Isnin, 15 Jun 2015

POLITIK TURKI : ERA BARU DAN CABARAN


POLITIK TURKI ERA BARU DAN CABARAN
 
Oleh : Nik Mohamad Abduh Bin Nik Abdul Aziz
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Pasir Mas


Keputusan Pilihanraya Umum Turki beberapa hari yang lalu menyaksikan AKP kekal sebagai parti utama pilihan rakyat Turki dengan 40.81 peratus undi. Jika dibandingkan dengan parti-parti yang lain, AKP berjaya mengekalkan dominasinya di Turki sejak 2002. Parti sekular CHP hanya memperoleh 25.17 peratus, Parti nasionalis MHP memperoleh 16.5 peratus manakala Parti sosialis demokrat HDP memperoleh 12.99 peratus.

Walaubagaimanapun keputusan tersebut juga merupakan satu tamparan kepada AKP dalam menguasai denai politik Turki. AKP menjangkakan kemenangan selesa dengan 330 perwakilan daripada 550 keseluruhan ahli parlimen bagi membolehkan mereka melangkah setapak mengubah perlembagaan, memberikan kuasa yang lebih kepada presiden. Sasaran itu bukan sahaja gagal dicapai AKP, malah jumlah perwakilan yang akan dihantar AKP berkurang sehingga 256 orang sahaja berbanding pilihanraya umum 2011.

‘Kekalahan’ AKP disambut dengan ‘kemenangan’ golongan minoriti Kurdish yang memberikan undi mereka kepada sebuah parti sosialis demokrat, HDP. Ini dapat ditunjukkan dengan kekalahan AKP di bahagian Tenggara Turki yang kebanyakannya didiami kelompok minoriti Kurdish itu. Di samping itu, AKP juga tewas di kawasan yang didiami pelarian Syria seperti di Sanliurfa dan Gaziantep.

Disebalik ketegasan Turki dibawah pemerintahan AKP memperjuangkan isu-isu umat Islam dunia termasuk yang terbaru melibatkan penindasan umat Islam Rohingya, pergolakan dalaman Turki dan penentangan pihak musuh domestik merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Protes anti-kerajaan yang dilancarkan pada 2013 memberikan kesan tidak langsung kepada pentadbiran Erdogen yang masih memegang jawatan Perdana Menteri ketika itu. Satu demi satu isu dipalitkan kepada pentadbiran Erdogen di samping tindakan Erdogen yang menghalang sebarang kritikan melalui media sosial tidak mampu meredakan keadaan.

Penentangan kelompok sekular menggugat kestabilan politik Turki. Ia membekas dalam lantunan pentadbiran AKP. Dari sudut yang lain, keghairahan AKP membentangkan manifesto supaya mengubah perlembagaan dengan memberikan kuasa yang lebih kepada presiden menjadikan mereka semakin tidak disenangi. Tambahan pula, peristiwa pengeboman yang berlaku dalam demontrasi kelompok Kurdish minggu lalu menambah rencah kepada keputusan pilihanraya umum Turki.

Kini, AKP berdepan cabaran baharu. Mereka bukan sahaja tidak dapat membentuk kerajaan secara bersendirian, malah, perlu mencari parti-parti lain bagi membentuk kerajaan campuran. Ramai penganalisis meletakkan parti MHP sebagai “the capable one” untuk bergabung dengan AKP. Sama ada membentuk kerajaan campuran atau sekadar kerajaan minoriti atau pilihan terakhir, berdepan pilihanraya semula, ia masih meninggalkan persoalan besar kepada masa depan politik di Turki.

Kestabilan politik perlu segera dicapai pasca pilihanraya umum ini. Namun, melihatkan kepada perkembangan semasa, ia tampak sukar. Tokoh parti HDP memberi signal untuk berada dikalangan kelompok pembangkang daripada tunduk kepada AKP. Ini mungkin membawa kepada faktor ketidakstabilan jangka panjang politik Turki. Tidak mustahil ia juga akan memberi kesan kepada kejatuhan matawang lira kelak.

Walaupun AKP bukanlah sebuah parti yang menjadikan al Quran dan Sunnah sebagai sumber hukum utama, adalah baik untuk disebutkan keharusan hukum bagi AKP untuk membentuk kerajaan campuran dengan mana-mana parti yang dapat menstabilkan kedudukan politik negara Turki untuk terus memacu kebangkitan. Ia adalah awlawiyyat yang penting untuk dilihat.

Kita berharap agar kestabilan politik di Turki akan dicapai pasca pilihanraya ini. Cabaran politik Turki memasuki fasa baru dan mencabar. Ancaman politik Turki ini tidak mustahil mengundang campur tangan asing yang sentiasa mengintai ruang dan peluang mengganggu gugat kebangkitan 'Turki Baru' selepas era doktrinisasi panjang di zaman Ataturk.

Semoga Turki kekal sebagai negara contoh kepada negara-negara umat Islam yang masih meniti ranjau politik yang berliku dan seterusnya keluar daripada cengkaman kediktatoran dan kezaliman sang penguasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan