Kenyataan Media Presiden PAS
PAS BERSAMA RAKYAT HADAPI KRISIS KEYAKINAN
Pilihanraya Umum adalah mahkamah rakyat. Kerajaan menjadi pihak yang dituduh. Pembicaraannya memerlukan pengakuan secara rela hati yang penuh keinsafan dan keterangan saksi yang adil, serta bukti-bukti benar yang membantunya.
PAS tidak boleh bersama kerajaan yang dituduh, sehinggalah dibuktikan bersihnya atau kesalahannya. Kaedah Kehakiman Islam yang dipakai oleh barat, menetapkan pihak yang dituduh masih bebas dan tidak boleh dihukum bersalah, selagi tidak dibuktikan kesalahannya oleh mahkamah, bukan oleh media tanpa sempadan.
PAS juga tidak boleh terus berpihak sebelum dibuktikan bersihnya, khususnya dalam keadaan yang bergelumang dengan salah laku dan kelemahan urus tadbir yang telah diwarisi sejak pemimpin yang dahulu dan terdahulu.
PAS tidak boleh memberi harapan kepada Pakatan Harapan (PH) yang menjadi pendakwa atau yang mengaku menjadi peguam kepada mangsa kezaliman, kerana di dalamnya juga ada para pemimpin penyangak yang dahulu dan terdahulu bersekongkol dengan punca masalah negara, dan tuduhan sama yang bertali arus laksana mata rantai atau biji tasbih yang dibilang setiap kali berwirid. Di sana pula ramai kalangan yang tidak boleh menjadi saksi yang adil mengikut perhitungan Islam yang menjadi pegangan PAS.
PAS percaya bahawa rakyat yang mahu menjadi hakim yang adil melalui pilihanraya itu sedang menghadapi krisis keyakinan bagi menentapkan hukumannya kepada siapa hendak dihukum atau dipersalahkan. Dalam keadaan penyakit politik wang yang menimpa rakyat dan menimpa UMNO yang sedang memerintah, yang dimulakan oleh pemimpin terdahulu dan selepasnya dan kini tidak mudah untuk diubati, namun tidak ada penyakit yang tidak ada ubat yang wajib dicari selagi belum mati, maka ikhtiar hendaklah diteruskan.
Ucapan YB Datuk Husni Hanzalah, Ahli Parlimen Tambun menggambarkan betapa krisis keyakinan berlaku sehingga beliau meletakkan jawatan daripada Kabinet, kerana ada masalah dalam kerajaan sejak dahulu dan betapa saksi yang fasik atau yang tidak nyata adilnya menjadikan beliau tidak boleh dipancing oleh pembangkang yang bertemakan Pakatan Harapan, yang tidak boleh diberi harapan. Namun, beliau bersikap mengikut konsep demokrasi yang sihat dengan menjadi anggota kerajaan yang memberi nasihat, dan masih ada lagi orang sepertinya di dalam kerajaan, namun tidak mahu menjatuhkan kerajaan dengan cara yang tidak bersopan. Berbeza dengan PAS yang menjadi pembangkang yang menasihat, namun sama-sama berpegang kepada konsep nasihat di mana sahaja seseorang itu berada berpandukan Hadis Rasulullah S.A.W:
الدين النصيحة قلنا: لمن؟ قال لله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين وعامتهم. رواه مسلم
Sabda Rasulullah S.A.W: “Agama itu nasihat”. Kami (para sahabat) bertanya: “Untuk siapa?” Sabda Baginda S.A.W: “Bagi Allah, Rasul-Nya, Kitab-Nya, hak para pemimpin dan masyarakat umum” (Hadis Riwayat Muslim)
Walaupun demokrasi barat yang bermoral menunjukkan perubahan boleh berlaku seperti di mana-mana negara yang mengubah kerajaan melalui Pilihanraya Umum yang bersih, namun perubahannya sangat rapuh yang sekadar mengubah pemimpin dan parti pemerintah.
Konsep barat itu tanpa aqidah beriman kepada Allah, Hari Akhirat dan perhitungan dosa dan pahala, menjadikannya sangat rapuh sehingga tidak boleh bertahan lama, apabila yang mengambil alih kuasa pemerintahan mengulangi perkara yang sama atau lebih parah lagi.
Di sinilah Allah memberi petunjuk betapa perlunya perubahan pemikiran yang salah dengan kembali kepada kebenaran dan mengubah tindakan yang zalim kepada yang adil, daripada akhlak yang keji kepada akhlak yang mulia. Firman Allah:
إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ ١١ الرعد
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” (Surah Ar-Ra’d: 11)
Maka Rasulullah S.A.W. yang menafsirkan Al-Quran secara amali dengan memulakan dakwah dan politiknya mengajak kepada perubahan peribadi supaya menerima Islam. Baginda S.A.W melaksanakannya melalui ucapan, perbincangan dan perutusan yang dihantar kepada raja-raja dan para pemimpin dengan menyebut ayatnya:
أسلم تسلم
“Terimalah Islam (dengan beriman dan beramal) nescaya kamu selamat.”
Tindakannya tidak merampas kuasa dan menurunkan takhta sewenang-wenangnya. Sesiapa yang berubah kepada Islam seperti Raja Habsyah, Raja Oman, Raja Bahrain dan lain-lain terus dikekalkan kedudukannya, ini menunjukkan bahawa konsepnya bukan mengubah orangnya sahaja tetapi mengubah dasar dan sistem.
Maka Islam menolak perubahan zahir dan diri tanpa perubahan aqidah, akhlak dan sikap kerana tiada mencapai maksud kebaikan dan kebajikan, serta nahi mungkar, dengan hanya sekadar meruntuhkan jahiliah dan diganti dengan jahiliah lain. Perubahan musim politik tanpa Islam yang berlaku di negara Arab menjadi iktibar. Tegasnya, tegakkan Islam dalam dirimu dan tegakkan juga Islam di dalam negaramu.
Khalifah Umar bin Al-Kahttab R.A. menegaskan:
الرجوع إلى الحق خير من التمادي في الباطل
“Kembali kepada kebenaran itu lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan”
Maka PAS menegaskan hanya kepemimpinan Muslim yang bersama Islam boleh menyelamatkan negara sama ada kembali kepada Islam atau perubahan kepada sesiapa sahaja yang menerima Islam yang sebenarnya, bagi mengisi mengikut acuan Islam yang telah ada dan melakukan perubahan di tempat yang perlu.
Ketegasan PAS ini bukannya bersifat fanatik melulu, tetapi berpijak di atas ajaran Islam yang nyata sempurna yang tidak ada dalam ideologi atau teori ciptaan manusia. Maka PAS tidak boleh terikut dengan pihak yang lain atau sekadar dipergunakan oleh pihak yang berbeza dasar dan hala tujunya. PAS boleh bekerjasama dan bersefahaman dengan semua pihak yang tidak mengacau dasar Islam dan halatuju wawasannya yang berkekalan.
Bahtera PAS tidak boleh disertai oleh golongan yang lain tujuannya, walaupun ahli PAS tidak mengenalinya tetapi kami percaya kepada jaminan Allah yang memelihara Islam dan perjuangannya dengan firman-Nya:
مَّا كَانَ ٱللَّهُ لِيَذَرَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ عَلَىٰ مَآ أَنتُمۡ عَلَيۡهِ حَتَّىٰ يَمِيزَ ٱلۡخَبِيثَ مِنَ ٱلطَّيِّبِۗ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُطۡلِعَكُمۡ عَلَى ٱلۡغَيۡبِ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ يَجۡتَبِي مِن رُّسُلِهِۦ مَن يَشَآءُۖ فََٔامِنُواْ بِٱللَّهِ وَرُسُلِهِۦۚ وَإِن تُؤۡمِنُواْ وَتَتَّقُواْ فَلَكُمۡ أَجۡرٌ عَظِيمٞ ١٧٩ آل عمران
“Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu ada sekarang (bercampur aduk mukmin dan munafik, bahkan Dia tetap menguji kamu) sehingga Dia memisahkan yang buruk (munafik) daripada yang baik (beriman) dan Allah tidak sekali-kali akan memperlihatkan kepada kamu perkara-perkara yang ghaib akan tetapi Allah memilih dari Rasul-Nya sesiapa yang dikehendaki-Nya (untuk memperlihatkan kepadanya perkara-perkara yang ghaib). Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya dan jika kamu beriman dan bertakwa, maka kamu akan beroleh pahala yang besar.” (Surah Ali-Imran: 179)
PAS berusaha mendapat keyakinan rakyat dengan tegas kepada keyakinan PAS sendiri berpegang kepada Islam, disertakan hujah yang diucap, yang tersurat dan tersirat dengan ikhlas yang diketahui Allah. PAS beramal dengan kemampuan kemenangannya di Kelantan sehingga kini dan ketika PAS memimpin Terengganu dan Kedah yang boleh dibuat perbandingan oleh semua pihak dengan mereka yang juga memerintah mengikut bidang kuasanya. PAS tidak pernah jatuh dan kalah kerana kesilapan dasarnya, tetapi dijatuhkan oleh pihak lain yang bertembung dengan dasarnya, bahkan sehingga kini Alhamdulillah, tidak ada seorang pun yang dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 20 Safar 1439 / 10 November 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan