pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Khamis, 31 Ogos 2017

PENYELARAS DUN HUTAN MELINTANG SANTUNI WARGA EMAS DAN UZUR DI PARIT 9

ZIARAH DAN CAKNA RAKYAT : PAS PASTIKAN AGENDA KEPRIHATINAN RAKYAT TERBELA

PAS Terus Santuni Warga Emas dan Uzur, Kali ini di Parit 9 Sg. Sumun.

Penyelaras DUN Hutan Melintang, Tn. Hj. Ata Muniem Hasan Adli dan isteri beberapa orang AJK PAS Kawasan Bagan Datoh telah menziarahi beberapa orang warga emas dan uzur di Kg. Parit 9, Sg. Sumun.
Dikesempatan ziarah itu, PAS Kawasan turut menyampaikan sedikit sumbangan sebagai tanda keprihatinan. Tn. Hj. Ata Muniem yang juga merupakan ketua Penerangan PAS Kawasan mengharapkan dan mendoakan setiap yang diziarahi diberikan kesihatan dan kemudahan dalam melakukan amal ibadah dan meneruskan kehidupan sebagaimana orang lain.
Terima kasih buat Tn. Hj. Suhib Othman selaku wakil cawangan yang membantu program ziarah kali ini.


PERUTUSAN HARI ULANG TAHUN KEMERDEKAAN KALI KE -60 OLEH TUAN PRESIDEN PAS


PERUTUSAN HARI ULANG TAHUN KEMERDEKAAN KALI KE-60



Bersempena dengan kita memperingati Hari Kemerdekaan tanah air, marilah kita mengenang jasa para pahlawan kemerdekaan kita khususnya daripada kumpulan Islam daripada PAS bersama dengan pendukung Islam yang lain termasuk yang ada dalam kerajaan pada masa itu.

Pertama, mereka telah berjaya meletakkan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan sehinggaSuruhanjaya Reid terpaksa meletakkan Islam adalah Agama Persekutuan. Ini satu kejayaan yang sangat penting yang perlu kita dipertahankan. 

Kita perlu juga memelihara konsep Raja Berperlembagaan yang menjadi ketua kepada agama Islam, kedudukan Melayu Islam yang diberi hak istimewa dan menerima masyarakat majmuk pelbagai kaum. Hal-hal ini mesti dipelihara dan menjadi tanggungjawab kita untuk memelihara kemerdekaan ini, apabila penjajah meninggalkan belenggu-belenggu di dalam Perlembagaaan. 

Antaranya adalah Jadual ke-9 yang disebut Akta 355 untuk membelenggukan kuasa Islam, merendahkan Mahkamah Syariah supaya Mahkamah Syariah dijajah dan tidak ada kuasa. Percubaan kita melalui Parlimen mendapat respon yang sangat positif daripada ahli-ahli Parlimen Islam, hanya segelintir sahaja yang menganggap enteng dalam perkara ini dan mendapat tentangan daripada orang bukan Islam. Ini adalah usaha untuk memerdekakan Perlembagaan Malaysia sebagai langkah awal yang perlu kita laksanakan dan menguji sejauh mana kesetiaan rakyat negara ini terhadap Perlembagaan yang mesti kita pertahankan.

Yang kedua, Raja yang berkonsepkan kepada Perlembagaan. Apa yang berlaku adalah pemimpin UMNO pada hari ini merampas dan membatalkan kuasa raja-raja. Tanggungjawab kita bukan membatalkan kuasa, tetapi memperhebatkan dan memperbetulkan kuasa itu mengikut landasan Islam dan dilakukan islah. Kalau sekadar mengambil kuasa raja-raja untuk mengambil alih kuasa, itu bukan cara untuk memerdekakan negara. 

Kemerdekaan negara adalah dengan memperkasakan Institusi Raja-raja dengan Islam. Ini merupakan satu aspek yang sangat penting. Raja-raja dengan kedudukan dan kehebatannya mesti bersama dengan Islam. Ini yang perlu kita wujudkan, bukan meminda Perlembagaan untuk mengambil alih kuasa.

Yang ketiga, orang Melayu sebagai teras kepada politik negara kerana disebut oleh ulama dalam feqah politik Islam dan saya tulis dalam Harakah bahawa Islam mesti memimpin. Kaum yang dominan beragama Islam adalah diutamakan untuk memimpin negara. Ini mesti dipertahankan supaya kemerdekaan itu dapat dilaksanakan dengan cara yang betul. 

Yang keempat, kaum yang lain yang bukan Islam jangan merasa bimbang dengan meletakkan Melayu Islam sebagai teras politik negara kerana Islam dapat mengawal perasaan kebangsaan. Islam dapat membetulkan keadaan ini dan Islam yang berkonsepkan adil untuk semua boleh memelihara keharmonian kaum dan masyarakat majmuk dengan cara yang sebaik-baiknya. Kita bimbang sekiranya asas-asas Perlembagaan ini dibubarkan, akan berlaku perkara-perkara yang negatif yang mengundang kembali zaman penjajahan. 

Kita telah menghadapi penjajahan bentuk baru pada zaman ini melalui campur tangan asing di banyak negara. Penjajah asing datang kembali, bukan sahaja untuk menguasai ekonomi termasuk menguasai politik. 

Dengan sebab itu, kita mesti teguhkan kemerdekaan ini dengan asas yang sudah ada dalam Perlembagaan itu berasaskan kepada Islam sebagai penyelamat kepada semua. 

Akhir sekali, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan kali ke-60 kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan bangsa. Mudah-mudahan Allah S.W.T. memberkati kita semua. 

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Rabu, 30 Ogos 2017

PRESIDEN PAS : PENINDASAN KAUM ROHINGYA - DUNIA JANGAN MEMBISU !

Kenyataan Media Presiden PAS

PENINDASAN KAUM ROHINGYA: DUNIA JANGAN MEMBISU



Misi penghapusan etnik Rohingya masih berterusan tanpa penyelesaian, bahkan kerakusan tentera regim Myanmar dan pelampau Buddha Rakhine semakin mengganas tanpa perikemanusiaan. 

Terbarunya serangan di perkampungan Maungdaw Buthidaung dan Rathidung di Myanmar telah membunuh lebih kurang 500 orang tanpa mengira lelaki, perempuan, orang tua mahupun kanak-kanak, rumah-rumah dibakar dan jumlah ini semakin meningkat. Kini mereka menderita tanpa tempat tinggal dan mereka tidak mempunyai tempat untuk pergi. Mereka terpaksa menjadi pelarian dalam negara sendiri. Nyawa mereka diancam setiap masa dengan tujuan mereka dihapuskan dari peta Myanmar. 

Masyarakat dunia perlu sedar dan bangkit bahawa isu penindasan rakyat Rohingya adalah isu kemanusiaan, dibelakangnya tersingkap beberapa isu yang melatari jalan cerita; isu hak asasi manusia, diskriminasi kelompok majoriti terhadap kelompok minoriti, penghapusan etnik masyarakat Islam, kisah kegagalan organisasi-organisasi antarabangsa dan serantau dalam menyelesaikannya, kisah keganasan pihak tentera dan sifat tidak bertamadun masyarakat moden dalam melakukan penindasan sesama manusia. Perhatian bangsa dunia amat diperlukan.

Negara-negara yang menandatangi Piagam Hak Asasi Manusia, Piagam Geneva, negara-negara ASEAN, PBB, negara-negara Islam OIC, negara Islam Serantau dan semua pejuang hak asasi manusia perlu berganding bahu memberi amaran kepada kerajaan Myanmar yang melanggar hak asasi manusia dan menafikan hak kerakyatan masyarakat Rohingya. 

Kerajaan Malaysia wajib bekerjasama dan bertindak lebih proaktif dengan negara-negara lain, parti-parti politik, NGO-NGO dan agensi antarabangsa bukan sahaja menghantar misi kemanusiaan, bahkan semestinya memberi tekanan politik kepada kerajaan Myanmar agar menghormati hak kemanusiaan. Kuasa politik amat penting untuk menghentikan penindasan ini. 

Islam lebih mendahului dalam menjaga hak orang Islam dan bukan Islam serta pelarian negara asing yang hidup bermasyarakat majmuk dalam negara Islam. Pembinaan Masyarakat Madani yang saling memerlukan di antara satu bangsa dengan bangsa lain, satu kaum dengan kaum lain menjadi asas keharmoniaan di bawah pemerintahan Islam dengan mendahulukan perdamaian dan mengambil langkah diplomatik dan diplomasi, sehingga kedatangan Islam ke negara lain dikira penyelamat bukannya penjajah.

PAS akan menghantar misi kemanusiaan melalui PASRelief dan NGO-NGO dan berunding dengan pihak kerajaan dan agensi antarabangsa untuk menghentikan kezaliman yang tidak bertamadun ini dengan kembali ke meja rundingan. 

Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa, marilah kita bersatu dan berganding bahu atas dasar kemanusiaan. Marilah kita mendesak kerajaan Myanmar agar menerima kerakyatan masyarakat Rohingya dan menyelesaikan konflik ini secara aman dan damai. 

Sabda Rasulullah SAW: 

مَن لَمْ يهتَمَّ بأمرِ المُسلِمينَ فليس منهم 

“Barangsiapa yang tidak peduli dengan urusan kaum muslimin maka dia bukan sebahagian dari mereka”

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 8 Zulhijjah 1438H / 30 Ogos 2017 

------------------------------------------

[English version]

Press Release PAS President

THE OPPRESSION OF THE ROHINGYA: THE WORLD SHOULD NOT SILENT

The mission of the Rohingya ethnic cleansing is still going on without solutions, even the gluttony military regime of Myanmar and the Rakhine Buddhist extremists terrorize without humanity.

The latest attack in the village of Buthidaung and Maungdaw Rathidung in Myanmar has killed more than 500 people; men, women, old people and children, the houses burned and the number is growing. They now suffer from homelessness and they have no place to go. They were forced to become refugees in their own country. Their lives are threatened every time with the goal to wipe off them from map of Myanmar.

The world must realize that the issue of Rohingya’s oppression is a humanitarian issue, where it exposed several issues that underlie the story; the issue of human rights, discrimination against minority groups of the majority, the ethnic cleansing of the Muslim community, the failure of international organizations and regional solve it, the military violence and barbaric nature of modern society in oppressing people. The attentions from the world are needed.

Countries that signed the Charter of Human Rights, the Charter of Geneva, the countries of ASEAN, the United Nations, the Islamic countries of the OIC, the Islamic State Councils and all human rights defenders must work together to warn the government of Myanmar whose violate the human rights and deny the citizenship of the Rohingya community.

The Malaysian government is have to cooperate and proactively act with other countries, the political parties, NGOs and the international agencies, which not only to send a humanitarian mission, but also to give political pressure on the government of Myanmar in respect of humanitarian rights. Political power plays an important role to stop this persecution.

Islam is more precedent in safeguarding the rights of Muslims and non-Muslims as well as the foreign refugees which living in the Islamic country with multiracial populations. Cultivating a civil society requires mutual understanding and respect between nations and races are the basis of harmony under the rule of Islam, by giving precedence to peace and take diplomatic and diplomacy, so that the arrival of Islam to other countries is considered savior instead of colonialist.

PAS will send a humanitarian mission through PASRelief and NGOs and negotiate with governments and international agencies to put an end to this barbaric cruelty to return to the negotiating table.

I urge all Malaysians and the international community, let us unite and work together on humanitarian grounds. Let us constrain the government of Myanmar to accept the rights of Rohingya community and resolve this conflict peacefully.

Prophet Muhammad SAW said:

مَن لَمْ يهتَمَّ بأمرِ المُسلِمينَ فليس منهم 

"Whoever does not care about the affairs of the Muslims then he is not part of them"

"Harmony with Islam"

ABDUL HADI AWANG
PAS President 

Date: 8th Zulhijjah 1438H / 30th August 2017

Selasa, 29 Ogos 2017

ISU MEMALI : KEBENARAN PASTI TERSULUH, KEBATILAN AKAN HILANG.


RCI ISU MEMALI : KEBENARAN PASTI TERSULUH, KEBATILAN AKAN HILANG
(26 Ogos 2017)



1. Isu Peristiwa Memali kembali menjadi polemik yang menghangatkan iklim politik negara sejak akhir-akhir ini. Tragedi yang berlaku lebih 30 tahun dahulu telah menjadi memori hitam dalam negara ini, menjadi episod luka buat umat Islam di negara ini. Tragedi menggemparkan itu telah mengorbankan As Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan 13 orang pengikut beliau.

2. Bagi PAS, tragedi hitam itu menjadi titik penting bahawa perjuangan PAS bertunjangkan Islam tidak pernah sunyi dari dugaan dan cabaran getir sepanjang sejarah perjuangannya. As Syahid Ustaz Ibrahim Libya telah membayar harga perjuangan ini dengan kesyahidan beliau. Beliau menjadi mangsa kerakusan manusia yang tamak dan gila dalam mempertahankan kuasa. 

3. Ketika isu Memali diangkat semula ke tengah masyarakat, sesetengah pihak menganggap ia isu politik yang sengaja dibesar-besarkan menjelang musim Pilihanraya Umum ke 14. Cadangan PAS untuk mewujudkan Suruhanjaya Di Raja (RCI) bagi menyiasat tragedi Memali dianggap sebagai mempolitikkan keadaan. Ramai menganggap PAS mahu melunas dendam lama yang terpendam. Ada pula yang menganggap ia memberi kredit kepada UMNO-BN. Pihak pembangkang menganggap isu ini sekadar untuk menjatuhkan kredibiliti Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Pakatan Harapan.

4. PAS sejak dahulu tetap istiqomah dalam isu Memali. Sejak awal kejadian itu, PAS tidak pernah menarik balik perjuangan mendapatkan keadilan untuk mangsa tragedi ini. Cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Di Raja bagi menyiasat isu Memali bukan hari ini dilontarkan, tetapi telah dicadangkan oleh Presiden PAS ketika itu, Tuan Haji Yusuf Rawa pada 22 November 1985. PAS Pusat juga telah membuat keputusan rasmi dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 8 Disember 1985. 

5. Kesyahidan Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya seramai 13 orang diakui oleh kesemua pemimpin tertinggi PAS termasuk Tuan Guru Haji Yusuf Rawa, Datuk Fadzil Mohd Nor, dan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Bahkan para pemimpin PAN (Parti Amanah Negara) juga dahulunya lantang memperjuangkan isu Memali. Mengapa pula apabila PAS membangkitkan perkara ini sekarang, mereka pula menganggap PAS yang mempolemikkan keadaan? Siapa yang tidak konsisten dalam kenyataan, prinsip dan tindakan? Apakah para pemimpin PAN sudah berubah sikap dan tidak mengakui kesyahidan Ustaz Ibrahim Libya pula? 

6. Isu Memali adalah tragedi kemanusiaan yang melibatkan darah dan nyawa. Lebih 30 tahun mangsa termasuk keluarga mereka memendam rasa dan menanggung penderitaan berat. Mereka juga telah dinafikan keadilan serta hak sewajarnya. Lebih malang lagi, sejak kejadian itu, mereka dituduh dengan pelbagai tuduhan liar dan dianggap sebagai penderhaka. 

7. Penubuhan RCI menjawab persoalan mengapa isu ini terjadi, bagaimana ia berlaku dan siapa yang mengarahkan pembunuhan ini. Ketika ramai anggota polis yang terlibat menyatakan kekesalan serta dipaksa untuk bertindak, ia menimbulkan persoalan lebih besar, siapa yang mengarahkan mereka dan mengapa mereka sampai dibunuh.

8. Menuduh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dengan ‘Amanat Haji Hadi’ sebagai punca tercetusnya isu Memali adalah suatu usaha jahat pihak tertentu. Mereka seakan mahu memandang rendah tahap keilmuan As Syahid Ibrahim Libya dan pengikut-pengikutnya. Hakikatnya, As Syahid bukan orang jahil untuk bergantung taklid kpd "Amanat". Dia mengaji Islam sejak dari kecil dan telah merantau menuntut ilmu dalam dan luar negara. Jika benar mereka menuduh amanat itu sebagai punca, pastilah isu Memali berlaku di Terengganu, bukan di Kedah. 

9. Namun begitu, Presiden PAS berbesar hati untuk disiasat oleh RCI yang bakal dibentuk nanti. Jika Presiden PAS yang dituduh juga sanggup tampil membantu siasatan, mengapa pula pihak tertentu menikus dengan cuba mengalihkan isu? Sepatutnya biarlah jawatankuasa siasatan menjalankan tugasnya dengan kesemua pihak dapat dipanggil memberi keterangan supaya kebenaran dapat disingkap sejelasnya. 

10. Penubuhan RCI isu Memali tidak memberi kredit kepada mana-mana pihak kerana yang paling utama, keadilan telah tertegak. Lagipun, rakyat akan menilai siapakah dalang sebenar kejadian tersebut. Ia juga menjadi penanda aras bahawa pihak manakah yang benar-benar memperjuangkan keadilan dan golongan manakah yang melakukan kezaliman atau hanya mengambil kesempatan terhadap sesuatu isu. 

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

PRESIDEN PAS : KEWAJIPAN MENGUNDI


Kenyataan Media Presiden PAS

KEWAJIPAN MENGUNDI



Apabila politik menjadi sebahagian daripada ajaran Islam, maka kewajipan memilih pemimpin adalah sebahagian daripadanya. Dalam sistem demokrasi diadakan pilihanraya dengan mensyaratkan seseorang itu mendaftarkan diri menjadi pemilih yang membolehkannya mengundi. 

Walaupun demokrasi berasal daripada barat, namun tidak boleh dipisahkan daripada kewajipan politik yang ditegaskan oleh hukum Islam selagi tidak bercanggah dengan dasar dan konsep Islam yang sempurna, teguh dan anjal. Pemerintahan Islam di sepanjang zaman keemasannya menerima segala yang baik daripada semua bangsa yang bertamadun dan mengislahkan kelemahan serta menolak kemungkarannya. 

Perlu disedari mengikut kajian sejarah, demokrasi moden di negara barat adalah terpengaruh daripada Politik Islam yang dikaji oleh ilmuan barat daripada Tamadun Islam dalam segala aspek, bukan sahaja dalam bidang sains teknologi, bahkan sebenarnya termasuk juga dalam ilmu sains politik. Di mana mereka mengenali amalan memilih pemimpin dalam syariat Islam sehingga diadakan sistem pilihanraya, tetapi mereka memisahkannya daripada agama. 

Demokrasi purba di Greek yang dicipta oleh tamadun barat tidak boleh menandingi Feqah Politik Islam. Apabila caranya tidak berpijak di lapangan rakyat semua peringkat, maka dilakukan perubahan pemerintah secara revolusi seperti di Perancis, England dan lain-lain. Di beberapa negara lain pula mengorbankan rakyat silih berganti, sehinggalah para orientalis bertemu dengan pengajian Islam. 

Islam menempa sejarah politik ketika wafatnya Rasulullah S.A.W. Para sahabat R.A. di kalangan Muhajirin dan Ansar yang mewakili semua kumpulan dan kelompok melaksanakan konsep syura yang disebut di dalam Al-Quran. Mereka berhimpun di tempat bernama Thaqifah Bani Sa’idah (Dataran Bani Sa’idah), sekarang dibina Kompleks Percetakan Al-Quran. 

Tujuan perhimpunan itu adalah bagi memilih Khalifah (Ketua Negara) menggantikan Rasulullah S.A.W. selepas kewafatannya. Himpunan itu dilakukan selepas selesai menyembahyangkan jenazah Rasulullah S.A.W. sebelum dikebumikan jasadnya yang mulia itu. Ini menunjukkan betapa besarnya kewajipan memilih pemimpin dalam ajaran Islam, sehingga lebih diutamakan daripada mengebumikan jasad Rasulullah S.A.W. 

Ada tiga calon yang dicadangkan. Kalangan Ansar (penduduk asal Madinah) mencalonkan pemimpin mereka, Saad bin Ubadah R.A, adapun keluarga Rasulullah S.A.W dan beberapa orang yang lain mencalonkan Ali bin Abi Talib K.W.H (menantu dan sepupu Rasulullah S.A.W.), kalangan Muhajirin pula mencalonkan Abu Bakar R.A. daripada Muhajirin Qabilah Quraisy. Apabila mereka mendengar Hadis Rasulullah S.A.W. yang pernah bersabda: 

الأئمة من قريش 

“Para pemimpin utama hendaklah daripada Quraisy”

Akhirnya Abu Bakar R.A dipilih menjadi Khalifah. Para ulama yang menulis berkenaan Politik Islam menegaskan dalil mafhum daripadanya adalah memilih pemimpin yang muslim dan mempunyai kelayakan daripada kaum yang paling kuat pengaruhnya dalam masyarakat. Syarat muslim kerana Islam menjadi aqidah negara, manakala syarat Quraisy kerana dominasi dalam masyarakat. 

Kuasa Khalifah Abu Bakar R.A tidak mutlak dan pentadbirannya secara syura yang melibatkan anggota kabinet di kalangan pemimpin para sahabat dan masyarakat umum yang bebas menasihat dan mengkritik, berprinsipkan patuh kepada hukum tertinggi Al-Quran dan Sunnah serta menghayati amalan syura. 

Cara pemilihannya sentiasa berubah mengikut perkembangan masyarakat dan zamannya seperti juga hukum Islam yang lain. Contohnya haji yang diwajibkan menjadi rukun Islam, tidak lagi musafirnya melalui unta atau berjalan kaki sahaja. Zaman kini perjalanannya melalui pesawat udara dan keselamatannya melalui amalan visa. Maka semuanya menjadi wajib kerana termasuk di dalam kaedah hukum Syara’:

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب 

“Apa-apa yang tidak sempurna perkara wajib melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib juga” 

Contoh lain juga adalah wajibnya pakaian menutup aurat bagi menunaikan sembahyang, tanpa dipersoalkan siapa yang membuat kainnya dan siapa peniaganya, tanpa ditanya agama tukang jahit dan bentuknya dari negara mana, tetapi syarat sah orang sembahyang itu adalah Islam. 

Begitulah juga perubahan masyarakat dan zaman dalam amalan politik yang mengadakan pilihanraya umum pada hari ini, tidak boleh dipisahkan daripada kewajipan politik yang menjadi sebahagian daripada syariat Islam.

Rasulullah S.A.W. telah memberi amaran kepada umatnya yang cuai melaksanakan kewajipan ini di akhir zaman menyebabkan kemusnahan mereka. 

Sabda baginda SAW:

لَيُنْقَضَنَّ عُرَى الإِسْلاَمِ عُرْوَةً عُرْوَةً فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِى تَلِيهَا وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضاً الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلاَةُ (مسند أحمد)

“Demi sesungguhnya (akan berlaku) dirungkainya tali simpulan teguh yang mengikat ajaran Islam, satu demi satu. Apabila satunya dirungkai menyebabkan orang ramai menjadi berselerak terpaksa berpegang dengan simpulan ikatan yang ada selepasnya. Perkara pertama yang dirungkai ialah hukum (yang berkait dengan pemerintahan negara) atau politik dan yang terakhirnya ialah sembahyang” 

Imam Al-Ghazali yang banyak menulis berkenaan tasawuf juga memberi perhatian khusus dalam aspek pemerintahan negara dalam kitabnya yang berkait dengan aqidah menegaskan: 

“Agama menjadi asas, kuasa pemerintahan (politik) menjadi pengawasnya. Kalau tidak ada asas menyebabkan runtuh dan kalau tidak ada pengawas menjadikan hukum agama itu sia-sia sahaja”

Kita menyaksikan sekarang betapa ramai di kalangan umat Islam tidak mengambil kisah atau menganggap tidak penting dalam aspek ini. Ada juga yang merasa bosan kerana banyaknya karenah yang tidak menyenangkan dalam aspek politik, lalu mereka menyerah kalah atau mencari pendekatan yang salah apabila lebih mudarat bencananya. Mereka lupa betapa politik banyak mempengaruhi aspek yang lain, khususnya aspek kedaulatan negara dan keselamatan umat, bukan sahaja aspek ekonomi dan lain-lain. 

Rasulullah S.A.W. menyuruh umatnya bersabar menghadapi penyelewengan politik kerana wajib memelihara urusan politik supaya tidak terjerumus ke dalam bencana yang lebih besar akibatnya.

Banyak ayat-ayat Al-Quran dan Hadis-hadis yang menunjukkan betapa Allah dan Rasul-Nya sangat murka terhadap orang yang tidak mengambil perhatian terhadap kepentingan umatnya sehingga menerima bencana yang memusnahkan semuanya.

Maka hendaklah difahami betapa mendaftarkan diri untuk menjadi pengundi di zaman kini adalah satu kewajipan agama yang besar terhadap setiap orang lelaki dan wanita apabila mempunyai kelayakan. 

Allah berfirman:

وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم ٣٨ محمد

“Dan jika kamu berpaling (daripada beriman dan menegakkan Islam) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu” (Surah Muhammad: 38)

Urusan menegakkan Islam dengan menjadi pemerintah berkuasa politik adalah kewajipan besar bagi umat Islam. Adapun yang datang menguar-uarkan supaya umat Islam melupakan politik adalah warisan peninggalan penjajah supaya umat ini lemah dan hilang kuasanya. Akhirnya menjadi hamba kepada sesiapa yang mengambil kuasa. 

Mengundi bukan sahaja memilih pemimpin bagi pihak rakyat, bahkan tanggungjawab mengundi adalah melantik wakil rakyat untuk melaksanakan Amar Maaruf dan Nahi Mungkar yang menjadi tonggak penting dalam menjaga jati diri umat melalui kekuasaan atau bersuara dan menentukan sikap. Mengundi juga adalah menjadi hakim terhadap kerajaan dengan melakukan hisbah di sepanjang penggal pemerintahannya.

Konsep ini bersandarkan kepada firman Allah:

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٠٤ آل عمران

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”(Surah Ali-Imran: 104)

Sabda Rasulullah S.A.W.

وَالَّذِي نَفْسي بِيَدِهِ، لَتَأْمُرُنَّ بِالمَعْرُوفِ، وَلَتَنْهَوُنَّ عَنْ المُنْكَرِ أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللهُ أنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَاباً مِنْهُ ثُمَّ تَدْعُوْنَهُ فَلا يُسْتَجَابُ لَكُمْ. (رواه الترمذي) 

“Demi Tuhan yang diriku berada dalam genggaman kekuasaannya. Kamu hendaklah menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran atau kalau kamu tidak melaksanakannya, hampirlah Allah menghukum kamu dengan balasan daripadanya. Kemudian kamu berdoa kepadanya, tiba-tiba doa kamu tidak diperkenankan” (Riwayat Tarmizi)

Hanya Muslim tanpa pedulikan maruah umatnya sahaja tidak mahu mengundi.

Padi bukan sebarang padi,
Padi ditanam di dalam sawah,
Mengundi bukan sebarang mengundi,
Mengundi kerana pertahan maruah. 

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 6 Zulhijjah 1438H / 28 Ogos 2017

Sabtu, 26 Ogos 2017

MINDA ANAK MUDA : KEPERLUAN PENUBUHAN SURUHANJAYA SIASATAN DIRAJA ( RCI ) PERISTIWA MEMALI

[Minda Anak Muda]
KEPERLUAN PENUBUHAN SURUHANJAYA SIASATAN DIRAJA (RCI) PERISTIWA MEMALI
Oleh:
USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia


Penyataan berubah-ubah, tidak konsisten, saling mendakwa dan mempertikai melibatkan pelbagai pihak termasuk yang ada kaitan langsung dengan peristiwa Memali, sememangnya mengukuhkan lagi tuntutan dan keperluan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Tragedi kritikal seperti ini tidak harus dibiar menjadi polemik dan dibahas secara sewenang-wenangnya kerana ia melibatkan aspek yang berada dalam ruang lingkup salahguna kuasa dan jenayah di satu pihak, serta tuduhan, kerugian dan kehilangan nyawa serta segala kesan negatif berkaitan di pihak lainnya.
Demikian itu, perkara benar dan betul yang mesti dibuat adalah memberikan keadilan dengan sebenarnya menerusi satu siasatan berkecuali, telus dan berintegriti tinggi. Ia dapat dimandatkan serta diserahkan kepada RCI yang dihasratkan ini dan tidak harus dibayangkan dengan pertikaian negatif atau merasa dimangsakan. Sedangkan inilah peluang dan medannya setiap pihak terlibat untuk menjelaskan atau menafikan. Sekiranya tidak, ianya akan terus diperkatakan sepanjang zaman yang mendatangkan pelbagai perasaan dan mungkin gugatan berkaitan.
Tiba-tiba sahaja Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim dan mantan Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar yang senada menyatakan bahawa tiada keperluan untuk penubuhan RCI hanya kerana didakwa bahawa segalanya telah dihuraikan oleh kerajaan, serta memadai dengan Kertas Putih dibentangkan di Parlimen pada waktu itu. Walhal, mereka adalah antara pihak berkepentingan dalam perkara ini di mana ketika itu masing-masing merupakan Menteri Penerangan dan Ketua Polis Negara. Mereka sendiri menzahirkan sikap negatif di mana ia sebenarnya menimbulkan lebih banyak tanda tanya terhadap wujudnya perkara terselindung yang perlu diserlahkan secara telus.
Jika penubuhan RCI ini dilakukan, ada kemungkinan siasatan RCI ini boleh membongkar hakikat yang sebenarnya berlaku dan tentunya boleh menyebabkan pihak yang terlibat seperti terjejas. Pastinya awam memiliki harapan agar suara dilontarkan Tan Sri Rais dan Tun Hanif tidak mempunyai motif untuk melindungi pihak tertentu atau menutup suatu kebenaran yang amat penting dijelaskan dengan seterang-terangnya. Malah, ia juga penting terhadap reputasi pentadbiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah menimbulkan pelbagai perkara berbangkit ke atas isu itu antaranya berkaitan arahan tindakan.
Lantaran itulah, sokongan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Dato’ Seri Nazri Abdul Aziz bahawa penubuhan RCI akan melanjutkan kajian berkenaannya, amat perlu disokong. Kerana sebagaimana perkara diutarakannya, itu jugalah sedang dipersoal oleh masyarakat hari ini terhadap kewajaran tindakan kerajaan kepada As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan 13 penyokong beliau sebagai terlalu keras dan tidak berpatutan, sedangkan mereka hanyalah sekadar penduduk kampung, bukan pengganas.
Penubuhan RCI ini juga adalah harapan kepada hasrat menuju politik yang lebih matang dan sejahtera bagi negara ini sebagaimana digagaskan PAS. Kerana seperti selalunya, kita melihat terdapatnya pihak yang seperti menangguk di air keruh apabila menjadikannya kesempatan untuk melunaskan dendam kepada sasaran politik mereka. Ini sebagaimana dapat disaksikan pada keghairahan pimpinan DAP dan PAN yang menghentam Presiden PAS dan mengaitkan isu secara tidak relevan dengan ucapan dilabelkan mereka sebagai ‘Amanat Haji Hadi’. Malah, semata-mata juga bersandar kepada letusan yang dibuat oleh Tan Sri Rahim Noor, sedangkan beliau ketika tragedi 1985 itu hanyalah Ketua Polis Selangor.
Begitu juga pertikaian Tan Sri Dr Rais bahawa penubuhan RCI seharusnya bergantung kepada kewujudan bukti baharu atau perkara yang masih tidak dirungkai sehingga kini dalam peristiwa Memali. Maka buku tulisan Officer in Charge of Police District (OCPD) Baling waktu peristiwa Memali itu berlaku iaitu Tunku Muszaffar Shah Tunku Ibrahim, bertajuk “Memali: A Policeman Remembers” terbitan 2011 wajar dijadikan bukti itu. Terdapat sekurang-kurangnya tiga tempat dalam buku itu menyatakan tidak bersetuju dengan cubaan pihak polis untuk menahan Ibrahim Libya di Memali.
Pada muka surat 37, Tunku Muszaffar Shah menulis: “Going after a respected politician and revered religious leader in his own village had been foolhardy. The man travelled regularly to give speeches, sometimes all the way to neighbouring states. We could have arrested him on one of those trips.”
Pada muka surat 74, Tunku Muszaffar Shah menulis: “Ibrahim Mahmood was not a criminal nor was he a communist terrorist who was wanted ‘Dead or Alive’. He was only a politician (a militant, may be). He was a well-respected Tok Guru among his community. The use of excessive force was not the right thing to do.”
Pada muka surat 77, Tunku Muszaffar Shah menulis: “The decision to arrest Ibrahim Mahmood in his stronghold was not a wise move. He was a respected religious teacher in his kampong and also a prominent political figure in his community. It would have been more appropriate for the Special Branch to arrest him when he was on his way to give political talks in Selama Kedah/Perak or at locations in Penang.”
Tentunya perkara ini menarik untuk diberi perhatian apabila OCPD Baling yang terlibat dalam operasi penahanan Ibrahim Libya sendiri mempertikaikan keputusan itu. Pertanyaan yang seharusnya dijawab ialah siapa yang memberi arahan? Kami menyanjung keberanian bekas OCPD Baling membuat catatan ini yang membersihkan nama Ibrahim Libya dari tuduhan kerajaan dan beberapa pihak lain kononnya beliau adalah seorang penjenayah atau pengganas. Pendedahan bekas OCPD Baling ini adalah salah satu bukti baharu yang mewajarkan penubuhan RCI ini kerana banyak persoalan masih tidak dirungkai sehingga kini.
4 Zulhijjah 1438 | 26 Ogos 2017

KHUTBAH AIDIL ADHA 1438H : TG. HAJI ABDUL HADI AWANG

Khutbah Aidil Adha 1438H
Oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang


Muat turun teks penuh khutbah Eidul Adha 1438H Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS menerusi pautan yang disediakan dibawah;
Sebarkan.

AMANAT KEPADA PETUGAS PAS HADAPI PRU 14 OLEH AL-MURSIDUL AM

Amanat Murshidul Am Kepada Petugas PAS Hadapi PRU 14
Ustaz Nik Nasri
Gombak 26 Ogos 17- Tuan Guru Ustaz Hashim Jasin menyampaikan beberapa amanat dan nasihat kepada ahli dan penyokong PAS bagi menghadapi PRU ke 14 akan datang pada pagi ini di Dewan Dato' Haji Fadhil Mohd Noor dalam Liqa Fikri PAS Pusat yang dianjurkan oleh Lajnah Tarbiyah Dan Perkaderan PAS Pusat.
Liqa Fikri kali ini bertajuk: PRU 14: Merealisasikan Makna Pengorbanan Dalam Perjuangan.
Dalam ucapan yang ringkas tetapi padat itu, Murshidul Am PAS menyebut beberapa perkara:
1. Hadis Nabi: 'Islam datang dalam keadaan dagang, Ia akan kembali dagang, maka beruntunglah orang yang dagang. Para Sahabat bertanya: Siapakah orang yang dagang itu? Nabi bersabda (lebih kurang maksudnya):
Mereka yang membaiki urusan manusia di saat rosaknya masyarakat.'
2. Islam datang ke tengah masyarakat jahiliah. Ada 38 orang Islam ketika itu, Abu Bakar minta berceramah. Nabi sebut: Kita sedikit. Abu Bakar minta juga, Nabi akhirnya benarkan. Abu Bakar terima kesan negatif dari perkara itu.
3. Ayat Quran yang menyebut tentang 'celaka dua tangan Abu Lahab' turun di awal Islam. Ayat 'Apabila datang pertolongan Allah' turun di Madinah, tetapi ayat dan surah dalam Al-Quran terletak berdekatan.
Apa hikmahnya?
4. Umat Islam sedikit, masyarakat jahiliah ramai. Kini, di akhir zaman, umat Islam sedikit dan jahiliah bertambah. Ia kembali seperti asal. Namun yang sedikiit inilah yang beruntung. Ini disebut supaya kita tidak rasa kecewa andainya kita tidak dapat kerusi dalam PRU 14.
5. Dalam hadis lain disebut 'ghuraba' ialah golongan yang soleh tetapi minoriti, berada di tengah majoriti yang tidak soleh. Orang yang menolak orang soleh ini lebih ramai dari yang mengikut orang soleh.
6. Saya bawa perkara ini di ambang PRU 14. Kita nak menang, tapi kalau tak menang? Maka hadis ini jadi panduan.
7. Allah boleh tolong kita dengan pelbagai cara. Antaranya orang yang kita tak pernah termimpi dia akan berubah, dia boleh berubah. Sebab itu, kita lihat dalam sirah Nabi ada beberapa tahap dakwah:
i. Asalnya dakwah rahsia, organisasi rahsia. Ia berlaku di rumah Al-Arqam bin Abi al-Arqam.
ii. dakwah terang, organisasi rahsia.
iii. Selepas hijrah, dakwah dan organisasi terbuka.
8. Sekarang, mungkin boleh dipraktikkan ketiga-tiga tahap ini menurut orang tertentu dan situasi tertentu.
Contohnya di Perlis, ada orang yang kuat lawan PAS tapi sekarang nampak dekat dengan kita. Justeru, tahap dakwah rahsia, organisasi rahsia ini boleh digunakan dalam situasi dan figur tertentu.
9. Saidina Umar asalnya keluar rumah untuk membunuh Nabi SAW tetapi apabila beliau mendengar awal ayat surah Taaha, dia akhirnya bersedia menerima Islam.
Umar kata Islam betul, Muhammad betul, sedangkan dia belum mengucap lagi. Inilah yang disebut Al-Iman al-aqli. Secara akal, dia boleh terima, cuma belum mengucap. Orang ini mudah mendapat iman zauqi iaitu iman yang dirasai dalam hati.
Perkara ini mesti diberi perhatian, dan ia termasuk dalam jihad.
10. Perkara yang kedua, jihad ada rukun.
Dimulakan dengan Al-uzlah iaitu asingkan diri dari tempat yang tidak membawa kita taat kepada Allah.
Kedua, assamtu, iaitu tidak bercakap banyak, terutama dalam perkara yang tidak perlu.
Ketiga, asahr, berjaga malam dengan qiamulail.
Keempat, alju'-berlapar.
Semua perkara ini dilihat secara zahir seperti negatif sahaja tetapi ia membawa kepada kesan yang positif.
11. PAS cantik, ramai orang nak pinang. Syarat yang kita letak ialah apa sahaja yang kita buat, mesti menguntungkan Islam. Kalau tidak untungkan Islam, kita tolak.
12. Kita putus tahaluf. Orang lihat seolah-olah kita tutup pintu kepada sesetengah parti. Kita tutup pintu, bukan selak. Ertinya ada ruang lain dalam persefahaman politik, dengan syarat menguntungkan Islam.
13. Sekarang bangkit kembali gerakan perselisihan mazhab. Ini mengganggu perjalanan menegakkan Islam. Belajarlah dari 2 ekor anjing yang berebut tulang. Bila datang serigala, anjing ini halau serigala dahulu.
Ini di antara beberapa perkara yang mesti diberi perhatian oleh petugas PAS bagi menghadapi PRU 14 akan datang.
Penulis ialah Ketua Lajnah Tarbiah PAS Kemaman dan Ketua Lajnah Media Baharu Dewan Ulamak PAS Terengganu

Jumaat, 25 Ogos 2017

SEJARAH PAS : 23 OGOS GENAP SELAMA 66 TAHUN PAS BERJUANG


SELAMAT ULANG TAHUN PERJUANGAN PAS KALI KE-66
(23 OGOS 1951 - 23 OGOS 2017)


PADA hari ini dalam tahun 1951, Persidangan Alim Ulamak Se-Malaya Kedua anjuran Bahagian Agama dan Pelajaran Umno di Sultan Sulaiman Kelab, Kampung Baru, Kuala Lumpur telah memutuskan untuk menubuhkan sebuah badan politik Islam yang berkecuali dari Umno. Badan ini dikenali sebagai Pertubuhan Ulamak Malaya dengan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penajanya.

Dalam persidangan Pertubuhan Ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil, Seberang Perai pada 24 November 1951, pertubuhan ini dipersetujukan untuk dinamakan sebagai Persatuan Islam Se-Malaya (PAS). Sejak dari tarikh ini, nama PAS telah beberapa kali bertukar mengikut perkembangan politik semasa sebelum ia dinamakan sebagai Parti Islam Se-Malaysia (PAS).


PAS telah melangkah gagah meredah badai perjuangan selama 66 tahun di bawah pimpinan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (1951-1953), Dr Haji Abbas Alias (1953-1956), Prof Dr Burhanuddin al-Helmy (1956-1969), Dato' Mohd Asri Haji Muda (1969-1982), Ustaz Haji Yusof Abdullah ar-Rawi (1982-1989), Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd Noor (1989-2002) dan kini dipimpim oleh Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sejak 2002. 


Sebagai parti yang menyambung perjuangan Hizbul Muslimin sebelumnya, PAS telah melalui 66 tahun perjuangan yang penuh sarat dengan pengalaman, pahit manis perjuangan, jatuh bangun pencapaian. Namun PAS bertegas untuk terus beristiqamah dengan dasar Islam sebagai teras perjuangan. Walau apa pun badai yang mendatang, parti Islam ini terus melangkah, dan perjuangannya pasti berbuah.

Selamat ulang tahun ke-67 perjuangan PAS menegakkan Islam di bumi Malaysia.

Mohd Fadli Ghani 
Head House of Resources
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
23 Ogos 2017

PRU 14 : JOM DAFTAR SEBAGAI PEMILIH SEBELUM 25 SEPTEMBER 2017


JOM DAFTAR SEBAGAI PEMILIH ! PILIHAN RAYA UMUM KE 14.

Jom mendaftar demi masa depan negara. DAFTAR SEKARANG !



1- Siapakah yang layak mendaftar sebagai pengundi ?
[ Warganegara Malaysia berumur 21 tahun dan ke atas. Bermastautin dalam sesuatu bahagian pilihanraya. Tidak hilang kelayakan di sisi undang-undang. ]

2- Mengapa perlu daftar sebagai pengundi ?
[ Kuasa untuk memilih kepimpinan negara. Peluang ambil bahagian dalam proses demokrasi terbesar negara. Tanggungjawab sebagai warganegara. ]

3- Bagaimana untuk mendaftar ?
[ Isi borang A berdasarkan maklumat pada kad pengenalan, resit JPN KPPK 11 yang telah disahkan oleh butirannya oleh Jabatan Pendaftaran Negara. ]

4- Di manakah boleh mendaftar ?
[ Pejabat POS Berkomputer, Pejabat SPR di seluruh negara. ]

5- Bilakah tarikh akhir untuk mendaftar supaya boleh tersenarai dalam daftar pemilih seterusnya ?
[ Sebelum 25 September 2017 ]

Sebarang pertanyaan sila hubungi :
Faris : 017 - 563 3985 l Ustaz Saiful : 013 - 486 4863 / 
Razak : 013- 992 6324

PEMUDA PAS : " MATANGKAN HUJAH, JAUHI BEBAL & SEMBERONO "


KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
23 Ogos 2017 | 1 Zulhijjah 1438

“MATANGKAN HUJAH, JAUHI BEBAL & SEMBERONO”



1. Pemuda Pakatan Harapan (PH) dinasihat agar meninggalkan budaya politik Machiavelli yang mengamalkan putar belit, adu domba, manipulasi, kontroversi, sensasi, fitnah dan segala rekaan bersifat matlamat menghalalkan cara. Ianya adalah wajah politik golongan berkepentingan, rakus, terdesak, hipokrit, bongkak serta bankrap idealisme.

2. Sedangkan anak muda seharusnya dan sebagaimana juga sejarah terukir pada seluruh tamadun, adalah golongan yang teguh berpegang kepada prinsip dan semangat perjuangannya. Anak muda adalah peneraju dan penggerak kebangkitan massa paling gigih serta ‘tiang’ kepada negaranya hingga menjadi rebutan atau sasaran banyak pihak.

3. Kenyataan bersama Pemuda PH mempertikai tulisan Presiden PAS bertajuk “Politik Islam dan Perkauman” jelas menunjukkan ia telah dibaca secara emosi dan melulu hingga menerbitkan salah faham. Mereka menyanggah dengan tuduhan kononnya artikel itu berbaur perkauman, sedangkan ia menginterpretasikan suatu perspektif.

4. Kita terbuka untuk sesiapa jua mahu mengkritik atau mewacanakannya, tetapi mestilah dengan paksi dan kaedah perbicaraan yang benar lagi sihat. Bukannya menghambur unsur-unsur tipikal yang tidak matang, tidak berfokus dan dilihat bebal. Kawal keghairahan dalam berhujah dan tidak perlu melalut untuk mencetuskan ketegangan lain.

5. Terpulang kepada Pemuda PH untuk menyatakan sudut pandang mereka, tetapi tidak perlu rosakkan perbicaraan dilontarkan Presiden PAS melalui tulisan itu dengan naratif yang sengaja disalah ertikan. Juga tidak perlu membuat tuduhan fitnah dan mengheret kepada unsur untuk membibitkan ketidakharmonian dan ancaman kepada mana-mana pihak.

6. Walhal artikel itu menyingkap fitrah dan kecenderungan berkait kepimpinan, tanggungjawab teras dan jaminan keadilan, serta peranannya dalam kemajmukan kaum. Selain mengemukakan realiti Malaysia dan cabaran sedang berlaku untuk dipertimbangkan agar tidak menuju kepada situasi yang menggugat kewajaran dan asasnya.

7. Sebenarnya, Pemuda PH yang bersentimen dan menjadikan kenyataan bersama itu sebagai satu bentuk serangan dangkal dengan menafi atau menutup segala konsistensi PAS dalam menentang korupsi. Malah, menganggap pendekatan dibawa PAS sekadar slogan retorik yang dijadikan permainan politik dan perangkap tertentu.

8. Jelas ada skeptikal dan paranoid hingga dipalit pula PAS seperti membela Umno serta memperburukkan pentadbiran PAS Kelantan. Jika begitu ada baiknya kalian melihat dan membandingkan dulu rekod integriti 9 tahun pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang yang dibanggakan itu sebelum sibuk menuding jari dan perasan suci diri.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia

CIKGU MOKHERI ZIARAHI PENDUDUK KAMPUNG ASAL TPM

CIKGU MOKHERI ZIARAH AMATI KISAH RAKYAT DI SG. NIPAH DARAT

Penyelaras DUN Rungkup Itu Turut Sampaikan Sumbangan PAS Kawasan


Sememangnya PAS yang bukan sahaja sebagai sebuah parti politik, bahkan segala apa perkara yang dituntut dalam Islam maka hanyalah PAS telah melaksanakannya. Sebagai sebuah gerakan Islam, politik yang melibatkan sistem demokrasi hanya sebagai sebahagian daripada kumpulan tersebut. 

PAS menekankan tiga asas iaitu dakwah, tarbiyyah dan siyasah ( politik Islam ) menjadi tunjang kekuatan PAS selama ini. Selain itu, kebajikan umum juga menjadi agenda penting dalam mendekati dan memahamkan masyarakat kepada Islam sebenar.

Demikian itu, PAS Kawasan Bagan Datuk melalui Timbalan YDP ( Penyelaras DUN Rungkup ) iaitu Tuan Hj. Mokheri Abdul Jalil telah menziarahi beberapa orang penduduk kampung. Kampung kali ini ialah Kg. Sg. Nipah Darat.








MINDA PRESIDEN PAS : RUU 355 DAN UNDANG-UNDANG TANPA ROH


Minda Presiden PAS

RUU 355 DAN UNDANG-UNDANG TANPA ROH



Apabila adanya tindakan undang-undang terhadap sesuatu kesalahan dan salah laku, maka itulah sahaja yang dihebohkan dan menjadi berita hangat terkini. Kemudian hilang pergi seperti gas Pepsi Cola apabila dicabut penutup tanpa melakukan muhasabah terhadap kesan undang-undang itu secara menyeluruh dan melihat kejayaan atau kegagalan dalam mengatasi salah laku tersebut serta sejauhmana memberi kesan dalam mendidik masyarakat.

Masyarakat dilupakan bahawa perkembangan jenayah dan salah laku semakin meningkat, caranya makin licik dan lapangannya lebih meluas, sehingga gagal dibendung dan kesannya menjadi lebih parah walaupun ditangkap ikan jerung yang besar.

Hari ini, isu rasuah yang dihadapkan dengan tegas secara undang-undang menjadi berita utama dan berita perdana, sedangkan perkara jenayah dan maksiat juga semakin parah seperti diperkecilkan atau dilupakan.

Dahulunya rasuah sekadar duit angka ribu dan puluhan ribu, kini sudah mencecah angka juta dan kehilangan berbilion-bilion melibatkan semua peringkat, sama ada yang bergaji kecil kerana pendapatan yang tidak mencukupi dan memaksakan, sehingga yang bergaji sangat besar untuk menjadi kaya raya dan menambahkan kekayaan dengan kejahatannya.

Jenayah pula bukan lagi di tahap mencuri kecil-kecilan, menyelup saku dan merompak di rumah, tetapi sudah sampai merompak bank dan kedai mewah yang dikawal rapi dengan senjata dan berbilik kebal, merompak di waktu siang hari di tengah bandar sehingga melanun kapal besar di laut dan ada yang menyambar duit negara. Jenayah lebih parah lagi dengan kes membunuh ahli keluarga tersayang seperti ibu dan bapa.

Maksiat pula sehingga ke tahap membuang anak ke dalam tong sampah, mengedar dan menagih dadah di setiap lorong.

Ini menunjukkan bahawa tindakan undang-undang hari ini laksana hanya memukul nyamuk di badan sahaja bagi menjauhi penyakit yang berpunca daripadanya tanpa membersihkan longkang yang membiakkan nyamuk merbahaya itu, atau mencari ubat yang dapat membunuhnya dengan lebih berkesan.

Hanya dilihat tindakan undang-undang yang diwar-warkan sebagai salah satu daripada pendekatan bagi mengatasi masalah penyakit manusia dan masyarakatnya. Namun tidak dilihat pendekatan yang lain, di mana mencegah kemungkaran sebelum berlaku sepatutnya didahulukan dengan mendidik masyarakat berjati diri manusia dan berakhlak melalui pengajian yang berkesan dan media yang membantu.

Tidak dilihat juga bahawa undang-undang itu sendiri hendaklah munasabah dengan kejadian manusia mengikut fitrahnya, dan rantaiannya dengan aspek yang lain, seperti politik, ekonomi, pendidikan dan kemasyarakatan. Sehingga perkara ini bukan sahaja menjadi kewajipan kerajaan, bahkan melibatkan rakyat di semua peringkat.

Di sinilah perlu kembali kepada kebijaksanaan Allah Pencipta Alam termasuk manusia, namun dilupakan Ilmu Allah dan Kebijaksanaan-Nya. Betapa banyak Rahmat-Nya tidak terhingga sehingga dalam perkara di luar kotak kemampuan manusia. Mereka lupakan Allah kerana keangkuhan tanpa sedar dirinya masih banyak kelemahan, lalu mencipta undang-undang sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Alllah walaupun banyak ruang yang diizinkannya, tetapi diputuskan pula hubungan mata rantainya dengan petunjuk Allah yang menyeluruh dan sempurna.

Dalam aspek undang-undang perlu dibuat perbandingan di antara syariat Allah dan undang-undang ciptaan manusia dalam perkara yang sama. Demi menyelesaikan masalah secara jujur, bukan sekadar menunjukkan kuasa tanpa kehaibatannya, bagi tujuan mengubati masalah untuk kebaikan semua.

Contohnya dalam mengatasi masalah yang nyata kemanusiaannya, iaitu perjuangan menentang amalan perhambaan sesama manusia, adanya persamaan konsep barat dan Islam, tetapi Islam berdasarkan aqidah atau iman yang tidak ada dalam undang-undang barat. Walaupun undang-undang barat ciptaan manusia mengharamkannya dengan keras dan tegas, namun gagal pada dasarnya sehingga bertukar cara perhambaan yang lebih parah dan kejam terhadap yang lemah khususnya kaum wanita.

Abraham Lincoln, salah seorang Presiden Amerika yang menjadi kebanggaan dunia barat dan pengikutnya kerana memperkenalkan undang-undang baru bagi menghapus perhambaan di negaranya dengan tegas mengharamkan perhambaan, sehingga beliau mati dibunuh. Walaupun undang-undang baru itu diteruskan, tetapi amalan menghina warga bukan kulit putih masih berterusan sehingga kini, dan berleluasanya perhambaan secara moden yang lebih kejam dan ganas, daripada memperhambakan manusia kepada memperhambakan negara yang lemah.

Jenayah di negara itu juga makin meningkat sehingga membunuh kanak-kanak di sekolah, menunjukkan betapa sudah melampau sehingga di luar perikemanusiaan, berlakunya di negara besar yang paling maju, kaya dan lantang memperjuangkan hak asasi manusia dan kebebasannya. Mereka juga mempunyai undang-undang yang keras dan tegas terhadap pelakunya.

Sejarah Islam yang dilupakan telah berjaya mengatasi masalah perhambaan tidak secara mengharamkannya, tetapi melalui pendekatan mendidik dan menghukum, walaupun menghadapi masyarakat yang suka berperang dan merompak serta menculik.

Islam mengambil pendekatan mendidik dan mengenakan undang-undang takzir terhadap salah laku, bukan sahaja Hudud dan Qisas yang dikhususkan ke atas kesalahan jenayah yang berat dengan hukuman menggerunkan dengan syarat-syarat yang ketat dan banyak halangan untuk menjatuhkan hukuman sewenang-wenangnya.

Dalam usaha menghapuskan perhambaan, Islam mewajibkan layanan terhadap hamba yang diletakkan dalam kewajipan keluarga, memperkenalkan hukuman memerdekakan hamba terhadap kesalahan ibadat dan jenayah dan galakan pahala besar memerdekakan hamba serta berdosa besar kalau menzaliminya. Akhirnya amalan perhambaan tidak ada lagi dalam masyarakat Islam sehingga kedatangan Islam ke negara lain dikira penyelamat bukannya penjajah.

Perbezaan di antara syariat Islam dan undang-undang ciptaan manusia adalah syariat Islam mengandungi aspek rohani yang ada hubungannya dengan Allah dan Hari Akhirat serta kepercayaan kepada perkara yang ghaib seperti adanya dosa dan pahala dan para malaikat yang memantau, bukan sahaja Allah yang Maha Mengetahui, Mendengar dan Melihat. Adapun undang-undang ciptaan manusia dalam hubungan dengan manusia dan alam dunia sahaja, di samping tidak ada perhitungan dosa dan pahala.

Dalam syariat Islam ada hubungannya dengan Allah dalam aspek ibadah dan perhambaan kepada Allah. Berbeza dengan undang manusia yang sekadar hubungan kerakyatan dengan kerajaan di dunia sahaja tanpa kepercayaan kepada yang ghaib, tiada perhitungan dosa dan pahala, hanya pemantauan manusia secara zahir sahaja, menjadikan seseorang itu boleh rasa terlepas daripada undang-undang apabila di luar pandangan manusia. Adapun syariat Islam berwawasan dunia sehingga akhirat selepas meninggal dunia, menjadikan hukuman di dunia dibebaskan di Hari Akhirat dan tidak bebas daripada hukuman neraka sekiranya terlepas daripada hukuman dunia atau tidak bertaubat dan mendapat kemaafan daripada mangsa. Firman Allah:

إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُواْ مِن قَبۡلِ أَن تَقۡدِرُواْ عَلَيۡهِمۡۖ فَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٣٤ المائدة

“Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat menangkapnya, (mereka terlepas dari hukuman itu). Maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (Surah Al-Maidah: 34)

Kalau akhirnya dibawa ke Mahkamah, hukum syariat menetapkan syarat dan rukun yang ketat dalam Sistem Kehakiman Islam, sama ada dengan pengakuan secara insaf dan rela hati tanpa paksaan dan seksaan, atau penghakiman yang bersifat aqidah dan akhlak, bukan sahaja aspek undang-undangnya.

Islam meletakkan orang yang dituduh tidak bersalah selagi tidak dibuktikan. Maka amalan memalukan orang yang dituduh melalui media, seolah-olah dia sudah bersalah adalah bertentangan dengan konsep Islam. Cara begini hanya boleh mencari dosa percuma walaupun dia ternyata bersalah pada akhirnya, kerana masih dalam urusan Badan Kehakiman. Kalau dia tidak bersalah, maka dosanya lebih besar.

Akhirnya, Islam berjaya menghapuskan perhambaan dalam masyarakatnya dan mengatasi masalah jenayah besar dan kecil, walaupun tidak mungkin dihapuskan di alam dunia selagi adanya syaitan yang terus menggoda manusia sehingga akhir zaman.

Rahsia kejayaan syariat Islam adalah roh aqidah dalam perundangan dan keberkatan serta kehaibatannya menusuk ke dalam hati manusia. Kekuatannya terletak kepada kesempurnaan Islam yang tidak memisahkan urusan dunia dan akhirat dengan ajaran agama Islam yang menyeluruh. Kesempurnaannya pula merangkumi aspek fitrah manusia yang berjasad, roh, akal, berindividu dan bermasyarakat.

Konsep halal dan haram dalam Islam yang menjadi roh kepada syariat Islam itu juga membezakannya dengan undang-undang ciptaan manusia. Walaupun yang haram itu ternyata benar berdasarkan kajian sains terkini dengan menepati perhitungan manfaat dan mudaratnya kepada sakit dan sihatnya jasad, tetapi hanya dipandang dalam sempadan kehidupan di dunia sahaja, tanpa mempedulikan aspek roh selepas kematian dan alam akhirat. Namun syariat Islam itu kesannya lebih mendalam sehingga ke dalam aspek rohani dan hikmatnya melebihi jangkauan jasad dan pandangan lahiriah sahaja.

Islam menggabungkannya dengan pendidikan akhlak yang mendidik hati nurani yang mencetuskan pemerintahan kepada jasad diri masing-masing yang dipantau oleh Allah dan para malaikatnya, bukan sahaja undang-undang negara yang dipantau oleh kerajaan dan jenteranya.

Firman Allah:

لِّلَّهِ مَا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِي ٱلۡأَرۡضِۗ وَإِن تُبۡدُواْ مَا فِيٓ أَنفُسِكُمۡ أَوۡ تُخۡفُوهُ يُحَاسِبۡكُم بِهِ ٱللَّهُۖ فَيَغۡفِرُ لِمَن يَشَآءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشَآءُۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ٢٨٤ البقرة

“Kepunyaan Allah sahaja segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatan kamu itu. Maka Allah mengampuni sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menyeksa sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu” (Surah Al-Baqarah: 284)

Sabda Rasulullah S.A.W.

إن الحلال بين، وإن الحرام بين وبينهما مشتبهات لا يعلمهن كثير من الناس. فمن اتقى الشبهات استبرأ لدينه وعرضه، ومن وقع في الشبهات وقع في الحرام، كالراعي يرعى حول الحمى يوشك أن يرتع فيه، ألا وإن لكل ملك حمى، ألا وإن حمى الله محارمه، ألا وإن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله، وإذا فسدت فسد الجسد كله، ألا وهي القلب " متفق عليه

“Sesungguhnnya yang halal itu terang dan nyata, yang haram juga terang dan nyata. Di antara keduanya perkara yang mengelirukan (tidak nyata halal dan haramnya). Sesiapa yang memelihara dirinya daripada yang mengelirukan itu nescaya dia dapat memelihara agama dan maruah dirinya. Sesiapa yang jatuh ke dalam perkara yang mengelirukan itu seperti juga jatuh ke dalam yang haram. Ingatlah bahawa bagi semua yang berkuasa memerintah (kerajaan) menetapkan sempadannnya, ingatlah bahawa sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkan-Nya. Ingatlah di dalam diri manusia itu ada segumpal daging, apabila baik maka baiklah dia dan apabila jahat jahatlah dia, segumpal daging itu ialah jantung (yang menggerakkan seluruh anggota jasadnya, termasuklah otak dan hati nurani yang mencetuskan akal fikirannya). Apabila baik hati nuraninya, maka baiklah dirinya dan apabila rosak maka jahatlah dia” (Muttafaqun ‘Alaih)

Aspek rohani yang ada dalam syariat Islam menyedarkan seseorang itu bahawa dia tidak terlepas daripada Mahkamah Allah secara langsung sekiranya dia bijak melepaskan diri daripada hukuman di dunia. Undang-undang ciptaan manusia yang dihayati tidak mampu menggerakkan hati kepada keinsafan ini sekiranya pandai melepaskan diri dengan pembohongan atau menggunakan kuasanya oleh pihak yang berkuasa. Di sini menjadikan undang-undang Islam (syariat) mempunyai kehaibatan yang tidak ada pada undang-undang ciptaan manusia.

Dalam aspek perundangan pula hanya sebahagian daripada jentera kerajaan yang berada di bawah kuasa politik yang mengurus seluruh kehidupan manusia. Siapa sahaja yang dipilih dari segi politiknya yang dipisahkan daripada Islam yang sempurna, akan tetap mengulangi kesilapan dan kesalahan yang sama dan gagal mengatasi masalah yang makin membarah, kerana politik hanya dianggap peluang diri dan kroni tanpa perhitungan selepas kematian, bukannya kewajipan seorang hamba terhadap Allah yang akan dihisab di Hari Akhirat.

Penekanan undang-undang sahaja mustahil dapat mengubati penyakit rasuah, jenayah, salah laku dan kesalahan-kesalahan lain yang boleh membarah itu, sekiranya semua mata rantai sistem masyarakat dan pemerintah tidak kembali kepada Islam yang menjalinkan semuanya.

PAS mengajak umat Islam khususnya supaya bersatu kembali kepada Islam yang sempurna dan mengajak seluruh rakyat masyarakat majmuk termasuk bukan Islam supaya memberi kepercayaan kepada syariat Islam untuk memerintah, setelah menyaksikan dan merasakan akibat kegagalan undang-undang tanpa roh.

Firman Allah:

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١ الروم.

“Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)” (Surah Ar-Rum: 41)

RUU 355 adalah satu percubaan menilai sikap masyarakat umum, parti-parti politik dan semua pihak terhadap Islam keseluruhannya, bukan sekadar 355 sahaja. PAS melihat lebih jauh dan luas daripadanya untuk melihat siapa kawan, siapa lawan dan yang berpura-pura terhadap Islam.

Kalau mereka boleh berjuang bermati-matian bersama ideologi yang dianut oleh parti masing-masing yang bersumberkan daripada barat sehingga ada yang memberontak masuk ke dalam hutan rimba, sedangkan ianya bukan datang daripada timur dan bukannya asal usul mereka. Sila cuba berikan peluang kepada Islam yang pernah berjaya untuk kembali dilaksanakan melalui perubahan secara demokrasi:

Buah salak buah kedondong,
Sila diletak ke dalam baldi,
Bukan salah ibu mengandung,
Tetapi silap memangkah undi.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 1 Zulhijjah 1438H / 23 Ogos 2017


jambori amal kuala kangsar 2008