Ulama bukan ‘penumpang’ SHAH ALAM – Peranan ulama yang terlibat dalam politik perlu diiktiraf agar segala pandangan, teguran dan cadangan diambil kira dalam memastikan pentadbiran parti dan kerajaan berlandaskan hukum syarak. Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ulama yang terlibat dalam politik tidak boleh dianggap sebagai ‘penumpang’ sebaliknya peranannya sebagai ‘pemandu’ kepada kepemimpinan. Katanya, ulama yang menyartai politik bukan dengan hasrat mencari kepentingan peribadi, sebaliknya berdakwah dengan cara tersendiri. “Ulama ada tanggungjawab dan amanah tetapi peranannya dalam politik perlu diiktiraf kerana dengan pengiktirafan itu, segala pandangan dan nasihat akan didengar dan diambil kira,” katanya. Beliau berkata demikian ketika hadir sebagai ahli panel Wacana Sinar Harian Siri 6 bertajuk Ulama Politik, Untuk Dakwah atau Parti di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini, semalam. Dua lagi anggota panel dalam wacana itu Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria dan ulama muda Umno Fathul Baru Mat Jahya. Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin bertindak sebagai moderator. Menurut Tuan Ibrahim pandangan dan nasihat ulama politik tidak harus dipencilkan sebaliknya perlu memainkan peranan penting dalam sesebuah parti politik bagi emastikan perjuangan tidak tersasar dari ajaran Islam. “Sebelum ini ada pihak menggelar ulama politik tertentu sebagai ‘terompah’ atau ‘periuk nasi elektrik’ yang hanya menjatuhkan kredibiliti ulama berkenaan. Tuduhan itu juga seolah-olah pandangan ulama berkenaan hanya diperlukan apabila terdesak,” katanya. Menurutnya, ulama di dalam politik mesti berlandaskan syariat Islam bukan mengejar kepentingan tertentu. “Ulama pada asas maknanya ialah orang yang berilmu, tetapi dari sudut istilah penggunaan ulama dikaitkan dengan sifat takwa kepada ALLAH. Malah ALLAH mengangkat darjat manusia disebabkan dua perkara, iaitu iman dan ilmunya. “Oleh itu dalam konteks ini, orang berilmu yang diangkat oleh ALLAH ialah golongan beramanah dalam ilmu,” katanya. Beliau berkata, orang yang melakukan khianat dalam ilmu akan menyebabkan kesan memudaratkan, iaitu boleh menyebabkan masyarakat dan generasi musnah. Menurutnya, Pas adalah satu-satunya parti politik di negara ini yang memberi pengiktirafan kepada ulama. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan