pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Ahad, 8 April 2018

DPPM : TUN MAHATHIR JANGAN ANAK TIRIKAN PANTAI TIMUR LAGI !


KENYATAAN MEDIA 
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

TUN MAHATHIR JANGAN ANAK TIRIKAN PANTAI TIMUR LAGI!

7 APRIL 2018 | 21 REJAB 1439


DPPM menyelar pandangan Tun Mahathir yang menyatakan hasrat untuk membatalkan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jika Pakatan Harapan memenangi PRU ke-14. Sikap Tun Mahathir seolah – olah menunjukkan beliau berdendam pada rakyat di negeri-negeri Pantai Timur yang ternyata telah berlaku sejak zaman beliau menjadi Perdana Menteri lagi.

PAS berpengalaman dicengkam ekonomi dan ditarik subsidi minyak petronas di Kelantan dan Terengganu ketika zaman pemerintahan beliau. Rekod pengkhianatan kepada rakyat pantai timur tidak berakhir begitu sahaja, Tun Mahathir sekali lagi di waktu pemerintahan beliau, dengan sengaja menyekat pemberian ikut kepala (capitation grant) kepada kerajaan Negeri Kelantan. Pemberian capitation grant ini sepatutnya dibayar kembali kepada kerajaan negeri kerana ia merupakan hasil kutipan cukai dari rakyat negeri tersebut. 

Namun, dendam kesumat Tun Mahathir mengatasi segalanya. Beliau lebih berselera menjadikan rakyat pantai timur sebagai mangsa nafsu peribadi akibat kegagalan agenda politik beliau dahulu.

Kali ini, Pengerusi Pakatan Harapan itu meluahkan hasrat untuk membatalkan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sedang giat dijalankan. Pembinaan yang bertujuan menghubungkan pelabuhan utama di Pantai Barat ke Pantai Timur Semenanjung ini sepatutnya dilihat dari aspek makro bukan semata atas sentimen politik. 

Sememangnya projek infrastruktur berimpak tinggi ini akan merangsang pertumbuhan ekonomi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dari aspek kesalinghubungan antara kawasan-kawasan industri, peluang pekerjaan, pembangunan luar bandar, pendidikan, pengkomersialan barang dagangan , di samping menawarkan perjalanan alternatif kepada rakyat.

PAS kekal berpendirian untuk bersama membangun ekonomi rakyat khususnya di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang mewakili 51 % daripada Semenanjung Malaysia. Di samping itu, PAS juga melihat Foreign Direct Investment (FDI) baik untuk, bukan sahaja silang-ilmu dan kepakaran, tetapi juga memberi kebaikan untuk aliran ekonomi negara dan rakyat.

Walau bersetuju dengan pembangunan ECER, PAS menekankan perlunya berbelanja dengan berhemah, telus serta tiada ketirisan berlaku. Amalan rasuah perlu di bendung supaya kos tidak melambung tinggi kerana kelak akhirnya yang rakyat yang terpaksa menanggung beban akibat sikap tidak bertanggungjawab tersebut.

Rakyat tempatan perlu di utamakan dalam sektor pekerjaan. Agak malang jika impak atau limpahan ekonomi daripada projek berskala besar sebegini tidak membawa manfaat kepada rakyat setempat. Satu sudut, Kerajaan perlu benar – benar memperhalusi konsesi dengan tujuan supaya tidak hanya sebelah pihak sahaja yang mendapat manfaat daripada projek atau limpahan ekonomi tersebut. 

Akhir kata, DPPM ingin mengingatkan Tun Mahathir agar bersikap matang dalam berpolitik dan mengutamakan kepentingan rakyat khususnya di kawasan pantai timur. Jangan kerana kepentingan peribadi, keperluan rakyat di’bakulsampah’kan

“MARA MENUJU CITA”
“SEJAHTERA BERSAMA ISLAM”

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Sabtu, 7 April 2018

MINDA PRESIDEN PAS : TEGAKKAN ISLAM, SEMUANYA SELAMAT

Minda Presiden PAS
TEGAKKAN ISLAM, SEMUANYA SELAMAT

Firman Allah:
فَلَا تُزَكُّوٓاْ أَنفُسَكُمۡۖ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَنِ ٱتَّقَىٰٓ (النجم: 32)
“Janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja Yang Lebih Mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa).” (Surah An-Najm: 32)
Allah juga berfirman:
وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ (11). الضحى
“Dan adapun dengan nikmat Tuhan mu, maka hendaklah kamu ucapkan (menandakan kesyukuran kepada-Nya).” (Surah Ad-Dhuha: 11)
PAS bersyukur kepada Allah dan mengucap terima kasih, apabila pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi jawapan di Parlimen kepada soalan statistik pemimpin parti yang disoal siasat oleh SPRM. Jawapannya, BN paling besar jumlahnya dan diikuti oleh Pakatan Harapan (PH).
BN yang dipimpin oleh Umno sudah memerintah lebih daripada setengah abad, tidak dianggap luar biasa sifat kelemahan makhluknya. PH pula memerintah Pulau Pinang dan Selangor hanya dua penggal, namun sudah diadukan ada jangkitan wabak rasuah atau salah laku, disertakan pula oleh kalangan mereka pernah menjadi pemimpin BN dahulunya.
Walaupun baru di peringkat soal siasat yang tidak diketahui apakah keputusannya, Islam melarang kita menuding jari dan terus menjatuhkan hukuman sebelum dibuktikan dengan seadil-adilnya, kerana ada kalangan orang yang suka menuding jari dengan mudah.
Walaupun kita berpegang kepada kata-kata “pokok tidak bergoyang kalau tidak ada angin bertiup”, namun PAS tidak boleh menjatuhkan hukumannya semudah itu. Kebiasaannya pula, semua hilang dilupakan begitu sahaja seperti surat khabar lama dan dighaibkan dalam lipatan fail di bawah undang-undang manusia yang berkuasa. Kalau dikuatkuasakannya pula, hanya sekadar laksana sarang labah-labah yang memerangkap makhluk perosak yang kecil dan lemah sahaja.
Rakyat yang tidak mudah lupa semestinya ingat senarai nama yang datang bertali arus dan dilenyapkan satu demi satu. Bukan semua Melayu mudah lupa. Sudah tentu masih terpahat dalam ingatan bagi mereka yang tidak lupa terhadap nama-nama seperti BMF, KWSP, PERWAJA, Skyhawk, PETRONAS, FOREX, PERWAJA, Tabung Haji, PKFZ, Maika Holding, Kapal Selam dan lain lain. Malangnya semuanya berlalu tanpa natijah.
Terkini BN terpalit dengan 1MDB dan PH pula Rumah Banglo dan lainnya. Semuanya masih perlu disiasat dengan adil dan telus bersama konsep iman dan budiman sama ada kes-kes dahulu, kini dan akan datang selepas ini sekiranya terus diberi peluang lagi tanpa perubahan.
PAS pula tidak bertujuan menjatuhkan individu pemimpin semata-mata, bahkan PAS mahu perubahan total sikap dan pendekatan salah laku semua pemimpin. Maka jangan disalahkan kalau PAS tidak terikut dengan hanya 1MDB yang disebut-sebutkan oleh semua parti yang lain, tetapi melupakan skandal-skandal terdahulu. PAS tidak lupa semuanya kerana Melayu PAS tidak mudah lupa.
Alhamdulillah PAS kosong dan tidak ada markah salah laku untuk disiasat. PAS hanya pernah menerima tindakan ISA tanpa bicara atau tanpa mahkamah, menjadi korban seperti Peristiwa Memali dan sebagainya, dirampas haknya dan rakyat yang menyokongnya, sama ada pegawai kerajaan atau rakyat biasa menjadi mangsa kezaliman sepanjang masa, kerana kesalahannya kalau bersama PAS. Parti yang masih muda dan mentah belum merasai apa yang dialami oleh PAS.
Sepatutnya sudah cukup diberi kepercayaan oleh rakyat kepada PAS bagi memimpin negara mengikut keputusan pertandingan rasuah dan salah laku itu.
Sepatutnya PAS diberi kuasa yang lebih kuat oleh rakyat dalam PRU 14 ini supaya terus melangsungkan jasa dan pengorbanannya yang lebih besar menyelamatkan negara dan rakyat bersama Islam.
PAS berkemampuan menyembuhkan penyakit yang menimpa negara dan membebankan rakyat sekiranya diberi kuasa memerintah negara. Bukan sahaja penyakit rasuah dan salah laku, begitu juga seperti cukai yang membebankan, harga barangan yang sentiasa melambung, kos sara hidup yang mengongkong, tiada peluang pekerjaan, menanggung hutang PTPTN, kadar jenayah dan kemalangan yang meningkat dan sebagainya.
Rahsia kejayaan PAS di peringkat negeri kerana PAS beristiqamah bersama Islam, di masa menang berkuasa atau kalah sehingga merempat dibelasah berbagai cara. Rahsianya juga PAS berserah kepada Allah dan terus berjuang menyelamatkan rakyat dengan hidayah Allah bernama Islam, aqidah, syariat dan akhlak, berwawasan dunia sehingga akhirat yang percayakan dosa dan pahala dalam kegiatan politiknya. Bukan sekadar kalah menang pilihan raya yang dihukum oleh rakyat atau mahkamah dunia dan undang-undang ciptaan manusia.
PAS mengajak rakyat bersama Islam yang sempurna untuk menyelamatkan semua. Selamatkan bangsa sahaja tanpa Islam, bangsanya tidak selamat juga. Inilah nasib laungan hidupkan Melayu sahaja tanpa Islam yang diimani dan diamal sepenuhnya. Hanya tegakkan Islam yang memerintah, nescaya Melayu selamat dan semua bangsa selamat.
Kepada penganut Islam, percayalah bahawa Islam menjadi penyelamat Melayu yang telah pun menganut Islam. Manakala bukan Islam pula jangan takut kepada Islam yang dibawa PAS ini. PAS bukan Taliban dan bukan ISIS.
Cubalah bersama PAS! Wajib akan disaksikan bahawa Islam adil untuk semua dan rahmat Allah kepada seluruh alam.
PAS telah menunjukkan betapa kerajaannya tanpa campuran di Kelantan sehingga kini dan di Terengganu. PAS pernah memimpin Kerajaan Campuran di Kedah, PAS pernah juga menyertai kerajaan yang dipimpin DAP di Pulau Pinang dan dipimpin PKR di Selangor. Terbukti betapa bersihnya pemimpin PAS.
Dahulunya, PAS juga pernah bersama menubuhkan BN, namun PAS selamat apabila nakhoda bahteranya tidak menggunakan kompas yang betul. Bukan memuji diri sendiri, namun diakui oleh lawan dan musuh yang sentiasa mengintai kesalahannya, walaupun yang terlalu kecil nescaya diperbesarkannya. Kalau dikesan sedikit kesalahan PAS walaupun hanya noktah yang kecil, diperbesarkan laksana kubah yang paling besar diangkat tinggi.
Hanya budaya fitnah digunakan bagi melawan PAS. Inilah sebabnya PAS menyokong undang-undang melawan fitnah. PAS tidak takut kepada undang-undang ini kerana PAS mengharamkan ahlinya melakukan fitnah, bahkan PAS bersedia menerima kalau ada kalangannya yang melakukan fitnah supaya dikeluarkan daripada PAS. Hanya kalangan yang berkepentingan dengan berita bohong dan fitnah sahaja menentang sekeras-kerasnya. Kalau benar mestilah berani dan kalau takut memang bersalah.
Dihukumnya PAS mendapat habuan 90 juta untuk melawan orang yang bagi 90 juta itu pula. Hujah yang sangat fitnah dan berputar belit. Dihukumnya PAS tanpa mahkamah yang sebenarnya, dihukumnya PAS dengan Mahkamah Media Sosial dengan hujung jari tanpa otak dan akalnya yang tidak nampak rupa paras hakim dan saksinya.
PAS terlalu murah harganya kalau sekadar 90 juta, pada halnya untuk dapat lebih daripada itu boleh diusahakan bersama ahlinya yang mencecah 1 juta, tanpa pelahap kepada sumbangan pihak lawan yang tidak menunjukkan sikap yang ikhlas.
PAS tegas membawa ke mahkamah di UK di tempat dilemparkan batu sembunyi tangan, walaupun sudah ada orang tengah yang cuba memujuk supaya selesai di luar mahkamah setelah marasakan kalahnya kerana berita palsu.
Dijadikan modal kempen juga PAS pernah menyokong kerajaan apa sahaja yang berkait dengan kebaikan negara dan rakyat, PAS tetap membangkang segala kemungkaran. PAS bukannya pembangkang yang bertempik dan bersorak melulu tanpa akhlak. Sikap PAS berpandukan Al-Quran dan Sunnah supaya kita menerima yang baik dan benar walaupun daripada musuh. Inilah pendekatan hidayah Allah.
Firman Allah:
﴿ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ  وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ  إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ  وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ١٢٥ وَإِنْ عَاقَبْتُمْ فَعَاقِبُوا بِمِثْلِ مَا عُوقِبْتُمْ بِهِ  وَلَئِنْ صَبَرْتُمْ لَهُوَ خَيْرٌ لِلصَّابِرِينَ١٢٦ وَاصْبِرْ وَمَا صَبْرُكَ إِلَّا بِاللَّهِ  وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلَا تَكُ فِي ضَيْقٍ مِمَّا يَمْكُرُونَ١٢٧ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَوْا وَالَّذِينَ هُمْ مُحْسِنُونَ١٢٨﴾ [النحل: 125-128]
“Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad S.A.W.) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang Engkau serukan itu) dengan cara yang terbaik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat Hidayah petunjuk. (125) Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan seksama Yang sama seperti Yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) Sesungguhnya Yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang Yang sabar. (126) Dan bersabarlah (Wahai Muhammad S.A.W.)terhadap perbuatan dan telatah golongan Yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah Engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah Engkau bersempit dada disebabkan tipu daya Yang mereka lakukan. (127) Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang bertaqwa, dan orang-orang Yang berusaha memperbaiki amalannya). (128)” (Surah An-Nahl: 125-128)
Sabda Rasulullah S.A.W di antara tanda munafik itu ialah:
وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ صحيح البخاري (1/ 16(
“Apabila dia berdebat atau berkelahi, dia jahat”
Bermaksud menolak juga yang baik kerana mahu menang berdebat.
Maka PAS mengikut Sunnah Rasulullah S.A.W apabila mencapai kemenangan (Fathu Makkah), mendahulukan kemaafan bukannya geram dan dendam menghukum apabila berkuasa.
PAS tidak berketuakan orang yang menolak Sunnah Rasulullah S.A.W dan menyalahgunakan akalnya yang bijak sehingga dirasakan seperti Tuhan atau memilih hukum Allah secara terpilih, berani mengkritik hukum Tuhan, atau membuat andaian kalau menjadi Tuhan.
PAS tidak boleh berketuakan orang jahil murakkab dalam agamanya, yang tidak sedar dirinya jahil. Kalangan seperti ini disebut oleh Rasulullah S.A.W sebagai muncul menjadi tanda dunia akhir zaman.
Sabda Rasulullah S.A.W.
الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنَ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ وَفِي كُلٍّ خَيْرٌ احْرِصْ عَلَى مَا يَنْفَعُكَ وَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَلَا تَعْجَزْ وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ فَلَا تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللَّهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ – حديث صحيح رواه مسلم
“Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada orang beriman yang lemah. Namun tiap-tiapnya diberi kebaikan. Bersungguhlah lakukan apa yang memberi manfaat kepadamu, mintalah pertolongan Allah, jangan merasa lemah. Kalau engkau ditimpa sesuatu musibah (keburukan) jangan berkata: “Kalau aku buat begini tidak jadi begini”. Katakanlah: “Takdir Allah”. Apa Allah kehendaki pasti berlaku mengikut kehendaknya. Kerana perkataan ‘kalau’ adalah membuka kerja Syaitan” (Hadis Sahih Muslim)
Maka kalau bercakap berkenaan takdir pun besar padahnya, maka kalau diandai dia si makhluk menjadi Tuhan sangat besar padahnya.
Allah memerintah supaya bersama Al-Quran yang disertakan Sunnah Rasulullah S.A.W.
﴿وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ  وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا٣٦﴾ [الأحزاب: 36]
“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya, maka Sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata).” (Surah Al-Ahzab: 36)
Maka jangan memilih yang sesat atau yang salah lakunya, kerana menuju kepada sesat juga. Allah akan mengumpul semuanya pada Hari Kiamat nanti, bukan hanya sekadar habis pilihan raya. Firman Allah:
﴿إِذْ تَبَرَّأَ الَّذِينَ اتُّبِعُوا مِنَ الَّذِينَ اتَّبَعُوا وَرَأَوُا الْعَذَابَ وَتَقَطَّعَتْ بِهِمُ الْأَسْبَابُ١٦٦ وَقَالَ الَّذِينَ اتَّبَعُوا لَوْ أَنَّ لَنَا كَرَّةً فَنَتَبَرَّأَ مِنْهُمْ كَمَا تَبَرَّءُوا مِنَّا  كَذَلِكَ يُرِيهِمُ اللَّهُ أَعْمَالَهُمْ حَسَرَاتٍ عَلَيْهِمْ  وَمَا هُمْ بِخَارِجِينَ مِنَ النَّارِ١٦٧﴾ [البقرة: 166-167]
“(Ingatlah) ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutnya, sedang kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa itu, dan (ketika) terputusnya Segala hubungan di antara mereka. (166) Dan (pada masa Yang mengecewakan itu) berkatalah orang-orang Yang menjadi pengikut: Alangkah eloknya kalau Kami (dengan itu dapat Kami berlepas diri daripada mereka sebagaimana mereka berlepas diri daripada Kami (pada saat ini)! Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amal-amal mereka (dengan rupa yang mendatangkan) penyesalan yang amat sangat kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari neraka).” (Surah Al-Baqarah: 166-167)
Inilah janji Allah, bukan janji PAS kerana Syurga Neraka kepunyaan Allah, bukan PAS punya. Ikut PAS selagi PAS tidak melawan Allah dan Rasulullah S.A.W. Maka, PAS menyebut syarat ini dalam lafaz baiah kepada semua calon yang bertanding pilihan raya. Mereka yang tidak percaya kepada baiah, jangan masuk PAS. Kalau sudah masuk PAS, boleh keluar daripada PAS bila-bila masa. Maka PAS tetap menjadi bahtera yang selamat selagi beristiqamah bersama Islam.
Ukuran dan perhitungannya bukan sekadar ucapan dan kenyataan sebelum berkuasa di tengah-tengah kempen pilihan raya. Semuanya boleh berucap dengan lidah yang tidak bertulang dan membuat kenyataan dengan dakwat yang cair, tetapi lihat apa yang dibuat dan perangainya setelah berkuasa. Kalau berkuasa sekadar kawasan sekangkang kera dalam masa yang singkat sudah menunjukkan perilakunya, maka sepatutnya rakyat yang mengundi wajib berhati-hati.
Buah salak, buah kedondong,
Sila letak ke dalam baldi,
Bukan salah ibu mengandung,
Tetapi salah memangkah undi.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANGPresiden PAS
Bertarikh: 20 Rejab 1439 / 6 April 2018

Khamis, 5 April 2018

PAS KECAM SERANGAN TENTERA ISRAEL KE ATAS RAKYAT PALESTIN !


Kenyataan Media Presiden PAS

PAS KECAM SERANGAN TENTERA ISRAEL KE ATAS RAKYAT PALESTIN


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengecam tentera Israel menyerang rakyat Palestin dalam operasi menghalang Kempen Perarakan Pulang Besar-besaran (Masirah Audah Al-Kubro / Great Return March) sempena memperingati Hari Tanah Air (Land Day) yang diadakan oleh penduduk Palestin setiap tahun pada 30 Mac, sejak 42 tahun lalu. Tujuannya untuk menuntut hak pulang ke tanah asal mereka dan akan berterusan sehingga 15 Mei 2018 bagi menyambut Ulang Tahun Peristiwa Nakbah.

Malangnya pihak Israel-Zionis bertindak kejam menyerang rakyat Palestin sehingga membunuh 17 orang dan lebih 1,400 orang cedera parah termasuk kanak-kanak dan wanita. 

PAS mengambil sikap tegas berhubung perkara ini dan menggesa OIC segera mengadakan sidang tergempar. Negara-negara Islam semestinya menyatakan ketegasan mengecam serangan Israel yang telah melanggar hak pelarian untuk kembali ke tanah air sendiri berdasarkan Resolusi 194 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

PAS berpegang kepada prinsip Islam yang melarang membunuh kanak-kanak, wanita dan orang tua walaupun ketika peperangan. Keadilan Islam melangkaui sempadan agama, bangsa dan warna kulit sehingga sejarah mencatatkan hanya Islam sahaja berjaya mewujudkan keadilan terhadap agama-agama lain di bumi Palestin, berbanding agama Yahudi atau Kristian yang menindas agama-agama lain terutamanya Islam ketika menguasai Palestin. 

Saya juga menyeru umat Islam dan masyarakat dunia khususnya di Malaysia bersatu mempertahankan Palestin atas dasar agama dan hak asasi kemanusiaan dan berdoa memohon pertolongan daripada Allah untuk memberi kemenangan dan kekuatan kepada rakyat Palestin bagi menghadapi strategi, tipu daya dan kezaliman Zionis-Israel. 

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh : 15 Rejab 1439 / 2 April 2018

BERHENTILAH BURUKKAN PAS !


KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

BERHENTILAH BURUKKAN PAS !

4 APRIL 2018 | 18 REJAB 1439


1.Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menafikan sekeras - kerasnya dakwaan Timbalan Ketua, Pemuda AMANAH Nasional Faiz Fadzil yang menyatakan bahawa PAS bersekongkol dengan kerajaan dalam menyokong Rang Undang-Undang Anti Berita Tidak Benar yang dikatakan zalim. Bagi DPPM, ia satu tindakan yang tidak beretika dan berniat jahat dengan menimbulkan persepsi yang salah terhadap PAS kepada umum.

2. Tindakan Faiz Fadzil seolah-olah ingin menimbulkan persepsi buruk kepada umum tentang wujudnya kerjasama di antara PAS dan UMNO seperti yang di canangkan oleh Pakatan Harapan. Namun jika di teliti secara terperinci oleh semua pihak, RUU tersebut ternyata bermanfaat dan melindungi kepentingan segenap lapisan masyarakat di setiap peringkat.

3.PAS menyokong RUU tersebut dan berpendapat bahawa ia menjamin hak semua lapisan masyarakat untuk mendapatkan akses berita yang sahih dan benar disamping dapat menyekat penyebaran berita-berita palsu dan fitnah yang berleluasa tanpa menghalang hak kebebasan bersuara seperti yang didakwa oleh beberapa pihak yang membantah pelaksanaan RUU tersebut.

4. Namun yang menjadi kemusykilan mengapa kesemua Ahli Parlimen Pakatan Harapan menolak RUU tersebut sedangkan jika di kuatkuasakan kelak, semua pihak akan mendapat manfaat daripadanya terutamanya di saat pilihanaraya semakin hampir di mana banyak berita palsu dan fitnah bertebaran di media sosial yang di sebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

5. Menjadi kedangkalan dan cetek fikiran jika mengatakan bahawa PAS bersekongkol dengan kerajaan hanya kerana menyokong RUU Anti Berita Tidak Benar namun bagaimana pula ketika pembentangan RUU 164, kesemua Ahli Parlimen Pakatan Harapan bersama dengan kerajaan menyokong RUU tersebut, adakah Pakatan Harapan bersekongkol dengan kerajaan di belakang penyokongnya ?

6. DPPM berharap dengan lulusnya RUU Anti Berita Tidak Benar ini, ia tidak di salah gunakan untuk kepentingan pihak – pihak tertentu terutamanya ketika hampir musim pilihanraya. Biarlah ia memberi manfaat kepada semua pihak dalam mendidik masyarakat supaya menjadi lebih bertanggungjawab dan beretika dalam membuat dan menyebarkan sesuatu berita serta menjauhi fitnah yang merosakkan masyarakat dan negara.

"MARA MENUJU CITA"
"SEJAHTERA BERSAMA ISLAM"

Ir. Haji Khairil Nizam Khirudin.
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia.

DPPM : " DUNIA MESTI BERTINDAK ATAS OPERASI KOTOR ISRAEL "


“DUNIA MESTI BERTINDAK ATAS OPERASI KOTOR ISRAEL” 



1. Tembakan rambang rejim Zionis Israel mensasarkan semua golongan rakyat Palestin termasuk kalangan kanak-kanak dan wanita yang mengambil bahagian pada Perarakan Pulang Besar-besaran (Great Return March – GRM) adalah tindakan jijik dan melampau.

2. Operasi kotor tidak berperikemanusiaan dilakukan penembak jauh tentera itu jelas dibelakangi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sendiri yang mengisyaratkannya dengan pujian beliau atas tindakan tersebut di mana 16 peserta perarakan dilaporkan syahid.

3. Dengan kekejaman itu, rejim Zionis Israel nyata telah menafikan hak rakyat Palestin membuat tuntutan mereka menerusi kempen GRM yang digerakkan sejak tragedi 30 Mac 1976. Ianya juga mencabul Resolusi 194 PBB mengenai hak pelarian kembali ke tanah airnya.

4. Perarakan bagi memperingati Hari Tanah Air (Land Day) itu kini sudah berusia 42 tahun. Peristiwa hitam pembunuhan 6 rakyat Palestin yang memprotes rampasan tanah Palestin oleh kumpulan Zionis masa itu akan kekal menjadi simbolik peringatan selagi Israel masih menapak di bumi Palestin.

5. Kerajaan Malaysia harus segera menyuarakan desakan ke peringkat antarabangsa supaya tindakan dan hukuman berat dikenakan ke atas pihak terlibat. Sama ada individu mahupun pasukan yang berkomplot atau berselindung disebalik operasi serangan tersebut secara tidak langsung.

6. Pertubuhan-pertubuhan kemanusiaan juga diseru untuk terus mengadakan misi bantuan ke Palestin, selain mengemukakan bantahan dan menyedarkan masyarakat dunia. Rakyat Malaysia khususnya, dirayu turut sama berperanan menghulurkan sumbangan wang dan doa.

7. Mari kita tekad meletakkan jiwa dan sumbangan kita kepada Palestin sebagai satu komitmen untuk melihat keamanan kembali ke bumi Anbiya’ itu. Kerana kita percaya, terhapusnya kejahatan di sana adalah titik awal kesejahteraan umat sejagat dan keamanan untuk seluruh dunia.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI

Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia 

jambori amal kuala kangsar 2008