Jumaat, 26 Ogos 2011

TAZKIRAH RAMADHAN : RAMADHAN BULAN KEMENANGAN - 3

Siri 3 :

Setelah tiba di Madinah, Rasulullah SAW bermesyuarat dengan para sahabat berhubung dengan tawanan Quraisy. Saidina Umar RA mencadangkan agar mereka dibunuh. Pun begitu, Baginda SAW menerima cadangan Abu Bakar RA supaya mereka dijadikan tebusan. Tidak lama selepas itu, turun ayat bagi menegur Baginda SAW dan mengakui bahawa pendapat Saidina Umar RA lebih tepat. Hal ini kerana apabila mereka ditebus oleh musyrikin Mekah, mereka akan bebas kembali dan akan kembali menentang Islam.



Peristiwa tersebut dinyatakan dalam al - Quran melalui surah Al- Anfal ayat 67- 69.

Kemenangan pertama ini telah menjadi perintis utama kepada kemenangan dalam peperangan- peperangan selepasnya yang berlaku di dalam bulan ini.

2. Pembukaan Kota Mekah

Pembukaan Mekah berlaku pada 21 Ramadhan tahun kelapan Hijrah bersamaan dengan 630 Masihi. Peperangan ini berpunca daripada pencabulan Quraisy terhadap perjanjian Hudaibiyah. Dalam perjanjian itu ada dinyatakan bahawa setiap kabilah Arab diberikan pilihan samada menggabungkan diri ke dalam barisan Rasulullah saw atau ke dalam barisan Quraisy. Maka Bani Bakar memilih untuk bergabung dengan Quraisy manakala Bani Khuza'ah memilih untuk bersama denga Rasulullah saw.


Tidak lama selepas itu, Bani Bakar telah melakukan pencerobohan ke atas Bani Khuza'ah sehingga mengakibatkan korban seramai 20 orang dengan mendapat bantuan senjata daripada Quraisy. Apabila berita ini sampai ke pengetahuan Rasulullah saw, Baginda saw begitu marah lalu secara sulit Baginda saw mempersiapkan bala tentera Islam yang berjumlah seramai 10 000 orang untuk bersemuka dengan Quraisy.


Akan tetapi perancangan Rasulullah saw bocor juga selepas itu apabila Hatib bin Abi Balta'ah Al Badry mengirim sepucuk surat rahsia kepada Quraisy di Mekah menceritakan rancangan Rasulullah saw untuk menyerang Mekah. Akan tetapi, belum pun sempat surat itu sampai ke tangan Quraisy, Allah SWT telah membongkarkan rahsia surat itu kepada Rasulullah saw. Maka dengan serta merta Rasulullah saw menghantar beberapa sahabat untuk mendapatkan perempuan yang membawa surat itu. Setelah mereka menjumpai perempuan tersebut dan membaca isi kandungan suratnya, maka terbongkarlah pengkhianatan Hatib bin Abi Balta'ah.


Rasulullah saw bertanya kepada Hatib : " Apakah yang menyebabkan engkau melakukan pengkhianatan ini?" Lalu dia menjawab : " Wahai Rasulullah ! Demi Allah sesungguhnya aku beriman kepada Allah dan Rasulnya. Aku tidak berubah dan tidak pula menyeleweng. Akan tetapi aku sebatang kara, tidak ada sanak saudara dan juga keluarga di kalangan kaum muslimin melainkan orang - orang Quraisy di Mekah. Perkara ini kulakukan supaya mereka menghormati dan menghargai keluargaku."


Akan bersambung dalam siri 4.


Disediakan oleh :
Pen. Setiausaha 3,
Dewan Pemuda Pas Bagan Datoh 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan