pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Khamis, 31 Mei 2012

ZIARAH DAN TAHLIL..

Parit 7, Sungai Sumun : Pada hari selasa ( 29 Mei 2012 ), Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh telah mengadakan ziarah ke atas keluarga Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh, Tuan Hj. Muhammad Haidzir Ajid yang baharu sahaja kehilangan ayahandanya pada hari ahad lalu.

Pada ziarah tersebut, turut diadakan sedikit majlis tahlil untuk mendoakan Allahyarham ayahanda beliau tenang menemui Allah swt serta di tempatkan bersama - sama orang soleh.







HIMPUNAN HIJAU KE PUTRAJAYA..



K- POP : APAKAH AGAKNYA JAWAPAN MENTERI !

K-Pop
K-Pop dikatakan kurang sopan dari segi aksi dan pemakaian semasa membuat
persembahan.


KBS jelaskan isu K-Pop hari ini
SHAH ALAM - Berikutan teguran pelbagai pihak berhubung persembahan kumpulan dari Korea atau lebih dikenali sebagai K-Pop, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan membuat sidang media khas hari ini bagi menjelaskan isu tersebut.

Kelmarin, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan persembahan seumpama itu tidak patut diadakan kerana program di Putrajaya minggu lalu kerana ia melibatkan golongan belia.


Selain mufti, pihak daripada pertubuahan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik turut mengecam persembahan tersebut yang disifatkan melampau kerana berpakaian terlalu seksi.

PAS ; YAKIN PR AKAN NAIK !

Pas: 'Sokongan bagi BN turun, Pakatan naik'

Datuk Mustafa Ali
SHAH ALAM  - "Kami bukan terlampau yakin, tetapi yakin boleh menang (PRU13)."

Demikian menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian.

Sambil menekankan bahawa menang atau kalau bergantung pada sokongan rakyat, Mustafa juga berkata, pokoknya sekarang sokongan kepada Barisan Nasional (BN) semakin menurun manakala arah aliran sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR) "semakin meningkat naik."

Ia sebahagian daripada perkara yang disentuh dalam wawancara terbaru ini.

Selain itu, beliau turut menyentuh tentang persepsi 'orang luar' terhadap Pas yang sudah berusia lebih enam dekad ketika pesaing politiknya melontarkan pelbagai kritikan dan kecaman, antaranya ia sudah berubah dasar perjuangan dan sanggup bekerjasama dengan DAP atas nama PR.

Mustafa ada jawapan tersendiri dan menjelaskan dengan terperinci.

Beliau juga berkongsi mengenai 'siapa' calon Menteri Besar Terengganu jika merampas balik negeri dalam PRU13.

Turut disentuh dakwaan berkaitan dengan pengaruh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hala tuju Pas.

Mustafa ditanya "Pas dilihat terlalu tunduk dengan pandangan dan campur tangan Anwar. Adakah beliau banyak mempengaruhi keputusan yang dilakukan Pas?"

Melihat pada perkembangan semasa, Mustafa juga menjawab dengan mendalam pendirian Pas mengenai isu muzakarah termasuk menjelaskan dengan terperinci kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz baru-baru.

GLOBAL : 33 TAHUN DIPENJARA KERANA MILITAN!

Doktor Osama dipenjara 33 tahun kerana militan
Shakil Afridi
Doktor Osama dipenjara 33 tahun kerana hubungan militan
 
ISLAMABAD - Dilihat sebagai perkembangan terbaru dalam kes yang mencetuskan kemarahan Washington, seorang doktor Pakistan yang membantu Agensi Risikan Pusat (CIA) mengesan Osama bin Laden tahun lalu, dipenjara minggu lalu kerana terlibat dalam aktiviti militan.

Dokumen mahkamah yang dikeluarkan semalam menunjukkan Dr Shakil Afridi tidak bertindak membantu khidmat risikan Amerika, sebaliknya dikaitkan dengan kumpulan militan.

Tindakan Pakistan menahan beliau lebih seminggu lalu mengundang kecaman pentadbiran Obama dan membawa kepada tekanan agar bantuan kepada Pakistan dipotong AS$33 juta - satu juta dolar bagi setiap satu tahun hukuman penjara dikenakan ke atasnya.

Laporan-laporan sebelum ini menyebut doktor itu mengkhianati kepentingan negara dengan membekalkan maklumat kepada agensi risikan asing.

Dokumen mahkamah yang dikeluarkan semalam pula menunjukkan beliau kini didakwa terlibat dalam "aktiviti-aktiviti antikepentingan negara."

Keluarga Shakil mendakwa tahanan beliau sebagai satu tindakan mengarut dan peguamnya mahu mengemukakan rayuan.

Kes Shakil didengar di bawah sistem kehakiman puak secara tertutup.

Osama terbunuh dalam serangan ketenteraan pasukan khas Amerika Syarikat (AS) pada awal Mei 2011.

Selasa, 29 Mei 2012

KUASA ALLAH SWT..MUHASABAH SEBAGAI HAMBA!

Matahari tegak di atas Kaabah petang ini
KUALA LUMPUR - Umat Islam di negara ini berpeluang menyemak arah kiblat yang betul pada pukul 5.16 petang hari ini (waktu Malaysia) berikutan fenomena Istiwa' Matahari di atas Ka'abah, iaitu matahari akan berada tegak di atas Kaabah, di Masjidil Haram, Makkah.

Laman Facebook milik Observatori Negara Langkawi (NOL), di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, memberikan pautan
www.falak-online.net yang menyebut matahari akan berada tepat di atas Kaabah dua kali setahun iaitu pada 5.16 petang 28 Mei dan juga pukul 5.28 petang 16 Julai.

Di Makkah, Arab Saudi, ia berlaku pada 12.16 tengah hari 28 Mei dan 12.28 tengah hari pada 16 Julai.


Laman sesawang itu juga memaklumkan cara menyemak arah kiblat iaitu dengan memacak kayu atau pancang di atas tanah yang tidak dilindungi sebarang pokok atau bangunan supaya bayang kayu yang dipacakkan itu dapat dilihat dengan jelas.
"Apabila tepat masanya, pastikan bayang-bayang yang ada jelas dan tidak dilindungi. Kemudian buat garisan bayang-bayang itu ke arah matahari supaya mendapat arah kiblat yang tepat, Insya Allah," menurut laman itu.- Bernama

AL - FATIHAH - SEMOGA ROHNYA DICUCURI RAHMAT.

SUNGAI SUMUN : Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh mengucapkan takziah kepada Tn. Hj. Muhammad Haidzir Ajid dan keluarganya atas kepemergian ayahnya, Allahyarham Ajid bin Abdul Latif, 70 pada 27 Mei 2012.

Allahyarham yang sememangnya sudah uzur telah dihantar ke Hospital teluk Intan apabila disyaki menghidapi jangkitan kuman dalam saluran darah. Selama 3 hari terlantar dan dirawat di hospital, namun ajalnya telah tiba. Allahyarham meninggal dunia dan menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 6. 40 petang di saksikan sendiri anak - anak dan isterinya di hospital.

Jenazahnya telah di kembalikan kepangkuan keluarganya di Kampung Parit 7, Sungai Sumun untuk di semadikan. Solat jenazahnya telah diadakan pada hari isnin jam 9.30 pagi seterusnya dikuburkan di Tanah Perkuburan Orang Islam Parit 5.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan 4 orang anak.

Hj. Muhammad Haidzir Ajid merupakan Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh. Didoakan semoga roh ayahandanya mendapat rahmat serta di tempatkan bersama orang -orang soleh.

JANGAN TAKSUB BERCINTA SESAMA MANUSIA - WARDINA

‘Wahai remaja , jangan taksub cint a!’
wardina safiyyah
Selebriti Wardina Safiyya, menerusi dialog “Di Mana Cinta Kita” bagi program
Bicara Cinta Anak Muda, yang berlangsung di Auditorium Kumpulan
Media Karangkraf.
wardina
Wardina Safiyya
“SELAGI kita tidak jumpa sumber dan asas cinta, jangan kita sesekali berani untuk bercinta!” Demikian kata selebriti Wardina Safiyya, dalam memberi definisi cinta menerusi dialog “Di Mana Cinta Kita” bagi program Bicara Cinta Anak Muda, yang berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, baru-baru ini.

Jelas Wardina, manusia perlu kembali ke fitrah asal, cinta manusia adalah kepada ALLAH. Maka, kita perlu kembali kepada fitrah sebenar manusia dalam mencari cinta.


Katanya, hati adalah sumber ilham dan pertimbangan, tempat lahirnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, ketenangan dan kebimbangan.


“Hati juga sumber kebahagiaan jika kita mampu membersihkan, namun jika sebaliknya berlaku, ia bakal menjadi sumber bencana jika kita sendiri menodainya.


“Satu petikan hadis membuktikan, dari Abu Hurairah berkata, hati merupakan raja, sedangkan anggota badan merupakan tentera, jadi jika raja itu baik maka tentera juga akan baik, jika raja itu buruk, maka buruklah tenteranya.


“Kita sering tertanya-tanya ada apa dengan cinta? Mengapa manusia terlalu taksub mengenai cinta? Mampukah matlamat sebenar dicapai dengan wujudnya cinta? Semua persoalan ini terlalu kompleks untuk dirungkaikan makna dan penjelasan,” ujar selebriti yang bakal berusia 33 tahun, pada 5 Jun ini.


Dialog anjuran majalah i-Islam ini, turut menampilkan pelakon Irma Hasmie, penyanyi Sham Kamikaze dan Ustaz Syed Norhisyam Al-Idrus.


Pernah kecundang cinta Isteri kepada Ikhwan Johari, 36, dan ibu kepada tiga cahaya mata, Amna Nafeesa Ikhwan, 9, Azra Sareera Ikhwan, 6 dan Imran Arrazi Ikhwan, 4, ini juga turut berkongsi pengalaman cintanya.


“Saya pernah kecundang dalam cinta satu ketika dulu. Bertitik tolak daripada peristiwa itu, saya mula bangkit dan mencari kekuatan sebenar dan cinta sejati yang hakiki,” katanya membuka rahsia.


“Sejak peristiwa itu, saya mula berfikir, apa matlamat saya sebenar ketika bercinta.


“Saya merasakan percintaan yang putus di tengah jalan itu merupakan satu
wake up call. Tuhan sayangkan saya, Dia memberi hidayah dan peluang kepada saya untuk memperbaiki diri,” katanya.

Peristiwa itu membuatkannya banyak berfikir dengan kesilapan masa lalu, membuang masa dengan percintaan sia-sia tanpa objektif dan matlamat.


“Apabila diuji dengan ujian tersebut, saya kembali kepada ALLAH. Ini merupakan sumber utama kekuatan saya. Saya cari kembali semangat diri yang telah hilang,” kata bekas pengacara
Malaysia Hari Ini.

Tidak mahu terus hanyut, pelakon, pengacara dan pendakwah bebas ini, nekad berhijrah menjadi Muslimah sejati. Sejak itu, dia mula memperbaiki diri dengan menjadikan al-Quran sebagai pegangan hidup.


“Bagi saya, jika kita ditimpa musibah, jangan sesekali terfikir musibah merupakan sesuatu yang buruk. Tidak! Sesuatu musibah yang menimpa kita merupakan tanda awal yang perlu diterima dan manusia perlu berfikir hikmah yang diterima akibat musibah yang menimpa diri.


“Saya sering ingat kepada satu pepatah Cina yang mengatakan, 'apabila kita jatuh tujuh kali, kita perlu bangun lapan kali'. Justeru, kita tidak sepatutnya terus-menerus jatuh. Ini juga merupakan sumber motivasi saya dan kita sebagai khalifah di Bumi ALLAH ini perlu belajar dari kesilapan lepas,” jelas Wardina yang memulakan kerjaya seninya seawal 2001 dan popular dengan drama sitkom,
Spanar Jaya, di saluran NTV7.


Pesan Wardina


Atas tanggungjawab sesama manusia, penulis buku kanak-kanak,
Mama, Saya Lapar ini turut menyeru anak muda agar bangkit daripada terus leka dek cinta yang terpesong jauh dari agama.

Jauh di hatinya berasa sedih melihat anak-anak muda yang kini semakin hanyut tanpa cinta hakiki.


Tegas Wardina, minda remaja sering disogokkan dengan lambakan filem-filem dari Barat dan novel-novel cinta yang membuai perasaan mereka, sekali gus mendorong mereka bereksperimen dengan apa yang dilihat dan dibaca.



“Remaja sekalian, bangkitlah!


Lambakan novel yang berunsurkan cinta dan filem dari Barat tidak akan menunjukkan definisi cinta yang sebenar. “Bila minda ini sudah dari awal lagi disogokkan dengan perkara yang negatif, remaja mula lupa diri. Seolah-olah bila bercinta mesti bersentuhan bagi menunjukkan nilai cinta kepada pasangan.


Persepsi ini harus dibuang jauh dari minda kita. “Jika ingin sayangkan seseorang, kita hendaklah sayang akan diri kita terlebih dahulu dan sedia menerima kekurangan diri. Percayalah, jika seseorang lelaki itu ikhlas untuk memperisterikan seseorang wanita, dia tidak akan sesekali menyentuhnya, hatta mengusik jari sekali pun,” tegasnya.


Wardina berkata, cinta tidak akan merosakkan jika kita mampu mengawalnya. Manusia perlu kenal diri sendiri sebelum bertemu dengan cinta sejati. Malah, setiap remaja harus mencari arah sebenar dalam kehidupan.


“Kita perlukan matlamat dalam kehidupan dan jadikan ia sebagai satu cabaran. Saya sangat bersyukur kerana selama ini mendapat sokongan suami, anak-anak dan keluarga tersayang dalam mencapai kejayaan.


“Untuk berjaya di dunia, kita memerlukan ilmu, untuk berjaya di akhirat juga kita memerlukan ilmu, untuk berjaya di dunia dan di akhirat, kita amat memerlukan ilmu,” katanya yang kini bergiat aktif dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

DAH NAMA PUN MALAYSIA ..RASUAH APA NAK HERAN!

FAM
FAM


 
Skandal rasuah kembali
BERBAKI kurang 10 perlawanan dalam saingan Liga 2012, negara sekali lagi digemparkan dengan insiden 'jijik' bola sepak tempatan melibatkan rasuah yang kali ini membabitkan pengadil perlawanan.

Enggan menuding jari mana-mana pihak, ia turut pernah membelenggu pemain negara pada tahun lalu membabitkan pasukan Piala Presiden, Negeri Sembilan dan T-Team yang digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak tempatan antara setahun dan lima tahun kerana terlibat dengan skandal rasuah.


Namun apa yang lebih mengejutkan kini, sebuah pasukan bola sepak negeri di utara Semenanjung berkemungkinan mengalami mimpi ngeri sama apabila dilihat dengan sengaja tewas dalam perlawanan meskipun dibarisi pemain yang pernah beraksi di pentas antarabangsa.


Menurut sumber terdekat yang enggan didedahkan namanya, bagaikan ada 'kuasa' tertentu yang mengawal pemain sehingga menyekat mereka untuk memastikan kemenangan buat pasukan.


"Prestasi mereka begitu mudah terjejas hanya dalam masa dua hari, dan ini tidak pernah berlaku dalam mana-mana pemain setakat ini.


"Malah pemain asyik melakukan kesilapan yang sama meskipun ada antaranya pernah beraksi mewakili negara dalam aksi bola sepak antarabangsa," katanya yang mengakui pasukan masih terumbang-ambing dalam mencari rentak permainan.


Gusar dengan pasukan yang kini berada di zon penyingkiran, beliau bertegas akan melakukan 'bedah siasat' mengenai perkara tersebut bagi memastikan momentum pasukan kembali ke landasan sebenar.

MEMANG PATUT JANGAN DATANG PUN !- GAGAK PEROSAK!


Lady Gaga 


Lady Gaga sedih konsert di Indonesia batal
WASHINGTON - Penyanyi pop terkenal Amerika Syarikat (AS) Lady Gaga, mengeluarkan kenyataan berasa sedih kerana terpaksa membatalkan konsertnya di Indonesia berikutan diancam oleh kumpulan aktivis.


"Kami terpaksa membatalkan konsert di Indonesia," luah penyanyi pop berumur 26 tahun itu menerusi laman mikro blognya Twitter, kelmarin selepas mengetahui pembatalan itu.

Lady Gaga turut memohon maaf kepada peminatnya dan mengakui berasa amat sedih seperti yang dirasai peminat.


Minggu lalu, beberapa pertubuhan aktivis mengadakan bantahan terhadap penganjuran konsert diva pop AS itu kerana menganggap penyanyi pelik itu membawa fahaman kurang sihat kepada generasi muda.

MESIR : PERUBAHAN BAHARU RAKYAT !

 Pilihan raya Presiden: Melakar Mesir baru
SETELAH tumbangnya kerajaan pimpinan Presiden Hosni Mubarak pada revolusi Januari 2011, kini rakyat Mesir berpeluang untuk membuat pilihan secara bebas dalam pilihanraya presiden. Ia merupakan ujian yang besar untuk melihat samada kebangkitan di Dataran Tahrir itu benar-benar membuahkan hasil dengan tamatnya riwayat rejim lama yang autokratik dan membina sebuah negara baru yang lebih demokratik.

Keputusan rasmi pilihan raya yang baru diumumkan menunjukkan calon Freedom and Justice Party (FJP), Dr Mohammed Mursi mendahului dengan meraih 24.4 peratus bersamaan 5,764,952 undi manakala calon Pro-Mubarak, Ahmed Shafiq mendapat 23.3 peratus undi. Ia diikuti dengan tokoh sosialis, Hamdin Sabahi daripada Parti al Karamah yang mendapat 23.3 peratus undi manakala calon bebas yang juga merupakan bekas ahli Ikhwanul Muslimin, Abdul Moneim Aboul Futuh pula memperoleh 17.2 peratus undi. Berikutan daripada tidak ada calon yang memperoleh sokongan melebihi 50 peratus maka pusingan ‘run-off’ perlu diadakan.


Pertembungan sengit dijangka akan berlaku antara Dr. Mursi dan Shafiq. Keputusan ini agak mengecewakan bagi aktivis pro-demokrasi kerana calon pilihan mereka iaitu Sabahi dan Abdul Moneim gagal ke pusingan seterusnya. Ia juga mengejutkan sesetengah pihak bagaimana Shafiq yang pernah menjawat jawatan Perdana Menteri ketika di hujung pemerintahan Mubarak itu boleh mendapat undi yang besar sekali gus layak ke pusingan penentu pada pertengahan Jun nanti?


Pilihan raya presiden yang turut dipantau oleh bekas Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter ini begitu signifikan buat rakyat Mesir kerana ia merupakan titik tolak untuk mereka memilih presiden baru yang akan mengetuai negara setelah 30 tahun diperintah oleh diktator daripada kalangan tentera. Hasil daripada revolusi yang berlaku menunaskan harapan yang menggunung tinggi dalam jiwa sanubari rakyat untuk melihat negara Mesir yang baru.


Namun, jalan itu penuh berliku dan ia tidaklah seindah yang diimpikan bak kata pepatah “ku sangkakan panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari”. Sehingga ke hari ini, Mesir masih ditadbir oleh Supreme Council of the Armed Forces (SCAF), yang diketuai oleh Jeneral Muhammad Hussein Tantawi. Sebagaimana yang diketahui ramai, institusi tentera Mesir merupakan antara saki-baki pewaris Mubarak yang senantiasa berusaha melemahkan kebangkitan rakyat.


Keamanan dan kestabilan masih belum dapat diwujudkan dengan sempurna.


Kadar jenayah terus meningkat, ekonomi negara masih di tahap merudum dan sistem perkhidmatan awam tidak berfungsi dengan baik. Demonstrasi diadakan bersilih ganti dan adakalanya berlaku pertempuran antara rakyat dan juga polis atau tentera. Rakyat terus mendesak Jeneral Tantawi agar segera menyerahkan kuasa kepada kerajaan yang dipilih rakyat. SCAF terus berdalih dan berjanji kuasa hanya akan diserahkan kepada Presiden yang baru pada 1 Julai nanti.


Ironinya, Presiden yang bakal menang kelak masih belum mengetahui kuasa yang akan diberikan mengikut perlembagaan. Hal ini kerana perlembagaan yang baru masih belum disiapkan. Jawatankuasa penggubal perlembagaan yang majoritinya dikuasai oleh blok Islamis itu telah diboikot oleh blok liberalis dan ia telah digantung oleh Mahkamah Agung kerana dikatakan tidak mewakili pelbagai lapisan rakyat.


Timbul kerisauan di kalangan umum sekiranya perlembagaan yang baru kelak akan memberi kuasa yang besar kepada golongan tentera.


Kebimbangan ini ada asasnya apabila baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri kerajaan sementara telah mengusulkan agar tentera mendapat bajet yang khusus yang tidak boleh disemak oleh Parlimen.


Antara dua isu penting yang menjadi bahan kempen pilihanraya presiden ini ialah isu ekonomi dan keamanan. Taraf ekonomi Mesir yang sememangnya telah merudum sebelum berlaku revolusi kini masih belum pulih. Hampir separuh rakyat hidup di bawah paras kemiskinan, kadar pengangguran mencecah 25 peratus dan kejatuhan kadar tukaran matawang asing.


Timbul juga persepsi bahawa Mesir telah menjadi semakin tidak aman dan huru-hara semenjak revolusi. Demonstrasi mingguan itu kadangkala bertukar ganas seperti yang berlaku pada awal bulan ini di hadapan Kementerian Pertahanan. Kerajaan Sementara juga tidak mendedahkan statistik kadar jenayah yang dikatakan terus meningkat termasuklah kes bunuh, rogol dan rompakan.


Walaupun undian umum media Mesir menjangkakan mantan Presiden Liga Arab, Amir Moussa yang akan mendahului dalam pemilihan pusingan pertama ini tetapi keputusan sebenar menunjukkan beliau hanya mampu berada di tempat kelima. Ada yang menganggap Dr. Mursi calon ‘spare part’ dan hanya pengganti kepada calon asal, Khairat Shater namun hasil kerja keras kempen partinya yang bertemakan “Islam is the Solution” telah membuahkan hasil. Sepanjang tempoh kempen Dr. Mursi menjadikan Renaissance Project sebagai agenda utama buat rakyat seandainya dipilih sebagai presiden kelak.


Lain pula kisah Shafiq yang digelar ‘feloul’ kerana pernah terlibat sama dalam rejim Mubarak. Shafiq tampil dalam kempen sebagai calon underdog yang lemah dan cuba meraih simpati ramai. Fokus kempennya pula berkisar pada pentingnya untuk mencegah kuasa golongan Islamis daripada terus melebar dan jaminan untuk mengembalikan kestabilan negara. Sokongan besar yang beliau perolehi ialah undi daripada golongan Kristian koptik yang risau akan kebangkitan Islam, golongan kroni Mubarak yang ingin terus mendapat manfaat, golongan polis dan tentera serta masyarat umum yang sudah keletihan dalam mencari keamanan pascarevolusi.


Antara isu lain yang menjadi tumpuan ialah polisi antarabangsa khususnya melibatkan Israel dan Amerika Syarikat. Israel pasti mengalami mimpi ngeri seandai negara jirannya ini diperintah oleh gerakan Islam yang berpengaruh, Ikhwanul Muslimin. Dr. Mursi berjanji untuk mengkaji semula Perjanjian Kem David 1979 manakala Shafiq awal-awal lagi akan terus mengekalkan perjanjian sedia ada. Kemenangan gerakan Islam juga akan turut memancarkan sinar harapan baru buat rakyat Palestin khususnya di Gaza. Manakan tidak, adalah menjadi kewajipan setiap Muslim untuk membantu saudara seakidahnya dan membebaskan kembali tanah suci Masjidil Aqsa daripada Zionis Yahudi yang kejam itu.


Masa depan politik Mesir masih belum dapat dijangkakan dengan tepat kerana situasi semasa menunjukkan jalan berliku ini tetap perlu dilalui sama ada calon Islamis yang menang mahupun pewaris Mubarak yang menang. Berlakunya polarisasi di kalangan pengundi antara dua kepentingan samada menerima calon Ikhwanul Muslimin yang lebih cenderung untuk melaksanakan syariah atau memilih calon yang pernah bersekongkol dengan Mubarak. Kemenangan Shafiq pasti akan meleburkan kembali semua impian mereka yang menginginkan Mesir yang baru.


Revolusi 2011 yang telah mengorbankan 1,000 nyawa itu tidak sewajarnya berakhir dengan sebegitu rupa. Pengorbanan mereka yang tak ternilai harganya itu tidak sewajarnya dibayar dengan memilih untuk kembali kepada pemerintahan silam. Sesungguhnya cabaran besar sedang menanti Presiden dan kerajaan yang baru untuk menyatukan kesemua rakyat samada Muslim, Kristian, liberalis dan golongan kiri di bawah satu lembayung pemerintahan baru Mesir.


Kini, amanah besar sedang digalas oleh setiap rakyat Mesir untuk melakar masa depan mereka sendiri. Janganlah pula tersilap langkah kerana buruk padah pasti menanti bak kata pepatah “terlepas mulut harimau, masuk mulut buaya”. Sungguhpun golongan liberalis berpendapat pusingan run-off ini adalah the 'worst-case' scenario yang membuatkan mereka terpaksa memilih antara dua persimpangan namun bagi kita semua yakinlah bahawa hanyalah Islam ad-Din yang akan menjadi penyelamat bukan sahaja di dunia mahupun akhirat sepertimana firman Allah S.W.T dalam Surah Ali Imran ayat 85 yang bermaksud:


“Barangsiapa yang mencari agama(ad-Din) selain daripada Islam maka ianya tidak sesekali akan diterima dan di akhirat kelak tergolong dalam golongan yang rugi.”

Khamis, 24 Mei 2012

ADA APA DENGAN BAGAN DATOH ?

Siri 1 :

BUKAN TIDAK MAHU BERSYUKUR TAPI HANYA MAHU RASAI JANJI YANG DITABURI...:)

Demikian perasaan sebahagian penduduk di kawasan yang bernama Bagan Datoh ( dalam daerah Hilir Perak ).Namun bagi mereka ( yang sokong Umno/ BN ) pastinya sangat bangga pencapaian pemimpin yang mewakili mereka ( mungkin kroni ).

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, anak jati Jawa Sg. Nipah Darat hampir 4 penggal menjadi ahli Parlimen Bagan Datoh. Kini menjawat sebagai seorang menteri di Malaysia. Iaitu Menteri Pertahanan ( askar - askar ) dan juga memegang jawatan tertinggi Umno selaku Naib Presiden partinya itu.

Kali pertamanya, tahun 1994 janji telah ditabur olehnya ketika menjadi calon Umno/ BN dalam Pilihan Raya Umum dalam sejarah hidupnya kali pertama. Pelbagai janji dam manifestonya untuk menarik sokongan rakyat di Bagan Datoh.

Kini, hampir 20 tahun menjadi wakil rakyat ( ahli Parlimen Bagan Datoh ) hanya sedikit daripada janjinya TERTUNAI..MUNGKIN KITA PERLU TUNGGU DAN BERINYA LAGI PELUANG ? ATAU BERI CALON UMNO / BN YANG LAIN ?

Rakyat Bagan Datoh amat- amat bersyukur dengan RAHMAT DAN ANUGERAH ALLAH SWT..

 Keadaan jalan di Bagan Datoh di tahap kurang baik.

 Sistem peparitan yang kurang baik menyebabkan keadaan buruk berlaku bila tibanya musim hujan.

 Bangunan Jabatan Wilayah Utara terletak di pesisir sungai Perak. Apa fungsi sebenarnya ?

 Bilangan penduduk miskin masih tinggi di sekitar Bagan Datoh.

Antara kebanggaan Datuk Zahid membangunkan Homestay ketika menjadi Timbalan Menteri Pelancongan.

Janji yang perlu di tunggu rakyat BAGAN DATOH.

Adakah juga ianya satu lagi projek yang perlu di pecah tanahkan kemudiaan tunggu hingga berjanggut dan bercucu ?


 


GLOBAL : PALESTIN MASIH DIPENJARA !


Suara dari Palestin: Kami masih terpenjara
 Suara dari Palestin: Kami masih terpenjara
Seramai 1,027 pejuang Palestin dibebaskan secara dua peringkat menerusi
perjanjian pertukaran tahanan pada tahun lalu.
GENTING GAZA - “Kami masih terpenjara di Gaza”. Itu suara hati Nihad Abu Kishk, 34, lelaki Palestin yang sebelum ini dihukum penjara seumur hidup oleh rejim Zionis sebelum dia dibebaskan, tahun lalu.


Menurutnya, seramai 163 daripada 1,027 pejuang Palestin yang dibebaskan menerusi perjanjian pertukaran tahanan bersama askar rejim Zionis, Gilad Shalit pada tahun lalu telah diusir oleh Israel dari tempat tinggal asal mereka di Tebing Barat dan dihantar ke Gaza.

“Kebanyakan daripada kami berhadapan dengan masalah kewangan dan kesukaran untuk meneruskan hidup di Gaza kerana ia seperti hidup dalam buangan gara-gara sekatan haram Israel,” jelasnya.

Namun, ada juga bekas tahanan yang berjaya membina semula kehidupan mereka dengan menyambung semula pengajian di Gaza dan mendapat pekerjaan seperti pemandu teksi untuk menyara hidup.

“Kehidupan di sini tidak banyak berbeza dengan Tebing Barat tetapi kami tetap merindui keluarga kami di sana,” kata Ibarahim Elian, yang telah meringkuk di penjara Israel selama 25 tahun.

SIAPA ANTARA MEREKA BERDUA ?



Debar Sinar: Siapa PM, siapa Ketua Pembangkang?
Debat Sinar: Umno tetap mahu PTPTN kekal, Pakatan kata tidak
Debat Sinar berkenaan isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
(PTPTN) antara Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Pengarah Strategi
PKR, Rafizi Ramli.
SHAH ALAM - Antara Khairy Jamaluddin dan Rafizi Ramli, siapa yang bakal jadi Perdana Menteri dan siapa pula yang akan jadi Ketua Pembangkang?

Soalan berbaur usikan itu disuarakan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik yang juga moderator Debat Sinar yang mempertemukan dua tokoh politik muda itu di atas pentas Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini, kelmarin.

Menurut Maszlee, keberanian dan kesanggupan Khairy dan Rafizi untuk bersemuka dan berdebat menunjukkan negara tidak ketandusan ahli politik muda yang berkualiti untuk membawa hala tuju politik yang baru, lebih matang dan bertamadun pada masa depan.

“Saya melihat dua tokoh muda ini berpotensi untuk jadi Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang pada masa depan, tapi siapa Perdana Menteri dan siapa pula yang Ketua Pembangkang, itu kita tak tahu,” katanya yang mengundang ketawa para hadirin.

Ketika membuka debat itu, Maszlee turut menempelak tanggapan sesetengah pihak bahawa debat adalah budaya politik cara Barat yang tidak sesuai dengan senario tempatan.

“Ini penghinaan kepada daya intelektualiti rakyat Malaysia sedangkan di negara lain, Amerika Syarikat, United Kingdom malah Indonesia, ada debat antara calon Presiden setiap kali menjelang pilihan raya.

“Ini beri ruang kepada rakyat untuk mendapat maklumat yang cukup, membuat penilaian dan pilihan yang tepat mengenai siapa pemimpin yang patut mereka pilih,” katanya.

Menurutnya, debat adalah penghargaan kepada akal fikiran dan cara rakyat berfikir dalam usaha mewujudkan politik matang dan bertamadun.

“Debat hanya untuk pertahankan idea dan memastikan idea yang dilontarkan itu dicabar.

Bukan ‘satu suara’ seperti dalam ceramah. Ini adalah medium untuk didik rakyat di peringkat permulaan dan diharapkan ia akan jadi politik baru selepas ini,” katanya.

Sementara itu, pada sidang media selepas itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, Sinar Harian sentiasa terbuka menjadi platform kepada mana-mana ahli politik untuk berdebat bagi menyuarakan pandangan masing-masing.

“Sinar Harian setiap hari keluarkan berita semua pihak. Berpegang kepada slogan ‘telus dan tulus’, kami sedia anjurkan debat antara Najib dan Anwar. Apa yang penting adalah ‘gentlemen’,” katanya.

SUKAN : GAGAL LAGI MALAYSIA !



Piala Thomas: Malaysia gagal ke separuh akhir
Piala Thomas
SHAH ALAM  - Pasukan badminton negara gagal layak ke separuh akhir Piala Thomas selepas tunduk di tangan China 3-0. Pada pusingan suku akhir pada jam 7 malam tadi di Gimnasium Pusat Sukan Wuhan, Malaysia tewas pada tiga perlawanan berturut-turut.


Pada perlawanan perseorangan pertama menyaksikan Daren Liew melakukan kejutan terhadap Lin Dan apabila menang set pertama 17-21.

Selepas itu, Lin Dan kembali bangkit menewaskan Daren di set kedua 21-9 dan menang di set penentuan dengan catatan 21-5.

Pasangan beregu negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong tewas kedua-dua set kepada Cai Yun dan Fu Haifeng dengan kiraan 21-17 dan 21-18 sekalipun mereka memberi saingan sengit kepada beregu China itu di set kedua.

Pada perlawanan terakhir, perseorangan kedua negara, Muhammad Hafiz Hashim dilihat dapat menyalakan impian negara tetapi musnah apabila tunduk kepada Chen Long. Chen Long menang kedua-dua set dengan catatan 21-10 dan 21-11.

Baki dua perlawanan seterusnya tidak dapat memberi apa-apa makna kepada keputusan Malaysia. Perlawanan beregu kedua membabitkan Lim Khim Wah dan Goh V Shem menentang Shen Ye dan Hong Wei dari China.

Perlawanan perseorangan terakhir, Chong Wei Feng menentang Chen Jin. Kelmarin, Chong Wei terpaksa menarik diri dari meneruskan persaingan ketika menentang Denmark, Peter Hoeg Gade dalam pusingan Kumpulan C.

Chong Wei mungkin akan dihantar ke luar negara untuk menjalani rawatan sekiranya tiada alternatif lain.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, ia merupakan jalan terbaik buat pemain harapan negara itu menghadapi Olimpik London untuk merawat kecederaan di bahagian buku lali kanan.

Kali terakhir skuad negara memenangi Piala Thomas ialah pada 1992 di Stadium Negara selepas menumpaskan Indonesia 3-2 pada perlawanan akhir.

Selasa, 22 Mei 2012

GLOBAL : MESIR MOGOK LAPAR !



Mogok lapar merebak ke Mesir
Ratusan aktivis menyertai mogok lapar 24 jam sebagai sokongan terhadap 300 tahanan di negara itu.
Ratusan aktivis menyertai mogok lapar 24 jam sebagai sokongan terhadap 300 tahanan di negara itu, kelmarin.
KAHERAH - Mogok lapar untuk menuntut hak dan keadilan yang diperjuangkan oleh tahanan Palestin kini telah merebak ke Mesir.

Seramai 141 individu di negara itu ditahan sejak dua minggu lalu, telah nekad mogok lapar kelmarin sebagai protes terhadap penahanan mereka dan kemungkinan untuk menghadapi dakwaan daripada pemerintah tentera.

Aktivis, Salma Abdel-Gelil berkata, kesemua tahanan itu akan meneruskan mogok lapar sehingga tuntutan mereka dipenuhi.

“Mereka mahu dibebaskan dan tidak mahu dibicarakan di tribunal tentera. Lebih ramai tahanan akan menyertai mogok lapar selepas pusingan pertama pilihan raya presiden pada minggu ini,” menurutnya.

Mogok lapar tersebut turut disertai ratusan aktivis lain di luar penjara bersama salah seorang calon presiden, Khaled Ali yang juga menentang perbicaraan terhadap 300 tahanan itu.

Kumpulan aktivis tersebut turut menyatakan kebimbangan bahawa pemerintah tentera akan terus menggunakan tribunal tentera untuk membicarakan orang awam kerana ia didakwa menyekat perbezaan pendapat dan melanggar undang-undang antarabangsa.

MUKTAMAR : GANTI IJTIMAK PILIHAN RAYA



Pas anjur Ijtimak Pilihan Raya ganti muktamar
SHAH ALAM - Pas yang memutuskan untuk  menangguhkan muktamar tahunan akan mengadakan Ijtimak Pilihan Raya dan Munajat Perdana di Stadium Darul Aman, Alor Star, 1 Jun ini.


Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ijtimak bermula dengan satu taklimat tertutup kepimpinan tertinggi parti seluruh negara dan wakil rakyat-wakil rakyat bersama Presiden bermula jam 10 pagi di Kompleks PAS negeri.

Katanya, Munajat Perdana akan dipimpin sendiri oleh Murshidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat manakala amanat presiden akan menjadi acara kemuncak ijtimak dan berakhir dengan pembacaan ikrar oleh seluruh ahli Pas sebagai ba'iah dan janji setia bagi menggarap usaha bagi mencapai kemenangan.

"Ijtimak kali ini juga akan disertai oleh  beberapa tokoh besar yang menyatakan kesediaan untuk turut sama bergabung dalam Pas.

"Mereka akan diisytihar secara rasmi bagi menyatakan ikrar dan sokongan mereka kepada parti," katanya lagi.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, seluruh kepimpinan parti perlu membuat persiapan awal bagi memastikan matlamat himpunan lebih 100,000 ini mencapai kejayaan.

"Setiap ahli perlu mengambil inisiatif sendiri untuk hadir dalam himpunan perdana ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahad, 20 Mei 2012

GLOBAL : SOKONGAN AMAT PADU !



Kempen sokong tahanan Palestin
Kempen sokong tahanan Palestin
Antara halaman ‘Perpaduan Antara Tahanan Palestin’ yang berperanan untuk menyokong perjuangan orang Islam di penjara Israel.
Tindakan nekad kira-kira 1,600 tahanan Palestin mogok lapar secara besar-besaran pada 17 April lalu sebagai protes terhadap ketidakadilan rejim Zionis berjaya mendapat perhatian ‘netizen’(komuniti pengguna dalam talian) yang prihatin dengan nasib mereka.

Ini kerana, ratusan ribu pengguna laman sosial, Facebook dan laman blog mikro, Twitter di seluruh dunia telah menukar gambar profil mereka sejak awal minggu ini sempena dengan Hari Tindakan Antarabangsa untuk Tahanan Palestin anjuran Kesatuan Perdagangan Bebas dan Persekutuan Am di Genting Gaza.

Ia bertujuan untuk menggesa media dalam talian bagi menyokong tahanan Palestin menerusi kempen elektronik, ‘Perpaduan antara Tahanan Palestin’.

Gambar berlatarbelakangkan warna coklat memaparkan tahanan lelaki dan wanita Palestin dengan mata tertutup itu didakwa sebagai simbol kepada ribuan orang Islam yang teraniaya di penjara Israel.

Pelbagai halaman yang menyokong perjuangan tahanan Palestin turut diwujudkan dan mendapat reaksi positif pengguna.

Kempen dalam talian tersebut dimaklumkan akan diteruskan sehingga semua tahanan Palestin menamatkan mogok lapar.

Dalam perkembangan terbaru, dua tahanan Palestin dilaporkan masih tetap meneruskan mogok lapar walaupun Israel telah menandatangani perjanjian untuk memenuhi beberapa tuntutan hak asas termasuk menghentikan hukuman kurungan seorang diri (solitary confinement) yang diperjuangkan oleh mereka sebelum ini.

TERIMA PR KALAU NAK KERJASAMA PAS : TG. NIK AZIZ



Nik Aziz: Terima PR jika mahu kerjasama Pas
Nik Aziz: Terima PR jika mahu kerjasama Pas
Nik Aziz (kanan) ketika sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pas Kawasan Kuala Terengganu di Markas Tarbiyah Pas di Kuala Ibai
KUALA TERENGGANU – Umno perlu bersedia untuk menerima parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat (PR)  - PKR dan DAP sekiranya masih memasang niat untuk menjalin kerjasama politik dengan Pas.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Umno wajar menerima ketiga-tiga parti dalam PR memandangkan Pas bukan lagi berseorangan ketika ini dan keputusan perlu dibuat bersama PR.

Bercakap kepada media di sini, beliau bagaimanapun tetap dengan pendiriannya supaya Umno menukar dasar parti itu terlebih dahulu sebelum mengadakan sebarang usaha ke arah penggabungan antara dua parti.

“Saya sebut lama dah. Kalau Umno nak bersatu, parti itu perlu menukar dasar kebangsaan kepada Islam. Ia bukan keputusan seorang tetapi kena buat secara rasmi (bersama PR). Umno (perlu) tukar dasar daripada kebangsaan kepada Islam secara rasmi.

“Kedua, Umno kena terima Pas sekali dengan pakatan kerana kami sudah ada Pakatan dan Pakatan tidak buat khianat kepada kami. Maka lepas kami (Pas) bersatu dengan Umno dan selepas Umno ubah dasar dia, barulah boleh bersama dengan pakatan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita ketika sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pas Kawasan Kuala Terengganu di Markaz Tarbiyah Pas Kuala Ibai di sini, hari ini.

Turut hadir Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Terengganu, timbalannya, Datuk Tengku Hasan Tengku Omar dan pimpinan Pas peringkat kawasan.

Terdahulu, Nik Aziz turut mengulangi kenyataan yang pernah dibuat beberapa kali sebelum ini bahawa mengundi Barisan Nasional (BN) tidak akan masuk syurga.

Jelasnya, BN bukan parti yang berteraskan Islam, sebaliknya membawa unsur nasionalisme yang tidak diajar oleh Nabi Muhammad.

“Undi BN tidak undi Islamlah. Dasar BN dasar kebangsaan. Kebangsaan tidak boleh bawa manusia ke syurga kerana kebangsaan ini bukan ajaran Nabi Muhammad saw,” katanya.

Sementara itu ditanya mengenai muzakarah, Nik Aziz memberi respon positif terhadap perkara itu dan menjelaskan ia lebih baik dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Nik Aziz sebelum ini pernah melahirkan syukur terhadap respons yang baik daripada Umno khususnya Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan persetujuan mengadakan pertemuan bersama Pas.

SEBELUM PRU SYARATNYA : TG. NIK AZIZ


Muzakarah: Nik Aziz letak syarat, sebelum PRU

Nik Aziz Nik Mat
KUALA TERENGGANU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan muzakarah bersama Umno diadakan sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

   
Bagaimanapun, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menegaskan Umno perlu mematuhi beberapa perkara yang akan ditentukan oleh Pas sekiranya ingin bersatu dan mencapai kesefahaman.

"Kalau Umno nak bersatu (dengan Pas), tukar dasar kebangsaan dia, bubuh (letak) Islam. Bukan buat keputusan secara berseorangan, tetapi perlu buat secara rasmi bahawa Umno tukar dasar kebangsaan kepada Islam.
   
"Umno kena terima Pas sekali dengan pakatan (pembangkang). Bila Umno dah ubah dasarnya, mereka kena bersama dengan pakatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung ke-37 Pas Kawasan Kuala Terengganu di Markaz Tarbiyyah Pas di Kuala Ibai, dekat sini hari ini.
   
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkara disebalik kesudian Pas untuk mengadakan muzakarah dengan Umno sebagai suatu permulaan kepada kerjasama parti demi penyatuan orang Melayu khususnya umat Islam.

Katanya, muzakarah diminta oleh agama Islam dan sepatutnya adalah untuk kebaikan semua pihak dengan niat yang benar-benar ikhlas.
   
Rabu lalu, Nik Aziz menyatakan persetujuannya agar Pas membuka pintu untuk bermuzakarah dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Umno.
   
Kenyataannya itu mendapat reaksi positif Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Umno bersedia untuk bermuzakarah dengan Pas asalkan tujuannya untuk kepentingan ummah, masyarakat Islam dan negara. - Bernama

SUKAN : TAHNIAH KELANTAN!


Kelantan juara Piala FA

Final Piala FA 2012
KELANTAN muncul juara baru Piala FA dengan menumpaskan KL Sime Darby 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebentar tadi.
Pasukan itu yang gagal dalam dua percubaan sebelum ini muncul juara untuk menjulang piala baru persaingan FA malam ini.
KL Sime Darby ketinggalan 0-1 apabila Kelantan menjaringkan gol pertama pada minit ke-57 menerusi tentangan penalti - dijaringkan oleh Mohammed Ghaddar.
Kedua-dua pasukan mencari kejuaraan sulung. Ini kali pertama kedua-dua pasukan bertemu di final.
Dan, ini kali pertama Sime Darby muncul di final.
Kemenangan ini sekali gus menghancurkan impian pasukan KL Sime Darby untuk mencipta kejutan selaku pasukan berstatus kelab menjuarai Piala FA buat kali pertama dalam kancah bola sepak negara.


Kejayaan ini turut memberi tuah kepada Kelantan apabila berjaya membawa pulang trofi baru yang berharga RM80,000 sekali gus melengkapkan koleksi trofi kejohanan domestik.



Pada perlawanan malam ini, kedua-dua pasukan dilihat seimbang dan agresif pada babak awal perlawanan di mana masing-masing mengasak ke kubu untuk mencipta gol.



Percubaan awal oleh pemain KL Sime Darby, Azmirul Azmi pada minit kesembilan bagaimanapun gagal apabila berjaya ditangkap kemas penjaga gawang Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.



Sejurus selepas itu, sorakan stadium mula bergema apabila giliran Kelantan menguji penjaga gol KL Sime Darby, Mohd Redzuan Harun menerusi rembatan yang sama dari Indra Putra Mahyuddin pada minit ke-13.

Kemudian, sepakan percuma Indra Putra ditangkap kemas penjaga gawang Sime Darby pada minit ke-20.


Pada minit ke-28, pemain sayap Kelantan, S.Chanturu dijatuhkan selepas membuat larian solo melepasi pemain Sime Darby di sudut kanan pintu gol.



Pemain pertahanan skuad Kijang yang mengalami kecederaan terpaksa dikeluarkan dan Rizal Fahmi Abdul Rosid dibawa masuk pada minit ke-32.



Kelantan memperoleh sepakan sudut yang pertama menerusi Zairul Fitree Ishak namun tandukan Mohd Badhri Radzi hampir berjaya menewaskan penjaga gol Sime Darby.



Tandukan penyerang import Kijang, Muhamad Ghaddar tersasar pada minit ke-41.



Pada babak kedua, Kelantan yang jelas sukar digugat oleh KL Sime Darby mendominasi babak kedua permainan dan keputusan tersebut kekal sehingga tiupan wisel terakhir.

Barisan Pemain:

Kelantan: Khairul Fahmi Che Mat, Zairul Fitree Ishak, S.Subramaniam (Mohd Rizal Fahmi Abdul Rosid), Obinna Nwaneri, Mohd Daudsu Jamaluddin (Mohd Farisham Ismail), Mohd Shakir Shaari, Mohd Badhri Mohd Radzi (kapten), S. Chanturu (Mohd

Nurul Azwan Roya), Indra Putra Mahayuddin, Norshahrul Idlan Talaha, Mohammed Ghaddar Mahmoud.  
    

Sime Darby: Mohd Redzuan Harun, Es Lizuan Zahid Amir (kapten), Mohd Arif Ismail, Mohd Shazlan Alias, Mohd Fairuz Abdul Aziz, Azmirul Azmi (Mohammad Syukur Saidin), Mohd Nor Ismail, Mohd Shoufiq Khusaini, Leandro Teofilo Santos Pinto (Razali Umar Kandasamy), Mohd Faiz Mohd Isa, Patrick Ronaldinho Wleh (Mohd Asrol Ibrahim).

    

Pengadil: Suhaizi Shukri
   

jambori amal kuala kangsar 2008