hadi awang
ALOR SETAR - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, apabila meminta umat Islam di negara ini memilih pemimpin dan parti politik yang benar-benar memartabatkan dan menjamin kesucian agama Islam.
Abdul Hadi berkata, selama lebih 55 tahun Malaysia di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN), apakah sumbangan parti itu dalam memartabatkan Islam, sedangkan kerajaan BN dilihat lebih banyak menjatuhkan martabat Islam melalui tindak tanduk mereka.
 
“Apa sudah jadi dengan tulisan jawi di negara ini sepanjang BN memerintah. Peranan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dilemahkan, hak istimewa orang Melayu juga diusik. Bagaimana Malaysia hilang Singapura dan banyak lagi yang melemahkan Islam dibuat sewenang-wenangnya,” katanya ketika menyampaikan ceramah perasmian Karnival Kedah Sejahtera, di Kompleks Pas Pokok Sena, minggu lalu.
 
Menurutnya, kenyataan Najib sewaktu berucap di majlis Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan di Kuala Lumpur itu juga, lebih bersesuaian dengan apa yang diperjuangkan Pas yang dilihat benar-benar ikhlas mahu memartabatkan Islam, berbeza dengan BN yang sentiasa memperlekeh dan meminggirkan Islam.
 
Abdul Hadi berkata, fitnah yang dilemparkan terhadap Pas juga berleluasa sehingga sebahagiannya tidak berasas.
 
“Sebagai contoh, dakwaan konon jika Terengganu jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (PR), maka DAP akan berkuasa di negeri itu. Bagaimana ianya berlaku jika tiada satu kerusi pun DAP bertanding. DAP hanya bertanding di kawasan majoriti Cina di negeri-negeri PR,” katanya.
 
Menurutnya, kejayaan di negeri-negeri PR harus diuar-uarkan supaya rakyat dapat membuat penilaian sewajarnya.
 
“Pentadbiran di negeri PR amat baik dan tiada penyelewengan atau rasuah. Ini kejayaan kita mentadbir, rakyat perlu tahu mengenai perkara ini,” katanya.