG CUBA DIRACUNI ISLAM LIBERAL”
1. Masyarakat Islam dinasihatkan agar berwaspada terhadap usaha pihak tertentu yang cuba menanam benih kesesatan menyebarkan racun fahaman Islam Liberal dengan berselindung disebalik pelbagai wacana ilmiah di negara ini. Atas nama akademik, mereka cuba membenam fikrah perosak dalam pemikiran masyarakat dengan doktrin yang mempesona tapi sebenarnya merbahaya.
2. Hakikatnya, ia mempunyai motif politik yang mahu merungkai dan menggugat secara halus kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Negara menuju kepada pemerintahan Neo-Sekularisme bertopengkan Islam. Fahaman inilah yang cuba ditegakkan di Indonesia sebelum para ulama dan umat Islam di negara itu bangkit menanganinya, namun terpaksa menghadapi kesan sangat berat.
3. Dakyah ini gigih dikembangkan oleh para sarjana pro-Barat yang sedar atau tanpa sedar menggerakkan agenda Yahudi dan Nasrani. Islam mahu diwajahkan menurut rupa Barat dengan mengangkatnya sekadar nilai, fahaman dan ritual tertentu. Matlamat akhirnya adalah untuk membuang pengertian ‘ad-din’ yang tertegak dengan akidah, ibadah dan syariah ditentu ketetapannya oleh Allah.
4. Apabila Islam dipasakkan sebagai nilai, fahaman dan ritual tertentu, ia cuba dijadikan inklusif, plural dan perlu berasimilasi pada tuntutan atau desakan massanya. Perbahasan mengenai Islam diakademikkan dengan dalil al-Quran dan al-Hadis dijadikan semata tempelan atau hiasan mengaburi. Ketika sama, mereka meletakkan Islam dalam kedudukan terhimpit antara ekstrem dan moderat.
5. Teokratik, kediktatoran, akar kejahatan, penindasan, diskriminasi dan seumpama cuba dimomokkan. Sementara disajikan pula di satu sudut watak kebajikan, demokrasi, reformasi, revolusi dan berorientasi masa depan. Ianya sebenarnya cuba mengaruskan kepada pilihan lebih lunak yakni Islam Liberal. Ini diteguhkan lagi dengan pasakkan elemen kemanusiaan, individu dan realistik.
6. Hakikatnya, ‘pembaharuan dan kebangkitan’ yang cuba disegarkan ini mengulangi usaha-usaha pernah dibuat ke atas agama Kristian untuk keluar dari ‘zaman kegelapan’ dahulu. Antara pendekatan paling mudah adalah mendebatkan agama dengan pelbagai disiplin ilmu yang diada-adakan. Tanpa disedari banyak sendi Islam dilonggarkan dalam ruang lingkup akademik seperti itu.
7. Islam cuba diperkenalkan dengan pelbagai interpretasi dan boleh diterima keberadaannya walau sekadar konsep, tanpa perlunya kepada keimanan dan syariat. Maka, berkembanglah Islam dengan pelbagai citra baru bersifat kosmetik serta kekaguman kepada istilah, teori dan tokoh. Sedangkan semakin menjauhkan umat daripada mengangkat perintah Allah yang syumul dan menjadikan keabadian akhirat terawang-awangan.
8. Oleh itu pihak berkuasa agama juga perlu lebih proaktif dalam menangani penyebaran fahaman ini. Antara dikesan adalah penganjuran terbaru oleh Islamic Renaissance Front menerusi beberapa wacana dalam negara bulan lalu dengan membawa tokoh-tokoh yang dikenali umum dengan jurnal-jurnal Islam Liberalnya. Selain itu perlu juga menangani kumpulan-kumpulan dalam negara yang semakin ghairah mempromosikan fahaman ini.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Naib Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia

PELANCARAN BUKU HIJAU : KESELAMATAN, KESIHATAN & PERSEKITARAN BAGI PREMIS PAS

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
10 Oktober 2017 | 19 Muharam 1439


PELANCARAN BUKU HIJAU: KESELAMATAN, KESIHATAN & PERSEKITARAN BAGI PREMIS PAS
1. 14 September 2017 merupakan satu tarikh hitam kepada rakyat Malaysia. Tragedi Darul Quran Ittifaqiyah dibakar mengundang pelbagai tohmahan dan iktibar yang perlu diambil tindakan lanjut. PAS sebagai sebuah jemaah tarbiah, dakwah dan politik juga memiliki ratusan premis yang memerlukan perhatian terhadap isu keselamatan yang terdiri dari PASTI, SRITI, Markaz, Pejabat PAS Negeri dan pelbagai lagi premis.
2. Lanjutan itu, satu Jawatakuasa Kerja telah ditubuhkan di bawah Jabatan Profesional Muda (JPro), Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) bagi menghasilkan buku panduan berkenaan isu keselamatan, bahkan lebih meluas lagi meliputi kesihatan dan persekitaran atau lebih dikenali sebagai (health, safety, security & environment – HSSE). Jawatankuasa yang dianggotai oleh pakar-pakar dalam bidang keselamatan, kesihatan dan persekitaran akan menghasilkan sebuah dokumen rasmi bagi memperbaiki amalan HSSE sedia ada dan rujukan ahli PAS yang dinamakan ‘Buku Hijau: Keselamatan, Kesihatan & Persekitaran Pekerjaan’ di premis Parti Islam Se-Malaysia.
3. Jawatankuasa ini diketuai oleh Haji Shahrul Nizam Nordin yang merupakan perunding, jurulatih dan pakar teknikal di sebuah institusi keselamatan dan kesihatan. Manakala Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid selaku Pengarah JPro akan bertindak sebagai Penasihat.
4. Buku Hijau ini bertujuan bagi membudayakan amalan HSSE ke dalam hati setiap ahli PAS. Budaya keutamaan terhadap keselamatan, kesihatan, dan persekitaran diharapkan dapat disemat bukan sahaja di tempat kerja, tetapi juga di dalam diri dan keluarga setiap ahli PAS. Buku Hijau ini juga ditawarkan kepada pihak berkaitan yang berminat untuk meningkatkan amalan HSSE di organisasi dan premis masing-masing.
5. Buku Hijau ini merupakan blueprint panduan teknikal yang akan dilaksanakan secara berperingkat di premis-premis PAS. Perlaksanaan secara komprehensif akan meliputi beberapa fasa. Bermula dengan penggubalan panduan keselamatan mengikut neraca perundangan dan amalan terbaik industri, pemeriksaan dan mengenalpasti risiko bahaya, latihan kepada ahli yang terlibat, memperkasakan sistem HSSE di setiap premis, pemantauan dan audit yang berkala dan seterusnya peningkatan HSSE yang berterusan.
6. PAS sangat komited dan berusaha agar sistem keselamatan, kesihatan dan persekitaran di setiap premis yang diselenggarakan oleh PAS dan ahli PAS mencapai piawaian yang ditetapkan, dan seterusnya memelihara nyawa, aset dan persekitaran (PEAR: People, Environment, Asset & Reputation) serta dapat dijadikan ikutan oleh institusi lain.
7. Buku Hijau : Keselamatan, Kesihatan & Persekitaran Pekerjaan bagi Premis Parti Islam SeMalaysia ini diharapkan akan menjadi titik tolak dalam menjaga kebajikan ahli PAS khasnya, seterusnya rakyat Malaysia amnya. Sebuah Dokumen Hijau yang tertumpu kepada HSSE dan PEAR juga bakal dibangunkan sebagai tawaran penyelesaian untuk Malaysia yang lebih sejahtera.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

USTAZ MUHAMMAD KHALIL BIN ABDUL HADI
Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Isnin, 2 Oktober 2017

AL - FATIHAH, SALAM TAKZIAH BUAT SDR. LOKMAN HAKIM : DPPK BAGAN DATUK

Takziah buat Sahabat kami, Sdr. Lokman Hakim ( Ketua Penerangan DPPK )  sekeluarga atas pemergian nendanya ( Allahyarhamah Amnah binti Hj. Abas ) yang telah dijemput Allah SWT pada pagi tadi. Didoakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan yang beriman...Aminnn.



" Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dia rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga arwah di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.. "
Al- Fatihah 
. بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم
ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـلَمِين۞ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم۞
مَـلِكِ يَوْمِ ٱلدِّين۞إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ۞ ٱهْدِنَا ٱلصِّرَطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ۞صِرَطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ۞ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ۞امين


اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُا وَارْحَمْهاُ وَعَافِهِا وَاعْفُ عَنْهُا، وَأَكْرِمْ نُزُلَهاُ، وَوَسِّعْ مَدْخَلَهُا، وَاغْسِلْهُا بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ، وَناقِّهاِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ اْلأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُا دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهاِ، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهاِ، وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِا، وَأَدْخِلْهُا الْجَنَّةَ، وَأَعِذْهاُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ [وَعَذَابِ النَّارِ]

PAS SOKONG PENUH BATAHAN SPRM TERHADAP JITN : TIMB. PRESIDEN PAS


JITN: PAS menyokong penuh bantahan SPRM



Tindakan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad mempersoal pendirian Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan yang tetap berhasrat menubuhkan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) adalah tepat.

Bagi PAS, penubuhan JITN tiada keperluan sama sekali samada dalam konteks siasatan atau penguatkuasaan bagi mencegah gejala rasuah di dalam negara.

Lagipun penerangan Paul Low mengenai penubuhan JITN ini sangat samar. Apa kaitannya dengan Program Transformati Kerajaan ataupun membantu dalam usaha membasmi rasuah adalah amat tidak jelas sekali.

Isu utama yang dihadapi dalam membenteras rasuah negara ialah ketidak-sungguhan pihak kerajaan bagi membasmi politik wang dan pembiayaan politik yang menjadi punca meluasnya gejala politik di kalangan pimpinan politik. 

Bilamana pimpinan gagal menjadi model kepada masyarakat, maka budaya rasuah ini akan menular ke segenap segmen.

Lagipun, penubuhan JITN, meskipun ia dinaik taraf daripada Bahagian Integriti dan Tadbir Urus di bawah Jabatan Perdana Menteri kepada sebuah jabatan penuh, dalam suasana kerajaan memotong semua bajet kementerian dan jabatan- jabatan kerajaan ternyata bertentangan dengan sikap berjimat cermat dan 'arahan' ikat perut oleh kerajaan sendiri.

Sekiranya kerajaan mempunyai peruntukan yang lebih, PAS mencadangkan ia adalah lebih bermanfaat untuk disalurkan bagi penambahan peruntukan dan kakitangan SPRM sebagai sebuah agensi utama bagi mencegah jenayah rasuah dalam negara.

Apapun, PAS melihat cadangan penubuhan JITN dipersetujui Kabinet pada 28 Julai suatu usaha mengawal SPRM sebagai satu langkah undur ke belakang di dalam usaha membebaskan SPRM sebagai sebuah badan yang benar-benar bebas.

Lupakan JITN, Datuk Paul Low. Adalah lebih baik untuk Datuk Paul Low melakukan sesuatu agar kabinet dapat bersetuju untuk mempercepatkan penggubalan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik. Semestinya Akta ini jauh lebih membantu daripada JITN dalam membasmi rasuah.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
2 Oktober 2017