Sabtu, 5 Ogos 2017

POLITIK HIDAYAH BUKAN JIBAYAH : TUAN GURU PRESIDEN PAS


POLITIK HIDAYAH BUKAN JIBAYAH



Allah SWT berfirman:

هُوَ ٱلَّذِي بَعَثَ فِي ٱلۡأُمِّيِّۧنَ رَسُولٗا مِّنۡهُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِي ضَلَٰلٖ مُّبِينٖ ٢ الجمعة

“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin (buta huruf), seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) daripada bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, dan membersihkan mereka (daripada ajaran kesesatan syirik dan kejahatannya), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan dan kebijaksanaan mengenai pelaksanaannya) dan sesungguhnya mereka sebelum itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Surah Al-Jumuah: 2) 
Apabila Rasulullah S.A.W. membawa Islam menjadi petunjuk dalam semua urusan cara hidup beribadat dan lain-lain kepada seluruh alam, malangnya para pemimpin Makkah yang jahil itu menolaknya. 

Allah merakamkan dalam Al-Quran dengan menyebut:

وَقَالُوٓاْ إِن نَّتَّبِعِ ٱلۡهُدَىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّفۡ مِنۡ أَرۡضِنَآۚ أَوَ لَمۡ نُمَكِّن لَّهُمۡ حَرَمًا ءَامِنٗا يُجۡبَىٰٓ إِلَيۡهِ ثَمَرَٰتُ كُلِّ شَيۡءٖ رِّزۡقٗا مِّن لَّدُنَّا وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ ٥٧ القصص 

“Dan mereka berkata: “Kalau kami mengikut petunjuk yang engkau bawa itu, nescaya kami dengan serta merta ditangkap dan diusir dari negeri kami (kerana lain daripada realiti yang ada). Bukankah Kami (Allah) telah melindungi mereka dan menjadikan (Negeri Mekah) tempat tinggal mereka sebagai negeri yang aman, yang dibawa kepadanya hasil tanaman daripada segala jenis sebagai rezeki pemberian daripada sisi Kami? (Benar, Kami telah menjadikan semuanya itu), tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan untuk mengetahuinya.” (Surah Qasas: 57)

Masyarakat Jahiliyah Arab berpaksikan kebendaan dan kekuatan. Walaupun mereka berada di sisi Ka’abah yang merupakan lambang aqidah tauhid yang dibina oleh Nabi Ibrahim A.S. tetapi kepercayaan kepada pemujaan kebendaan yang dilihat menjadikan mereka sesat sehingga menyembah berhala batu yang dipahat oleh tangan mereka sendiri. Adapun harta yang dijana melalui kegiatan ekonomi mereka hanya boleh menghidupkan Makkah yang terpencil dengan kegiatan ekonomi dunia dikala itu berpaksikan kekuatan dan kekuasaan. Sesiapa yang kuat dialah yang senang kaya-raya, yang lemah terus ditindas sehingga dihamba abdikan. 

Apabila Islam diterima oleh masyarakat majmuk di Madinah, lalu ditegakkan negara berpandukan hidayah (petunjuk Al-Quran) dan hikmah (kebijasanaan) Rasulullah S.A.W. yang dikawal oleh wahyu. 

Projek Rasulullah SAW bermula dengan pembangunan insan mengikut acuan Allah Tuhan Pencipta Alam mengikut komponen fitrah iaitu jasad, roh, akal, individu dan bermasyarakat madani. Politik dan ekonomi pula adalah sebahagian daripada peranan manusia memakmurkan bumi dalam kawalan syariat Allah Pencipta Alam tanpa bertuhankan manusia dan kebendaan. 

Di masa itu masih ada dua negara besar yang bertamadun. Di Baratnya, Rom yang menganut Kristian yang memisahkan urusan dunia daripada agama. Di Timurnya, Parsi yang menganut Majusi bersama pengaruh ketimuran China dan India yang berkonsepkan keberhalaan. Kedua-dua negara besar itu kaya-raya dan maju dengan tamadun kebendaan yang ditegakkan dengan kuasa menindas rakyat. 

Islam yang dimulakan dengan pembangunan insan mengikut acuan Allah masih dalam keadaan sangat miskin tanpa banyak harta. Ini dinyatakan dalam mesej kepada kedua-dua kuasa besar itu dan ditegaskan risalahnya oleh Rub’ei ‘Aamir yang menjadi utusan menemui Kerajaan Parsi:

الله ابتعثنا لنخرج من عبادة العباد إلى عبادة الله، ومن جور الأديان إلى عدل الإسلام، ومن ضيق الدنيا إلى سعة الدنيا والآخرة. 

“Allah yang menghantar kami supaya mengajak kamu, keluar bebas daripada menjadi hamba kepada sesama makhluk kepada menjadi hamba hanya kepada Allah sahaja, daripada kezaliman berbagai agama dan (teori falsafah) kepada keadilan Islam, dan daripada wawasan dunia yang sempit (sementara waktu sahaja) kepada wawasan yang luasnya daripada dunia sehingga Hari Akhirat (yang kekal selama-lamanya)”. 

Akhirnya Islam yang dibawa oleh generasi awal yang buta huruf dan miskin serta tiada asas tamadun kebendaan telah berjaya menumbangkan kedua-dua kuasa besar yang bertamadun itu kerana kezaliman pemerintahannya sehinggakan rakyatnya sendiri mahukan perubahan. 

Selepas Islam yang sempurna dilaksanakan dengan sepenuhnya dalam negara yang besar, luas dan masyarakat majmuk, akhirnya ramai penduduk yang menganut Islam tanpa paksaan dan masih ramai juga yang berpegang dengan agama masing-masing tetapi lebih redha dan rela berada di bawah pemerintahan Negara Islam yang berkebajikan. 

Pemerintah Islam hanya membuang konsep jahiliyah yang zalim daripada Tamadun Timur dan Barat tetapi menerima segala peninggalan dan warisan ilmu yang bermanfaat daripada Tamadun Timur dan Barat. Mereka membina tamadun baru dengan mengislamkan warisan tamadun lama berkonsepkan hidayah Al-Quran:

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ ١ خَلَقَ ٱلۡإِنسَٰنَ مِنۡ عَلَقٍ ٢ ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ ٣ ٱلَّذِي عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ ٤ العلق .

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku; (2) Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (3) Yang mengajar manusia dengan qalam (pena). (4)” (Surah al-‘Alaq: 1-4)

Semua ilmu yang bermanfaat hendaklah berkonsepkan aqidah beriman dan beribadat kepada Allah Pencipta Alam, sebagaimana dihuraikan oleh sabda Rasulullah S.A.W.

الحكمة ضالة المؤمن فأنى وجدها وهو أحق بها

“Kebijaksanaan itu kepunyaan orang yang beriman, maka di mana sahaja dia menemuinya, maka dialah orang yang paling berhak mengambilnya” 

Tamadun Islam juga telah berjaya meneroka asas sains dan teknologi yang memberi manfaat dengan memandu ilmu akal, kajian dan pengalaman yang telah sedia ada dengan hidayah Allah berdasarkan sempadan halal dan haram. 

Dalam aspek politik dan ekonomi pula, Allah menyatakan hidayahnya dalam Al-Quran:

ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١ الحج

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah Al-Hajj: 41)

Ayat ini menegaskan tentang konsep kuasa politik dan ekonomi zakat yang mengambil bayaran wajib daripada golongan kaya, memperkenalkan konsep ekonomi yang menjadi mata rantai yang tidak boleh diputuskan dengan ibadat solat dan politik penguatkuasaan undang-undang yang menegakkan perkara kebajikan dan mencegah kemungkaran dengan syariat Allah yang berwawasan Hari Pembalasan di Akhirat. 

Selanjutnya Allah menghuraikan konsep ekonomi dalam pembahagian harta negara melalui firman-Nya:

مَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ كَيۡ لَا يَكُونَ دُولَةَۢ بَيۡنَ ٱلۡأَغۡنِيَآءِ مِنكُمۡۚ ٧ الحشر 

“Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya (Muhammad) daripada harta penduduk negeri, bandar atau desa (dengan aman damai), maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya daripada kalangan kamu” (Surah Al-Hasyr: 7)

Kedatangan Islam yang sempurna pelaksanaannya dalam sejarah keemasan dialu-alukan oleh semua bangsa untuk menjadi penyelamat bukannya penjajah seperti yang dilakukan oleh kuasa besar yang menguasai dunia sebelum dan selepasnya. 

Di zaman Islam terbukti betapa benarnya firman Allah:

وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٩٦ الأعراف 

“Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, daripada langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan” (Surah Al-A’araf: 96)

Di antaranya, hasil negara bertambah tanpa membebankan cukai terhadap rakyat miskin dengan pertambahan yang terus meningkat dengan pesat dan maju. 

Contohnya diwujudkan bandar baru di Zaman Abbasiyyah seperti Baghdad, Mosul dan lain-lain apabila golongan kaya mendirikan Musafir Khanah (Hotel Wakaf Percuma) yang menjadi tempat persinggahan dengan menggunakan harta wakaf dan kerajaan pula membina hospital percuma sehingga menjadikan tempat itu sebagai tempat persinggahan para musafir dan pengunjung. 

Lalu pusat perniagaan berkembang dengan pesat dan meningkatkan hasil zakat perniagaan, pertanian dan lain-lain yang diwajibkan bagi penganut Islam berkonsepkan ibadat harta dan diri. Manakala Jizyah, Kharaj dan Usyur (cukai perniagaan, pertanian dan lain-lain) dikenakan ke atas orang bukan Islam yang akhirnya menambahkan hasil negara. 

Di Andalusia (Sepanyol) pula ada bandar bernama Malaqa (tempat pertemuan) mengamalkan konsep yang sama. Saya teringat betapa Negeri Melaka diwujudkan oleh Islam di Rantau Asia Tenggara adalah satu nama tempat yang masyhur, tetapi malangnya penjajah mengajar sejarah dengan mengatakan Negeri Melaka berasal daripada nama pokok Melaka sahaja. 

Begitulah juga pada hari ini, Islam menyanggah segala teori yang berpaksikan kebendaan yang dianuti oleh ahli falsafah di Timur dan Barat dan anak murid mereka di kalangan umat Islam yang terpengaruh dengannya. Kini ternyata bahawa teori-teori mereka itu menyusahkan negara khususnya rakyat. 

Di antara contohnya ialah apabila berlaku krisis ekonomi, rata-rata rakyat mengadu kenaikan harga barangan, kerajaan pula berhempas pulas membetulkan kedudukan ekonomi, namun rakyat juga yang dibebankan dengan cukai dan kenaikan harga barangan. Semuanya berpunca daripada teori yang berpaksikan kebendaan semata-mata sehingga kebendaan yang ada disekelilingnya juga berkecai tidak mampu diurus.

Walaupun ada kalangan yang membuat kenyataan inginkan Islam tetapi mengikut kenyataan tokoh ulama’ terkenal, Abu Hasan Ali Al-Nadawi R.A. bahawa ada dua pendekatan yang dijadikan panduan sama ada konsep hidayah atau konsep jibayah.

Konsep Hidayah berdasarkan keimanan kepada janji berkat bersama Islam, lalu dilaksanakan dengan berani mengikut batas sempadan halal dan haram dengan tegas dan istiqamah percaya kepada janji Allah.

Konsep Jibayah pula melaksanakan Islam secara terpilih mengikut akalnya yang terus bergayut kepada kebendaan yang menjadi berhala yang dipuja atau kiblat yang dihadap sehingga melanggar batas halal dan haram. 

Percukaian atau konsep Jibayah kekayaan kewangan dipercayai menjadi roh kepada kerajaan sehingga tanpa mengira apakah kesannya. Tetap terpengaruh kepada dua pendekatan yang dikenali di dunia hari ini iaitu Liberal Kapitalisme atau Sosialiasme / Komunisme, kemudian diadakan pula Teori Pragmatisme. Semuanya berkiblat dan berpaksikan kebendaan semata-mata.

Pemimpin negara yang masih hidup dipanjangkan umurnya untuk menyaksikan apa yang diwar-warkan kebijaksanaannya dahulu dalam mengurus negara dengan teori sekali ke Timur dan sekali ke Barat serta teori penswastaan, telah mengakibatkan kerajaan berlumba dalam aspek ekonomi bersama rakyat bagi menjana ekonominya kerana tidak cukup dengan cukai yang sedia ada dan betapa sumber daripada bumi dan tenaga manusia daripada rakyat dan kerajaan dikira tidak mampu. Tiba-tiba kesannya adalah ramai yang dibuang kerja dan menjadi penganggur dengan kesempitan hidup kerana tidak seimbang di antara gaji dan pendapatan dengan kos sara hidup diri dan keluarga dalam negara yang dibarahi inflasi. 

Mangsanya termasuk mereka yang berpendidikan tinggi dan berpengalaman bekerja tetapi tidak mampu diurus dalam bumi yang banyak hasil. Ada pun tenaga manusia tidak mampu dimanfaatkan dan Wawasan 2020 yang digagaskannya tidak sampai ke Hari Akhirat. 

Ibnu Khaldun menyebut di dalam kitabnya المقدمة (Al-Muqadimah) menjelaskan dalam satu fasal yang khusus dengan huraian yang panjang:

الفصل الأربعون في أن التجارة من السلطان مضرة بالرعايا ومفسدة للجباية (مقدمة ابن خلدون 1/ 379)

“Fasal 40 berkenaan penglibatan kerajaan dalam perniagaan membawa mudarat kepada rakyat dan merosakkan sistem percukaian”
Saya telah menyebut dalam tulisan terdahulu betapa pentadbiran British berkonsepkan Negara Kebajikan (Welfare State) terpengaruh dengan Islam, tetapi mereka tidak menganut agama Islam (Konsep Negara Berkebajikan) yang lebih luas dan menyeluruh. Di mana konsep ‘Welfare State’ tiada roh dan wawasan Akhirat. Di awal kemerdekaan, kita menyaksikan pemerintahan negara kebajikan ala British diamalkan apabila kerajaan melaksanakan rawatan perubatan dan pendidikan percuma. Kerajaan hanya mengurus perkara kepentingan umum seperti bekalan air, tenaga eletrik, jalanraya, Telekom dan Pos. Selepas itu dicipta pula Teori Pandang ke Timur, kemudian ke Barat dan sekali sekala ke Timur pula. Saya tidak ingin mengambil masa untuk mengulas lebih panjang kerana telah disaksikan oleh umum, betapa muqadimah dan kesudahannya pada hari ini.

Sebenarnya Allah memberi rezeki yang mencukupi kepada manusia. Apabila berlaku hasil negara tidak mencukupi menunjukkan adanya kesilapan manusia sendiri. 

Firman Allah:

۞وَلَوۡ بَسَطَ ٱللَّهُ ٱلرِّزۡقَ لِعِبَادِهِۦ لَبَغَوۡاْ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٖ مَّا يَشَآءُۚ إِنَّهُۥ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرُۢ بَصِيرٞ ٢٧ الشورى

“Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hamba-Nya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezeki-Nya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Dia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya, lagi Melihat dengan nyata.” (Surah As-Syura: 27)

Mereka yang berfikiran Jibayah tanpa Hidayah adalah paling durjana ketika berkuasa dan tidak berkuasa sekiranya tidak insaf dan bertaubat. 

Benarlah sabda Rasulullah S.A.W.:

لَوْ أَنَّ لاِبْنِ آدَمَ وَادِيًا مِنْ ذَهَبٍ أَحَبَّ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَادِيَانِ، وَلَنْ يَمْلأَ فَاهُ إِلاَّ التُّرَابُ، وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ
صحيح البخاري - مكنز (21/ 298، بترقيم الشاملة آليا)

“Kalaulah diberi kepada manusia itu satu lembah yang penuh emas, nescaya dia mahu dua lembah yang penuh emas juga, dan tidak boleh memuaskan mulutnya melainkan dipenuhkan tanah (ditimbus ke dalam kubur). Dan percayalah bahawa Allah menerima sesiapa yang bertaubat” 

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 11 Zulkaedah 1438H / 4 Ogos 2017


Tiada ulasan:

Catat Ulasan