Khamis, 19 Oktober 2017

PEMUDA PAS : " TUNAIKAN IMPIAN GENERASI MUDA MAMPU MEMILIKI RUMAH "

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
18 Oktober 2017 | 27 Muharam 1439


“TUNAI IMPIAN GENERASI MUDA MAMPU MEMILIKI RUMAH”
1. Harga rumah terus menunjukkan unjuran peningkatan secara mendadak sejak tahun 2010, sekali gus meletakkan rakyat khususnya generasi muda dalam dilema. Impian untuk mempunyai Rumah Mampu Milik (RMM) ke arah kesejahteraan keluarga yang baru dibina dilihat mustahil dengan realiti harga rumah ditawarkan pada masa kini. Hingga lahir ungkapan popular masa kini ‘Rumah Mampu Tengok’ yang mewakili rasa hati dan keluhan rakyat.
2. Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan antara ciri RMM ialah kadar bayaran bulanannya tidak melebihi 30 peratus daripada pendapatan bulanan. Harga rumah pula hendaklah tiga kali ganda pendapatan kasar tahunan isi rumah. Ini bermakna, berpandukan kriteria tersebut, harga RMM sewajarnya kepada isi rumah penengah yang kini berpendapatan bulanan RM4,585 atau tahunan RM55,020 adalah antara RM165,000 hingga RM242,000.
3. Walaupun BNM menyatakan RMM ialah RM242,000, tetapi purata rumah dijual di Lembah Klang hanya serendah RM360,000. Realitinya harga rumah kini secara purata adalah 4.4 kali ganda berbanding pendapatan kasar tahunan isi rumah. Ketidakmampuan pembeli memiliki kediaman dapat dilihat berdasarkan rekod tahun 2014 di mana berlaku lebihan tawaran rumah RM500,000 setelah 21 peratus projek perumahan dilancarkan pada harga jualan bawah RM250,000.
4. Ini menunjukkan rakyat tidak mampu memiliki kebanyakan rumah ditawarkan di pasaran. Malangnya, RMM yang punya permintaan tinggi pula tiada penawaran. Terbaru, Jabatan Perangkaan Malaysia mengumumkan Laporan Penyiasatan Pendapatan dan Perbelanjaan serta Kemudahan Asas Isi Rumah 2016. Laporan itu menyatakan pendapatan isi rumah penengah telah meningkat 6.6 peratus daripada RM4,585 tahun 2014 kepada RM5,228 tahun 2016.
5. Sehubungan itu, kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap masalah ini. Tiba masa polisi intervensi dalam pasaran rumah diperkukuh agar harganya dapat distabilkan. Kawal selia dan penetapan syarat kepada pemaju mesti diadakan untuk membina lebih banyak RMM terutama ‘first-time home buyers’ yang menjadi keperluan generasi muda. Ketegasan kerajaan juga perlu untuk menyekat kegiatan spekulasi yang menjadi punca harga rumah melambung.
6. Kerajaan juga digesa meneliti cadangan penyelesaian diutarakan PAS menerusi Dokumen Hijau yang diterbitkan. PAS mencadangkan Program Mampu Memiliki Rumah (Affordable Home-Ownership) sebagai ganti kepada program RMM. Projek diketengahkan PAS ini adalah bagi pemilikan rumah pertama dan boleh dilaksanakan melalui dua cara. Iaitu kaedah Musyarakah yakni perkongsian pemilikan bersama kerajaan dengan pembayaran bertangguh.
7. Manakala kaedah Sukuk Al-Ijarah pula adalah melalui perkongsian pemilikan dengan individu atau organisasi. Kemakmuran negara ini yang dilimpahi Allah dengan segala macam nikmat seharusnya menjadi payung menanungi rakyatnya sendiri ke arah mewujudkan kehidupan bahagia dan sejahtera. Kami percaya, ianya pasti dapat dicapai sekiranya kerajaan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam tindakan yang sebenarnya.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan