KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
4 November 2017 | 15 Safar 1439
“AMK DINASIHAT TIDAK BAWA NEGARA KEPADA LIBERAL”
1. Timbalan Ketua AMK, Dr Afif Bahardin dilihat cuba mempertikaikan pegangan PAS kepada prinsip Rukun Negara disebalik pertanyaan dikemukakannya. Malah, seolah-olah membentuk persepsi buruk untuk menuduh kononnya PAS menolak Rukun Negara. Malangnya, kenyataan dikemukakan Dr Afif menunjukkan beliau sebenarnya dangkal dan keliru memahami terma berhubung kait prinsip tersebut.
2. Memalukan diri sendiri, beliau sebenarnya yang cetek pengetahuan dan gagal membezakan antara penyataan sinopsis Rukun Negara dari butiran deklarasinya. Ia umpama tidak tahu membezakan antara ucapan aluan pengerusi majlis dengan ucapan perasmian pemimpin. Malah, bidasan Dr Afif yang berhujah atas perkataan ‘liberal’ dalam teks sinopsis Rukun Negara itu adalah pemahaman salah dan merbahaya.
3. Tafsiran beliau cenderung melihat perkataan ‘liberal’ tersebut sebagai pegangan atau fahaman; yang mewakili kebebasan. Sedangkan maksud sebenar di situ merujuk perihal pendekatan; yang bererti keterbukaan. Bermakna Dr Afif menanggapi Rukun Negara sebagai prinsip liberal, sekali gus menggambarkannya adalah jati diri Malaysia. Tentulah ianya janggal dan bercanggah dengan kelima-lima prinsip itu.
4. Atas kemungkinan ianya benar pendirian atau kesilapan, Dr Afif tetap perlu memberikan penjelasan. Sekiranya itu adalah kefahaman pegangan beliau, bermakna Dr Afif akan seiring dengan golongan aliran liberal. Maka kami nasihatkan agar kembali ke pangkal jalan. Jika sebaliknya, memadai beliau mengakui kekhilafan itu dan memohon maaf supaya tidak terus berlaku salah sangka.
5. Kami tegaskan, bahawa PAS adalah parti yang paling teguh merealisasikan Rukun Negara. Kepercayaan kepada Tuhan dibuktikan PAS dengan Islam menjadi dasarnya, serta menghormati agama lain. Kesetiaan kepada Raja dan Negara tidak dapat disangkal apabila PAS sentiasa mempertahankannya. Sedangkan terdapat parti yang bersengketa dengan Institusi Raja, tetapi akrab dengan kuasa asing.
6. PAS juga tegas menjunjung Keluhuran Perlembagaan dan menjaga Kedaulatan Undang-undang, ketika ada pihak cuba merobek dan mencabarnya. Malah PAS memelihara Kesopanan dan Kesusilaan, disebalik kebiadaban serta lupa diri oleh pihak tertentu terhadap negara. Kami menyeru agar kebaikan liberalisasi politik diperluaskan kepada masyarakat, namun menentang kejahatan agenda politik liberal.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”
“Mara Menuju Cita”
YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan