Isnin, 14 Oktober 2013

PERUTUSAN EIDUL ADHA DPPK BAGAN DATOH 1434.


PERUTUSAN HARI RAYA EIDUL ADHA KETUA PEMUDA PAS KAWASAN BAGAN DATOH 1434

EIDUL ADHA : Hayati dan insafi kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail kerana Allah SWT.

الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر ولله الحمد
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين و الصلاة و السلام على أشرف الأنبياء و المرسلين وعلى آله و صحبه أجمعين

Alhamdulillah, pertama dan selamanya marilah sama-sama kita mengucapkan kesyukuran kehadrat Allah SWT dengan anugerah serta nikmat iman dan Islam yang diberikan, kita mampu mengharungi fasa-fasa kehidupan mengikut garis panduan syarak. Sehinggalah pada malam ini, kita mengecapi anugerah perayaan yang terbesar dalam kehidupan seorang muslim.

Bersyukur tidak terhingga juga kita panjatkan ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi nikmat Islam hasil daripada pengorbanan pejuang-pejuang agama Allah terdahulu. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul yang telah menyempurnakan misi dakwah kepada umat manusia agar mereka menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.

Sahabat-sahabat pemuda yang dirahmati oleh Allah SWT.

Jika kita sorot kembali sejarah perjuangan Nabi Allah Ibrahim AS, maka kita akan menyaksikan bahawa naluri seorang ayah yang sanggup mengorbankan anak yang tercinta demi semata-mata melaksanakan perintah daripada Sang Pencipta. Ujian seberat itu pasti tidak akan mampu dilaksanakan melainkan dengan ketaatan yang sempurna sehingga mampu mengenepikan perasaan diri dan tuntutan peribadi. Allah SWT sengaja menjadikan sejarah ini berlaku untuk dijadikan sebagai pedoman dan petunjuk bagi kehidupan pada masa hadapan. Sebab itulah Islam mengajar umatnya untuk mengorbankan jiwa dan harta demi untuk menegakkan kalimah Allah SWT serta melaksanakan kerja-kerja Islam.

Justeru, intipati daripada Sambutan Hari Raya Eidil Adha, adalah sifat pengorbanan yang perlu wujud dalam jiwa umat Islam demi mengembalikan jati diri dan integriti melawan musuh-musuh Allah SWT. Sesungguhnya sejarah membuktikan bahawa antara punca kejatuhan pemerintahan Islam suatu ketika dahulu berpunca daripada lenyapnya sifat pengorbanan dan jati diri umat Islam. Memahami sejarah jatuh bangun Islam, Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh ( DPPK ) menyeru kepada seluruh pemuda khususnya dan seluruh umat Islam untuk menjadikan intipati sambutan hari raya pada kali ini sebagai pemangkin untuk melaksanakan kerja-kerja Islam. Percayalah bahawa kerja-kerja Islam tidak akan terlaksana dengan sempurna apabila sifat berkorban hilang dari jiwa aktivis dan pejuang Islam.

Sahabat-sahabat pemuda sekalian.

Apabila berbicara tentang pengorbanan, maka topik ini memerlukan perhatian yang serius daripada seluruh pemuda yang mengaku sebagai pejuang Islam. Sifat berkorban yang dimaksudkan oleh Islam ialah mengorbankan jiwa dan harta bahkan mengorbankan agenda peribadi demi menjayakan agenda ummah. Terkadang istilah ‘berkorban’ disalahertikan sehingga menyebabkan umat Islam tidak memahami kehendak sebenar Islam. Sebab itulah terdapat segelintir golongan yang tidak sanggup mengenepikan agenda peribadi apabila bertembung dengan agenda ummah. Virus inilah yang perlu dibuang dan diperangi agar ia tidak menular ke seluruh jiwa umat Islam.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh ( DPPK ) telah melaksanakan beberapa program tarbiah seperti Usrah dan Muzakarah bagi membentuk pemikiran ahli pemuda PAS yang dikehendaki oleh Islam. DPPK begitu yakin bahawa sifat ‘tadhiyah’ (pengorbanan) akan lahir dari agenda tarbiyah ( pendidikan ). Usrah dan Muzakarah yang berkesan mampu melahirkan jiwa umat Islam yang sanggup berkorban demi melaksanakan kerja-kerja Islam.

Sahabat-sahabat pemuda yang dirahmati oleh Allah SWT sekalian.

Melihat kepada suasana umat Islam masa kini, DPPK begitu bimbang dengan halatuju pembawakan negara Malaysia pada masa hadapan. Manakan tidak, anak-anak muda yang hidup pada hari ini merupakan pemimpin masa hadapan. Golongan tua pasti akan mewariskan tampuk pemerintahan kepada golongan muda.

Masalah sosial dan kerosakan akhlak semakin membarah sejak kebelakangan ini. Statistik yang dilaksanakan oleh pihak berwajib telah menunjukkan, kadar peningkatan yang begitu ketara. Kemelaratan yang tidak dibendung bersama, melayakkan kita untuk terkeluar dari senarai umat yang terbaik pilihan Allah SWT. Syarat umat yang terbaik ialah menjalankan tanggungjawab menyeru kepada ma’ruf, mencegah kemungkaran dan beriman dengan penuh keyakinan.Islam tidak akan tertegak hanya dengan kata-kata. Oleh itu, setiap peringkat perlu memainkan peranan di posisi masing-masing demi membasmi keruntuhan akhlak yang berlaku. Lihatlah bagaimana fahaman sesat dan gejala sosial yang berlaku di Malaysia. Perkara tersebut bertambah buruk dengan sokongan daripada pihak-pihak tertentu.

Di samping itu, panggung-panggung wayang di Malaysia kini sibuk menayangkan filem-filem yang bertemakan samseng dan pergaduhan serta keganasan. Filem-filem yang telah dan bakal ditayangkan tersebut seolah-olah ingin menonjolkan dan menerapkan budaya samseng dalam masyarakat. Padahal budaya tersebut merupakan cara hidup yang dilarang dan dikeji oleh syarak. Oleh itu, DPPK mengajak seluruh pemuda dan umat Islam mengecam tindakan penayangan filem yang bakal merosakkan identiti umat Islam.

Sahabat-sahabat pemuda-pemudi yang dirahmati oleh Allah SWT.

Parti Islam SeMalaysia ( PAS ) merupakan gerakan Islam dan politik yang meletakkan antara matlamat utama pembawakan adalah agenda dakwah dan pendidikan. PAS begitu memahami bahawa golongan yang berilmu pasti mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT di akhirat kelak.

Justeru, DPPK menyeru kepada seluruh ahli khususnya dan amnya seluruh umat Islam untuk menjadikan intipati Hari Raya Eidil Adha sebagai batu loncatan untuk terus maju, dengan menjadikan kecemerlangan tarbiyyah ( pendidikan ) sebagai hadiah buat ummah.

Akhirnya, jadikanlah anugerah Allah SWT pada kali ini sebagai ibadah untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Pastikan sifat berkorban yang dikehendaki oleh Allah SWT mengalir dalam jiwa umat Islam.

MURNIKAN PENGORBANAN MAKNAKAN PERAYAAN.
Selamat Hari Raya Eidil Adha 1434 H. Maaf zahir dan batin.

الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر ولله الحمد

" MANTAPKAN TARBIYYAH, KUATKAN JEMAAH "

Ustaz Mustofa bin Saifuddin,
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh sesi 2013-2015.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan