pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Rabu, 26 Februari 2014

SUDUT ILMIAH @ SYARIAT ISLAMIAH : HUKUM -HAKAM MUBAHALAH, PENGERTIAN DAN PENSYARIATANNYA...

Hukum-Hakam Mubahalah

Al-Mubahalah (المباهلة) membawa maksud al-Mula’anah (الملاعنة) iaitu saling laknat melaknati. Dalam ertikata lain, saling berdoa diturunkan laknat ke atas individu yang berbohong dari kalangan orang yang bersedia bermubahalah. (Sila lihat al-Qamus al-Muhith)
Mubahalah ini suatu yang dibenarkan (disyariatkan) di dalam Islam bertujuan menyatakan kebenaran dan memusnahkan kebatilan, juga untuk menegakkan hujah ke atas orang yang berpaling dari kebenaran setelah kebenaran itu ditegakkan ke atasnya.
Asas kepada pensyariatan Mubahalah ini ialah firman Allah S.W.T.

فَمَنْ حَاجَّكَ فِيهِ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ فَقُلْ تَعَالَوْا نَدْعُ أَبْنَاءَنَا وَأَبْنَاءَكُمْ وَنِسَاءَنَا وَنِسَاءَكُمْ وَأَنْفُسَنَا وَأَنْفُسَكُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَلْ لَعْنَةَ اللَّهِ عَلَى الْكَاذِبِينَ
Maksudnya: “Siapa yang membantahmu tentang kisah Isa sesudah datang ilmu (yang meyakinkan kamu), maka katakanlah (kepadanya): “Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, diri kami dan diri kamu, kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya laknat Allah ditimpa ke atas orang yang berdusta.” (Ali Imran: 61)
Ayat ini diturunkan sempena dengan kedatangan wakil Nasara Najran ke Madinah yang berhujjah dengan Nabi S.A.W. tentang keyakinan batil mereka berkenaan Isa A.S. namun mereka tetap berkeras dengan keyakinan mereka yang batil itu setelah Nabi S.A.W. mendatangkan hujah yang jelas kepada mereka. Lalu Allah S.W.T. menurunkan ayat di atas supaya Nabi S.A.W. mencabar utusan Nasara itu untuk bermubahalah, namun cabaran itu telah ditolak oleh mereka disebabkan rasa takut atas perbuatan dusta mereka.
Dalam mubahalah setiap orang akan memohon kelaknatan Allah ke atas dirinya jika dia berada di pihak yang salah. Sebagai contoh satu pihak diminta menyebut: “Ya Allah! jika aku lakukan apa yang dituduh ke atasku, maka laknatilah aku”. Sementara pihak yang lain menyebut: “Ya Allah! jika dia tidak lakukan apa yang aku tuduh itu, maka laknatilah aku”.
Apakah Mubahalah khas untuk Nabi S.A.W. sahaja?

Tidak ada bukti yang menunjukkan mubahalah adalah khusus untuk Nabi S.A.W. sahaja. Bahkan mubahalah adalah suatu perkara yang dibenarkan kepada umat Baginda S.A.W. sehinggalah berlakunya kiamat. Ia juga tidak dikhususkan bersama Ahli Kitab sahaja, sebaliknya terhadap setiap golongan yang berselisih. Majlis Fatwa Tetap Arab Saudi di dalam salah satu fatwanya menyebut:

ليست المباهلة خاصة بالرسول صلى الله عليه وسلم مع النصارى ، بل حكمها عام له ولأمته مع النصارى وغيرهم ، لأن الأصل في التشريع العموم ، وإن كان الذي وقع منها في زمنه صلى الله عليه وسلم في طلبه المباهلة من نصارى، فهذه جزئية تطبيقية لمعنى الآية لا تدل على حصر الحكـم فيها
Maksudnya: “Mubahalah bukanlah dikhususkan kepada Rasulullah S.A.W. bersama Nasara sahaja, akan tetapi ianya umum kepada Baginda dan kepada umat Baginda samaada bersama Nasara atau lainnya. Ini kerana asal dalam pensyariatan hukum, hukum itu umum (untuk semua, bukan khusus untuk Nabi), sekalipun mubahalah yang berlaku di zaman Nabi S.A.W. antara baginda dan Nasara Najran. Ini hanyalah sebahagian perlaksanaannya terhadap makna ayat (al-Quran), bukan menunjukkan terhad kepada hukum dalam keadan itu sahaja.” (Bil. Fatwa: 6238)
Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyebut antara pengajaran dari kisah cabaran Mubahakah antara Nabi S.A.W. dengan Nasara Najran ialah:

أن السُّنَّة في مجادلة أهل الباطل إذا قامت عليهم حجة الله، ولم يرجعوا بل أصروا على العناد أن يدعوهم إلى المباهلة، وقد أمر الله ـ سبحانه ـ بذلك رسوله، ولم يقل: إن ذلك ليس لأمتك من بعدك, ودعا إليه ابن عمه عبد الله بن عباس لمن أنكر عليه بعض مسائل الفروع، ولم ينكر عليه الصحابة، ودعا إليه الأوزاعي سفيان الثوري في مسألة رفع اليدين ولم ينكر ذلك عليه، وهذا من تمام الحجة
Maksudnya: “Bahawa menjadi sunnah dalam berdebat dengan ahli kebatilan, apabila telah ditegakkan hujah namun mereka enggan kembali kepada kebenaran sebaliknya terus berdegil, maka diseru mereka agar bermubahalah. Allah telah memerintahkan rasul-Nya berbuat demikian. Tanpa Allah menyatakan ini bukan untuk umatmu selepas ini. Sepupu baginda Abd Allah bin ‘Abbas juga pernah mengajak mereka yang membantah dalam beberapa perkara furu’ bermubahalah dengannya. Tiada seorang sahabat Nabi SAW yang membantah tindakan itu. Juga al-Auza‘i pernah mengajak Sufyan al-Thauri bermubahalah dalam masalah ‘mengangkat tangan’ tanpa ada yang membantah tindakannya. Ini adalah hujah yang kuat” (Ibn Qayyim, Zad al-Ma‘ad 3/562-563)
Al-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab juga pernah menyeru orang-orang yang menentangnya untuk bermubahalah sepertimana yang tercatit di dalam salah satu risalahnya:

وأنا أدْعُوْ مَنْ خَالَفَنِيْ إلى أحَدِ أرْبَع: إمَّا إلى كتاب الله، وإما إلى سنة رسوله، وإما إلى إجماع أهل العلم، فإن عاند دعوته إلى المباهلة
Maksudnya: “Dan aku menyeru kepada sesiapa yang menentangku kepada salah satu dari empat perkara: samaada kembali kepada Kitab Allah, atau kembali kepada Sunnah RasulNya, ataupun kembali kepada ijma’ para ulama atau jika dia degil juga aku menyeru dia kepada Mubahalah.”
Syarat-Syarat Mubahalah
(Disusun oleh al-Syeikh Ibrahim bin Soleh al-Humaidhi (Kuliah Syariah dan Usul al-Din di al-Qasim) dalam tulisannya bertajuk Hakikat Mubahalah menyebut 5 syarat yang perlu dipenuhi sebelum sesuatu mubahalah dilaksanakan.)
1. Mengikhlaskan niat kerana Allah S.W.T. tidak boleh tujuan mubahalah ini dilakukan kerana hendakkan kemenangan dan memuaskan hawa nafsu. Sebaliknya ia dilakukan bagi tujuan menegakkan kebenaran, membela orang yang berada di atas kebenaran, menzahirkan kebenaran dan berdakwah kepada Allah
2. Berilmu. Mubahalah hendaklah dilakukan setelah adanya penjelasan dan dailog.
3. Orang yang menuntut Mubahalah itu terdiri dari orang soleh dan takwa.
4. Dilakukan selepas tertegaknya hujjah dan menzahirkan kebenaran dengan bukti-bukti yang jelas.
5. Mubahalah itu dilakukan dalam perkara yang penting dari urusan agama, diharapkan dengan terlaksananya mubahalah tersebut terhasilnya maslahah kepada Islam dan Umat Islam, atau bagi menolak mafsadah.
Kesan Mubahalah
1. Ibn Hajar al-‘Asqallani berkata: “Berdasarkan pengalaman, sesiapa yang bermubahalah sedangkan dia berbohong, dia tidak akan dibiarkan lebih dari satu tahun dari hari mubahalah. Telah berlaku mubahalah antara ku dengan seorang taasub kepada golongan Mulhid, dia tidak dibiarkan selepas mubahalah itu melainkan dua bulan.”
2. Seorang ulama India, al-Syeikh Abi al-Wafa’ Thana’ al-Amritsari (الشيخ أبوالوفا ثناء الأمرتسري) telah melakukan mubahalah dengan Mirza Ghulam Ahmad al-Qadyani yang mendakwa dirinya seorang Nabi. Lalu Allah S.W.T. membinasakan Mirza Ghulam Ahmad selepas setahun dari hari mubahalahnya. Manakala al-Syeikh Abi al-Wafa’ terus dipanjangkan umurnya hampir 40 tahun selepasnya. (Sila lihat al-Qadyaniyyah Dirasaat wa Tahlil oleh Ustaz Ihsan Ilahi Zahir. m.s. 154-159)
Wallahu a’lam.

FAIL KETEPIKAN PERINTAH INGKAR OLEH TUAN GURU PRESIDEN..

Hadi fail permohonan ketepikan perintah ingkar

KUALA TERENGGANU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan memfailkan permohonan bagi mengetepikan perintah penghakiman ingkar berhubung kes saman fitnah RM2 juta oleh bekas calon PKR Dun Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin, di Mahkamah Tinggi, di sini, esok.

Permohonan itu akan difailkan peguam Pas, Asmuni Awi, untuk mengetepikan perintah penghakiman ingkar yang dikeluarkan mahkamah Ahad lalu.

Asmuni berkata, pihaknya sudah selesai proses dokumentasi yang diperlukan, dan yakin perintah penghakiman ingkar itu boleh diketepikan berdasarkan etika pengurusan kes berkenaan.



“Saya tidak boleh ulas lanjut, tetapi kita yakin boleh selesaikan perkara ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sebelum ini, Ahad lalu, Abdul Hadi diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul berhubung kes saman fitnahnya terhadap Ketua Angkatan Muda PKR Dungun itu.

Perintah penghakiman ingkar itu dikeluarkan selepas Abdul Hadi gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang difailkan Mohd Shamsul (plaintif) pada 5 Disember tahun lalu.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Mohamad Nasrudin Mohamed, merekodkan penghakiman itu selepas membenarkan permohonan Mohd Shamsul melalui peguamnya, A Vasudevan.

Abdul Hadi gagal hadir sepanjang tiga kali kes itu disebut di mahkamah dan tidak mengemukakan sebarang memorandum ketidakhadiran atau pembelaan terhadap tuntutan itu.

Mohd Shamsul memfailkan saman itu bagi membersihkan namanya, susulan ceramah Hadi (defendan) di Kampung Tebakang, Alor Limbat, Marang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tahun lalu.

Beliau mendakwa ceramah itu mengaitkan calon PKR dengan pil kuda, sekali gus menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon PKR dan ahli perniagaan.

Plaintif sebelum ini menghantar surat kepada Hadi menuntut permohonan maaf secara terbuka, namun dalam surat balasnya, Presiden Pas itu menafikan pernah mengaitkan plaintif dengan kegiatan penagihan pil kuda.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Shamsul mendakwa fitnah Hadi menyebabkan dia berdepan tekanan emosi dan mental berpanjangan serta menerima cemuhan dan penghinaan serta dipandang serong oleh masyarakat.

Katanya, Hadi membuat tuduhan itu sebagai penjelasan kepada tindakan meletakkan calon Pas di tempat yang ditandingi calon PKR, sehingga berlaku pertindihan calon dalam pembangkang.

Selasa, 25 Februari 2014

AHLI PAS DIMINTA BERTENANG DAN TERUSKAN BERDOA UNTUK TUAN GURU PRESIDEN...

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Mahfuz Omar menyeru kepada seluruh ahli PAS agar bertenang berhubung perintah bayaran RM2 juta dalam penghakiman ingkar terhadap Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, PAS telah mengambil tanggungjawab menyerahkan kes itu kepada pasukan peguam PAS untuk mengambil tindakan sewajarnya.

"Kita telah mengarahkan pasukan peguam untuk mengambil proses perundangan sewajarnya, dan kita yakin peguam kita dapat kendalikan kes ini secara terbaik.

"Seluruh ahli PAS diminta bersabar dan banyakkan munajat agar dipermudahkan urusan peguam dan presiden kita dilindungi olah Allah SWT," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena kepada Harakahdaily.

Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 17 Februari lalu mengarahkan Tuan Guru Abdul Hadi membayar saman RM2 juta dalam penghakiman ingkar yang diperolehi oleh Mohd Shamsul bin Mat Amin, calon PKR DUN Bukit Besi, Terengganu.

Selain itu, Ahli Parlimen Marang itu juga diarahkan membayar 5% faedah dari writ difailkan sehingga penyelesaian penuh dan kos tindakan sebanyak RM1,500.

Ini berikutan kegagalan Tuan Guru Abdul Hadi memfailkan pembelaan terhadap saman yang dikemukakan oleh Shamsul sebelum ini.

Sabtu, 22 Februari 2014

DEMONTRASI BANTAH KASSIM AHMAD DI IPOH...RIBUAN BERHIMPUN !

IPOH: Ribuan Umat Islam hari ini berkumpul selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Negeri, Ipoh bagi mengutuk kebiadaban tokoh anti hadis, Kassim Ahmad.

Himpunan yang dianjurkan oleh Dewan Ulamak PAS Perak itu dihadiri oleh beberapa pimpinan PAS termasuklah Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, Timbalan Pesuruhjaya, Ustaz Idris Ahmad, Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss, Ketua Penerangan Ulamak PAS Perak, Ustaz Norazli Musa dan Exco Pemuda PAS Perak, Ustaz Hafez Sabri.

Ianya turut disertai oleh badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Angkatan Belia Insan Malaysia (Abim) dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dalam ucapannya berkata, sebagai sebuah negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam selaras dengan agama rasmi, maka kesucian agama Islam wajib dijaga oleh seluruh umat terutama pemerintah.

Tegas beliau, sebarang tindakan sama ada perkataan atau perbuatan yang boleh menimbulkan salah faham terhadap Islam wajib diambil tindakan sewajarnya.

"Kenyataan Kassim Ahmad sebagai ilmuan sesat yang diketahui umum wajib diambil tindakan kerana disamping merosakkan aqidah dirinya,  ia juga boleh mempengaruhi dan merosakkan aqidah masyarakat umat Islam ini di negara ini.

"Kerajaan tidak boleh berdiam diri walaupun beliau (Kassim Ahmad) adalah ahli Umno," tegasnya kepada hadirin dan disambut dengan laungan Allahu akbar.

Beliau mempersoalkan dimana badan bukan kerajaan (NGO) pro Umno yang sebelum ini lantang mahu menjadi hero mempertahankan Islam namun dalam hal ini senyap membisu apabila ianya membabitkan kepimpinan Umno.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Idris Ahmad menyelar tindakan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang mempertahankan Kassim Ahmad.

Mahathir juga katanya bertindak biadap mendakwa para ulamak tidak dapat menjawab segala hujah daripada Kassim.

"Hujah dan dakwaan yang dikekumakakan oleh beliau (Kassim) pelajar PASTI pun boleh jawab.

"Dakwaan Mahathir yang mengatakan ulamak tidak dapat menjawab hujah Kassim adalah satu pembohongan yang besar," ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss kesal pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan kepada Kassim Ahmad yang ketika ini bebas bermaharaja lela menyebarkan dakyahnya.

Beliau hairan kenapa Kassim Ahmad tidak berani 'disentuh' oleh mana-mana pihak sedangkan terang-terangan menghina Islam dan Rasulullah.

"Apabila ada pihak didakwa menghina pemimpin kerajaan, laju sahaja mereka diambil tindakan tetapi Rasulullah dan Islam dihina tiada sebarang tindakan diambil. Inilah yang berlaku di negara kita,"tegasnya.

Dalam nada yang sama, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Perak, Ustaz Norazli Musa menyeru seluruh umat Islam bersatu mempertahankan kesucian agama Islam dan Rasulullah daripada dihina daripada mana-mana pihak termasuklah golongan anti hadis.

Kata beliau, tindakan beberapa pimpinan Umno mempertahankan Kassim sangat dikesali dan membuktikan Umno menyokong fahaman yang dibawa oleh Kassim.

"Ramai para ustaz dan ulama yang pulang daripada belajar agama di luar negara ditahan oleh sebab tiada tauliah, tetapi Kassim bebas berbicara tentang agama sedangkan tiada langsung asas ilmu agama,"jelasnya lagi.

Jumaat, 21 Februari 2014

PBS : BETUL KE TANGGUH..TETAPI KENAPA TAKLIMAT MASIH DITERUSKAN..?

KUALA LUMPUR: Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) kesal dengan tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia yang tetap meneruskan taklimat berkaitan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), sedangkan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan penangguhan.

Pengerusi Penaja SGMM, Mohd Nor Izzat Mohd Johari menjelaskan tindakan KPM itu merupakan satu pembaziran kerana PBS sememangnya ada percanggahan berhubung cara pelaksanaannya.

"Saya sekali lagi minta Timbalan Perdana Menteri (TPM) memansuhkan PBS ini serta merta kerana Malaysia memang telah diperakui tidak mampu melaksanakannya mengikut teori sebenar PBS itu sendiri.

"Apa yang dibuat oleh KPM adalah menutup segala kelemahan PBS yang telah saya ajukan. Antaranya pengurangan eviden, pemampatan diskriptor dan mewujudkan peperiksaan berpusat bagi beberapa subjek sahaja.

"Semua ini hanya menutup kelemahan yang telah berlaku pada tahun 2012 dan 2013 semata-mata," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Tambahnya, usaha ini bukan menambahbaik PBS tetapi menambahkan lagi kecelaruan tentang pelaksanaan PBS.

Malah dalam tempoh tiga tahun, PBS berubah-ubah sesuka hati.

Mengulas migrasi Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) bersama Sistem Pengurusan Sekolah (SPS), beliau melahirkan kebimbangan kerana SPS sudah maklum gagal dan lemah.

"Baru-baru ini, semua guru terpaksa memasukkan data murid ke dalam SPS dan diberi tarikh akhir akan tetapi laman web berkenaan gagal berfungsi dengan baik," sambung beliau.

"Adakah SPPBS yang dimigrasi dalam SPS juga akan hadapi masalah yang sama apabila dibuka pada April ini," soal beliau.

Jika berlaku katanya, ianya sudah terlambat untuk semua pihak dan sekaligus menambah bebanan kepada guru yang terpaksa menyiapkan kerja yang telah tertangguh sejak September 2013 sehingga April 2014.

Dalam pada itu, beliau memberitahu  'Himpunan 222: Mansuh PBS' di Bandar Baru Bangi ini adalah kemuncak kepada kebangkitan suara guru dan masyarakat berkaitan permasalahan pendidikan negara sekaligus sebulat suara mahu PBS ini dimansuhkan serta merta.

Beliau berharap agar TPM tidak terlalu mengejar Petunjuk Prestasi Utama  (KPI) sebagai Menteri Pendidikan semata-mata tetapi berfikir untuk masa depan generasi akan datang.

MUFTI PUN TAK TAHU HALAL, HARAM BATIK SUTERA...

Batik sutera: Mufti pun tak tahu halal, haram





KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)  hari ini mendedahkan hampir 90 peratus batik sutera yang dipakai oleh lelaki di Malaysia adalah batik yang diperbuat daripada sutera tulen.

Menurut aktivis PPIM, Sheikh Abd Kareem S Khadaeid yang juga merupakan ahli tekstil yang berkecimpung dalam industri ini selama 30 tahun berkata, oleh itu katanya, adalah haram bagi seseorang lelaki itu untuk memakai pakaian batik yang diperbuat daripada sutera.

"Hari ini kita lihat masih ramai masyarakat Melayu Islam (lelaki) memakai pakaian batik yang berasaskan sutera.

"Mungkin ramai yang masih belum tahu mengenai hukumnya atau masih samar-samar, tetapi berdasarkan hadis sahih Nabi Muhammad sudah menjelaskan bahawa adalah haram bagi lelaki memakai pakaian yang diperbuat daripada sutera tulen.

"Saya pernah jumpa seorang mufti (tidak boleh dijelaskan namanya, bagi menjaga aib) yang memakai baju batik yang berasaskan sutera ini.

"... bila saya tegur dia, saya kata dia pakai batik sutera... dia kata bukan, sebab dia kata harga batik itu murah, sebenarnya batik sutera bukan dinilai dari segi harga, tetapi dari segi jenis kainnya, iaitu ianya diperbuat daripada ulat malberi, saya tahulah saya ahli dalam bidang ini (tekstil)," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat lelaki Islam di negara ini prihatin akan pakaian yang dipakai terutama ketika majlis rasmi atau hari-hari tertentu yang diwajibkan memakai pakaian dari jenis itu.

"Jadi saya perlu beritahu disini, bahawa batik sutera bukan berasaskan kepada harga.

"Oleh itu, masyarakat perlu berhati-hati, jangan sampai memakai batik yang diperbuat daripada sutera.
 
Peringatan ini turut disampaikan beliau.

"Ingat dalam satu hadis juga mendedahkan bahawa diakhir zaman, ramai lelaki yang memakai pakaian yang diperbuat daripada sutera, oleh itu lelaki jangan pakai pakaian yang berasakan sutera, kelak mengundang bala ALLAH S.W.T," ujarnya.

Sehubungan itu katanya, PPIM menggesa agar kaum lelaki Islam supaya sedaya upaya menggelak daripada memilih pakaian yang diperbuat daripada sutera kerana sudah jelas hukumnya.

"Pengharaman pemakaian  sutera oleh lelaki sudah jelas, jadi tidak perlu kepada fatwa pengharamannya," katanya.

BN TAK PAYAH TANDING DI KAJANG ? PENGANALISIS SEBUT BEGITU...

Penganalisis: BN tak perlu tanding PRK Kajang
KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) tidak perlu bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang, jika tidak mahu dilihat 'menari mengikut paluan gendang PKR'.

Beberapa ahli politik dan penganalisis politik berpendapat BN perlu membuat kajian mendalam agar tidak terperangkap dalam permainan politik Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah terdapat desakan supaya Presiden BN Datuk Seri Najib Tun Razak memegang ketetapan pucuk pimpinan BN yang tidak bertanding pada PRK DUN Penanti, Pulau Pinang pada tahun 2009 kerana kekosongan kerusi itu bukan disebabkan oleh peruntukan perlembagaan.  

PRK DUN Penanti pada tahun 2009 diadakan berikutan peletakan jawatan penyandangnya Mohammad Fairus Khairuddin daripada PKR dengan alasan melanjutkan pelajaran, selain membersihkan namanya daripada segala tohmahan rasuah.

Timbalan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak berpendapat BN perlu lebih fokus kepada usaha meringankan beban rakyat dan menyusun struktur ekonomi negara daripada melayan kerenah politik pembangkang.

"Pada pandangan saya secara peribadi, biarlah Pakatan Rakyat terus bermain dengan politik mereka sementara BN terus berkhidmat pada negara dan membela nasib rakyat," katanya dalam laman blog beliau hari ini.

Salleh berkata BN perlu menimbang untuk tidak meletakkan calon di Kajang kerana PRK itu pada realitinya diadakan untuk memenuhi politik nafsu Anwar.

"Oleh kerana Kajang dikatakan kawasan (kerusi tradisi) MCA, kita berpandangan MCA perlu fokus kepada usaha memperkukuh parti di bawah kepimpinan baharu dan memberi tumpuan persediaan menghadapi PRU akan datang," katanya.

PRK DUN Kajang diadakan berikutan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Jan lepas.

PKR menamakan Anwar sebagai calon parti itu, sementara bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim, turut menyatakan hasrat bertanding di PRK itu sebagai calon bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 23 Mac ini sebagai hari mengundi dan penamaan calon pada 11 Mac.

Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie pula berkata PRK Kajang merupakan satu pembaziran yang hanya diwujudkan secara paksa demi menyelesaikan krisis dalam PKR.

Beliau menyifatkan PRK yang 'dicipta' pembangkang dengan memaksa seorang wakil rakyat meletak jawatan tanpa sebarang alasan munasabah demi kepentingan rakyat sebagai menghina demokrasi negara.

"Maklum balas yang saya terima daripada akar umbi, kalau kita bertanding, kita akan mengikut rentak mereka. Ia merugikan negara sedangkan wang itu boleh digunakan untuk pembangunan infrastruktur dan bantuan kepada orang miskin," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, MCA yang baru sahaja selesai menjalani pemilihan parti perlu diberi lebih peluang dan usaha untuk fokus kepada transformasi parti dan seterusnya menambah baik penyampaian kepada rakyat.

Dalam pada itu, Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata lebih baik PRK DUN itu diboikot semua pihak jika peletakan jawatan penyandangnya tanpa alasan kukuh tidak disiasat dan diambil tindakan perundangan.

"Bukan niat kita hendnak memboikot demokrasi tetapi perlu ada penghormatan kepada undang-undang.

"Ini bukan soal takut, atau soal siapa hero atau tidak. Kalau nak jadi hero lebih baik masuk gusti, ini lebih kepada strategi politik, kalau tak ada keperluan dan kepentingan maka lebih baik sahaja elak pertandingan," katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia Dr Sivamurugan Pandian pula berkata BN sebelum ini pernah tidak bertanding di Penanti berikutan senario yang agak sama yang berlaku di Kajang ketika ini.

"Presiden dah pernah buat ketetapan di Penanti, pada ketika itu beliau berkata BN tidak akan bertanding kerusi itu yang sengaja dikosongkan dan bukannya disebabkan faktor-faktor seperti dalam peruntukan perlembagaan,"
katanya.

Sivamurugan berpendapat BN seeloknya terus berpegang kepada ketetapan itu yang secara tidak langsung dapat mempamerkan kematangan yang lebih berkualiti. 

Sementara itu, Persatuan Alumni UiTM dalam satu kenyataan menyifatkan PRK DUN Kajang suatu yang tidak perlu dan dipaksakan ke atas pengundi kawasan itu yang baru sahaja mengundi tidak sampai setahun lepas.

"Ia menodai prinsip dan amalan demokrasi. Oleh demikian, BN tidak perlu mengambil bahagian dalam PRK tersebut," menurut kenyataan itu. - Bernama

Khamis, 20 Februari 2014

KASSIM AHMAD LEBIH BAHAYA DARIPADA KLIP ONEDERFUL !

IPOH: PAS Perak mendesak kerajaan melalui Jabatan Agama Islam negeri-negeri khususnya di negeri itu mengambil tindakan undang-undang kepada Kasim Ahmad yang telah membuat kenyataan biadab dan mengguris sensitiviti hati seluruh umat Islam baru-baru ini. 

Ketua Penerangannya, Mohd Misbahul Munir Masduki berkata, tindakan undang-undang ini adalah selaras dengan fatwa terhadap kesesatan Kasim Ahmad dan bukunya “Hadis : Satu Penilaian Semula” yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Syariah negeri-negeri yang diwartakan pada tahun 90-an.

Menurutnya, Kenyataan Kassim baru-baru ini yang mengkritik ulama sebagai 'kasta paderi', pendewaan terhadap Nabi Muhammad saw dan mendakwa rambut bukan aurat bagi wanita merupakan kenyataan yang tidak berasas dan menzahirkan sikapnya yang anti hadis dan anti ulama sejak dahulu lagi. 

"Isu ini sepatutnya tidak boleh dipandang ringan oleh umat Islam di negara ini, kenyataan ini lebih bahaya dan biadab berbanding isu penggunaan kalimah Allah dan video klip Teresa Kok. 

Pimpinan BN khususnya Umno, beberapa mufti dan Ngo tertentu dilihat begitu sensitif terhadap isu yang dimainkan sebelum ini, malahan berebut-rebut membuat kenyataan dalam akhbar serta membuat laporan polis, tetapi tidak pula sensitif apabila Kasim Ahmad mempertikai dan menghina para ulama dan hukum Islam," katanya kepada Harakahdaily.

Misbahul menyatakan, PAS Perak turut kesal terhadap penganjuran seminar pemikiran seorang tokoh kontroversi yang sesat lagi menyesatkan ini yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya baru-baru ini. 

Sedangkan kata beliau sudah ada fatwa dari beberapa buah negeri terhadap pemikiran tokoh ini yang difatwakan sesat dan penulisnya pula murtad. 

Tegas beliau, tidak sepatutnya sebuah intitusi atas nama Kepimpinan Perdana Putrajaya menjadi platform untuk Kasim Ahmad mempertahankan pendapatnya yang sesat itu.

"Sepatutnya kerajaan boleh bertindak ke atas Kasim Ahmad sejak fatwa ini diwartakan sebagaimana kerajaan bertindak ke atas penganut ajaran sesat yang difatwakan sesat oleh Jawatankuasa Syariah negeri-negeri.  

"Akibat tidak ada sebarang tindakan undang-undang yang diambil dan sekian lama isu ini tenggelam,  Kasim Ahmad muncul semula dengan mengundang kontroversi lama," jelasnya. 

PAS Perak katanya berpandangan, tokoh seumpama ini tidak wajar diangkat sebegitu tinggi sehingga diseminarkan pemikirannya dan lebih mengecewakan ianya telah dirasmikan oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kami mempersoalkan adakah pemikiran yang anti hadis, hukum Islam dan anti ulama ini setaraf dengan pemikiran Prof Dr Naquib Al Attas, Prof Dr Kamal Hasan, Abuya Hamka, tokoh pendakwah Pak Natsir, Dr. Burhanuddin Al Hilmi, Dr Zulkifli Mohammad dan lain-lain lagi sehingga sampai tahap diseminarkan.

"Dengan usia yang sudah begitu tua, sebaiknya Kasim Ahmad dan rakan-rakan sealirannya dibimbing untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan," tegasnya.

Rabu, 19 Februari 2014

APABILA LGE BERKATA TENTANG MUDARATNYA KASINO !


GEORGE TOWN: Pulau Pinang tidak meluluskan operasi kasino yang lebih banyak mendatangkan kemudaratan berbanding kebaikan sebaliknya meluluskan projek pemangkin ekonomi antaranya cawangan baru Ikea, kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, walaupun manfaat ekonomi daripada kasino berlipat kali ganda namun kesan sosial dan rohani adalah terlalu berat dan tinggi untuk ditanggung masyarakat pelbagai budaya dan majmuk di negeri Pulau Mutiara itu.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang sangat gembira kerana Ikea telah memutuskan untuk membuka kedai pertama mereka di luar Kuala Lumpur iaitu di Batu Kawan, Pulau Pinang.

“Keputusan ini adalah rangsangan keyakinan yang kuat untuk aspirasi Pulau Pinang ke arah bandar antarabangsa dan pintar,” katanya dalam satu kenyataan media yang dipetik Roketkini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, cawangan baru Ikea itu adalah usahasama antara syarikat induk, Ikano dan sebuah syarikat tempatan yang akan membangunkan pusat sehenti hijau (green one-stop center) bagi pembuatan termaju, perkhidmatan dan hab logistik; sebuah pusat kecemerlangan pendidikan, lokasi kediaman perdana dan pusat komersil dan runcit.

Beliau sudah pun bertemu dengan pasukan teknikal Ikea dan pasukan reka bentuk Ikea daripada Pengurus Projek Pelaburan, Mikael Winqvist; Pengurus Rekaan Serantau, Tim Denoon, dan Penolong Pengurus Pengembangan, Edward Ng.

Projek ini membabitkan penjualan 245 ekar tanah oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di Batu Kawan bernilai RM484 juta. 

Pusat membeli-belah itu dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

Daripada jumlah itu, 30 ekar diperuntukkan untuk pembangunan kedai utama Ikano iaitu Kedai Ikea dan Fasa 1 pusat membeli-belah, 45 ekar untuk pembangunan fasa 2 pusat membeli-belah; dan 170 ekar untuk projek pembangunan bercampur.

PDC sudah menerima deposit tidak boleh dikembalikan (non-refundable) bernilai RM5 juta.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengalu-alukan pelaburan Ikano yang bukan sahaja akan bertindak sebagai enjin pertumbuhan ekonomi tetapi juga meletakkan Batu Kawan di peta antarabangsa sebagai tapak bertaraf dunia bagi pusat komersial industri, peruncitan, pendidikan dan kesihatan serta gaya hidup.

KASSIM AHMAD BIADAP : DEMO BANTAH JUMAAT INI...

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Perak menggesa Mufti dan Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan kenyataan balas dan menyatakan pendirian terhadap kenyataan terbaru Kasim Ahmad yang disifatkan sebagai menghina Islam.

Timbalan ketuanya Akmal Kamarudin berkata, kenyataan Kassim Ahmad bahawa Islam sebenar di negara ini telah diseleweng kerana mengikut satu sistem “kasta paderi” yang dipanggil ulama, umat Islam seperti mendewa-dewakan Nabi Muhammad SAW dengan syahadah kedua dan rambut bukanlah aurat wanita, suatu yang serius.

Malah penganjuran "Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian" itu, mencalar imej Majlis Fatwa yang sebelum ini memfatwakan mereka yang terlibat dengan fahaman anti hadis adalah murtad.

Malah buku 'Hadis Satu Penilaian Semula', 'Hadis Jawapan Kepada Pengkritik', yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad, juga telah diharamkan kerana fahaman dalam buku tersebut menyeleweng dari ajaran Islam.

"Pemuda PAS Perak menyeru kepada seluruh ummat Islam supaya turut serta dalam bantahan secara aman di Masjid Negeri, Ipoh pada 21 Februari 2014 bermula selepas solat Jumaat sebagai membantah sikap pihak berkuasa yang hanya menjadi penonton setia kepada kebiadapan Kasim Ahmad," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut kesal kerana seminar tersebut dirasmikan seorang Mantan Perdana Menteri yang beragama Islam. 


Seminar yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana kelmarin itu dirasmikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Ini jelas menunjukkan bahawa Umno bukanlah pejuang Islam yang sebenar," jelasnya.

Selain itu beliau mendesak pihak kerajaan menggunakan kuasa yang ada untuk mengambil tindakan terhadap Kasim Ahmad atas ucapan beliau yang menghina Islam.

Pada masa sama Kasim Ahmad katanya, perlu membuat permohonan maaf kepada seluruh umat Islam di atas keceluparan ucapan beliau, dalam tempoh 3 hari.

Selasa, 18 Februari 2014

CERAMAH PENERANGAN : ISU-ISU SEMASA...BARANG NAIK, RAKYAT PERIT !

CERAMAH ISU SEMASA : RAKYAT TIDAK SEHARUSNYA TERUS TERTIPU DAN DIPERDAYAKAN OLEH UMNO/ BN UNTUK MENUTUP ISU RAKYAT DAN NEGARA

Pihak kerajaan Umno/BN ambil cara mudah untuk atasi setiap permasalahan rakyat dengan jawapan “ bodoh” dan dikaitkan pula perkauman bagi menutup kelemahan pentadbiran mereka selam ini.

SG. SUMUN, Parit 1 : Menyedari permasalahan rakyat dan negara ini kelihatan semakin membimbangkan terutamanya dalam perkara peningkatan kos sara hidup, keselamatan dan perpaduan antara kaum, pihak PAS Kawasan Bagan Datoh melalui Lajnah Penerangannya telah menganjurkan siri ceramah penerangan isu-isu semasa rakyat dan negara pada 9 Februari lalu.

Pada siri ceramah kali ini, seramai tiga orang penceramah jemputan khas telah hadir untuk bersama rakyat Bagan Datoh serta menjelas dan menerangkan isu-isu terkini. Mereka adalah terdiri daripada YB. Dato’ Mahfuz Omar ( Ahli Parlimen Pokok Sena juga Ketua Penerangan PAS Pusat ), YB. Dr. Afif Bahardin ( ADUN Seberang Jaya juga EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang ) dan YB. Amirudin Shari ( ADUN Batu Caves ).

Bertempatkan perkarangan Markaz Majlis Tindakan DUN ( MTD ) Hutan Melintang di Parit 1, Sg. Sumun, kira-kira lebih 700 orang telah menghadiri siri ceramah tersebut. Ianya cukup jelas untuk membuktikan bahawa rakyat di negara ini khususnya di kawasan tersebut amat memerlukan penjelasan tepat isu-isu semasa yang melanda dalam Malaysia.


Majlis siri ceramah itu telah dimulai dengan ucapan alu-aluan dan penerangan isu-isu diperingkat negeri oleh Ustaz Misbahul Munir Masduki selaku Yang Dipertua ( YDP ) PAS Kawasan Bagan Datoh yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Perak. Beliau dalam peringkat awal ucapannya telah menjelaskan bahawa pihak PAS terpaksa mengadakan siri ceramah di merata tempat kerana desakan keadaan iaitu terdapat ketidak adilan pihak media dan akhbar perdana di negara ini.

“ Memang sukar untuk kita menyatakan pendirian dan penjelasan isu-isu apabila pihak mereka ( Umno/BN ) memegang dan menguasai media negara ini. Tiada kebebasan bersuara untuk pihak kita ( PAS ) dalam menjelaskan beberapa isu yang berlaku.” Kata Ustaz Misbahul Munir.

Selain itu, Ustaz Misbahul Munir yang juga merupakan Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Pusat berpendapat bahawa siri ceramah penerangan sebegini adalah sangat penting dan mustahak untuk rakyat mendapat pencerahan perkara sebenar berkaitan isu-isu di sekitar negara.

Antara kandungan ucapannya yang lain, beliau juga menyentuh beberapa isu tempatan dan negeri Perak seperti mengingati peristiwa rampasan kuasa oleh Umno/BN ke atas negeri Perak untuk tempoh 5 tahun lalu. Selain itu beliau juga menyentuh isu “ fatwa bughah “ oleh Dato’ Mufti Perak ke atas peserta demontrasi, masalah keselamatan dan juga isu tempatan di Bagan Datoh.


Seusai ucapan Ustaz Misbahul Munir, tiba masanya YB. Dato’ Mahfuz Omar untuk menyampaikan ucapan dan penerangan isu-isu semasa. Beliau yang sambil berseloroh menyatakan amat suka dan berminat untuk datang ke kawasan Bagan Datoh kerana di sinilah kawasan parlimen YB. Menteri Dalam Negeri ( Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ) serta menyatakan beliau telahpun menyampaikan pesanan ringkas ( SMS ) secara peribadi kepada Yang Berhormat menteri tersebut.

Beliau yang merupakan Ketua Penerangan PAS Pusat juga Ahli Parlimen Pokok Sena menyatakan kekesalannya kepada pihak kerajaan khususnya dalam berkaitan beberapa buah kementerian utama dan penting negara. Antaranya beliau amat kesal terhadap jawapan dan tindak balas kerajaan dalam menangani peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi dan secara tidak langsung membebankan rakyat berpendapatan rendah.

Dato’ Mahfuz yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah dalam ceramahnya itu turut mempertikaikan beberapa tindakan oleh kerajaan kononnya menyelesaikan masalah kenaikan harga barangan seperti seluruh menteri diarahkan turun padang meninjau sendiri keadaan harga barangan di pasar-pasar seluruh Negara yang mana hasilnya hanya sia-sia bahkan menambahkan kos pembiayaian setiap kementerian. Mudah bicaranya ialah hanya menambahkan permasalahan bukannya menyelesaikan masalah yang ada.

Dato’ Mahfuz juga mempersoalkan isu yang dikaitkan Kementerian Dalam Negeri apabila menteri berkenaan, YB. Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengambil mudah dengan menjawab isu berkaitan apabila YB. Teresa Kok yang menerima kecaman dan ugutan dalam beberapa tempoh lalu oleh beberapa pihak NGO adalah bukan satu ancaman. Beliau juga menyebutkan kekesalannya terhadap beberapa isu berkaitan perpaduan kaum yang semakin tercalar oleh sebab isu yang sengaja ditimbulkan oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab gagal untuk diatasi pihak kerajaan.


Selesai itu, YB. Dr. Afif Bahardin  yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Seberang Jaya untuk menyampaikan ceramahnya. Beliau telah banyak menjelaskan serta menerangkan beberapa isu-isu semasa yang berlaku di Negeri Pulau Pinang khususnya fitnah dan tuduhan tidak berasas kepada pihak kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang.

Beliau yang juga merupakan EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawasanya segala isu yang berlaku kebanyakkan di negeri tersebut hanyalah rekaan dan ciptaan pihak Umno/BN semata-mata untuk memburukkan Pakatan Rakyat. Bahkan mereka mempergunakan isu-isu perkauman dan keagamaan hanyalah kerana dendam serta kebencian terhadap Pakatan Rakyat yang banyak melakukan perubahan yang lebih baik kepada rakyat khususnya di Pulau Pinang.

Pihak mereka ( Umno/ BN ) juga mempergunakan segala NGO-NGO yang menyokong mereka untuk membangkitkan isu-isu perkauman dan keagamaan semata-mata untuk melahirkan kebenciaan terhadap bangsa selain melayu di Negara ini. Ini merupakan cara kotor dan keji mereka sebagai meraih sokongan orang-orang Melayu apabila bangsa Melayu sendiri tidak lagi percaya dan memberi sokongan kepada Umno/ BN. Malahan mereka sanggup berlagak samseng dan bertindak keras ke atas pihak-pihak berkenaan yang melaksanakan tanggungjawab.

Menurut ADUN Seberang Jaya itu juga, bahawasanya Umno/BN semakin terdesak sehinggakan segala isu kepentingan rakyat diputar belitkan sehingga dijadikan isu perkauman dan keagamaan. Umno/ BN seolah-olah sudah hilang punca apabila perjuangan mereka hanyalah bergantung harap isu-isu sensitive yang hanya memecah belahkan dan keharmonian perpaduan rakyat di Negara ini.


YB. Amirudin Shaari ( ADUN Batu Caves ) pula menyatakan kepelbagai isu yang sengaja dicipta dan dimainkan oleh Umno/BN sebenarnya hanya memakan diri sendiri. Beliau yang banyak mengulas dan menerangkan isu-isu yang berlaku di negeri Selangor berpendapat bahawa Umno/ BN kini semakin tersepit sehingga sanggup melakukan apa sahaja tindakan demi kepentingan politik semata-mata.

ADUN Batu Caves itu turut percaya bahawa beberapa agenda untuk memburukkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor oleh Umno/BN telah dirancang sebagai menghadapi Pilihan Raya Kecil DUN Kajang. Parti Keadilan Rakyat ( PKR ) telahpun memastikan calon di DUN tersebut sebelum ini ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ( DSAI ). Biarpun bakal menghadapi sebarang kemungkinan, Pakatan Rakyat khususnya di Selangor telah bersedia awal  untuk PRK kali ini.

Isnin, 17 Februari 2014

PROGRAM CUCI-CUCI AMAL CETUS IDEA BARU DAN TERKINI..

ANJURKAN PROGRAM MENCUCI KERETA SAMBIL BERAMAL BERTUJUAN MENGUMPULKAN DANA

Jabatan Amal Malaysia Kawasan Bagan Datoh dengan kerjasama Lajnah Ekonomi dan Pembangunan berjaya mengumpulkan dana untuk menggerakkan perjalanan Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh.

BAGAN DATOH, Parit 1. Sg. Sumun, 15 Feb : Sebanyak 38 buah kereta daripada pelbagai jenis telahpun berjaya dicuci oleh petugas-petugas dalam program amal yang dinamakan sebagai “ Program Amal : Cuci-cuci Amal “. Ianya adalah merupakan satu cara dan langkah bertujuan untuk mengumpulkan dana kewangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh.


Program yang dianjurkan secara kerjasama 2 pihak iaitu antara Jabatan Amal Malaysia Kawasan dan Lajnah Ekonomi dan Pembangunan, Dewan Pemuda PAS Kawasan tersebut telah mendapat sokongan yang baik daripada penduduk sekitar dengan menghantar kereta untuk dicuci dan menyumbang sebanyak mana telah ditetapkan oleh pihak penganjur.

Menurut Pengarah program, Sdr. Jefnerei bin Tajab menjelaskan bahawa konsep program tersebut adalah berbentuk amal dan sumbang dana. Program ini merupakan cetusan idea dan pandangan Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Kawasan. Ianya juga memberi peluang untuk para pemilik kereta untuk menyumbang setelah kereta-kereta mereka siap dicuci. Beliau yang juga Pengerusi Lajnah tersebut amat berpuas hati atas kerjasama semua pihak dan sambutan orang ramai yang hadir.


Manakala bagi Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan, Ustaz Mustofa bin Saifuddin menyatakan sokongan dan pujian beliau kepada seluruh Ahli Jawatankuasa dan pemuda PAS Kawasan yang berusaha keras untuk menjayakan program pada kali ini. Sementara itu, Komandan Jabatan Amal Kawasan, Sdr. Nurol Amin bin Ithnan melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pihak terutamanya Tuan Hj. Ariffin @ Ramlee bin Husin selaku tuan rumah juga merangkap Naib YDP PAS Kawasan, seluruh tenaga dan petugas program serta semua penyumbang dalam usaha menjayakannya.

Program tersebut yang berlangsung di perkarangan Markaz Majlis Tindakan DUN ( MTD ) Hutan Melintang, Parit 1. Sg. Sumun dan bermula jam 8.30 pagi sehingga 3.00 petang telah dianggap berjaya mencapai matlamat dan sasarannya.

Manakala bagi pihak penyumbang dan peserta dalam program kali ini menyatakan amat berpuas hati serta memberi sokongan dan persetujuan sekiranya program sebegini terus dianjurkan pada masa akan datang. Bagi Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan, Tn. Hj. Mohamad Aris Bakri mengatakan bahawa ianya satu idea yang baik daripada pihak pemuda PAS kerana sedikit sebanyak program tersebut mampu mengeratkan silaturrahim selain menambah dana.


Sementara itu bagi Pn. Rosilawati binti Mahayuddin selaku Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur kerana berjaya melaksanakan satu program yang baharu bagi peringkat kawasan ini. Selain itu, beliau juga mendaftarkan diri sebagai sebahagian peserta dan penyumbang dalam program kali ini.

Ahad, 16 Februari 2014

SEDIA DEMO UNTUK DESAK KERAJAAN SELESAI HARGA GETAH - DPPM

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia berhasrat untuk menganjurkan satu perhimpunan besar-besaran bagi mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib menyelesaikan isu kejatuhan harga getah.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata jika Najib dan kerajaan tidak mengambil langkah serius bagi membantu golongan penoreh ini, himpunan itu akan digerakkan dalam tempoh terdekat.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan dewan itu, Suhaizan berkata pihaknya akan bersama-sama rakyat, khususnya para penoreh yang terkesan dengan situasi ini.

Bagaimanapun, beliau belum memutuskan tarikh sebenar himpunan tersebut akan diadakan.

"Kita mendapat respons daripada rakyat di Kedah, sudah ada beberapa himpunan yang mendesak kerajaan mencari jalan untuk atasi masalah ini. Sebelum ini ada dibuat di Sik.

"Jika kerajaan masih tidak ambil peduli, kita gerakkan secara besar-besaran untuk menyokong dan membantu penoreh di Kedah dan juga seluruh negara," tegas beliau lagi.

Beliau difahamkan harga getah hari ini sudah jatuh sehingga Rm1.90 sekilo berbanding pernah mencapai sehingga RM5 sekilo sebelum ini.

Dalam pada itu, Suhaizan berkata kerajaan perlu mencari jalan untuk meningkatkan harga getah bagi membantu golongan tersebut.

Sebaliknya, jika usaha itu tidak boleh dilakukan, beliau mendesak kerajaan untuk mencari alternatif lain yang boleh membantu golongan penoreh yang kini mengalami zaman kesengsaraan mereka.

"Hari ini, peningkatan harga barang naik tanpa boleh dihalang, ditambah pula dengan harga getah yang menjunam. Keadaan tersebut menyebabkan para penoreh ini semakin terhimpit kehidupannya. Justeru, kerajaan perlu segera cari jalan bagi atasi perkara ini," tegas beliau.

Turut serta pada sidang media itu timbalan ketua, Ustaz Khalil Abdul Hadi; setiausaha, Nasaie Ismail; ketua penerangan, Ustaz Zaharudin Mohamad; dan pengarah pilihan raya pemuda, Mohd Sany Hamzan.

jambori amal kuala kangsar 2008