Sabtu, 5 Ogos 2017

DR. RIDUAN : LAKSANAKAN PENDAFTARAN PEMILIH AUTOMATIK USIA 21 TAHUN

LAKSANAKAN PENDAFTARAN PEMILIH AUTOMATIK USIA 21 TAHUN
(3 Ogos 2017)

1. Gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada 3.7 juta rakyat Malaysia yang belum mendaftar pengundi supaya mendaftar pengundi disambut dengan cadangan oleh Tan Sri Ramon Navaratnam, Pengarah Insttitut Strategi dan Kepimpinan (ASLI). Beliau mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan pendaftaran pengundi secara automatik untuk rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas.

2. Asas cadangan beliau amat bernas memandangkan sejumlah besar rakyat yang belum daftar pengundi terdiri dari kalangan belia yang berusia 21 tahun ke atas. Mereka ini yang dimaksudkan oleh PM dan dipujuk untuk daftar sebagai pengundi sesegera mungkin. Bagi golongan kebanyakan khususnya anak-anak muda, tidak ada faktor tekanan yang mendesak untuk mereka tampil ke pejabat Surunjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mendaftarkan diri sebagai pemilih. Lebih lagi buat mereka yang tidak peka terhadap politik negara, mendaftar diri sebagai pemilih bukan suatu pilihan untuk mereka lakukan. Bagi mereka, selagi tidak ada paksaan (meskipun wajib) tidak ada sebab untuk mereka bersusah payah menghabiskan masa untuk mendaftarkan diri.

3. Terlebih lagi dengan kekangan dari parti-parti politik yang dahulunya diberikan kebenaran mendaftarkan pengundi. Sekarang, hanya SPR atau beberapa pihak tertentu sahaja diberikan kebenaran membuka kaunter pendaftaran pemilih. Maka, hanya beberapa tempat sahaja kaunter SPR dibuka dan pada waktu yang sangat terbatas.

4. Idea memperkenalkan pendaftaran pengundi secara automatik untuk rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas telah lama dicanang oleh parti-parti politik. Bagi PAS sendiri, idea itu bukan baru, ramai pemimpinnya mengemukakan cadangan ini bagi memberi hak kepada kesemua rakyat Malaysia yang telah layak mengundi.

5. Sekaligus idea ini jika dilaksanakan dapat menyelesaikan masalah anak muda yang tidak daftar mengundi atau sukar daftar mengundi. Tidak timbul nantinya 3.7 juta orang atau lebih selepas ini rakyat Malaysia mengabaikan hak mereka yang utama dalam sebuah negara demokrasi. Paling utama, dengan pelaksanaan sistem ini, akan memudahkan tugas SPR, NGO dan parti politik selain menjimatkan masa, wang ringgit dan tenaga.

6. Meskipun pandangan ini telah diutarakan banyak pihak dan telah lama diangkat ke peringkat nasional, namun tidak pasti mengapa kerajaan masih teragak-agak mahu melaksanakannya. Sedangkan ramai pihak menyatakan kebaikannya, dari segi rakyat Malaysia mahupun kepada agensi yang terlibat.

7. Justeru, jika benar PM mahu mengajak 3.7 juta rakyat Malaysia mendaftar sebagai pemilih, beliau perlu bersikap terbuka dan berlapang dada dengan cadangan ini. Laksanakan idea ini sebelum PRU ke 14 agar kesemua mereka itu layak dan boleh turun mengundi. Maksimumkan kemudahan untuk rakyat menunaikan hak mereka, agar tidak ada alasan buat rakyat untuk tidak turun mengundi dalam PRU 14 nanti.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan