Isnin, 14 Oktober 2013

MEMANG NASIB BAIK LAH KU LI TAK JADI LAWAN NAJIB..SEBAB..


Nasib baik Ku Li tak jadi lawan Najib

Shahbudin Husin,14 Okt 2013
Keputusan pemilihan bagi jawatan ketua sayap UMNO semalam yang menyaksikan Shahrizat Jalil, Khairy Jamaluddin dan Mas Ermieyati memenangi jawatan Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri bukanlah suatu keputusan yang memeranjatkan. Ia boleh dikatakan keputusan yang sudah diduga oleh kebanyakan orang dan bukan lagi suatu berita besar. 

Sebab itu, kemenangan mereka tidak diraikan dengan meriah sebagaimana selayaknya. Berbanding kemenangan melalui sistem lama, ia lebih jauh nampak gahnya. Kemenangan mereka adalah umpama kita mengetahui berita seekor anjing yang didapati menggigit tuannya. Kemenangan mereka hanya dilaporkan sebagai berita biasa saja. Ia tidak seperti kita mendapat berita mengenai seorang pemilik anjing yang didapati menggigit anjing peliharaannya.

Kemenangan mereka bukanlah kerana mereka cukup bagus, terutama bagi Shahrizat yang begitu dipertikaikan dan merupakan beban bagi UMNO dan BN menghadapi pilihanraya akan datang. Kemenangan mereka adalah kerana sistem pemilihan "electoral college" dipilih kerana ia mampu memberi kelebihan kepada penyandang dan sesiapa yang ada jawatan.

Dalam sistem ini, walaupun lebih ramai yang diberi hak mengundi tetapi akhirnya undi hanya dikira berdasarkan 1 bahagian 1 undi. Ia tidak mengguna pakai undi popular dan ini memang memberi kelebihan kepada calon yang ada jawatan, terutama dalam persaingan jawatan yang memerlukan seorang saja pemenang seperti presiden, timbalan presiden, ketua wanita, ketua pemuda atau ketua puteri.

Dengan 1 bahagian dikira 1 undi, tidak banyak bahagian yang bersedia menunjukkan sikap penentangan secara terbuka, lebih-lebih lagi kepada calon yang ada jawatan. Mereka tidak mahu dicop sebagai penentang kepada kepimpinan kerajaan, lalu ia menyebabkan pimpinan bahagian akan turut berusaha memainkan peranan agar keadaan itu tidak berlaku.

Dengannya juga menyebabkan calon yang ada jawatan lebih mudah menawarkan imbuhan, bantuan atau pemberian projek kepada pemimpin daripada bahagian yang diketahui memberikan undi kepada mereka saja. Kalau pun ada bahagian yang sedia melawan arus, bilangannya tersangat kecil dan mungkin didorong oleh faktor-faktor yang lain yang lebih kuat.

Dalam Pemuda misalnya, walaupun KJ diakui popular tetapi tidaklah bermakna calon-calon pencabarnya bukan pemimpin yang baik. Tetapi melalui sistem electoral college ini, kelebihan nyata memihak kepada KJ yang ada jawatan dalam kerajaan. Walaupun sehingga ini dilaporkan KJ sudah memenangi 97 bahagian tetapi tidak mustahil beliau menyapu bersih kesemua undi daripada 191 bahagian.

Tetapi keadaannya tentu berbeza jika sistem undi popular yang dipakai dan undi dari semua bahagian dicampurkan untuk menentukan pemenang yang sebenar tanpa akhirnya mendedahkan kecondongan sesuatu bahagian itu memihak kepada siapa. Pengiraan berdasarkan undi popular lebih menampakkan keterbukaan, ketelusan dan keadilan.

Begitu juga dengan Wanita, walaupun semua orang tahu Shahrizat adalah beban kepada parti dan sudah digugurkan jawatan menterinya sebelum pilihanraya, tetapi menjelang pertandingan ini di mana Najib melantiknya pula sebagai penasihat bertaraf menteri dan beliau juga asyik mengendeng di sisi Perdana Menteri, tentunya tidak banyak Wanita bahagian yang bersedia menunjukkkan warna penentangannya.

Bukanlah bermakna pencabar Shahrizat iaitu Maznah Mazlan dan Raihan Sulaiman Palestin tidak cukup baik tetapi kegagalan mereka adalah disebabkan sistem baru ini memang direka untuk memberi kelebihan kepada penyandang dan mereka yang ada jawatan dalam kerajaan.

Keadaan yang sama juga sebenarnya akan berlaku jika Tengku Razaleigh dulu membuat keputusan menentang Najib bagi jawatan Presiden UMNO. Beliau bukan saja tidak mungkin memenangi jawatan itu, bahkan undi yang diperolehinya mungkin bakal memalukan dirinya sebagai seorang negarawan dan pemimpin yang banyak berjasa kepada negara. Ia juga bukan kerana Ku Li tidak cukup baik, tetapi memang sistem pemilihan yang memperlihatkan konon adanya transformasi dan keterbukaan Najib ini memang dipilih dan dilaksana untuk memberi kelebihan kepadanya.

Dengan sistem 1 bahagian 1 undi, UMNO bahagian manakah yang bersedia menunjukkan diri mereka sebagai penentang Najib secara terbuka?

Jika dulu Mahathir memperkenalkan sistem kouta pencalonan dan undi bonus untuk menghalang orang lain mencabarnya tetapi Najib memperkenalkan sistem baru ini dengan maksud yang sama. Melalui transformasi politik dengan memberi ruang lebih ramai mengundi serta sesiapa boleh mencabarnya, tetapi dalam masa yang sama berjaya menggambarkan pendekatan politik Mahathir untuk mengekalkan jawatan sebagai sistem yang sangat buruk dibandingkan dengan apa yang diperkenalkannya, keputusan pemilihan sayap ini mula menunjukkan bahawa niat dan matlamat Najib juga adalah sama dengan Mahathir. Beliau mahu dirinya kekal lebih lama lagi sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Walaupun dalam sistem yang diperkenalkan Mahathir ada kouta pencalonan tetapi ketika mengundi semua perwakilan menjadi bebas untuk membuat pilihan kerana undi mereka rahsia dan tidak menyebabkan dicop sebagai mengundi si polan atau si polan yang lain tetapi sistem electoral college ini menyebabkan undi perwakilan tidak lagi rahsia dan UMNO bahagian akan dikenali melalui undi yang diberi serta terbeban untuk membuat sesuatu keputusan menentang arus.

Berbanding dengan Mahathir, jelas bahawa Najib bukan saja lebih cerdik tetapi juga kelingkingnya jauh lebih berkait di sebalik jari telunjuknya yang sentiasa lurus itu.

Sistem electoral colllege ini hanya nampak adil, telus dan terbuka jika ia dikira mengikut sistem undi popular iaitu undi daripada semua bahagian dicampurkan untuk menentukan pemenang mutlak dan UMNO bahagian dibebaskan daripada diketahui pendiriannya selepas pengundian dikira dan diumumkan.

Selagi sistem ini digunakan, sesiapa pun yang cuba mencabar mereka yang ada jawatan dalam kerajaan, peluang untuk menang hampir tidak ada. Kelebihan tetap kepada penyandang, lebih-lebih lagi jika penyandang itu memegang jawatan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Pengerusi Khazanah dan sebagainya dalam masa yang sama.

Jika hari itu Ku Li membuat keputusan menentang Najib, persaingan itu hanya akan digunakan sebagai alasan adanya keterbukaan, kesediaan Najib dicabar, sesiapa saja boleh mencabarnya, transformasi politik telah berjaya dan pelbagai pujian dengan kata-kata yang indah lagi akan kedengaran, walaupun sebenarnya sistem baru menjadikan UMNO lebih tertutup. Tidak ada peluang langsung untuk beliau di bawah sistem baru ini sebenarnya.

Memang keputusan yang tepat bilamana Ku Li memutuskan tidak mencabar Najib. Jika tidak, namanya pasti akan dijaja sebagai alat untuk memuji Najib saja. 
http://shahbudindotcom.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan