BENCANA YANG DITEMPAH DI ASIA BARAT
Sabda Rasulullah S.A.W.
ويل للعرب من شر قد اقترب
“Kemusnahan menimpa bangsa Arab, disebabkan kejahatan yang telah mendekati mereka” (Hadis Riwayat Bukhari)
Kita sedang menyaksikan betapa benarnya sabda Rasulullah S.A.W. yang menjadi tanda kerasulannya, menyebut perkara yang tidak berlaku pada zamannya, tetapi dapat dilihat pada zaman kita yang paling mutakhir. Ini disebut perkara ilmu Allah yang diberitahu kepadanya.
Mimpi Rasulullah S.A.W adalah benar dan sebahagian daripada wahyu. Hadis ini menceritkan ketika Baginda S.A.W berada di rumah Ummul Mukminin Zainab binti Jahsyin R.A, lalu beliau bertanyakan bagi meminta penjelasan:
قيل : أنهلِك وفينا الصالحون ؟ قال : نعم، إذا كثُر الخبثُ
“Adakah kita boleh ditimpa bencana (sebegitu) padahal dikalangan kita ada ramai orang-orang yang soleh?” Sabda Rasulullah S.A.W: “Ya! apabila banyaknya kejahatan” (Hadis Riwayat Bukhari)
Al-Marhum Syeikh Abdul Aziz bin Baz, Mantan Mufti Arab Saudi apabila ditanya dan diminta penjelasan berkenaan hadis ini telah menegaskan:
“Kebenarannya berlaku apabila tersebarnya kemungkaran di kalangan bangsa Arab dan tidak ada lagi yang mencegah kemungkaran, laksana Bani Israel yang dilaknat Allah”, sebagaimana diceritakan dalam firman-Nya:
لُعِنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۢ بَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُۥدَ وَعِيسَى ٱبۡنِ مَرۡيَمَۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ ٧٨ كَانُواْ لَا يَتَنَاهَوۡنَ عَن مُّنكَرٖ فَعَلُوهُۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُواْ يَفۡعَلُونَ ٧٩ المائدة
“Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Mariam (A.S). Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu melampau. (78) Mereka sentiasa tidak mencegah kemungkaran (berlarang-larangan sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (maksiat dan melampau), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.” (79) (Surah Al-Maidah: 78-79)
Kemungkaran adalah menempah kemusnahan apabila tidah dicegah. Paling besar ialah meninggalkan Islam sedikit demi sedikit kerana kelemahan iman dan terpengaruh dengan budaya bukan Islam, serta berwala’ (bersahabat setia) dengan musuh Islam.
Perkara ini telah juga ditafsirkan oleh Rasulullah S.A.W. apabila berlakunya bencana pembunuhan atau peperangan melalui sabda Baginda yang berwasiat ketika menunaikan Haji Wada’ (selamat tinggal):
لا ترجعوا بعدي كفارا يضرب بعضكم رقاب بعض
“Jangan kamu menyeleweng dengan menjadi kufur selepas aku (tidak ada lagi, apabila wafat meninggal dunia) sehingga kamu memancung leher sesama sendiri (berperang)” (Hadis Riwayat Bukhari)
Kini berlakunya kemungkaran tersebut yang mengundang kemusnahan, apabila melakukan maksiat di dalam negeri dan ketika melancong di luar negeri. Berpecah dan berkelahi tanpa batas sehingga bermusuh dan menjemput musuh luar, kerana mahu mengalahkan pihak yang dianggap musuh walaupun saudara seagama, menyebabkan berlakunya pertelingkahan dan perkelahian yang mencetuskan perang saudara dalam negara yang telah dibentuk mengikut kamahuan penjajah dahulu dan juga berperang terhadap jiran tetangga seagama dan sebangsa.
Kewajipan Amar Maaruf dan Nahi Mungkar dipandang kecil dan dikatakan mengganggu kemajuan. Maka para ulama yang berani mencegah kemungkaran secara nasihat meringkuk ditahan dalam penjara, bersembunyi dan terpaksa berhijrah ke luar negara. Hanya yang bertahmid dan bertasbih memuji kerajaan sahaja diberi lesen, walaupun salah dan sesat.
Inilah yang sedang dilakukan sekarang, sehingga mencetuskan peperangan dan pembunuhan sesama sendiri. Senjata yang dibeli ditujukan kepada kawan bukannya musuh, sehingga ditinggalkan Israel, musuh yang sebenar yang merompak Tanah Suci.
Bangsa Arab yang paling hampir dengan Israel, meninggalkan kewajipan membebaskan Palestin setelah mengecewakannya, kerana sibuk berperang dalam negara sendiri dan negara jiran, dengan alasan yang tidak berpijak di atas Islam yang sebenar daripada Al-Quran dan Hadis yang dibaca dalam Bahasa Kebangsaan mereka. Sebaliknya yang berjihad menentang Zionis seperti Hamas, Tanzim Jihad dan Hizbullah dianggap pula sebagai pengganas dan pelampau agama.
Ini disebabkan oleh kehakisan aqidah apabila menganut berbagai ideologi dan berwalikan musuh Islam serta tidak bersyukur atas nikmat kekayaan yang dikurniakan oleh Allah, sehingga tidak dimanfaatkan sebanyak-banyaknya kepada Islam dan umatnya, tetapi dibinasakan harta kerana membeli senjata untuk membunuh sesama sendiri, berbelanja secara membazir dan bermewah dan lebih malang lagi ada yang berfoya demi memuaskan nafsu semata-mata.
Sepatutnya mereka sedar kesilapan yang berlalu telah menjadi bencana awal yang tidak patut diulang lagi. Mereka tidak mengambil iktibar daripada zaman perjanjian di antara Syarif Husain (Raja Hijaz) dan Henry McMahon (wakil British), kerjasama di antara Malik Abdul Aziz (Raja Saudi) dan Lawrence serta rakan-rakannya daripada barat. Begitu juga di antara Shah Iran yang menjadi wakil penjajah dan Kamal Ataturk yang mengambil sekularisma dan menolak Islam kerana kononnya boleh memajukan Turki. Semuanya adalah permainan pihak barat yang sudah berlalu dan menjadi cerita lama yang sangat mengecewakan.
Akibatnya ialah kejatuhan Khilafah dan dirampasnya Palestin untuk ditubuhkan negara haram Israel. Umat Islam dan Arab dipecahkan mengikut bangsa dan mazhab, serta dibahagi-bahagikan negaranya. Kemudian hilangnya maruah negara kerana politik, ekonomi dan pendidikan berkiblatkan kepada musuh yang menghina mereka.
Hari ini berlaku pertembungan yang panas apabila mencetuskan peperangan di antara Arab dan Arab yang berlainan agama, mazhab dan ideologi, di antara Arab dan Kurdis dan di antara negara Arab, Turki dan Iran yang seagama dan berjiran.
Sepatutnya era baru terkini sudah merdeka daripada barat, maka hendaklah ditukar pengisiannya dengan memecahkan tembok perkauman dan mazhab yang memecahkan belahkan mereka dahulu dan menghancurkan belenggunya. Sepatutnya negara umat Islam khususnya negara Arab bertaut kembali kepada asal Islam yang selamat dan sejahtera, membina jati diri umat berteraskan Islam dan perpaduan umat yang satu, walaupun banyak bangsa dan mazhabnya.
OIC yang telah ditubuhkan telah mengadakan resolusi dan melaksanakan pendekatan mengeratkan semula hubungan di kalangan negara umat Islam. Namun diletakkan dibelakang kerana berkiblatkan politik dan ekonomi kepada bukan Islam. Kaabah hanya untuk sembahyang dan haji sahaja.
Selain itu, Bank Pembangunan Islam (IDB) telah ditubuhkan, tetapi mata wangnya masih bergantung kepada negara barat yang pernah menjajah dan menyamun harta. Malangnya juga masih terus melimpahkan pelaburannya di negara barat dan tidak yakin kepada sesama Islam dan Arab, bahkan tidak juga membantu saudara seagama Islam yang menderita, menjadi pelarian dan menghadapi bencana dalam negeri sendiri.
Majmak Fiqh dibawah OIC juga telah ditubuhkan yang mengiktiraf 8 mazhab sebagai mazhab Islam, supaya diadakan program susulan dan muzakarah secara ilmu di kalangan ulama berbagai mazhab secara dalaman dan melakukan tashih. Tetapi mereka lebih mendengar kenyataan Presiden Bush, Condoleezza Rice, Henry Kissinger dan lain-lain supaya melawan di antara Sunni dan Syiah. Selepas itu, muncul para ulama yang menyokong dengan fatwa takfir secara mudah tanpa huraian ilmu yang mendalam kajiannya dan tidak mengambil kira mereka yang tenggelam dalam kejahilan, dan tidak sedar permainan musuh Islam dibelakangnya.
Tanpa dinafikan ada kalangan yang sesat dalam kalangan mazhab Syiah dan Khawarij seperti juga ada yang sesat di kalangan Sunni seperti Ayah Pin dalam masyarakat Ahli Sunnah di Malaysia, Kasim Ahmad dan rakan-rakannya yang menolak Hadis dan buta Al-Quran, yang juga muncul di negara-negara lain dan mazhab yang lain.
Hanya ahli ilmu yang dapat menjernihkan secara dalaman, bukannya mendengar nasihat daripada musuh Islam, atau dibiarkan si jahil murakab memerintah negara yang diikuti oleh para ulama pengampu yang menjilat kesenangan laksana anjing kelaparan.
Sekarang telah menunjukkan keadaan yang lebih parah dengan membunuh dan membakar hangus rumah sendiri, tetapi matahari belum lagi naik daripada arah barat, nyawa belum sampai ke kerongkong dan pintu taubat masih terbuka luas. Maka ubahlah dengan kesedaran dengan membuat pembetulan.
Sepatutnya hubungan di kalangan negara Arab dan Islam, serta negara jiran hendaklah diutamakan dan didahulukan, bukannya Israel dan pengkalan tentera asing yang sangat dipelihara. Sepatutnya krisis dalaman diselesaikan oleh OIC dengan semangat Islam dan kejiranan, jangan dijemput campur tangan asing yang menjadi hakim monyet yang membuat keputusan memasukan barang yang menjadi rebutan ke dalam mulut si hakim monyet itu, sehingga yang menuduh dan dituduh tidak mendapat apa-apa.
Percayalah bahawa kembali ke pangkal jalan yang benar bersama Islam adalah lebih baik daripada berterusan bersama kebatilan yang merosakkan diri sendiri. Bangsa Arab akan selamat dan boleh memimpin apabila bersama Islam. Sekiranya meninggalkan Islam, maka bangsa Arab walaupun sebangsa dengan nabi akan juga menjadi hina.
Khalifah Umar bin Al-Khattab R.A menegaskan kepada bangsa Arab yang telah berjaya membebaskan Bait Al-Maqdis dan mengalahkan dua kuasa besar dunia Rom dan Parsi, berkata:
نحن قوم أعزنا الله بالإسلام , فمهما نبتغي العز بغير ما أعزنا الله أذلنا الله
“Kita menjadi umat yang dimuliakan Allah bersama Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan atau kehaibatan dengan yang lain daripada apa yang pernah dikurniakan Allah, nescaya kita dihina Allah”
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANGPresiden PAS
Bertarikh: 27 Safar 1439 / 17 November 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan