Salam merdeka buat anak bangsa,
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi
Maha Mengasihani, Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T,
Tuhan pecipta sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan besar Nabi
Muhammad S.A.W, pembawa rahmat sekalian alam.
Saudara yang dikasihi sekalian,
Marilah sama-sama kita mentaati perintah
Allah dan meninggalkan segala laranganNya sebagai pembuktian kepada dakwaan
bahawa kita sebagai orang yang bertaqwa. Kedegilan kita dari mentaati perintah
Allah akan memberi kesan bukan sahaja kepada diri kita sebagai individu, bahkan
ia memberi kesan terhadap keamanan dan kesejahteraan Negara ini.
Allah SWT telah mengingatkan kepada kita
semua agar sentiasa untuk mentaati segala perintahNya sebagaimana dalam Firman Allah
SWT yang bermaksud :
“ Tidakkah mereka memerhati dan
memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka,
padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi
(dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami
turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai
mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa
mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka , umat yang lain?”
( Surah al an’aam ayat 6).
31 Ogos, Tarikh Keramat Buat Rakyat
Malaysia.
Buat anak muda sekalian,
Alhamdulillah, sekali lagi pada tahun ini
kita sama-sama masih diberi kesempatan dan peluang oleh Allah S.W.T untuk bertemu
serta menyaksikan satu tarikh keramat buat seluruh rakyat Malaysia iaitu 31
Ogos. Seluruh rakyat maklum dan pastinya tidak akan melupainya, bahawa tarikh
tersebut adalah sangat penting dan amat bermakna kerana pada tarikh itulah
Negara ini telah diisytiharkan sebagai sebuah Negara yang merdeka daripada kuasa
penjajahan asing.
Kini, sudah 57 tahun berlalu peristiwa
ketika mana saat laungan keramat “ Merdeka “ pertama kali bergaung di Stadium
Merdeka, Kuala Lumpur. Laungan oleh YM. Tunku Abdul Rahman Putra Al- Haj selaku
Perdana Menteri Malaysia pertama menggamatkan jiwa seluruh rakyat di Tanah
Melayu di saat tersebut. Hanya perasaan gembira dan terharu disusuli rasa
kesyukuran tidak terhingga oleh setiap rakyat atas anugerah keamanan setelah
sekian lama dijajah.
Usahlah Dilupai Jasa Pengorbanan Jiwa
Pejuang Tanah Air Terdahulu.
Beringatlah wahai anak muda,
Kemerdekaan dan keamanan Negara ini
bukanlah diperolehi secara percuma dan mudah. Demikianlah, seharusnya kita
tidak melupai jasa serta pengorbanan yang tinggi oleh para pejuang tanah air
yang terdahulu. Khususnya sebagai anak muda dan generasi masakini janganlah
sesekali kita lupa akan jasa perjuangan nenek moyang terdahulu dalam usaha
memerdekaan Negara tercinta ini.
Pastinya menjelang tarikh 31 Ogos,
nama-nama seperti Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Dato’ Maharajalela, Dol
Said, Antanom, Mat Salleh, Tok Bahaman dan ramai lagi yang disemadikan sebagai
pejuang Melayu yang menentang penjajahan British pada suatu ketika dahulu.
Jangan pula dilupakan nama tokoh-tokoh lain seperti Dr. Burhanuddin Helmi dan
yang lain-lain lagi. Perjuangan rakyat daripada segenap lapisan khususnya para
alim ulamak tanah air adalah merupakan satu jasa yang seharusnya tidak dilupai
oleh anak muda hari ini.
Sambut Kemerdekaan dan Pengisian
Penuh Bermakna.
Wahai teman-teman anak muda sekalian,
Kemerdekaan yang dikecapi ini adalah
anugerah Allah S.W.T. Demikian itu, ianya satu nikmat yang wajib disyukuri, di
isi dan dipertahankan. Islam
pada hakikatnya adalah agama pembebasan dan kemerdekaan. Kemerdekaan sebenar ialah
apabila kita sebagai individu mahupun secara bernegara mengamalkan ajaran Islam
dengan sempurna dan apabila syariat Islam dapat dilaksanakan. Islam satu agama
yang memerdekakan manusia dari perhambaan kepada sistem-sistem manusia kepada
hanya hidup dalam sistem Allah. Memerdekakan manusia daripada syirik kepada
hanya mengesakan Allah. Memerdekakan
manusia daripada menjadi tawanan hawa nafsu kepada pengabdian kepada Allah SWT.
Kemerdekaan Negara yang kita nikmati ini
adalah anugerah Allah yang wajib disyukuri dan wajib dipelihara dengan penuh
rasa cemburu. Cemburu dengan usaha-usaha gigih pihak yang tidak suka Islam mewarnai
kehidupan individu, berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara. Perjuangan
kemerdekaan sebenarnya tidak berakhir dengan mengenyahkan penjajah dari bumi
pertiwi. Negara masih belum cukup aman dari bahaya penjajahan. Sementara usaha
membangun semula, memulihkan dari kerosakan-kerosakan yang berlanjutan beratus
tahun selama era penjajahan belum diselesaikan secara tuntas, kini kita dihadapkan
pula dengan jebakan penjajahan bentuk baru : penjajahan budaya, penjajahan
ekonomi, dominasi, globalisasi dan fahaman-fahaman yang sekilas seperti membawa
kemajuan, namun telah meminggirkan fungsi Allah dalam mengatur kehidupan
seperti liberalism, pluralism dan anti syariah.
Jangan Salah Ertikan Makna
Kemerdekaan dan Kebebasan Ini
Ayuh anak muda,
Fahmi Huwaidy mengungkapkan satu fenomena
baru yang lebih buruk daripada penjajahan iaitu iaitu perhambaan terselubung.
Jika penjajahan lebih berupa perompakan kekayaan sesuatu bangsa tetapi
perhambaan pula lebih berupa penguasaan terhadap diri sesuatu golongan. Ia juga
dikenali sebagai “berjiwa hamba” tetapi bukan hamba kepada Allah ataupun
mempunyai minda tawanan .
Jika zaman dahulu bentuk perhambaan ialah
pemerasan tenaga fizikal demi kepentingan tuannya maka perhambaan bentuk baru
ini apabila yang diperas adalah otaknya dan pemikirannya.
Maka lahirlah golongan rakyat yang hidup
di Negara merdeka tetapi mempunyai jiwa hamba dan mempunyai minda yang masih
tertawan. Tandanya ialah rakyat muslim yang tidak merasa Izzah (mulia) dengan
Islam. Tidak merasa mulia jika Negara ini dikaitkan dengan Islam bahkan bersungguh-sungguh
menyetujui gagasan sekularnya Negara ini. Dia tidak sedar bahawa sekali kita
menyetujui gagasan sekularnya Negara ini, selama-lamanya kita tiada punya lagi
landasan untuk menuntut syariah dilaksanakan dalam kehidupan.
Seruan untuk anak muda sekalian,
Dalam bergembira kita meraikan serta
menyambut ulang tahun kemerdekaan Negara yang tercinta ini, marilah bersama
kita isikan nikmat yang dianugerah Allah SWT ini kepada kita dengan
melaksanakan segala tuntutan syariat dan hukum hakam Islam dalam kehidupan.
Semoga ulang tahun kemerdekaan kali ini
menjadikan kita sebagai seorang hamba kepada Allah SWT yang bersyukur, taat dan
bertaqwa kepada Allah SWT. Juga jadikanlah kemerdekaan ini bukan sahaja
daripada segi fizikal, bahkan minda perlulah bebas daripada anasir serta cara
hidup sesat untuk menuju cara hidup Islam yang sebenar.
“ Malaysiaku…Minda Merdeka “
Ustaz Amir Hamzah bin Ibrahim
Pemangku Ketua
Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan
Datoh