PERUTUSAN HARI RAYA EIDUL ADHA KETUA
PEMUDA PAS KAWASAN BAGAN DATOH 1434
EIDUL ADHA : Hayati dan insafi kisah
pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail kerana Allah SWT.
الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله
اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر ولله الحمد
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين و الصلاة و السلام
على أشرف الأنبياء و المرسلين وعلى آله و صحبه أجمعين
Alhamdulillah, pertama dan selamanya
marilah sama-sama kita mengucapkan kesyukuran kehadrat Allah SWT dengan
anugerah serta nikmat iman dan Islam yang diberikan, kita mampu mengharungi
fasa-fasa kehidupan mengikut garis panduan syarak. Sehinggalah pada malam ini,
kita mengecapi anugerah perayaan yang terbesar dalam kehidupan seorang muslim.
Bersyukur tidak terhingga juga kita
panjatkan ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi
nikmat Islam hasil daripada pengorbanan pejuang-pejuang agama Allah terdahulu.
Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada
segala nabi dan rasul yang telah menyempurnakan misi dakwah kepada umat manusia
agar mereka menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.
Sahabat-sahabat pemuda yang
dirahmati oleh Allah SWT.
Jika kita sorot kembali sejarah
perjuangan Nabi Allah Ibrahim AS, maka kita akan menyaksikan bahawa naluri
seorang ayah yang sanggup mengorbankan anak yang tercinta demi semata-mata melaksanakan
perintah daripada Sang Pencipta. Ujian seberat itu pasti tidak akan mampu
dilaksanakan melainkan dengan ketaatan yang sempurna sehingga mampu
mengenepikan perasaan diri dan tuntutan peribadi. Allah SWT sengaja menjadikan
sejarah ini berlaku untuk dijadikan sebagai pedoman dan petunjuk bagi kehidupan
pada masa hadapan. Sebab itulah Islam mengajar umatnya untuk mengorbankan jiwa
dan harta demi untuk menegakkan kalimah Allah SWT serta melaksanakan
kerja-kerja Islam.
Justeru, intipati daripada Sambutan
Hari Raya Eidil Adha, adalah sifat pengorbanan yang perlu wujud dalam jiwa umat
Islam demi mengembalikan jati diri dan integriti melawan musuh-musuh Allah SWT.
Sesungguhnya sejarah membuktikan bahawa antara punca kejatuhan pemerintahan
Islam suatu ketika dahulu berpunca daripada lenyapnya sifat pengorbanan dan
jati diri umat Islam. Memahami sejarah jatuh bangun Islam, Dewan Pemuda PAS
Kawasan Bagan Datoh ( DPPK ) menyeru kepada seluruh pemuda khususnya dan
seluruh umat Islam untuk menjadikan intipati sambutan hari raya pada kali ini
sebagai pemangkin untuk melaksanakan kerja-kerja Islam. Percayalah bahawa
kerja-kerja Islam tidak akan terlaksana dengan sempurna apabila sifat berkorban
hilang dari jiwa aktivis dan pejuang Islam.
Sahabat-sahabat pemuda sekalian.
Apabila berbicara tentang
pengorbanan, maka topik ini memerlukan perhatian yang serius daripada seluruh
pemuda yang mengaku sebagai pejuang Islam. Sifat berkorban yang dimaksudkan
oleh Islam ialah mengorbankan jiwa dan harta bahkan mengorbankan agenda
peribadi demi menjayakan agenda ummah. Terkadang istilah ‘berkorban’
disalahertikan sehingga menyebabkan umat Islam tidak memahami kehendak sebenar
Islam. Sebab itulah terdapat segelintir golongan yang tidak sanggup
mengenepikan agenda peribadi apabila bertembung dengan agenda ummah. Virus
inilah yang perlu dibuang dan diperangi agar ia tidak menular ke seluruh jiwa
umat Islam.
Justeru, Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan
Datoh ( DPPK ) telah melaksanakan beberapa program tarbiah seperti Usrah dan
Muzakarah bagi membentuk pemikiran ahli pemuda PAS yang dikehendaki oleh Islam.
DPPK begitu yakin bahawa sifat ‘tadhiyah’ (pengorbanan) akan lahir dari agenda
tarbiyah ( pendidikan ). Usrah dan Muzakarah yang berkesan mampu melahirkan
jiwa umat Islam yang sanggup berkorban demi melaksanakan kerja-kerja Islam.
Sahabat-sahabat pemuda yang
dirahmati oleh Allah SWT sekalian.
Melihat kepada suasana umat Islam masa
kini, DPPK begitu bimbang dengan halatuju pembawakan negara Malaysia pada masa
hadapan. Manakan tidak, anak-anak muda yang hidup pada hari ini merupakan
pemimpin masa hadapan. Golongan tua pasti akan mewariskan tampuk pemerintahan
kepada golongan muda.
Masalah sosial dan kerosakan akhlak
semakin membarah sejak kebelakangan ini. Statistik yang dilaksanakan oleh pihak
berwajib telah menunjukkan, kadar peningkatan yang begitu ketara. Kemelaratan
yang tidak dibendung bersama, melayakkan kita untuk terkeluar dari senarai umat
yang terbaik pilihan Allah SWT. Syarat umat yang terbaik ialah menjalankan tanggungjawab
menyeru kepada ma’ruf, mencegah kemungkaran dan beriman dengan penuh
keyakinan.Islam tidak akan tertegak hanya dengan kata-kata. Oleh itu, setiap
peringkat perlu memainkan peranan di posisi masing-masing demi membasmi
keruntuhan akhlak yang berlaku. Lihatlah bagaimana fahaman sesat dan gejala
sosial yang berlaku di Malaysia. Perkara tersebut bertambah buruk dengan
sokongan daripada pihak-pihak tertentu.
Di samping itu, panggung-panggung wayang
di Malaysia kini sibuk menayangkan filem-filem yang bertemakan samseng dan
pergaduhan serta keganasan. Filem-filem yang telah dan bakal ditayangkan
tersebut seolah-olah ingin menonjolkan dan menerapkan budaya samseng dalam
masyarakat. Padahal budaya tersebut merupakan cara hidup yang dilarang dan dikeji
oleh syarak. Oleh itu, DPPK mengajak seluruh pemuda dan umat Islam mengecam
tindakan penayangan filem yang bakal merosakkan identiti umat Islam.
Sahabat-sahabat pemuda-pemudi yang
dirahmati oleh Allah SWT.
Parti Islam SeMalaysia ( PAS )
merupakan gerakan Islam dan politik yang meletakkan antara matlamat utama
pembawakan adalah agenda dakwah dan pendidikan. PAS begitu memahami bahawa
golongan yang berilmu pasti mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT di
akhirat kelak.
Justeru, DPPK menyeru kepada seluruh
ahli khususnya dan amnya seluruh umat Islam untuk menjadikan intipati Hari Raya
Eidil Adha sebagai batu loncatan untuk terus maju, dengan menjadikan
kecemerlangan tarbiyyah ( pendidikan ) sebagai hadiah buat ummah.
Akhirnya, jadikanlah anugerah Allah
SWT pada kali ini sebagai ibadah untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Pastikan
sifat berkorban yang dikehendaki oleh Allah SWT mengalir dalam jiwa umat Islam.
MURNIKAN PENGORBANAN MAKNAKAN
PERAYAAN.
Selamat Hari Raya Eidil Adha 1434 H.
Maaf zahir dan batin.
الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله
اكبر , الله اكبر ولله الحمد
" MANTAPKAN TARBIYYAH, KUATKAN
JEMAAH "
Ustaz Mustofa bin Saifuddin,
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh
sesi 2013-2015.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan