pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Ahad, 20 September 2015

CATATAN DHUHA BERSAMA USTAZ IDRIS AHMAD.

CATATAN DHUHA SEMINGGU OLEH YB. USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS/ MP Bukit Gantang
( 30 Zulkaedah - 06 Zuhijjah 1436 )


Catatan Dhuha

Pendakwah yang mendapat sambutan baik, yang cergas dan berbakat sentiasa terdedah kepada cacian lidah orang yang hasad. Mereka dengki pada ilmu dan kelebihan yang ada pada para du'at. Mereka berusaha untuk mencari peluang menjatuhkan imej para du'at dengan apa cara sekali pun, tetapi masih gagal. Akhirnya penghasad diserang sakit jiwa. Ust Hj Idris Hj Ahmad 30 Zulqaedah 1436. 14 Sept 201 Isnin.



Catatan Dhuha
Mereka silap membuat perhitungan, andaian untuk menjatuhkan maruah pejuang tulin. Walau pun menggunakan berbagai gerak saraf namun tidak berjaya. Pendakwah masih tenang dan senyum yang sakit jiwanya penghasad. Pedakwah tegar seperti emas tulin, selagi dibakar dengan api yang kuat maka akan tambah berkualiti . Ust Hj Idris Hj Ahmad 1 Zulhijjah 1436. 15 Sept 201 Selasa.



Catatan Dhuha
Ahli Pas tulin mereka tidak boleh diancam, terus mereka bangkit bersatu dan mempertahankan jamaah yang mereka sayang. Ancaman sebagai panggilan untuk mereka bangkit mempertahnakan parti dan memperkukuhkan parti. Sejarah membuktikan, ikatan ukhwah dan semangat pengorbanan yang tinggi akan dizahirkan apabila suasana terancam. Ust Hj Idris Hj Ahmad 2 Zulhijjah 1436. 16 Sept 201 Rabu.



Catatan Dhuha
Apa motif Malaysian Insider yang menyiarkan berita YB Ustaz Nik Abduh, kononnya berada di lokasi himpunan merah semalam. Sikap tidak cermat atau adakah Malaysian Insider mempunyai agenda yang tersembunyi terhadap Pas. Kalau pun tidak suka dengan Pas, jangan gadaikan prinsip kewartawanan. Kami tidak minta dipuji, tetapi kami tuntut kejujuran dan amanah. Ust Hj Idris Hj Ahmad 3 Zulhijjah 1436. 17 Sept 2015 Khamis.


Catatan Dhuha
Tugas Pas ialah mendidik ummah supaya menjadi manusia yang berilmu dan beramal, dengan ini akan melahirkan kebijaksanaan. Mereka bijak menggunakan ilmu untuk manfaat diri dan ummah. Tidak ada makna mempunyai ilmu tetapi tidak tahu membezakan antara hak dan batil.
Ust Hj Idris Hj Ahmad 
4 Zulhijjah 1436. 18 Sept 2015 Jumaat.



Catatan Dhuha
Pendengki akan menjadi batu api dalam masyarakat dan jamaah. Syaitan menghasut mereka jangan menghentikan kerja ini seolah-olah ini merupakan amalan baik dan berfaedah. Banyak tuduhan palsu disebarkan untuk mengobarkan kebencian dan permusuhan sesama sendiri. Pelaku ini tidak mengambil kisah mengenai amaran dan ancaman daripada Allah SWT. Ust Hj Idris Hj Ahmad 5 Zulhijjah 1436. 19 Sept 2015 Sabtu.



Catatan Dhuha
Pas sebagai Harakatul Ummah ( Gerakan Massa) dianggotai oleh berbagai lapisan manusia. Ada yang cerdik, ada yang jahil, ada yang wara', ada yang kurang, ada yang berkelulusan universiti, ada yang sekolah atap, ada yang kuat, ada yang lemah. Inilah dinamiknya Pas. Apa yang penting, kita mesti meletakkan diri kita diposisi yang boleh memberi sumbangan kepada perjuangan. Ust Hj Idris Hj Ahmad 6 Zulhijjah 1436. 20 Sept 2015 Ahad.

Rabu, 16 September 2015

USRAH FUTSAL DPPK BD, SIHAT BADAN AKAL CERDAS.

USRAH FUTSAL : DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN BAGAN DATOH ANJURKAN USRAH SAMBIL BERSUKAN

Selaian memperoleh pengisian jiwa, tubuh badan juga perlu sihat.


PARIT 4, SG. SUMUN : Lajnah Tarbiyyah & Pengkaderan DPPK Bagan Datoh dengan kerjasama Lajnah Keseniaan, Kebudayaan & Sukan telah mengadakan Usrah Mingguan DPPK tersebut dengan acara beriadhah iaitu bermain futsal.

Matlamatnya ialah untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dikalangan anak-anak muda khususnya Pemuda PAS di kawasan Bagan Datoh.

Sebahagian pemain bergambar kenangan setelah selesai aksi di atas gelanggang.

Berehat setelah kepenatan. Sebahagian pemain duduk sambil berehat setelah bermain kira-kira 20 minit.

Aksi menarik para pemian di atas gelanggang.


Sesi tazkirah oleh KP, Ustaz Amir Hamzah.




KONGRES RAKYAT : DEKLERASI RAKYAT SHAH ALAM

KONGRES RAKYAT : MEMBINA MALAYSIA SEJAHTERA
DEKLERASI RAKYAT SHAH ALAM


Kongres Rakyat bertemakan MEMBINA MALAYSIA SEJAHTERA dengan ini mengisytiharkan:

1- Bersatu untuk membentuk sebuah Malaysia yang makmur dalam kerangka integrasi nasional dan bersama-sama menggembelingkan tenaga bagi menangani krisis yang sedang melanda negara.

2- Bertindak menyedarkan rakyat ke arah mengembalikan semula tunjang-tunjang sistem ketatanegaraan yang adil dan saksama melalui kerangka Perlembagaan Persekutuan dan mengkaji semula semua undang-undang yang memeras rakyat.

3- Bertindak mewujudkan amalan politik yang tulus dan telus seterusnya mengawal kegiatan politik dan perilaku ahli-ahli politik agar tidak menggugat kestabilan dan keharmonian negara.

4- Menjadikan agenda pendidikan sebagai wahana terpenting ke arah memupuk kesedaran rakyat dalam membuat perubahan sosial, ekonomi dan politik, demi mengelakkan pendekatan yang boleh menghuru-harakan negara.

5- Berusaha sedaya upaya membela golongan rakyat yang terpinggir dari arus pembangunan seperti golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, pekebun kecil, golongan miskin, golongan yang tidak mampu bekerjaya dan lain-lain.

6- Bertindak mendesak kerajaan mengembalikan sistem pemisahan kuasa antara eksekutif , legislatif dan kehakiman bagi menjamin integriti dan ketelusan dalam urus tadbir negara.

7- Bertindak untuk menggesa kerajaan supaya diwujudkan segera satu badan perunding ekonomi negara yang lebih inklusif, mewakili semua golongan rakyat dan bebas dari pengaruh mana-mana pihak demi untuk menangani krisis ekonomi yang sedang berlaku.

Maka dengan ini, setelah menerima usul-usul dari akar umbi rakyat, mendengar secara langsung pandangan dari seluruh sektor masyarakat dan mengambilkira pandangan tokoh-tokoh masyarakat, Kongres Rakyat mengumumkan pembentukan satu Jawatankuasa Penggubal Pelan Tindakan Rakyat yang akan dipengerusikan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kongres, dan diuruskan oleh sekretariat. PELAN TINDAKAN ini akan dilancarkan pada 1 Muharam 1437 hijrah nanti.

KONGRES RAKYAT : FOTO -FOTO MENARIK SEPANJANG KONGRES BERLANGSUNG.

KONGRES RAKYAT : MENCARI PENYELESAIAN

Membina Malaysia Sejahtera.

















HARI MALAYSIA 52 : PERUTUSAN OLEH PRESIDEN PAS

PERUTUSAN HARI MALAYSIA PRESIDEN PAS

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran :
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)."
(Surat Al-Hujurat, ayat 13)

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat negara ini, bersempena dengan penubuhan sebuah negara hasil gabungan Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu hinggalah terbentuk dengan nama Malaysia pada 16 September 1963.

Perlu difahami, kita semua adalah kelompok manusia yang sangat bertuah dan unik, kerana berada dalam negara yang wujudnya kepelbagaian etnik yang berasal daripada berbagai bangsa dan datang dari pelbagai negara. Ditambah pula dengan kemeriahan etnik yang wujud di Sabah dan Sarawak sekian lamanya.
Adalah menjadi naluri buat manusia tanpa mengira latar belakang, kaum, agama dan sebagainya untuk hidup sebagai manusia yang bebas merdeka, sama ada merdeka jasad atau akal fikiran dari sebarang bentuk perhambaan. Tidak ada orang yang waras akalnya mahu hidup di bawah belenggu penjajahan, apatah lagi lagi dikawal minda dan tindakannya.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin menegaskan, sebagai pendokong dan penyokong kepada perjuangan Islam pastinya akan menentang segala bentuk penjajahan sama ada berbentuk sekularisme, liberalisme dan sebarang ideologi yang bercanggah dengan ajaran Islam.

PAS sangat menghargai peranan yang telah pun dimainkan oleh semua pihak dan tokoh terdahulu seperti Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Dr Burhanuddin Helmy, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan lain-lain lagi, yang menyumbang sehingga lahirnya negara kita dengan bentuknya yang ada pada ketika ini.

Mereka yang terdahulu, telah pun meletakkan asas negara kita, walaupun ada tindakan mereka yang kita tidak setuju kerana kelemahannya yang tersendiri. Namun, segala kelemahan orang lalu yang telah meninggal dunia ini tidak wajar untuk dibalas dengan kata nista, yang wajar kita lakukan adalah dengan sentiasa memohon kepada Allah SWT agar mereka dikurniakan keampunan.

Perlu difahami semua, peranan baik yang telah dilaksanakan akan dibalas dengan pahala. Sebarang kelemahan atau kesilapan lalu dalam merangka sebuah negara pula perlulah diperbaiki oleh kita yang masih dipinjamkan nyawa ini dan pastinya ia juga menjadi tanggungjawab generasi akan datang. Kehidupan berbagai bangsa dan agama, budaya dan bahasa yang wujud di Malaysia ini, pastinya mampu untuk menjadi resepi utama dalam melahirkan negara yang benar-benar menitikberatkan perihal kebajikan rakyatnya.

Pada saat ini, kita sedang menyaksikan betapa kerajaan UMNO-BN yang ada ini sudah diberi peluang memerintah lebih 50 tahun, namun ia sangat parah apabila kerajaan UMNO-BN ini kian membawa negara kepada virus yang membebankan rakyat melalui kenaikan kos hidup yang kian meningkat, kadar mata wang yang merundum jatuh, penyelewengan wang di institusi-institusi tertentu kian parah, keluhuran akhlak yang tidak lagi dianggap penting, kehidupan berpaksikan Islam kian dipinggirkan dan 1001 lagi kerosakkan yang berlaku, maka tentulah menjadi tanggungjawab buat kita semua untuk melakukan perubahan dengan berlandaskan Al-Quran dan Sunnah Rasullullah SAW.

PAS juga pastinya akan mempertahankan hubungan baik pelbagai kaum yang ada dengan berasaskan Islam yang sebenar-benarnya menerusi Al-Quran dan As-Sunnah, bahkan PAS komited untuk menjadikan kewujudan pelbagai etnik ini sebagai rempah yang boleh memperkasakan Malaysia itu sendiri.

Justeru, PAS menggesa kepada semua rakyat Malaysia untuk meyakini jalan yang benar-benar menyelamatkan kita semua sama ada di dunia mahupun akhirat pastinya adalah dengan bersama Islam.

"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
02 Zulhijjah 1436 H / 16 September 2015 M

HARI MALAYSIA KALI 52 : PERUTUSAN DARI DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PERAK.


Perutusan Hari Malaysia Dewan Pemuda PAS Perak



Alhamdulillah bersyukur di atas kurnia Allah S.W.T dengan nikmat Islam,Iman dan bernegara yang diberikan,masih lagi kita mengecapi kehidupan yang harmoni di Malaysia. Firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Al Hujurat :13)

Islam menyeru dalam kehidupan bernegara seharusnya membuka ruang yang luas untuk kita berkenalan, beramah-mesra, berurusan dan saling membantu tanpa mengira jantina, bangsa dan keturunan. Tiada perbezaan dalam kehidupan melainkan hanya ketaqwaan kepada Allah sahaja.

Cabaran ekonomi telah menghimpit Malaysia berada dalam tekenan yang dahsyat berpunca dari sifat tidak amanah kepimpinan Kerajaan. Dalam membentuk satu Malaysia yang sejahtera, rakyat harus bersatu menyatakan kebenaran dan membuat perubahan. Kepimpinan dalam Islam amat menekankan konsep amanah, keadilan, berkebajikan,bijaksana dan integriti. Seandainya Malaysia diurus tadbir dengan pendekatan Islam yang syumul, nescaya keamaan dan kesejahteraan akan terbina.

Dewan Pemuda PAS Perak terus istiqamah menyuburkan dakwah, membina keperibadian pemuda dan dalam masa yang sama secara konsisten memerangi kezaliman dan penipuan terhadap Rakyat.

Dewan Pemuda PAS Perak menyeru kepada semua rakyat khususnya di Perak agar menyambut Hari Malaysia dengan aman dan semangat patriotisme yang tinggi tanpa sentimen perkauman malahan disambut dengan dasar ketaqwaan kepada Allah SWT.


Mohd Akmal Bin Kamaruddin
Ketua Dewan Pemuda PAS Perak

2 Dzulhijjah 1436H / 16 September 2015

DPPN PERAK : JEREBU PERLU DITANGANI DEMI RAKYAT


KENYATAAN MEDIA DPP PERAK
[JEREBU PERLU DITANGANI DEMI RAKYAT]



1) Keadaan jerebu di Perak semakin membimbangkan. Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat pada bacaan 150 ke atas telah melanda beberapa kawasan.

2) Sehingga jam 12pm hari ini, bacaan IPU di kawasan SK Jalan Pegoh dan Jalan Tasek Ipoh melebihi 180 selain dari Seri Manjung yang turut mempunyai bacaan IPU yang tinggi.

3) Lebih membimbangkan pesakit yang mempunyai penyakit jangkitan saluran pernafasan diantara 6 hingga 13 September meningkat kepada 1,584 kes berbanding hanya 1,079 kes antara 30 Ogos hingga 5 September.

4) Jerebu boleh mengakibatkan gejala seperti bersin, kerengsaan mata, hidung berair, batuk dan sakit tekak disebabkan oleh kehadiran bahan pencemar di udara semasa jerebu. Sebahagian dari mereka terutama yang mempunyai masalah perubatan, mungkin mengalami gejala yang lebih teruk seperti kesukaran bernafas dan sakit dada

5) Sehubungan dengan itu, Dewan Pemuda PAS Perak menasihatkan agar masyarakat menjaga kesihatan diri dan keluarga. Penggunaan mask N95, perbanyakkan minum air serta mengurangkan aktiviti di luar amat penting ketika ini. Dalam masa yang sama doa terus dipanjatkan agar Allah SWT melindungi kita.

6) Dewan Pemuda PAS Perak juga mendesak kerajaan Negeri bersama Kerajaan Pusat menyelesaikan isu jerebu ini yang mana saban tahun kita menghadapinya. Masalah jerebu perlu ditangani dengan segera demi memastikan kesihatan rakyat lebih terjamin.


Mohd Akmal Bin Kamaruddin 
Ketua Dewan Pemuda PAS Perak

1 Zulhijjah 1436H / 15 September 2015

CATATAN DHUHA SEMINGGU OLEH YB. USTAZ IDRIS AHMAD.

CATATAN DHUHA SEMINGGU BERSAMA YB. USTAZ IDRIS AHMAD
NAIB PRESIDEN PAS/ MP BUKIT GANTANG
( 23 Zulkaedah - 29 Zulkaedah 1436 )




Catatan Dhuha
Pas menggunakan pendekatan yang berbeza untuk menarik segmen masyarakat yang berbagai latar belakang untuk bersama Pas. Kepimpinan Pas yang terdiri daripada ulamak, profesional dan aktivis parti mempunyai peminat dan pengikut yang tersendiri. Ertinya mereka yang minat kepada Pas akan masuk daripada berbagai pintu untuk berjuang bersama Pas. Ini menjadikan mereka tidak kekok bersama dengan Pas. Oleh sebab itu Pas sebagai sebuah gerakan massa, yang terdiri daripada berbagai kelompok manusia.Ust Hj Idris Hj Ahmad 23 Zulqaedah 1436. 7 Sept 2015 Isnin.



Catatan Dhuha
Semua manusia ada kelemahan peribadi, tetapi jangan pula akhlak buruk kita dizahirkan melalui tulisan dan komen-komen di media sosial. Allah tidak suka hambanya mendedahkan aib sendiri sehingga perkara yang selama ini orang tidak tahu keburukan peribadi diri kita menjadi tahu kerana gelagat yang ditunjuk oleh kita sendiri. Ust Hj Idris Hj Ahmad 24 Zulqaedah 1436. 8 Sept 2015 Selasa.



Catatan Dhuha
Tidak wujud pertembungan antara Ulama dan Profesional di dalam Pas. Apa yang berlaku ialah sikap individu yang mempunyai sifat mazmumah seperti sombong, merasa diri cerdik, memperlekeh orang lain. Sifat ini melanda semua manusia tidak kira apa status dan kedudukan. Manusia seperti ini duduk di dalam mana -mana parti sekali pun akan mendatangkan masalah. Oleh itu jangan salahkan Ulama atau Profesional. Ust Hj Idris Hj Ahmad 25 Zulqaedah 1436. 9 Sept 2015 Rabu.



Catatan Dhuha
Penawar yang paling mujarab untuk sebuah jamaah apabila semua anggota bersifat tawaduk. Tidak ada seorang pun manusia yang waras tidak suka kepada orang yang tawaduk. Inilah titik persamaan yang boleh memacu jamaah untuk terus cemerlang apabila semua anggota bersikap demikian. Walau pun sukar, tetapi itulah penawar .Ust Hj Idris Hj Ahmad 26 Zulqaedah 1436. 10 Sept 2015 Khamis.



Catatan Dhuha
Alfatehah. Jam 7.10 Petang, En Hj Wan Rahman Wan Abd Latif bekas Pensyarah Sains Politik UKM telah pergi menemui Allah SWT di HUKM. Beliau seorang guru dan juga sahabat saya. Pernah menjadi penyelia tesis MA saya di UKM bersama Af Ustaz Dr Idris Endut. Seorang yang wara', disegani oleh kawan-kawan di fakulti. Aktif Pas walau pun masih berkhidmat. Semoga Allah menempatkan rohnya bersama orang yang soleh, kebetulan pula pada malam Jumaat. Ust Hj Idris Hj Ahmad 27 Zulqaedah 1436. 11 Sept 2015 Jumaat.



Catatan Dhuha
Pemfitnah lahir dari mereka yang sakit jiwa dan tidak mengendahkan maruah orang dan tanggungjawab akhlak orang lain. Banyak tuduhan palsu dicipta untuk mengobarkan kebencian dan permusuhan yang didorong oleh perasaan dengki dan khianat. Banyak jamaah yang berpecah- belah kerana angkara manusia pendengki yang busuk hati; membawa fitnah ke sana ke mari tanpa rasa takut kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Tulisan di media sosial boleh kita nilai siapakah mereka. Ust Hj Idris Hj Ahmad 28 Zulqaedah 1436. 12 Sept 2015 Sabtu.



Catatan Dhuha
Memang sukar kita hendak berlaku adil kepada orang yang kita benci walau pun beliau berada di pihak yang benar. Emosi dan fikiran kita sering terganggu untuk menerima teguran, nasihat walau pun penuh fakta dan data. Sikap benci kita janganlah dizahirkan, mungkin selama ini orang ramai tidak ketahui. Usahlah buka aib sendiri. Ini belum lagi aib kita dibuka oleh Allah SWT. Nauzubillah. Ust Hj Idris Hj Ahmad 29 Zulqaedah 1436. 13 Sept 201 Ahad.

Selasa, 8 September 2015

TUAN GURU PRESIDEN : ALLAH MAHA BIJAKSANA MEMANDU ISTIQAMAH


ALLAH MAHA BIJAKSANA MEMANDU ISTIQAMAH

23 Zulkaedah 1436H / 07 September 2015M



Firman Allah SWT di dalam Al-Quran :

وَإِنْ جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ * وَإِنْ يُرِيدُوا أَنْ يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ اللَّهُ هُوَ الَّذِي أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ * وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ لَوْ أَنْفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ 

"Dan jika mereka (lawan atau musuh kamu) cenderung kepada perdamain, maka kamu hendaklah cenderung kepadanya, dan bertawakkal kepada Allah, sesungguhnya Dia (Allah) Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan jika mereka hendak menipumu, maka cukuplah Allah (bagi memelihara mu). Dialah yang menguatkan mu dengan pertolongannya dan orang-orang yang beriman (bersama mu). Dan Dia (Allah) berkuasa menyatukan diantara hati-hati mereka. Kalau Engkau belanjakan apa yang ada dibumi semuanya nescaya Engkau tidak dapat menyatukan hati-hati mereka, tetapi Allah telah menyatukan hati-hati mereka. Sesungguhnya Dia (Allah) Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana)."

(Surah Al-Anfal, ayat 61 - 63)

Al-Quran adalah petunjuk yang benar sepanjang zaman daripada Allah, dan Rasulullah adalah contoh kebijaksanaan manusia pilihan Allah. Namun Allah memandu dengan hidayah-Nya apabila membawa mesej dakwah membawa rahmat dan adil kepada seluruh manusia, sama ada dalam berjamaah atau bernegara. Di antaranya menjadikan konsep perdamaian diutama dan didahulukan, walupun terhadap musuh paling keras dan zalim, di atas asas yang sangat kukuh berkonsepkan :

[a] Thawabit

(Nas yang tidak boleh diubah dan tidak boleh berganjak daripadanya)

- iaitu perkara aqidah, dasar dan matlamat perjuangan Islam.

[b] Mutaghayyirat

(menerima perubahan dan anjal atau fleksibel)

- mengikut perkembangan situasi dan realiti, bersama kebijaksanaan yang tidak putus hubungannya dengan Thawabit.

Apabila Rasulullah SAW bersama para sahabatnya RA dihalang daripada masuk ke Makkah bagi menunaikan umrah yang diizinkan kepada semua, mengikut adat dan undang-undang masyarakat arab sejak zaman berzaman, tiba-tiba dicabul secara zalim, sehingga berlaku ketegangan yang diizinkan berperang, sampai berlakunya Bai’ah kesediaan berperang dengan tekad menang atau mati syahid. Tiba-tiba ditawarkan perdamaian Hudaibiyyah oleh musuh yang sangat zalim dan penipu besar, dengan syarat-syarat yang sangat berpihak kepada mereka, menyebabkan majoriti para sahabat RA mahu menolak keras perdamaian yang ditawarkan itu. Tetapi Rasulullah SAW, dengan petunjuk Allah, tetap mengutamakan perdamaian, tanpa peduli kepada syarat-syarat yang tidak adil dan kemungkinan penipuan daripada musuh. Para Sahabat pula tetap akur kerana keteguhan iman mengatasi semangat yang berkobar untuk bertindak dengan kesediaan setelah berbaiah.

Natijahnya ialah kekukuhan saf perjuangan dalaman dikalangan umat Islam sendiri yang terdiri daripada Muhajirin dan Ansar yang terkumpul daripada Aus dan Khazraj dengan hidayah Allah disatukan hati mereka, menambahkan lagi orang-orang yang menerima Islam dengan hidayah Allah juga. Peristiwa ini juga menyingkirkan kalangan munafik yang bersembunyi disebalik badan untanya, tidak layak mendapat hidayah kerana tidak ada Istiqamah, hanya menjadi duri dalam daging, beriman tanpa keyakinan kepada Allah yang menjanjikan kemenangan dengan mimpi benar kepada Rasulullah SAW. Allah SWT berfirman menerusi Al-Quran :

لَقَدْ صَدَقَ اللَّهُ رَسُولَهُ الرُّؤْيَا بِالْحَقِّ لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِنْ شَاءَ اللَّهُ آمِنِينَ

Sesungguhnya Allah membenarkan Rasul-Nya secara mimpi yang benar, bahawa kamu dapat masuk ke-Masjid Haram (Makkah) Insyallah dalam keadaan aman."

(Surah Al-Fath, ayat 27)

Tiba-tiba mereka dihalang dengan kekerasan yang hampir mencetuskan peperangan. Kalangan munafiq terdedah, apabila melihat dengan nyata mimpi tidak menjadi kenyataan, tanpa menyedari perkara yang tersirat dalam ilmu Allah dan Kebijaksanaannya. Ada pun kalangan yang beriman tetap menerima kenyataan Allah dan keputusan Rasulullah SAW walaupun tidak nampak hikmah dan tujuannya di masa itu secara spontan.

Allah menegaskan bahawa mereka masuk ke Makkah dalam keadaan aman, bukannya disekat dan diganggu sehingga kenyataan mimpi Rasullah SAW ditangguh. Rasulullah SAW menerima perintah Allah supaya mendahulukan perdamaian dengan keyakinan kefahaman kepada kekuasaan Allah yang berlaku disebaliknya. Ada pun para sahabat pula dibayangi penipuan dengan keangkuhan yang nyata dalam perjanjian Hudaibiyyah yang dimeteraikan :

[1] Tidak dibenarkan permulaannya dengan ditulis "بسم الله الرحمن الرحيم"dipaksa supaya menerima pakai ayat di masa jahiliyyah "باسمك اللهم".

[2] Mana-mana kalangan orang Madinah yang melarikan diri ke-Makkah tidak boleh diminta pulang. Ada pun orang Islam Makkah yang berhijrah ke Madinah wajib dihantar semula ke Makkah.

[3] Muhammad dan pengikutnya tidak dibenarkan masuk ke Makkah mengerjakan umrah pada tahun ini. Umrah mereka ditangguhkan di tahun hadapan.

Akhirnya, nyatalah hikmah berlakunya janji Allah kedatangan mereka yang masuk Islam berlipat-ganda dan berduyun-duyun, serta perpaduan kalangan mereka yang ikhlas sahaja. Negara Islam Madinah makin teguh dan kuat, berakhir dengan peristiwa Fathul Makkah (pembebasan Kota Makkah).

Allah telah menjinakkan hati-hati manusia dengan kewujudan perpaduan dalaman umat Islam di kalangan Muhajirin dan Ansar, Aus dan Khazraj dengan Hidayah yang tidak mungkin dicapai dengan perbelanjaan harta sepenuh bumi. Menolak sangkaan golongan munafiq dan lemah iman yang menyusup ke dalam jemaah Islam. Firman Allah :

بَشِّرِ الْمُنَافِقِينَ بِأَنَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا * الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ أَيَبْتَغُونَ عِنْدَهُمُ الْعِزَّةَ فَإِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا

"Berilah berita galakkan kepada orang-orang munafiq, bahawa untuk mereka azab yang sangat pedih. Mereka ialah kalangan orang yang memberi wali (kawan setia dan kepercayaan) kepada orang yang kafir bukannya kepada orang-orang yang beriman. Adakah mereka mahu mendapat kekuatan yang dapat memberi kemenangan daripada orang-orang yang kafir itu? Maka sesungguhnya kemuliaan dan keperkasaan yang memberi kemenangan itu semuanya daripada Allah."

(Surah An-Nisa', ayat 138 - 139)

Maka Rasulullah SAW menolak tawaran bantuan daripada bukan Islam ketika Badar dan Uhud, di mana Islam dalam keadaan sangat lemah, sebaliknya terus bertahaluf dan boleh menerima bantuan bukan Islam selepas Fathul Makkah, di masa Islam berada dalam keadaan yang sangat kuat. Menunjukkan mesej Islam bagi menyampaikan rahmat dan adil ketika kuat terhadap pihak yang lain, tegak di atas kekuatan sendiri. Bukan meminta dan menagih atau menumpang kekuatan pihak lain bagi kemenangan Islam, atau menipu kawan di masa lemah menendang kawan di masa kuat.

PAS wajib mengikut perjalanan ini, wajib beristiqamah dan eratkan hubungan dengan Allah, tarbiyahkan diri dengan ilmu dan iktibar pengalaman, dan ikhlaskan niat kerana keredhaan Allah demi menyelamatkan rakyat dalam negara Hidayah (petunjuk) bukan Negara Jibayah (berpijak hanya di atas duit yang dicukaikan), nescaya selamat daripada agenda tipu dalam semua pengalamannya. Ada orang yang menuduh PAS ditipu di masa menyertai Kerajaan Campuran (1970) dan bersama Barisan Nasional dahulu (1974-1978), sehingga ada yang keluar parti atau menubuh parti lain. Hasilnya pengaruh Islam masuk ke dalam semua kementerian dan jabatan kerajaan, serta institusi pendidikan yang melahirkan pelapis perjuangan lebih panjang. Parti yang ditubuhkan kerana protes mati atau bernyawa ikan diatas tanah yang kering menunggu mati, ada yang kembali semula kepada PAS, ada yang tersungkur keluar daripada medan perjungan.

Ada orang menuduh PAS ditipu apabila bersama Parti Semangat 46. Hasilnya, menawan Kelantan sehingga kini, sehingga berjaya melaksanakan sebahagian daripada Islam dan merancang, termasuk undang-undang syariat Allah iaitulah Qisas, Hudud dan Takzir. Parti semangat 46 sudah mati semangatnya. Ada orang menuduh PAS ditipu lagi kerana bersama Barisan Alternatif, kemudiannya Pakatan Rakyat. Hasilnya menawan semula Terengganu, menguasai Kedah, memimpin Perak, walaupun seketika, hasilnya kebanjiran ahli baru daripada semua kalangan, khususnya penganut Islam yang menjadi tonggak politik negara dan yakin PAS tidak mampu diperkudakan oleh DAP dan wujudnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) daripada kalangan bukan Islam. Mereka yang baru masuk PAS lebih ramai daripada yang mengata PAS ditipu dan terus memeluk DAP dengan kasih sayang tanpa batas atau menubuh parti baru yang manjadi mata rantai DAP. 

Ada lagi yang menuduh PAS ditipu Umno dalam isu Hudud, mereka memahami hudud itu berjaya apabila dilihat sudah ada tangan yang dipotong sekarang ini, tanpa menyedari betapa desakan melaksanakannya sudah masuk ke dalam jentera kerajaan dan ke dalam kalangan UMNO sendiri. Tidak lagi suara menghina dan mengejek saperti dahulu, kecuali kalangan yang sudah habis tempuh suaranya, laksana ubat yang sudah tamat tempuhnya.

Inilah hikmah apabila istiqamah dengan Allah SWT secara ilmu yang memandu kebijaksanaan, dan mengatur strategi yang boleh berubah di atas dasar dan matlamat Islam yang haram diubah. Kebiasaannya senario dahulu tidak berulang, hanya menjadi pengajaran untuk mengatur langkah meneruskan perjuangan.

PAS pernah ditendang keluar daripada Barisan Nasional pada tahun 1978 apabila dirasakan mereka kuat dan PAS sangat lemah dengan kejatuhan Kelantan. Namun, kebangkitan PAS selepasnya lebih kuat dan teguh. Kelantan di ambil semula dengan lebih kuat dan panjang umurnya. Kini PAS ditendang keluar oleh DAP yang merasa cukup kuat kerana memerintah hanya Pulau Pinang, namun sokongan kepada PAS lebih meningkat, walaupun beberapa ranting PAS kononnya berjaya dicantas, tetapi tunas yang tumbuh daripadanya lebih banyak dan lebih subur.

Jatikan diri jamaah ini ketika belum menang, kita adalah mulia bersama Islam di masa lemah dan kuat. Maka, perjuangan ini tidak layak bagi mereka yang tidak berani mebuka mulut bercakap Islam, lebih tidak layak kepada yang menagih kasihan pihak lain sehingga melupai pertolongan Allah kepada hamba-hambannya yang beriman dengan ikhlas. Perjuangan ini tidak layak bagi orang yang gopoh untuk menang sehingga tidak Istiqamah di atas aqidah perjuangan, tidak berpijak lagi di atas dasarnya dan sanggup membuang tanda hala tuju perjalanan menegakkan Islam kerana merasa malu dan hina bersama Islam. Semuanya disingkir atau tersingkir hanyut, masuk ke dalam perangkap sampah perjuangan, yang menyekat aliran perjalanan dan kemaraan perjuangan Islam yang sebenar. Firman Allah SWT :

أَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَسَالَتْ أَوْدِيَةٌ بِقَدَرِهَا فَاحْتَمَلَ السَّيْلُ زَبَدًا رَابِيًا وَمِمَّا يُوقِدُونَ عَلَيْهِ فِي النَّارِ ابْتِغَاءَ حِلْيَةٍ أَوْ مَتَاعٍ زَبَدٌ مِثْلُهُ كَذَلِكَ يَضْرِبُ اللَّهُ الْحَقَّ وَالْبَاطِلَ فَأَمَّا الزَّبَدُ فَيَذْهَبُ جُفَاءً وَأَمَّا مَا يَنْفَعُ النَّاسَ فَيَمْكُثُ فِي الْأَرْضِ كَذَلِكَ يَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ

"Allah menurunkan daripada langit itu air hujan yang mencurah, lalu mengalir ke lembah-lembah dan mengisi air mengikut kadar keluasan masing-masing. Aliran air itu juga membawa buih yang tidak berfaedah, namun di dalam air itu ada bahan berharga (logam) yang boleh dibakar menjadi perhiasan dan barangan yang mahal harganya, di samping buih itu juga. Allah menjadikan perbandingan di antara hak dan batil. Adapun buih (yang batil) itu hanyut menghilang, dan adapun yang memberi manfaat kepada manusia tetap melekat teguh di bumi. (Begitulah Allah menyatakan perbandingannya)."

(Surah Ar-Ra'du, ayat 17)

Sabda Rasulullah SAW :

وَاللهِ لَيُتِمَّنَّ الله هَذَا الأَمْر حَتَّى يَسيرَ الرَّاكبُ مِنْ صَنْعَاءَ إِلَى حَضْرَموتَ لاَ يَخَافُ إلاَّ اللهَ والذِّئْب عَلَى غَنَمِهِ ، ولكنكم تَسْتَعجِلُونَ

"Demi Allah ! Sesunguhnya Allah mesti menyempurnakan urusan Islam (sehingga menang), sehingga orang musafir yang jauh, daripada Sana'a ke Hadramaut (di Yaman) tidak takut lagi (kerana keamanan daripada pelaksanaan undang-undang Islam menentang jenayah khususnya Hudud), (melainkan takut kepada Allah dan takutkan serigala menangkap ternakannya), tetapi kamu terlalu gopoh mahukan kemenangan (tanpa Istiqamah)."

"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

CATATAN DHUHA SEMINGGU BERSAMA USTAZ IDRIS AHMAD.

CATATAN DHUHA SEMINGGU OLEH YB. USTAZ IDRIS AHMAD, 
NAIB PRESIDEN PAS
( 16 Zulkaedah - 22 Zulkaedah 1436 )

Catatan Dhuha
Tahniah kepada pejuang kemerdekaan, samaada mereka daripada aliran kanan atau kiri. Di Tanah Melayu yang meniupkan kesedaran untuk melawan penjajah ialah para ulamak yang terdiri daripada Tok Janggut, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong dan lain-lain tokoh. Kemudian kesedaran ini dilanjutkan oleh mereka yang pulang daripada Timur Tengah seperti Syed Sheik Al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaludin. Mereka ini mendapat semangat daripada Sheik Muhamad Abduh. Ust Idris Hj Ahmad 16 Zulqaedah 1436. 31 Ogos 2015 Isnin.


Catatan Dhuha
Tugas mereka yang terdahulu sudah selesai untuk membebaskan negara daripada cengkaman penjajah dengan berbagai-bagai pendekatan. Tugas kita sekarang ialah mengisi kemerdekaan dengan perkara yang boleh mendatangkan kebaikan ummah dan negara. Tidak ada makna merdeka jika pengisian selepas merdeka masih lagi berfikiran penjajah.
Ust Idris Hj Ahmad 
17 Zulqaedah 1436. 1 Sept 2015 Selasa.

Catatan Dhuha
Di dalam perjuangan manusia tidak boleh berlakon lama dan menyembunyikan apa yang tersirat di dalam hatinya. Lama kelamaan ia akan terserlah juga apa yang tersembunyi di dalam hatinya apabila sampai waktu dan ketika. Sebab itulah Saidina Umar pernah menyatakan, jika kamu hendak mengetahui hati budi seseorang, kamu perlu musafir bersamanya. Ust Hj Idris Hj Ahmad 18 Zulqaedah 1436. 2 Sept 2015 Rabu.


Catatan Dhuha 
Orang menuduh ahli Pas ketagih wala' . Persoalanya mana ada organisasi atau parti yang tidak perlu ahlinya wala' kepada ketuanya. Kumpulan haram dan samseng pun ada wala'. Saya sedang mencari kumpulan atau pertubuhan mana yang tidak perlu ahlinya wala' kepada ketua. Mungkin perkataan wala' itu bahasa Arab, maka mereka ingat hanya dituju kepada parti Pas sahaja. Masih mampu senyum. Ust Hj Idris Hj Ahmad 19 Zulqaedah 1436. 3 Sept 2015 Khamis.



Catatan Dhuha
Wala' ahli Pas bersyarat, selagi pemimpin taat kepada Allah, Rasul dan masih bersama dengan Pas. Sejarah membuktikan, Pas tidak tarbiah ahli untuk taksub kepada mana-mana individu. Doktrin ini yang diajar sehingga Pas mampu berada di persada politik tanah air, samaada ketika tenang dan bergelora.Ust Hj Idris Hj Ahmad 20 Zulqaedah 1436. 4 Sept 2015 Jumaat.



Catatan Dhuha
Nikmat yang Allah SWT beri kepada Pas ialah adanya ahli Pas yang ikhlas kepada Allah SWT. Nawaitu mereka di dalam Pas kerana Pas berpegang dengan dasar Islam. Walau pun mereka tidak belajar tinggi, tetapi kefahaman dan penghayatan mereka begitu tinggi. Mereka tidak akan meninggalkan Pas di dalam apa keadaan sekalipun kecuali Pas membuang dasar Islam. Mereka faham pemimpin boleh pergi, tetapi perjuangan mesti diteruskan. Ust Hj Idris Hj Ahmad 21 Zulqaedah 1436. 5 Sept 2015 Sabtu.



Catatan Dhuha
Sesiapa yang di dalam dirinya ada kebaikan tentu dia akan mengeluarkan kebaikan. Sesiapa yang di dalam dirinya hanya ada keburukan , tentu dia akan mengeluarkan keburukan. Marilah sama-sama kita melatih diri kita untuk menjadi hamba yang soleh, agar kalam yang keluar daripada kita dan tulisan kita di media sosial menggambarkan hati budi kita. Ust Hj Idris Hj Ahmad 22 Zulqaedah 1436. 6 Sept 2015 Ahad.

Rabu, 2 September 2015

CATATAN DHUHA SEMINGGU BERSAMA YB. USTAZ IDRIS AHMAD, MP BUKIT GANTANG


CATATAN DHUHA SEMINGGU OLEH YB. USTAZ IDRIS AHMAD
NAIB PRESIDEN PAS/ MP BUKIT GANTANG
( 09 Zulkaedah -15 Zulkaedah 1436 )


Catatan Dhuha
Jadikanlan diri kita bersifat "Rabbaniyyin" kerana ia merupakan benteng pertahanan untuk mengelak penyelewengan dan gugur daripada medan dakwah. Kecuaian para da'ie di dalam hal ini menyebabkan ia hanya sibuk menyampaikan seruan dakwah tetapi ia lupa untuk membentuk diri sendiri. Akhirnya ia menimbulkan fitnah kepada dakwah itu sendiri.Ust Idris Hj Ahmad 9 Zulqaedah 1436. 24 Ogos 2015 Isnin



Catatan Dhuha
Jika kita sebagai pejuang agama Allah tidak berada di bawah lindungan Allah SWT, tidak berhubung terus dengan Nya, tidak bertawakkal kepadaNya, tidak berpegang kepada KitabNya dan tidak pula mengikut SunnahNya . Bimbang kita akan berada diambang bencana, apabila diuji oleh Allah SWT, akhirnya tewas di medan perjuangan. Ust Idris Hj Ahmad 10 Zulqaedah 1436. 25 Ogos 2015 Selasa.



Catatan Dhuha
Jika kita mendedahkan kelemahan orang lain, kita juga mesti bersedia untuk menerima pendedahan mengenai kelemahan diri kita. Oleh itu kita mesti berusaha meminimumkan kelemahan diri kita supaya ia tidak menjadi bahan ketawa orang, apabila kita sendiri mempunyai masalah peribadi apabila kita hanya nampak kelemahan orang lain.Ust Idris Hj Ahmad 11 Zulqaedah 1436. 26 Ogos 2015 Rabu.



Catatan Dhuha 
Fitnah di alam siber lebih besar akibatnya. Beberapa saat sahaja ia sudah tersebar di seluruh dunia. Lebih daripada itu pula, tulisannya kekal, sukar untuk dipadam. Cuba bayangkan apa yang ditulis itu akan memberi kesan kepada memori seseorang sehingga sukar untuk mendapat pencerahan. Akibatnya tunggulah di mahkamah akhirat. Ust Idris Hj Ahmad 12 Zulqaedah 1436. 27 Ogos 2015 Khamis.



Catatan Dhuha
Berbaktilah kepada Agama Allah sebelum nyawa berada di hujung halkum dan martahari naik di sebelah barat. Pada ketika itu tidak ada guna lagi untuk kita beramal. Sebagaimana gelagat orang yang tidak beriman menyatakan bahawa“Ya Allah kembalilah ke dunia untuk kami beramal soleh dengan apa yang telah kami tinggalkan selama ini” (al-Mu’minun 23:99-100) Ust Idris Hj Ahmad 13 Zulqaedah 1436. 28 Ogos 2015 Jumaat.


Catatan Dhuha
Mohonlah kekuatan kepada Alah untuk kita melakukan amal soleh sewaktu hidup sebelum terlambat. Gunakanlah peluang hidup sebelum ajal datang mengejut. Kerana kita sering terdedah dengan mala petaka dan bencana, bila -bila masa sahaja nyawa boleh tercabut. Saat itu tidak berguna lagi untuk kita berbakti kepada agama Allah SWT. Ust Idris Hj Ahmad 14 Zulqaedah 1436. 29 Ogos 2015 Sabtu.


Catatan Dhuha
Siapa yang panjangkan umur dan menghabiskan untuk taat kepada Allah maka kebajikan akan bertambah dan darjat pun akan meningkat tinggi. Setiap hari ia mengerjakan amal bakti dan berebut untuk mendapatkannya. Kerana ia sedar bahawa amal soleh hanya boleh dilakukan di dunia sahaja kerana akhirat ialah tempat balasan bukan tempat amalan. Sebaliknya jika ia dipanjangkan umur ,dihabiskan untuk melakukan maksiat dan menderhakai Allah maka ini adalah celaka kerana ia menambahkan kejahatan dan menambahkan maksiat kepad Allah. Ust Idris Hj Ahmad 15 Zulqaedah 1436. 30 Ogos 2015 Ahad.

CATATAN DHUHA SEMINGGU BERSAMA NAIB PRESIDEN, USTAZ IDRIS AHMAD


CATATAN DHUHA SEMINGGU OLEH YB. USTAZ IDRIS AHMAD
NAIB PRESIDEN PAS
( 2 Zulkaedah - 8 Zulkaedah 1436 )



Catatan Dhuha
Jangan pula kita berhujah, seolah-olah Pas kena melepaskan dari sudut hukum, kalau hendak berpolitik. Dengan andaian kalau persoalan agama diambil kira maka sukarlah Pas hendak maju. Mereka anggap Pas, Parti yang tidak sampai ke mana-mana, kerana perjuangan Islam tidak akan diterima. Pas terus berjalan di atas landasan perjuangan yang telah digariskan, tanpa mempeduli apa tuduhan yang dilemparkan. Ust Idris Hj Ahmad 2 Zulqaedah 1436. 17 Ogos 2015 Isnin.



Catatan Dhuha
Pas sentiasa progresif dalam tindakan dan pemikiran sesuai dengan Islam yang sentiasa menggerakkan penganutnya ke hadapan bukan mundur ke belakang. Sebab itu Pas banyak melakukan ijtihad politik yang berdasarkan kepada nas syarak. Kalau hendak suruh Pas progresif sehingga meninggalkan asas sebenar, lebih baik Pas daripada awal tidak payah berlawan dengan Umno BN.Ust Idris Hj Ahmad 3 Zulqaedah 1436. 18 Ogos 2015 Selasa.



Catatan Dhuha
Apakah maksud Pas perlu progresif?. Adakah perlu meninggalkan paksi perjuangan Islam? Adakah progresif Pas perlu memperjuang Islam tanpa syariat? Apakah kita kena bagi tahu kepada masyarakat Pas tidak menyokong perjuangan menegakkan Syariat Allah di muka bumi ini?. Apakah Pas kena sangkut Islam di pagar masjid sahaja?. Apakah Pas tidak perlu bercakap bab akidah?. Apakah Pas tidak perlu bercakap bab akhlak?. Apakah kita tidak perlu bercakap bab daulah?.Ust Idris Hj Ahmad 4 Zulqaedah 1436. 19 Ogos 2015 Rabu.



Catatan Dhuha
Di fitnah dan dihina merupakan perkara yang lumrah kepada seorang yang menjadi pemimpin. Sewaktu dihina jangan kita berduka cita dan kecewa, mungkin itu ujian yang harus diterima. Kalau apa yang dihina itu betul, mungkin itu kifarat Allah atas kesalahan kita. Jika itu fitnah, kita mengharapkan Allah memberi pahala dan biarlah Allah yang menghukum mereka yang melakukan fitnah. .Ust Idris Hj Ahmad 5 Zulqaedah 1436. 20 Ogos 2015 Khamis.



Catatan Dhuha
Almarhum Tuan Guru Nik Aziz yang dianggap lembut perwatakanya tetapi tegas pada prinsip. Saya masih ingat apabila ada seorang tokoh agama yang mengatakan bahawa Kelantan tidak kondusif lagi untuk hendak laksanakan Qanun Jenayah Syariah. Beliau dengan tegas menjawab, Kelantan sudah lama kondusif. Beliau tidak pernah berganjak dan bertolak ansur pada perkara prinsip. Ust Idris Hj Ahmad 6 Zulqaedah 1436. 21 Ogos 2015 Jumaat



Catatan Dhuha
Hidup ialah nikmat anugerah Allah kepada manusia. Ia juga merupakan satu tanggungjawab yang perlu ditunaikan sebagai khalifah Allah untuk memakmurkan muka bumi ini. Nabi SAW telah bersabda “Orang yang terbaik di kalangan manusia ialah orang yang panjang umur dan baik pula amalannya”. Manfaatkanlah umur untuk perjuangan Islam. Kerana setiap detik dan saat akan dihisab di hadapan Allah SWT. Ust Idris Hj Ahmad 7 Zulqaedah 1436. 22 Ogos 2015 Sabtu.



Catatan Dhuha
Ketika kita hidup sihat dan kuat maka habiskanlah umur kita kepada perjuangan. Tidak ada makna hidup tanpa perjuangan. Apa erti kita menjadi manusia sekiranya Islam tidak dihayati oleh manusia lain? Apa erti kita sebagai khalifah Allah sekiranya kita tidak memperdulikan kepimpinan negara yang kianat kepada amanah rakyat? Ust Idris Hj Ahmad 8 Zulqaedah 1436. 23 Ogos 2015 Ahad



jambori amal kuala kangsar 2008