Khamis, 3 Ogos 2017

BERPOLITIK SECARA SIHAT DAN MATANG, ELAK AIBKAN PERIBADI MUSUH POLITIK !


BERPOLITIK SECARA SIHAT DAN MATANG, JANGAN MENGAIBKAN PERIBADI MUSUH POLITIK

(2 Ogos 2017)



1. Setelah pendedahan yang ‘dianggap’ menggemparkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahamd Zahid Hamidi mengenai nama penuh Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Mahathir a/l Iskandar Kutty, hari ini Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed pula tampil membela bosnya itu dengan mengesahkan pendedahan TPM itu.

2. Mungkin bagi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Nur Jazlan Mohamed, ia pendedahan yang hebat tetapi bagi rakyat kebanyakannya, ia tidak membawa apa-apa implikasi dan kesan langsung. Perseteruan antara pemimpin UMNO dengan bekas pemimpin tertinggi UMNO itu tidak perlu meleret dengan mengheret sama rakyat untuk turut terjebak dengan perangkap politik mereka.

3. Apa faedahnya mendedahkan nama penuh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melainkan hanya sekadar untuk memalukan bekas Perdana Menteri paling lama di negara ini. Jika TPM boleh mengaibkan Tun Dr Mahathir, jangan hairan jika beliau pula ‘ditelanjangkan’ pula oleh Tun. Jika ini berterusan, bila polemik politik sempit ini akan berakhir.

4. Apa yang dibimbangkan adalah serangan peribadi menjadi senjata paling ampuh untuk melumpuhkan kerjaya politik seseorang. Ianya menjadi trend supaya orang yang dibenci terus diserang dan dimusuhi segenap penjuru, tanpa mengira halal atau haramnya langkah mereka. Jika serangan itu dilakukan oleh media cyber trooper mana-mana pihak boleh diabaikan, tetapi bagaimana serangan dilakukan oleh pemimpin nombor dua negara melalui majlis rasmi yang dihadirinya?

5. Apakah TPM dan Datuk Nuyr Jazlan tidak fikir, tindakan mereka seperti mengajar rakyat agar menggunakan isu peribadi untuk menyerang musuh politik mereka. Jika TPM boleh menggunakan isu peribadi, rakyat juga boleh menggunakan isu peribadi seperti latar belakang, isu keluarga, bahkan sampai kepada isu sulit yang boleh menjatuhkan maruah diri untuk menjatuhkan sesiapa juga yang dibenci.

6. Sepatutnya pemimpin negara sedar bahawa rakyat sudah jemu dengan politik sempit mainan mereka setiap hari. Pendedahan ini langsung tidak mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat, tidak menurunkan harga minyak dan harga barang keperluan, tidak pula menaikkan pendapatan dan gaji rakyat, juga tidak mengurangkan kadar jenayah. Malah isu 1MDB yang menjadi bahan bualan dunia pada hari ini tidak pula dapat diredakan. 

7. Apa yang rakyat mahukan adalah penyelesaian terhadap kemelut yang membelenggu mereka. Persoalan yang menghantui rakyat perlu jawapan, bukan bermain dengan politik yang sempit. Nampaknya semakin hampir dengan PRU ke 14, semakin banyak serangan liar dilemparkan oleh penguasa terhadap sesiapa sahaja yang dirasakan sebagai ancaman. Keadaan ini seolah menggambarkan pemimpin UMNO-BN semakin tersepit dan terdesak bagi memenangi Pru ke 14.

8. Nasihat saya, kepada semua pihak, sama ada pemimpin negara mahupun pembangkang, berpolitiklah secara sihat dan matang. Lawanlah hujah dengan hujah, fakta dengan fakta, kritikan dengan kritikan yang membina. Islam tidak meredhai kemenangan yang diraih dengan cara berpolitik secara kasar dan liar. Kami diajar di dalam PAS untuk berpolitik secara sihat, dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan, bukan menjaga kepentingan diri dengan mengorbankan rakyat dan negara.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan