PUTRAJAYA - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu menjawab satu saman sivil yang dikemukakan seorang ahli perniagaan terhadapnya berhubung tuduhan melakukan serangan.
Beliau perlu berbuat demikian kerana gagal mengetepikan saman berkenaan.
Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Shariff, yang mempengerusikan panel lima anggota, tidak membenarkan Ahmad Zahid merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya (Ahmad Zahid) untuk mengetepikan saman itu.
"Perkara ini belum dibicarakan di Mahkamah Tinggi di Shah Alam dan kamu juga tidak dinafikan proses membuat rayuan. Selepas perbicaraan nanti, kamu boleh merayu. Biarlah perbicaraan diadakan dulu Mahkamah Tinggi," katanya.
Beliau berkata sekiranya mahkamah melayan setiap rayuan interlokutori, kes lain akan tertangguh.
Hakim Md Raus, yang bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Zainun Ali, memerintahkan Ahmad Zahid membayar kos guaman RM5,000 kepada Amir Bazli Abdullah.
Terdahulu, peguam Datuk Shamsul Bahrain Ibrahim yang mewakili Ahmad Zahid memohon kepada mahkamah supaya memberi kebenaran kepada anak guamnya untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan dengan berkata lima persoalan undang-undang telah dikemukakan untuk dipertimbangkan mahkamah itu.
Raus berkata oleh kerana isu yang ditimbulkan Shamsul Bahrain berbentuk fakta, maka ia perlu dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Tarikh bagi perbicaraan di Mahkamah Tinggi ditetapkan pada 26 dan 27 Ogos.
Dalam saman yang difailkannya pada 4 Julai 2007 untuk menuntut ganti rugi, Amir Bazli, 42, mendakwa pada 16 Jan 2006, Ahmad Zahid menumbuk mukanya di Kelab Rekreasi Country Heights di Kajang hingga menyebabkan tulang hidungnya patah dan matanya bengkak.
Pada 29 Ogos 2006, Ahmad Zahid memohon kepada Mahkamah Tinggi supaya mengetepikan saman itu atas alasan ia adalah perkara remeh.
Permohonan beliau ditolak Mahkamah Tinggi pada 21 April 2010. Pada 15 Mac tahun lepas, Mahkamah Rayuan juga menolak permohonan beliau itu.
Ahmad Zahid memfailkan tuntutan balas terhadap Amir Bazli untuk menuntut ganti rugi bagi distres teruk, malu dan keresahan yang dialaminya, di samping ganti rugi fitnah berhubung penyiaran kejadian yang didakwa berlaku itu selepas Amir Bazli menemui media.
Dalam penyata bela dirinya, Ahmad Zahid, yang ketika itu adalah timbalan menteri penerangan, menafikan beliau pernah menumbuk Amir Bazli hingga mencederakan mukanya dan mendakwa perkara itu sengaja direka Amir Bazli. - Bernama