‘Wahai remaja , jangan taksub cint a!’
Selebriti Wardina Safiyya, menerusi dialog “Di Mana Cinta Kita” bagi program
Bicara Cinta Anak Muda, yang berlangsung di Auditorium Kumpulan
Media Karangkraf.
Wardina Safiyya
“SELAGI kita tidak jumpa sumber dan asas cinta, jangan kita sesekali
berani untuk bercinta!” Demikian kata selebriti Wardina Safiyya, dalam
memberi definisi cinta menerusi dialog “Di Mana Cinta Kita” bagi program
Bicara Cinta Anak Muda, yang berlangsung di Auditorium Kompleks
Kumpulan Media Karangkraf, baru-baru ini.
Jelas Wardina, manusia perlu kembali ke fitrah asal, cinta manusia
adalah kepada ALLAH. Maka, kita perlu kembali kepada fitrah sebenar
manusia dalam mencari cinta.
Katanya, hati adalah sumber ilham dan pertimbangan, tempat lahirnya
cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, ketenangan dan kebimbangan.
“Hati juga sumber kebahagiaan jika kita mampu membersihkan, namun jika
sebaliknya berlaku, ia bakal menjadi sumber bencana jika kita sendiri
menodainya.
“Satu petikan hadis membuktikan, dari Abu Hurairah berkata, hati
merupakan raja, sedangkan anggota badan merupakan tentera, jadi jika
raja itu baik maka tentera juga akan baik, jika raja itu buruk, maka
buruklah tenteranya.
“Kita sering tertanya-tanya ada apa dengan cinta? Mengapa manusia
terlalu taksub mengenai cinta? Mampukah matlamat sebenar dicapai dengan
wujudnya cinta? Semua persoalan ini terlalu kompleks untuk dirungkaikan
makna dan penjelasan,” ujar selebriti yang bakal berusia 33 tahun, pada 5
Jun ini.
Dialog anjuran majalah i-Islam ini, turut menampilkan pelakon Irma
Hasmie, penyanyi Sham Kamikaze dan Ustaz Syed Norhisyam Al-Idrus.
Pernah kecundang cinta Isteri kepada Ikhwan Johari, 36, dan ibu
kepada tiga cahaya mata, Amna Nafeesa Ikhwan, 9, Azra Sareera Ikhwan, 6
dan Imran Arrazi Ikhwan, 4, ini juga turut berkongsi pengalaman
cintanya.
“Saya pernah kecundang dalam cinta satu ketika dulu. Bertitik tolak
daripada peristiwa itu, saya mula bangkit dan mencari kekuatan sebenar
dan cinta sejati yang hakiki,” katanya membuka rahsia.
“Sejak peristiwa itu, saya mula berfikir, apa matlamat saya sebenar ketika bercinta.
“Saya merasakan percintaan yang putus di tengah jalan itu merupakan satu
wake up call. Tuhan sayangkan saya, Dia memberi hidayah dan peluang kepada saya untuk memperbaiki diri,” katanya.
Peristiwa itu membuatkannya banyak berfikir dengan kesilapan masa lalu,
membuang masa dengan percintaan sia-sia tanpa objektif dan matlamat.
“Apabila diuji dengan ujian tersebut, saya kembali kepada ALLAH. Ini
merupakan sumber utama kekuatan saya. Saya cari kembali semangat diri
yang telah hilang,” kata bekas pengacara
Malaysia Hari Ini.
Tidak mahu terus hanyut, pelakon, pengacara dan pendakwah bebas ini,
nekad berhijrah menjadi Muslimah sejati. Sejak itu, dia mula memperbaiki
diri dengan menjadikan al-Quran sebagai pegangan hidup.
“Bagi saya, jika kita ditimpa musibah, jangan sesekali terfikir musibah
merupakan sesuatu yang buruk. Tidak! Sesuatu musibah yang menimpa kita
merupakan tanda awal yang perlu diterima dan manusia perlu berfikir
hikmah yang diterima akibat musibah yang menimpa diri.
“Saya sering ingat kepada satu pepatah Cina yang mengatakan, 'apabila
kita jatuh tujuh kali, kita perlu bangun lapan kali'. Justeru, kita
tidak sepatutnya terus-menerus jatuh. Ini juga merupakan sumber motivasi
saya dan kita sebagai khalifah di Bumi ALLAH ini perlu belajar dari
kesilapan lepas,” jelas Wardina yang memulakan kerjaya seninya seawal
2001 dan popular dengan drama sitkom,
Spanar Jaya, di saluran NTV7.
Pesan Wardina
Atas tanggungjawab sesama manusia, penulis buku kanak-kanak,
Mama, Saya Lapar ini turut menyeru anak muda agar bangkit daripada terus leka dek cinta yang terpesong jauh dari agama.
Jauh di hatinya berasa sedih melihat anak-anak muda yang kini semakin hanyut tanpa cinta hakiki.
Tegas Wardina, minda remaja sering disogokkan dengan lambakan
filem-filem dari Barat dan novel-novel cinta yang membuai perasaan
mereka, sekali gus mendorong mereka bereksperimen dengan apa yang
dilihat dan dibaca.
“Remaja sekalian, bangkitlah!
Lambakan novel yang berunsurkan cinta dan filem dari Barat tidak akan
menunjukkan definisi cinta yang sebenar. “Bila minda ini sudah dari awal
lagi disogokkan dengan perkara yang negatif, remaja mula lupa diri.
Seolah-olah bila bercinta mesti bersentuhan bagi menunjukkan nilai cinta
kepada pasangan.
Persepsi ini harus dibuang jauh dari minda kita. “Jika ingin sayangkan
seseorang, kita hendaklah sayang akan diri kita terlebih dahulu dan
sedia menerima kekurangan diri. Percayalah, jika seseorang lelaki itu
ikhlas untuk memperisterikan seseorang wanita, dia tidak akan sesekali
menyentuhnya, hatta mengusik jari sekali pun,” tegasnya.
Wardina berkata, cinta tidak akan merosakkan jika kita mampu
mengawalnya. Manusia perlu kenal diri sendiri sebelum bertemu dengan
cinta sejati. Malah, setiap remaja harus mencari arah sebenar dalam
kehidupan.
“Kita perlukan matlamat dalam kehidupan dan jadikan ia sebagai satu
cabaran. Saya sangat bersyukur kerana selama ini mendapat sokongan
suami, anak-anak dan keluarga tersayang dalam mencapai kejayaan.
“Untuk berjaya di dunia, kita memerlukan ilmu, untuk berjaya di akhirat
juga kita memerlukan ilmu, untuk berjaya di dunia dan di akhirat, kita
amat memerlukan ilmu,” katanya yang kini bergiat aktif dengan pelbagai
aktiviti kemasyarakatan.