Kenyataan Media Presiden PAS
PENGIKTIRAFAN DONALD TRUMP TERHADAP AL-QUDS SEBAGAI IBU NEGARA ISRAEL (SIRI 2)
Pengumuman Donald Trump terhadap Al-Quds sebagai ibu negara Israel merupakan suatu ujian ke atas orang-orang beriman. Namun sebaliknya, ia adalah ujian dan badai hebat bagi mereka yang lemah imannya, bahkan mereka akan tunduk menyerah.
Sebelum ini, mereka mengamalkan politik neutral terhadap negara rejim tersebut, malahan ada yang mengikut jejak langkah rejim sedikit demi sedikit. Tindakan itu diibaratkan jika rejim memasuki lubang biawak dhab, mereka juga akan turut sama memasukinya. Hakikatnya, kita sendiri menyedari siapakah yang rela mengikut telunjuk negara haram itu.
Kini sudah tiba masanya menghentikan tangan-tangan mereka yang tidak berperikemanusiaan, menzalimi anak-anak, para wanita dan fakir miskin di khemah-khemah daif. Mereka adalah golongan yang terpaksa berhadapan dengan rejim Zionis dan sekutunya. Bahkan kita melihat orang-orang yang mendiami istana-istana megah serta menara-menara pencakar langit tidak mampu menjadi pemimpin kepada ummah ini.
Justeru, mereka membawa ummah menuju azab dunia, seterusnya menuju azab neraka di akhirat nanti. Pada waktu itu, tiada gunanya penyesalan orang-orang yang berkata: “Wahai Tuhan kami, kami mentaati pemimpin kami lantas mereka menyesatkan kami.”
Telah tiba masanya untuk merobohkan tembok ‘keamanan’ yang dicanang-canangkan, nama yang dipergunakan untuk menundukkan dunia terhadap kezaliman antarabangsa sehingga meletakkan keturunan rejim Zionis di negara haram Israel. Tetapi kita hidup dalam kalangan pemimpin Zionis jadian yang menzahirkan kebencian mereka terhadap perjuangan kononnya atas nama mempertahankan Islam. Bahkan seluruh mazhab dalam agama Islam berlepas diri dari mereka.
Mereka juga kononnya mahu menentang terorisme (keganasan) tetapi merekalah yang mencipta terorisme dan memberi bantuan kepada golongan pengganas dengan pelbagai senjata dan sokongan.
Pengiktirafan ini hakikatnya pukulan hebat yang mampu mengejutkan mereka yang tenggelam dalam tidur lena, sekalipun dalam diri mereka hanya mempunyai iman sebesar zarah yang menyebabkan mereka berdiam diri. Itulah perang dalam diri umat Islam meletus sebelum perang bersenjata yang akan menzahirkan siapakah penyokong-penyokong musuh ini.
Begitu juga, akan zahirlah sekolompok manusia yang berjuang demi kebenaran. Mereka tidak dikalahkan musuh dan pengkhianat sehingga Hari Kiamat. Mereka inilah penjaga-penjaga Baitul Maqdis dan disekitarnya. Bersama-sama mereka adalah saudara yang berganding bahu ibarat jasad yang satu dari Timur mahupun Barat, Utara dan juga Selatan.
Orang-orang zalim akan mengetahui bahawa barisan hadapan kita bermula di Baitul Maqdis dan akan berakhir di Jakarta, Kuala Lumpur, Algeria dan Casablanca. Allah berkuasa terhadap segala urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Presiden PAS
Bertarikh: 19 Rabiul Awal 1439 / 8 Disember 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan