pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Jumaat, 14 Mac 2014

UGUT SAMAN : RAJA BOMOH MARAH DITUDUH SESAT DAN KARUT !

KUALA LUMPUR: Individu yang menggelarkan dirinya Raja Bomoh mengugut akan menyaman pihak yang menuduh ritualnya di KLIA dalam usaha mengesan kehilangan Pesawat MH370 sebagai melanggar syariat.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan bahawa Ibrahim Mat Zin berkata, ritual ala menaiki permaidani terbang dengan memegang kelapa, serta menggantung bubu dengan teropong buluh yang dilakukan mereka dibuat berlandaskan syariat Islam.

“Penggunaan barang itu hanya sebagai simbolik atau petua yang diturunkan oleh orang tua dan bukannya untuk dipuja.

“Saya harap orang ramai tidak mudah menuduh saya terpesong daripada ajaran Islam dan tindakan mahkamah akan diambil kepada mereka yang degil,” katanya dipetik akhbar Umno itu.

Tindakan kumpulan pembomohan itu sebelum ini dikecam banyak pihak dan disifatkan sebagai sesuatu yang khurafat dan memalukan umat Islam dan Malaysia yang kini menjadi perhatian dunia.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sendiri menyifatkan tindakan tersebut jelas adalah bertentangan dengan Islam. 

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata Mesyuarat panel Kajian Akidah Jakim pada 22 hingga 23 November 2004 telah memutuskan bahawa rawatan perbomohan Ibrahim Mat Zin adalah bercanggah dengan aqidah Islam kerana mengandungi unsur-unsur syirik, khurafat serta penipuan. 

Jika dilihat dari sudut alat-alat yang digunakan beliau pula menggambarkan bahawa bahawa raja bomoh ini menggunakan unsur khurafat dan tahyul yang ditolak dalam Islam. 

Panel menjelaskan bahawa Islam adalah saintifik dan menolak segala perbuatan tahyul dan khurafat.

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah menempatkan pegawainya untuk memantau aktiviti pembomohan itu ekoran dua kali kumpulan Raja Bomoh itu membuat ritual mereka di KLIA itu.


Rabu, 12 Mac 2014

TUN M BERUNDUR DARI PROTON ?

KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad(gambar) difahamkan telah menghantar surat perletakan jawatan sebagai Penasihat Proton Holdings Bhd di saat projek automobil negara itu memerlukan lebih banyak dokongan kewangan daripada kerajaan.

"Surat perletakan jawatan telah dihantar," kata sumber yang rapat dengan Dr Mahathir kepada The Edge.  
Bagaimanapun pihak pengurusan Proton diyakini menyimpan surat tersebut dan tidak membuat sebarang pengumuman dengan harapan pemegang saham terbesar Proton, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dapat memujuk mantan Perdana Menteri itu supaya menimbang semula perletakan jawatannya itu.
Syed Mokhtar menjadi pemilik Proton setelah menguasai 55.92 peratus kepentingan dalam DRB-Hicom Bhd.
DRB Hicom  menjadi pemilik saham terbesar Proton setelah membeli kepentingan Khazanah Nasional dalam syarikat automobil negara itu pada 2012.
Proton disifatkan sebagai projek 'anak emas'  Dr Mahathir sepanjang 22 tahun berkhidmat sebagai Perdana Menteri.
Beliau dilantik menjadi Penasihat Proton Holdings Bhd pada 2003 setelah berundur sebagai Perdana Menteri.
Usaha The Edge untuk mendapatkan penjelasan Dr Mahathir gagal kerana beliau dilapor berada di luar negara.
Setiausaha Akhbar Dr Mahathir, Sufi Yusoff bagaimanapun mengakui tidak tahu menahu tentang surat perletakan jawatan itu.
Akhir tahun lalu, Dr Mahathir, 88 meletakkan jawatan sebagai Penasihat Petronas.
Beliau memberikan alasan kesihatan atas tindakannya itu namun sumber menyebut "Petronas gagal memenuhi beberapa permintaan Dr Mahathir".
Sumber Proton menyebut antara kekecewaan Dr Mahathir adalah perletakan jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Lukman Ibrahim bulan lepas.
Lukman yang dibawa masuk ke Proton oleh Dr Mahathir pernah mengumumkan perletakan jawatan Julai tahun lalu tapi tidak meneruskan hasrat beliau.
Namun perletakan jawatan Lukman daripada Proton pada Februari adalah muktamad.

Selasa, 11 Mac 2014

HANYA UNDANG CAMPUR TANGAN ASING SELARAN ZAHID KEPADA IMIGRESEN!

KUALA LUMPUR: PAS kesal dengan tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zaid Hamidi yang secara terbuka menyelar kakitangan Imigresen berhubung kes dua pelancong menggunakan pasport curi bagi menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, para pegawai Imigresen sudah cukup tertekan dengan insiden malang yang berlaku dan tindakan Zahid tidak membantu menyelesaikan masalah.
Beliau seterusnya menasihati Zahid agar mencontohi sikap Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman yang walaupun diasak media antarabangsa namun tetap 'menjaga mulut' agar tidak 'terlepas cakap' sehingga menjejakan imej negara.
"Mengapa Zahid amat mudah menyalahkan kakitangan di bawah kementeriannya sedangkan banyak lagi kementerian dan agensi yang terlibat secara langsung tidak bertindak sedemikian?
"Apakah beliau ingin melepaskan tanggung jawab beliau dan membuat kesimpulan mudah dan meletakkan kesalahan terhadap pegawai tertentu?" ujar Salahuddin.
Salahuddin juga inginkan kepastian sama ada siasatan pihak KDN dan Imigresen sudah selesai sehingga menyebabkan Zahid melepaskan kemarahan melalui media?
Paling utama, ujarnya adakah tindakan Zahid  ini menepati Prosedur Operasi Standard (SOP) KDN sehingga tidak langsung mengambil kira aspek keselamatan dan maruah negara.

Kenyataan Zahid (gambar), tambah Salahuddin hanya membuka ruang kepada campurtangan langsung pihak asing seperti FBI dan CIA.
"Jika siasatan belum selesai, Zahid harus bertanggungjawab dan berundur dari mengetuai KDN jika beliau sebegini mudah tertekan dan gagal bertindak secara waras," tegas Salahuddin.
Beliau mencadangkan agar prosedur kawalan keselamatan di lapangan terbang diperhalusi ekoran insiden ini.
"Umum mengetahui Imigresen Malaysia amat cekap dalam mengendalikan proses pelepasan masuk dan keluar penumpang di pintu masuk terutama di lapangan terbang.
"Ini sudah pastinya merujuk kepada arahan dari kerajaan untuk kemudahan penumpang terutamanya pelancong apatah lagi negara sedang meraikan Tahun Melawat Malaysia 2014," ujar beliau.
Salahuddin menambah, adakah faktor di atas menyebabkan berlakunya 'kelonggaran' dalam protokol dan SOP untuk memudahkan kemasukan pelancong asing?
KDN juga, tambah beliau perlu menjelaskan sama ada sistem elektronik yang diguna pakai imigresen menepati ciri-ciri keselamatan terkini tanpa menjejaskan dan mengganggu kelancaran proses pelepasan penumpang.
Salahuddin turut mengingatkan bahawa pemalsuan dokumen bukanlah sesuatu yang asing di negara ini dengan merujuk 'Projek IC' membabitkan modifikasi kad pengenalan bermutu tinggi.
Zahid ketika bercakap kepada pemberita semalam memaklumkan satu siasatan dalaman akan dijalankan terhadap Jabatan Imigresen berikutan laporan dua pelancong menggunakan pasport curi bagi menaiki pesawat MH370 yang dilaporkan hilang.
Siasatan secara terperinci itu akan memberi tumpuan khusus kepada Jabatan Imigresen cawangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal itu dilaporkan hilang daripada radar pada pukul 1.30 pagi Sabtu, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA.
Pesawat itu membawa penumpang dari 14 negara dengan lebih separuh merupakan warga China dan 38 rakyat Malaysia.

PRK KAJANG : SAH..SATU LAWAN SATU !

BANGI: Hari ini berlangsungnya penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang yang diadakan di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi.

Dua calon yang telah mengumumkan penyertaan awal masing-masing Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mewakili Pakatan rakyat dan Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun mewakili BN.

PKR meletakkan Wan Azizah sebagai calon pengganti kepada Ketua Umum mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hilang kelayakan bertanding ekoran keputusan Mahkamah Rayuan minggu lalu yang memutuskan Anwar bersalah dalam kes Liwat II dan dikenakan hukuman lima tahun penjara.

PRK Kajang yang disebut juga sebagai 'Langkah Kajang' dalam usaha memperkukuh Pakatan Rakyat negeri Selangor, menarik perhatian banyak pihak sejak ianya dilontarkan sebulan lalu.

Kerusi DunKajang kosong selepas penyandangnya dari PKR, Lee Chin Cheh meletakan jawatan pada 27 Januari lalu.

Dalam pilihan raya umum ke-13 Mei tahun lalu, Lee menang kerusi itu dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas.


LAPORAN LANGSUNG

10.20 am: Anwar dan Wan Azizah mengambil peluang bersalaman dengan penyokong PR. Sebahagian mula beransur-ansur keluar dari stadium.
10.15 am: Datuk Hassan Nawawi mengumumkan hanya dua calon yang disahkan bertanding iaitu Wan Azizah dari PKR dan Chew Mei Fun dari BN.
Pengumuman disambut sorakan dan takbir dari kedua-dua belah penyokong yang berhimpun.
Tiada calon bebas dan bermakna satu lawan satu di Kajang.
10.05 am: Pegawai Pengurus PRK Kajang Datuk Hassan Nawawi Abdul Rahman mengumumkan tempoh penyerahan borang pencalonan tamat jam 10 pagi tadi.
10.03 am: Dr Siti Mariah berpendapat, PRK kajang lebih kepada merebut undi wanita. Beliau optimis pengundi wanita Kajang bersama PR.
"Di kajang, wanita-wanitanya celik maklumat. Dengan banyak janji yang tidak ditunaikan BN seperti dijanji sebelum PRU lalu, kita yakin wanita Kajang bersama PR.
"Lebih-lebih lagi dengan kenaikan harga barangan dan kos hidup yang semakin mengkat ini, sangat menekan golongan wanita khususnya suri rumah," katanya.
9.50 am: Dr Hatta ketika ditemui berkata;
"Sepertinya PRK ini satu lawan satu antara PKR dan BN. Itu lebih mudah rakyat buat pilihan.

"PRK juga sebagai medan referendum terhadap isu-isu yang PR bangkitkan.

"Melihat kepada minat sebelum penamaan ini, saya jangka mood untuk keluar mengundi mungkin tinggi," kata Hatta.

9.45 am: Sekumpulan penyokong PKR dan DAP yang menaiki bas khas juga dilihat turun berjalan kaki dari plaza tol ke stadium.
9.40 am: Kenderaan pemimpin DAP Tony Pua antara yang terperangkap dalam kesesakan berhampiran plaza tol Bangi.
Beliau dilihat turun dari kenderaan dan dibawa menaiki motosikal ke pusat penamaan calon.
9.35 am: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib tiba di khemah Pakatan Rakyat bersama AJK PAS Pusat Dr Dzulkefley Ahmad.
9.30 am: Akibat kesesakan teruk, pihak plaza tol Bangi menambah kaunter di bahagian laluan tunai.
Kesesakan itu juga menyebabkan pasukan trafik terpaksa berkawal di plaza tol.

9.25 am: Bulatan selepas tol Bangi menuju ke kompleks sukan ditutup separuh ekoran keksesakan. Kebanyakan penyokong meletakkan kenderaan berhampiran plaza tol dan berjalan kaki menuju ke stadium.
9.20 am: Setakat ini hanya Wan Azizah dan Mei Fun dilihat mengemukakan borang pencalonan. Belum ada mana-mana calon bebas berbuat demikian.
Pencadang kepada Wan Azizah adalah Muhammad Fazli Ahmad dari PAS manakala penyokong pula Sia Wei Shien dari DAP.
Masa penyerahan penyerahan borang pencalonan dijangka tamat jam 10 pagi ini.
9.15 am: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tiba di khemah Pakatan Rakyat. Turut bersama beliau Menteri Besar Kelantan Ustaz Datuk Ahmad Yakob.
Pemimpin PAS yang turut berada di khemah itu termasuk Salahudin Ayub, Datuk Mahfuz Omar, Dr Mohd Hatta Ramli, Khalid Samad, Dr Siti Mariah, serta Dr Che Rosli.
9.10 am: Sementara itu Pimpinan Pakatan Rakyat mula mengambil tempat. Menunggu di khemah yang disediakan.
9.00 am: Wan Azizah dilihat masuk ke dewan penamaan calon. Difahamkan calon BN masuk lebih awal kira-kira jam 8.50 pagi tadi.
8.58 am: Kedua-dua belah penyokong mula memenuhi kawasan yang ditetapkan masing-masing sementara polis dan anggota FRU berkawal ditengah-tengah antara mereka.
Mereka dipisahkan dalam jarak 100 meter.
Selain meletakkan kon penghadang, pihak keselamatan juga turut memasang kawat berduri sekitar kawasan perkumpulan penyokong kedua-dua belah pihak.
8.55 am: Wan Azizah tiba di kompleks sukan ditemani Anwar Ibrahim. Mereka bertemu penyokong sebelum bergerak ke dewan penamaan.
8.50 am: Kelihatan khemah yang disediakan untuk calon dan pemimpin BN di atas padang berhampiran dewan penamaan sudah dipenuhi oleh pemimpin utama mereka, manakala khemah yang disediakan untuk Pakatan Rakyat masih kosong.
Difahamkan, calon dan pimpinan Pakatan Rakyat akan bergerak masuk ke kawasan kompleks sukan sebentar lagi.
8.45 am: Penyokong kedua-dua parti dilihat mula tiba di kawasan kompleks sukan.
Penyokong BN dilihat menggunakan pintu sebelah lebih raya untuk ke kawasan padang tempat berkumpul yang ditetapkan manakala penyokong Pakatan Rakyat masuk melalui pintu sebelah kawasan perumahan.
8.20 am: Jalan masuk ke LHDN juga ditutup dengan menggunakan kon oleh pihak keselamatan.
Para penyokong dilihat meletakkan kenderaan di luar kawasan di tepi jalan dan berjalan kaki ke tempat berkumpul.
Azmin Ali antara pimpinan terawal dilihat tiba disini. Kelihatan juga Adun Meru Dr Abdul Rani Othman.
Sejurus kemudian Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga tiba dan bersalaman dengan penyokong.

8.15 am: Penyokong Pakatan Rakyat juga semakin ramai tiba di Pusat Latihan Lembaga Hasil Dalam Negeri LHDN, Bangi.

Mereka berkumpul di kawasan letak kereta sementara menunggu pimpinan utama Pakatan Rakyat termasuk calon Wan Azizah tiba.

Dari sini, mereka akan bergerak menuju ke pusat penamaan calon.

8.00 am: Semua jalan masuk menuju ke pusat penamaan calon di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi dilapor sesak.

Di Lebuhraya PLUS, kesesakan dilaporkan lebih 1 kilometer sebelum plaza tol Bangi.


Isnin, 10 Mac 2014

MH370 : EMPAT FAKTOR KEMUNGKINAN...

KUALA LUMPUR: Terdapat empat faktor kemungkinan yang boleh menyebabkan sesuatu bencana berlaku terhadap mana-mana pesawat termasuk MH370, kata penganalisis penerbangan, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

"Antara perkara yang perlu dipertimbangkan ialah struktur kapal terbang, kegagalan enjin, sistem elektronik termasuk sistem komunikasi, selain kesilapan manusia," jelasnya dalam temubul bersama Astro Awani malam tadi.

Menurut beliau keadaan struktur pesawat dan kegagalan fungsi enjin secara mengejut juga mungkin menjadi antara penyebab pesawat tersebut gagal menghantar sebarang isyarat kecemasan kepada menara kawalan.

Setiausaha Politik kepada Presiden PAS itu juga berkata, sekiranya struktur utama pesawat seperti sayap dan enjin masih lagi sempurna biarpun berlaku kerosakan, ia masih mampu untuk berhubung dengan pusat kawalan terdekat.

"Jika enjin dan struktur kapal terbang masih lagi baik, bermakna terdapat peluang untuk juruterbang berhubung dengan menara kawalan. Namun, fakta ini hanya kemungkinan kerana kita tidak mengetahui sejauh mana juruterbang berhubung atau tidak dengan pusat kawalan.

"Bagaimanapun, jika berlaku perkara-perkara yang mengejutkan pada enjin atau letupan boleh menyebabkan sistem kawalan berada di luar kawalan biasa sehingga menyebabkan terputusnya hubungan," katanya.

SARAN SOLAT HAJAT : DEWAN ULAMAK PAS PUSAT.

KOTA BHARU:  Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Datuk Ahmad Yakob menyarankan masjid dan surau di seluruh negara mengadakan solat hajat bagi memohon keselamatan para penumpang dan krew pesawat MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu.

Ketika dihubungi Harakahdaily, beliau juga berharap umat Islam termasuk rakyat Kelantan bertenang menerima berita yang mengejutkan itu dan tidak menyebarkan spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan.
Menurutnya, doa serta munajat perlu dipanjatkan sentiasa bagi memohon pertolongan Allah SWT agar diberi kemudahan dalam mencari dan menyelamat penumpang pesawat terbabit.
“Semoga anggota keluarga mangsa bersabar menerima berita sedih ini serta mengambil maklumat dari pihak yang benar-benar sah agar tidak timbul sebarang spekulasi. Kita masih berharap semoga MH370 ditemui,”ujarnya.
Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan dalam laman facebooknya berkata, kerajaan negeri turut mengikuti perkembangan kehilangan pesawat itu memandangkan pembantu juruterbang pesawat MH370 ialah rakyat Kelantan.
“Kerajaan Kelantan  bersedia menghulurkan bantuan yang termampu untuk meringankan beban keluarga terbabit,” ujarnya.

Ahad, 9 Mac 2014

INI UJIAN ALLAH..PESAWAT HILANG, TG. MURSYIDUL AM RAKAM SIMPATI..

KOTA BHARU:  Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, memohon semua keluarga mangsa bersabar menerima berita kehilangan pesawat MH370 milik negara.

Ketika dihubungi beliau turut bersimpati dengan nasib mangsa serta keluarga yang terlibat.
Menurut Tuan Guru lagi, di atas dunia ini tidak ada tempat yang selamat sama ada di jalanraya, di darat, laut atau udara.
“Malah pejalan kaki juga kena rempuh walaupun dia tidak berada dalam kenderaan atau sebagainya.
“Kerana itu Islam menggalakkan kita sentiasa berdoa sebagaimana Rasulullah ajar setiap kali kita ingin turun tangga untuk keluar dari rumah,” nasihat beliau.
Tambahnya, sekiranya doa itu dimakbulkan Allah, mereka yang membacanya bebas dari sebarang musibah.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut menasihati keluarga mangsa agar terus berdoa dan menerima sebarang ketentuan Allah SWT.

Sabtu, 8 Mac 2014

PESAWAT MAS HILANG ?

KUALA LUMPUR: Pesawat Malaysia Airlines yang membawa 227 penumpang termasuk dua bayi bersama 12 kru dilaporkan hilang semasa dalam penerbangan ke Beijing.


Malaysia Airlines dalam satu kenyataan mengesahkan pesawat itu terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi ini.

MAS berkata penerbangan MH370, yang dikendalikan pesawat B777-200 berlepas dari Kuala Lumpur pada 12.41 pagi 8 Mac.

Penerbangan MH370 itu dijangka mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Malaysia Airlines sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa yang telah mengaktifkan pasukan mencari dan menyelamat untuk mengesan pesawat itu.

Syarikat penerbangan itu akan menyediakan perkembangan terkini berhubung keadaan itu.

Orang ramai boleh menghubungi talian 03 7884 1234 untuk maklumat lanjut. - BERNAMA

BUAT RAKYAT..PERJUANGAN AKAN TERUS MARAK...

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menasihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga bersabar dengan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

"Saya harap Anwar sekeluarga dapat bersabar, jangan patah semangat dan terus berjuang,” ujarnya dalam sms yang ketika ini berada di Berlin, Jerman.

Sehubungan itu, beliau yakin apa yang berlaku itu akan memberi lonjakkan undi kepada Pakatan Rakyat, walaupun siapa yang bertanding pada PRK Kajang.

"Ini merupakan satu isyarat jelas rakyat yang menentang keputusan mahkamah hari ini," ujarnya lagi.

Bagi AJK PAS Pusat, Nasrudin Hassan pula, hari ini di seluruh negara dilanda ‘mendung’.


Beliau percaya seluruh dunia yang mengikuti rapat perjuangan menegakkan keadilan di Malaysia akan berkabung dengan penuh kesedihan dan berasa amat dukacita dengan perkembangan terbaru yang menimpa Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau sendiri tentu sahaja tidak gembira malah turut sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku dan dilakukan ke atas Anwar. 

“Saya mendoakan semoga beliau dan keluarga tabah menghadapi ujian getir ini. Mudah-mudahan segalanya di dalam lindungan dan pemeliharaan Allah SWT jua buat Datuk Seri Wan Azizah dan anak-anak pastinya orang paling sedih dan kecewa terhadap episod hitam ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Temerloh. 

Namun beliau yakin perjuangan akan terus marak terutama dukungan anak muda yang tidak akan patah semangat untuk bangkit menentang kezaliman, meluruskan kepincangan dan menolak kebatilan dalam politik, ekonomi, sosial dan perundangan negara.

Khamis, 6 Mac 2014

INILAH NEGARA KITA YANG HARUS DIBANGGAKAN...KEHEBATAN TIADA TOLOK BANDINGAN ?

MELAKA: Pusat perlindungan remaja hamil, Sekolah Harapan di Jasin mencatatkan sebanyak 201 kelahiran bayi sejak penubuhannya pada September 2010.
    
Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan Melaka Datuk Latipah Omar berkata sehingga kini seramai 216 remaja hamil dari seluruh negara ditempatkan di sekolah berkenaan dengan mencatatkan 14 penghuni pada 2010; 2011 (84); 2012 (51); 2013 (61) dan enam penghuni bagi dua bulan pertama tahun ini.  
    
"Perbelanjaan keseluruhan sekolah adalah ditanggung oleh Majlis Agama Islam Melaka dengan pengisian keagamaan dijalankan pada sesi pagi manakala sesi petang diisi dengan pelajaran akademik," katanya ketika menjawab soalan Md Rawi Mahmud (BN-Tanjung Bidara) mengenai perkembangan pusat perlindungan itu pada persidangan pertama penggal kedua Dewan Undangan Negeri Melaka ke-13 di sini, hari ini.
    
Katanya dalam tempoh itu juga sebanyak 28 penghuni mengambil peperiksaan awam dengan 21 orang menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (7).


Dalam sidang akhbar selepas itu, Latipah berkata bayi berkenaan kebanyakannya dijaga oleh ibu kandung mereka selain ada yang diserah kepada keluarga angkat.
    
Katanya pihak Sekolah Harapan turut melakukan pemantauan berkala terhadap remaja terbabit yang kembali kepada keluarga masing-masing setelah habis tempoh berpantang.
    
"Sehingga kini, kita tidak menerima sebarang aduan mengenai kes pengabaian bayi dan juga tiada laporan mengenai berulangnya kes hamil di luar nikah," katanya. – Bernama

Rabu, 5 Mac 2014

AHLI PAS JANGAN BIMBANG..KITA ADA BUKTI KETEPIKAN PENGHAKIMAN INGKAR.

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli PAS tidak perlu bimbang dengan perintah penghakiman ingkar berhubung saman fitnah RM2 juta oleh Mohd Shamsul Mat Amin ke atas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kerana Abdul Hadi sendiri mempunyai beberapa bukti kukuh untuk mengetepikan tuntutan itu.

Bukti pertama yang dimiliki oleh Tuan Guru Abdul Hadi untuk mengetepikan tuntutan itu adalah terdapat beberapa peruntukan yang tidak dipatuhi oleh Mohd Shamsul selaku plaintif ketika menyampaikan pernyataan tuntutannya ke atas Abdul Hadi selaku defenden.

Pengerusi Lajnah Undang-Undang PAS Pusat, Asmuni Awi menjelaskan, manakala bukti kedua pula adalah pihak plaintif sendiri tidak mematuhi beberapa peraturan yang sepatutnya untuk mendapatkan perintah penghakiman ingkar daripada mahkamah ke atas Abdul Hadi berhubung kes itu.

"Kesemua bukti itu akan menyokong permohonan kita untuk mahkamah mengetepikan perintah penghakiman ingkar ke atas Tuan Guru Presiden PAS. Jadi ahli-ahli PAS tidak perlu bimbang mengenai perkara ini," katanya Harakah.

Ketika dihubungi 28 Februari lalu, Asmuni menjelaskan, tambahan pula kes tersebut hanya kes biasa sahaja yang sememangnya berlaku di mana-mana dan ia juga hanya perlu dilalui mengikut proses biasa di mahkamah.      

Beliau berkata, Tuan Guru Abdul Hadi telah menfailkan permohonan bagi mengetepikan perintah penghakiman ingkar berhubung kes saman fitnah RM2 juta oleh bekas calon KeADILan bagi kerusi Dun Bukit Besi itu di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 27 Februari lalu. 

"Permohonan itu telah difailkan menerusi saya sendiri, setelah saya sendiri mendapatkan tandatangan Tuan Guru Presiden sendiri. Mahkamah juga telah menetapkan 30 Mac ini sebagai tarikh pendengaran permohonan berhubung kes itu.


"Tadi pun (28 Februari), saya dah hantar salinan permohonan itu kepada peguam plaintif. Saya dah buat pos laju yang ditandatangi Penolong Pendaftar Mahkamah. Jadi sekarang kalau plaintif nak lawan, dia kenalah failkan afidavit untuk jawap afidavit yang dah kita failkan semalam," katanya.

Asmuni yang juga peguam kepada Tuan Guru Abdul Hadi bagi kes ini menjelaskan, selepas ini, jika perintah penghakiman ingkar itu dibatalkan, jika pihak plaintif hendak meneruskan dengan tuntutan itu, dia perlu mengambil langkah-langkah yang diperlukan mengikut undang-undang.

"Jika langkah-langkah yang diperlukan mengikut undang-undang itu tidak dibuat oleh pihak plaintif, kita pula boleh membuat permohonan untuk membatalkan permohonan itu. Ini samalah juga seperti kebanyakan kes-kes lain yang seperti ini sebelum ini," jelas beliau.   

Menurut Asmuni lagi, sebenarnya beliau baru mengetahui kehadiran perintah itu pada Ahad (23 Februari) walaupun perintah itu masuk pada Isnin (17 Februari) kerana plaintif tidak berkomunikasi dengan beliau atau peguam PAS mengenai perkara itu.
   
23 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu telah memerintahkan Tuan Guru Abdul Hadi membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul selepas gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang dikemukakan plaintif pada 5 Disember tahun lalu.
   
Mohd Shamsul mengambil tindakan itu selepas Tuan Guru Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan bahawa ada calon KeADILan yang menjual pil kuda menjelang PRU13 lalu sebagai alasan untuk PAS meletakkan calonnya bertanding di Dun Bukit Besi, sehingga menyaksikan berlaku pertandingan tiga penjuru.
   
Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Shamsul mendakwa ucapan Tuan Guru Abdul Hadi dalam satu ceramah di Kampung Tebakang, Alor Limbat, Marang pada 22 April tahun lalu telah menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon dan ahli perniagaan. -Harakah edisi 3-6 Mac 2014.

SYOR WUJUDKAN FIQH DAKWAH VERSI MALAYSIA : PEMUDA PAS

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengalu-alukan usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melancarkan Kelab Sukarelawan Sosial Islam yang bertujuan untuk membanteras masalah gejala sosial dalam masyarakat. 

“Walau bagaimanapun, inisiatif ini harus diperhalusi terutamanya mengenai modus operandi yang akan dijalankan termasuk peruntukan perundangan sekiranya ia berkaitan,” ujar Timbalan Ketuanya, Mohd Khalil Abdul Hadi kepada Harakahdaily.

Beliau menekankan perkara itu rentetan daripada beberapa isu yang dibangkitkan sebelum ini berkaitan dengan pengawasan moral individu atau masyarakat dan penguatkuasaan undang-undang oleh pelbagai institusi Islam. 

Contohnya, kata beliau artikel ‘Jangan Perlekeh Institusi Agama’ dalam segmen Fikrah oleh Yang Dipertua Yadim (Sinar Harian, 19 Februari 2014), cadangan penubuhan polis Syariah oleh KDN dan artikel Battle violent crime, not moral transgression (The Star, 17 Februari 2014).
 
Dari satu sudut, katanya sudah ramai pihak yang mengambil serius mengenai kebejatan masalah sosial dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan remaja dan belia. 

Oleh yang demikian, ujar beliau satu pelan konkrit perlu dibincangkan bersama untuk mengagendakan perkara ini dan seterusnya memberikan perincian serta garis panduan yang jelas untuk memulihkan masalah sosial yang sangat kritikal di negara ini.
 
Menurutnya, antara isu yang dijangka timbul adalah tuntutan hak kebebasan individu, prosedur pencegahan pihak penguatkuasa, pelaksanaan kawalan moral, pemerkasaan badan dakwah bukan kerajaan, dan peruntukan undang-undang. 

“Oleh yang demikian, saya mencadangkan agar manual Fiqh Dakwah Versi Malaysia harus diwujudkan oleh para ilmuan Islam untuk menuntun ke arah pelaksanaan kewajiban Islam ini.
 
“Mudah-mudahan dengan wujudnya manual ini, ia mampu menjadi asas yang baik untuk diterjemahkan di lapangan sebenar dengan menggabungkan kombinasi tanggungjawab dalam Islam dan realiti sosio-politik (pentadbiran) di Malaysia,” ujarnya lagi.  

Selasa, 4 Mac 2014

PAS : DAKWAH, TARBIAH DAN SIASAH...


PAS sebagai sebuah jamaah yang menjadi mata rantai perjuangan orang-orang terdahulu daripada kita. Kewujudan PAS bukan kerana tidak puas hati dengan jamaah Islam yang sedia ada. PAS ditubuhkan sebagai menyahut seruan Allah SWT  yang bermaksud " Hendaklah ada di kalangan kamu suatu puak ( jamaah) yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada melakukan kemungkaran. Dan merekalah orang yang berjaya".  (Al-Imran 3:104)

Dakwah, Tarbiah dan Siasah tiga serangkai yang tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Inilah keunikan PAS sejak daripada mula penubuhan lagi. PAS bergerak di atas tiga paksi ini, sehingga mampu menongkah arus dan badai perjuangan walau pun PAS tidak berpeluang memegang kerajaan di peringkat pusat. Usia PAS yang sudah lebih  62 tahun, tetapi sentiasa dinamik dan segar untuk menjadi harapan baru bagi menggantikan Umno yang sudah hilang ideologi perjuangan. Umno hanya mampu hidup kerana ada kuasa sahaja. Idealisma perjuangannya sudah tidak bermaya. Semangat nasionalis sudah berkubur. Slogan hidup Melayu hanya hidup di dua musim, ketika pilihanraya dan persidangan Agung Umno.

PAS tidak boleh lari daripada kerja dakwah. Setengah orang anggap PAS hanya parti politik, dakwah kerja orang lain. Ini satu penyelewingan dalam perjuangan. Dakwah dengan PAS seperti aur dengan tebing. 

Sekiranya PAS hanya mementingkan politik sahaja, nescaya perjuangan PAS tidak boleh bertahan hingga  kini. Pengaruh perjuangan PAS akan terhad dan tidak berkembang.  Apakah modal untuk PAS gunakan sepanjang masa selepas musim pilihanraya. Umno dia boleh bertindak sebagai gerakan politik sahaja, kerana mereka ada kuasa. Cuba bayangkan jika Umno tidak ada kuasa adakah dia mampu untuk bermodalkan benda. Sudah pasti tidak boleh. 

PAS berdakwah sepanjang masa untuk memastikan rakyat di negara ini faham isi perjuangannya dan fahama ajaran Islam yang syumul. PAS mengambil masa haampir 40 tahun menerangkan di dalam Islam ada politik. Satu ketika dahulu berapa ramai masyarakat termasuk yang berpendidikan agama yang berkeyakinan di dalam Islam tidak ada politik. Alhamdulillah keadaan sudah berubah. Ertinya jika tanpa dakwah yang dimainkan oleh golongan agamawan di dalam PAS, maka masyarakat akan jahil mengenai politik Islam.


Tarbiah ialah ramuan PAS untuk kelangsungan perjuangan. Tanpa tarbiah, PAS akan rebah. Dengan tarbiah PAS terarah. Tarbiahlah yang menggerakkan PAS selama ini. Tarbiah membina Iman dan keyakinan kepada setiap ahli. PAS tidak mampu untuk menggerakkan parti jika kekuatan ini tidak dibina. Bermodalkan motivasi Iman, balasan dosa dan pahala telah berjaya meletakkan PAS di atas landasan perjuangan yang betul. 

Tarbiah menjadikan ahlinya bekerja tanpa mengharapkan ganjaran dan upah. Tarbiah membentuk ahli yang menolak tawaran kebendaan daripada pihak musuh. Mereka memandang ini satu benda yang jijik, kalau imbalannya kena meninggalkan perjuangan PAS. Tarbiah mampu menggerakkan ahli untuk  hadir ke perhimpunan raksasa seperti tiga Himpunan Bersih, Himpunan Menentang PPSMI, Himpunan Masuh ISA, Himpunan Menentang Penyenaraian Felda di Bursa Saham Malaysia. Tarbiah berjaya menggerakkan ahlinya untuk bekerja di dalam pilihanraya tanpa penat dan lelah. Tarbiah melahirkan ahli yang kental, disegani oleh kawan dan lawan.


PAS boleh terlibat di dalam politik pilihanraya atas lambangnya sendiri. Inilah satu keunikan PAS di negara ini. Ia berbeza dengan badan dakwah yang lain.  Kerana mereka tidak didaftarkan sebagai parti politik yang tidak boleh beraksi di medan pilihanraya dengan menggunakan lambang sendiri. Gerakan mereka terhad untuk dakwah dan tarbiah. Mereka boleh membina sekolah, kilang, perkampungan Islam tetapi tidak boleh untuk terlibat dalam pilihanraya bagi mendapatkan kuasa atas kapisiti jamaah mereka. Islam tidak boleh dihayati tanpa diberi kuasa. Ia hanya berlegar sekitar surau dan masjid. Islam menjadi tetamu, bukan tuan. 

Islam menjadi dagang yang boleh dibuang bila-bila masa. Islam dihukum, bukan menghukum. Dengan adanya kuasa, jalur dakwah lebih terserlah. Ini dibuktikan apabila Kelantan yang diperintah selama 23 tahun telah menunjukkan lisanul hal kepada masyarakat, bahawa Islam mampu untuk mentadbir. Lebih jauh daripada itu orang bukan Islam mula tertarik dengan Islam dan perjuangan Pas apabila mereka melihat keadilan secara praktikal. Sebelumnya apabila pihak musuh mengatakan PAS parti yang kejam kepada orang bukan Islam. Maka telah dijawab dengan amalan, bagaimana orang bukan Islam mendapat hak mereka, walaupun mereka penduduk minoriti. Kesannya pengaruh PAS di luar Kelantan semakin membesar sejak PAS memerintah Kelantan.


Walau pun ada pandangan yang mengatakan PAS perlu menjadi parti politik semata-mata jika mahu PAS relevan dan setanding dengan parti lawan. Ini mungkin pandangan dari golongan pengkaji semata-mata. Atau pun mungkin golongan ini merupakan golongan yang tidak memahami sunnah perjuangan Islam yang ada kalah menang. Atau pun golongan ini baru di dalam perjuangan, tidak tahan dengan kekalahan sehingga nafasnya pendek. 

Atau pun golongan ini hanya mahu cepat menang tanpa mengambil kira manhaj perjuangan Islam. Atau pun golongan ini cuba hendak menjadi PAS parti politik semata- mata. Atau pun golongan ini masih muda, terlalu cepat hendak mendapat hasil. Kepada golongan ini mari kita renung wasiat Al Shahid Syed Qutb kepada adiknya sebelum beliau ke tali gantung. "Wahai adikku engkau merasa dada kamu sesak jika engkau merasakan kamu yang memulakan perjuangan dan kamu yang mengakhiri perjuangan. Tetapi kamu akan merasa lapang jika kamu sedar bahawa bukan kamu yang memulakan dan mengakhiri perjuangan"

Ahad, 2 Mac 2014

SAMAN TUAN GURU : TIDAK JEJAS IMEJ PAS

KUALA TERENGGANU: Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu menganggap saman sebanyak RM2 juta oleh bekas calon PKR terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak menjejaskan imej parti itu.
    
Pesuruhjaya PAS Terengganu Satiful Bahri Mamat berkata saman bekas calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Besi Mohd Shamsul Mat Amin terhadap Abdul Hadi menyebabkan parti itu terus menerima sokongan.

"Isu ini seperti fenomena setiap kali adanya pilihan raya kecil (PRK) seperti PRK Kuala Besut hinggalah ke PRK Kajang," katanya kepada pemberita selepas Program Mesra Media bersama pemimpin PAS di sini.

Pada 23 Feb lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu memerintahkan Abdul Hadi membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul selepas gagal hadir untuk menjawab saman yang dikemukakan plaintif pada 5 Dis tahun lalu.

Pada Khamis lepas, Abdul Hadi menfailkan permohonan bagi mengetepikan perintah penghakiman ingkar berhubung kes saman fitnah itu. - Bernama


jambori amal kuala kangsar 2008