Ustaz-Abu-Bakar-Hussain-PJ-Perak
IPOH – Pas Perak menganggap penegasan Kerajaan Persekutuan untuk tidak menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menunjukkan Barisan Nasional (BN) tidak memikirkan nasib generasi muda di negara ini.

Pesuruhjayanya, Abu Bakar Hussian berkata, pendedahan bahawa negara akan mengalami bankrap sekiranya hutang pinjaman PTPTN dihapuskan, juga menggambarkan jalan mudah yang diambil kerajaan untuk menutup isu berkenaan.

“Suara anak muda berhubung isu PTPTN ini perlu diambil peduli, kita ingin memberi harapan baru kepada mereka khususnya yang masih belum bekerja agar tidak terus menerus diburu surat peguam hanya kerana kegagalan menjelaskan PTPTN,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, secara jelas, hutang PTPTN yang ditanggung lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) selama ini mengekang kehidupan anak muda dan menjadi beban bagi mereka yang baru memulakan kehidupan.

“BN kini seolah panik dalam menangani isu PTPTN, mereka sudah tidak tahu formula untuk mengatasinya, hingga mudah menghukum negara akan bankrap jika wang PTPTN dilupuskan,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu, sekiranya PTPTN dimansuhkan seperti yang dijanjikan pembangkang, ia akan menjadi beban apabila kerajaan terpaksa menanggung kos RM43 bilion.