Khamis, 7 November 2013

PANAS : GHANI PATAIL, NAJIB BAKAL KEPANASAN TAK LAMA LAGI ? KENAPA ?

Ghani Patail, Najib Bakal Kepanasan Tak Lama Lagi?



Berikutan pendedahan sebuah portal berita mengenai bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang dilaporan sedang memberi tekanan kepada Peguam Negara, Ghani Patail dengan memanggil bekas pegawai kanan polis, Mat Zain Ibrahim dan peguam kanan, Shafie Abdullah ke rumahnya untuk berbincang isu itu beberapa bulan lalu, penjelasan lanjut daripada bekas Perdana Menteri itu pastinya sedang ditunggu-tunggu sekarang ini.

Selain agen CIA yang didakwa berada di pejabat peguam negara, isu salah laku Ghani dan kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura dilaporkan turut menjadi topik perbincangan.

Tambahan pula isu adanya pengintip CIA bertugas di pejabat Peguam Negara ini timbul hampir bertepatan dengan tersebarnya berita bahawa Amerika Syarikat telah melakukan pengintipan di beberapa negara, termasuk Malaysia. Secara langsung ini bukan saja memberi tekanan kepada Ghani Patail, tetapi kepada Perdana Menteri, Najib Razak juga.

Sebagaimana yang dilaporkan, dalam pertemuan dengan Mahathir itu, selain isu salah laku Ghani yang bermula dengan kes mata lebam melibatkan Anwar Ibrahim yang turut menjadi perbincangan, bahkan juga berkaitan kelemahan hujah pihak Peguam Negara sehingga menyebabkan kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura.

Dalam hal yang berkaitan pengintip di pejabat Peguam Negara pula, dilaporkan Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi turut dipanggil oleh Mahathir dan ditanya sama ada beliau mengetahui adanya dua orang pengintip yang sedang bekerja dengan pejabat peguam negara sekarang ini. Dalam hal ini, Zahid dikatakan berjanji akan menyiasat mengenainya.

Ghani Patail sejak beberapa tahun kebelakangan ini merupakan sasaran pelbagai pihak yang mengecamnya kerana didakwa mengamalkan pendakwaaan berpilih dan mempunyai kuasa tanpa had dalam menentukan pendakwaan. Selain isu liwat dan rasuah yang melibatkan Anwar Ibrahim, beliau juga dikecam dalam pelbagai kes lainnya seperti kes pembunuhan Altantuya. Susulan daripada itu, desakan agar beliau meletakkan jawatan juga kerapkali kedengaran.

Malangnya, bukan saja beliau menolak untuk meletakkan jawatan, bahkan Najib sendiri seperti mempertahankan kedudukannya dan mahu beliau terus kekal mengetuai jabatan peguam negara itu.

Tersebarnya berita mengenai adanya pertemuan itu yang dianggap sebagai tekanan Mahathir kepada Ghani Patail, ia bukan saja bertepatan dengan hangatnya perbualan orangramai mengenai pengintipan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat kepada beberapa negara termasuk Malaysia, tetapi juga bertepatan dengan iklim politik negara yang menyaksikan anaknya, Mukhriz kecundang sebanyak dua kali dalam tempoh tidak sampai sebulan iaitu dalam percubaan merebut jawatan Naib Presiden UMNO dan dalam mengemudi pilihanraya kecil Sungai Limau.

Walaupun keprihatinan Mahathir bertindak dalam menangani isu yang melibatkan pengintipan CIA di pejabat Peguam Negara boleh dipuji meskipun beliau bukan lagi memegang jawatan Perdana Menteri, tetapi kaitannya dengan isu politik semasa yang sedang berlaku, sukar juga ditolak.

Ia seolah-olah tiada kena mengena tetapi dalam masa yang sama macam ada kaitannya pula.

Sebelum ini Mahathir telah membangkitkan tentang politik wang yang masih berlaku dalam UMNO dan kepimpinan Najib yang dianggapnya lemah kerana selalu tunduk kepada tuntutan ekstrem daripada pihak pembangkang. Meski dakwaan Mahathir ini disanggah oleh beberapa pemimpin UMNO yang cuba mempertahankan Najib tetapi ramai yang percaya bahawa dakwaan Mahathir itu banyak kebenarannya.

Dengan timbulnya pendedahan mengenai pertemuan beliau dengan bekas pegawai kanan polis dan peguam kanan ini dan kaitannya dengan tekanan terhadap Ghani Patail, penjelasan Mahathir yang seterusnya pasti sedang ditunggu-tunggu oleh semua orang. Lebih-lebih lagi mengenali cara dan gaya bekas Perdana Menteri itu, beliau tidak akan memulakan sesuatu perkara tanpa asas yang kukuh.

Penjelasan Mahathir selepas ini mungkin bukan saja berkaitan pengintip CIA di pejabat Peguam Negara tetapi barangkali juga melibatkan peranan Apco yang kini menjadi penasihat dan perunding kepada pentadbiran Najib. Apco ini pula sudah pun bertapak dalam pentadbiran kerajaan sebaik saja Najib mengambil alih kepimpinan negara sejak 2009 lagi.

Oleh itu, ditambah dengan adanya pengintip CIA yang sedang bertugas di pejabat peguam negara, adalah mudah dan berasas untuk mengaitkan pentadbiran Najib dengan pengaruh luar, khususnya Amerika Syarikat. Lebih-lebih lagi Najib juga dilihat amat suka dilihat mempunyai hubungan yang baik dan mesra dengan kuasa besar itu.

Tidak dinafikan Ghani Patail mungkin sedang dijadikan sasaran, tambahan pula beliau merupakan individu yang rapat dengan pentadbiran Najib tetapi dalam masa yang sama paling banyak isu. Ghani Patail mungkin dijadikan sasaran tetapi matlamat akhirnya ialah Najib.

Oleh itu, bukan saja Ghani yang sedang kepanasan sekarang ini, dengan desakan mulai kedengaran agar tugasnya sebagai Peguam Negara digantung kerana dakwaan adanya pengintip disisinya adalah dakwaan yang berat dan serius, bahkan bahang kepanasan itu mulai turut dirasakan oleh Perdana Menteri juga.

Kita hanya perlu bersabar sedikit dan menunggu Mahathir bersuara untuk mengetahui "siapa yang kena" dalam isu ini. (SH 06/11/2013)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan