Isnin, 15 Jun 2015

DPPM : PEMUDA HARAPAN ASPIRASI MALAYSIA

PEMUDA HARAPAN ASPIRASI MALAYSIA

BERBEKAL pengalaman pernah ditimba, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz punyai fokus terarah untuk membangunkan Pemuda PAS sesi baharu. Bersama pasukannya, beliau komited melakar lanskap Malaysia yang lebih baik dari peranan anak muda. Ikuti temubual Wartawan Harakah, IZWAN ABDUL HALIM bersama beliau baru-baru ini.

 

HARAKAH ✏ : Bagaimana Ustaz melihat kombinasi gabungan dalam DPPM bagi sesi kali ini?
USTAZ NIK MOHAMAD ABDUH : Ia adalah kombinasi yang mantap. Pemuda PAS dibarisi anak muda yang variasi bidang dan kepakaran. Saya hanya perlu memilih yang terbaik melalui kesepakatan bersama. Malah Pemuda PAS hari ini sudah melahirkan kepimpinan hebat di Sabah dan Sarawak. Pokok yang kita tanam sejak lama kini telah menghasilkan buah.

✏ : Apakah fokus atau pencapaian yang Ustaz sasar atau hasratkan dari pasukan baru ini?
: Pertama, saya mahukan kerja berpasukan yang bersatu, bergagasan, berukhuwwah dan beristiqamah. Kedua, saya mahu perteguhkan Pemuda PAS sebagai pemuda harapan dan aspirasi rakyat Malaysia terutama ana muda. Negara kita sekarang terumbang ambing dengan pelbagai gejala keruntuhan. Jadi saya mahukan Pemuda PAS menyumbang segala tenaga mereka demi membina kembali keyakinan masa depan yang cerah buat anak muda. Ketiga, saya mensasarkan pembinaan barisan pelapis yang kukuh buat PAS pada masa akan datang yang lebih mencabar. Kita perkukuhkan generasi PASTI sehinggalah ke universiti. Kita akan pastikan generasi baru PAS hidup cintakan ilmu dan kepakaran dalam bidang yang diterokai. Kita mahu bina Malaysia. Dalam segala aspek dan keadaan, Pemuda PAS terus bekerja untuk Malaysia. Bahkan seperti saya sebut sebelum ini, kita mahu bangunkan bersama anak muda non muslim melalui jabatan DHPP Muda. Ia akan menjadikan Pemuda PAS lebih lengkap dan berperanan baik.

✏ : Tidak dapat dinafikan bahawa masih wujud perbezaan di kalangan anggota Pemuda PAS di seluruh negara. Bagaimana Ustaz akan rapatkan semula saf ini?
: Ya, saya akui. Kita masih dalam krisis yang melanda bukan sahaja pemuda, tetapi PAS secara keseluruhan. Muktamar PAS baru-baru ini telah berjaya mengorak langkah sebahagian besar asas-asas penyelesaian. Saya àkan cuba redakan kepanasan. Memberi ruang yang selesa untuk semua Pemuda PAS bekerja dan berinovasi. Yang di belakang seronok bekerja di belakang dan yang di depan sentiasa membuka jalan untuk yang berada di belakang maju ke hadapan.

✏ : Apakah terdapat tuntutan atau agenda tertunda DPPM yang menjadi hambatan untuk diselesaikan kali ini?
: Saya difahamkan Pemuda PAS sesi lepas di bawah saudara Suhaizan Kaiat sudah menubuhkan satu Jabatan Pendidikan peringkat rendah selepas PASTI. Saya gembira untuk meneruskannya insya-Allah. Saya juga akan teruskan Projek Perumahan Rakyat Budiman yang sedang berjalan.Saya akan perkembangkan program bersama anak muda melalui medium wacana dan diskusi. Kita akan turun ke seluruh ‘genre’ dan akar umbi.Untuk PASTI, AMAL, DACS dan beberapa lagi jabatan di bawah Pemuda PAS, kita akan terus mara dengan inovasi yang akan lebih diterima masyarakat insya-Allah.

✏ : Ustaz ada menyebut dua tugas akan dilaksanakan DPPM kali ini pada ucapan penggulungan di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-61. Boleh ustaz perincikan kedua-duanya.
: Ya saya dah terangkan tadi. Kita mahu pacu anak muda Malaysia menuju politik baru yang lebih bebas, bersih, berani berubah, bersikap positif dan yang paling kita mahukan, generasi amar makruf nahi munkar yang mulia.Kedua, kita sedari tanggung jawab Pemuda PAS membina barisan pelapis yang sepadu dan sempurna. Islam adalah ilmu yang benar dan membina sistem hidup. PAS perlukan tentera, murabitun dan aktivis parti yang memahami matlamat dan perjuangan Islam dengan baik. Semua itu adalah tugas yang diamanahkan kepada Pemuda PAS dan saya akan pastikan kami berjaya insya-Allah.

✏ : Apa perubahan atau penambahbaikan yang Ustaz akan laksanakan dalam pengurusan keorganisasian Dewan Pemuda seluruh negara?
: Ya akan ada penambahbaikan insya-Allah. Kita akan adakan bengkel pengurusan strategik dalam masa terdekat dan melihat beberapa cadangan baru yang bernas. Saya fikir di hadapan saya adalah barisan pemuda yang cukup bersedia untuk memajukan pengurusan organisasi pemuda ke tahap cemerlang insya-Allah.

✏ : Harapan Ustaz kepada khususnya kepada generasi muda.
: Saya mahukan generasi muda negara bangkit segera membina negara Malaysia yang lebih baik dengan penuh berani. Tinggalkan budaya ketakutan dan kebergantungan kepada orang atas sehingga mematikan kekuatan diri sendiri. Inilah yang ditanam untuk BN sebelum ini sehingga melemahkan negara sendiri. Saya juga menyeru anak muda untuk kembali kepada Islam. Ambilnya secara menyeluruh. Beristiqamah hidup beragama. Itulah kunci kejayaan abadi dunia dan akhirat. Di situlah matlamat kehidupan tercapai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan