KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
10 Oktober 2017 | 19 Muharam 1439
“AWAS, MALAYSIA SEDANG CUBA DIRACUNI ISLAM LIBERAL”
1. Masyarakat Islam dinasihatkan agar berwaspada terhadap usaha pihak tertentu yang cuba menanam benih kesesatan menyebarkan racun fahaman Islam Liberal dengan berselindung disebalik pelbagai wacana ilmiah di negara ini. Atas nama akademik, mereka cuba membenam fikrah perosak dalam pemikiran masyarakat dengan doktrin yang mempesona tapi sebenarnya merbahaya.
2. Hakikatnya, ia mempunyai motif politik yang mahu merungkai dan menggugat secara halus kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Negara menuju kepada pemerintahan Neo-Sekularisme bertopengkan Islam. Fahaman inilah yang cuba ditegakkan di Indonesia sebelum para ulama dan umat Islam di negara itu bangkit menanganinya, namun terpaksa menghadapi kesan sangat berat.
3. Dakyah ini gigih dikembangkan oleh para sarjana pro-Barat yang sedar atau tanpa sedar menggerakkan agenda Yahudi dan Nasrani. Islam mahu diwajahkan menurut rupa Barat dengan mengangkatnya sekadar nilai, fahaman dan ritual tertentu. Matlamat akhirnya adalah untuk membuang pengertian ‘ad-din’ yang tertegak dengan akidah, ibadah dan syariah ditentu ketetapannya oleh Allah.
4. Apabila Islam dipasakkan sebagai nilai, fahaman dan ritual tertentu, ia cuba dijadikan inklusif, plural dan perlu berasimilasi pada tuntutan atau desakan massanya. Perbahasan mengenai Islam diakademikkan dengan dalil al-Quran dan al-Hadis dijadikan semata tempelan atau hiasan mengaburi. Ketika sama, mereka meletakkan Islam dalam kedudukan terhimpit antara ekstrem dan moderat.
5. Teokratik, kediktatoran, akar kejahatan, penindasan, diskriminasi dan seumpama cuba dimomokkan. Sementara disajikan pula di satu sudut watak kebajikan, demokrasi, reformasi, revolusi dan berorientasi masa depan. Ianya sebenarnya cuba mengaruskan kepada pilihan lebih lunak yakni Islam Liberal. Ini diteguhkan lagi dengan pasakkan elemen kemanusiaan, individu dan realistik.
6. Hakikatnya, ‘pembaharuan dan kebangkitan’ yang cuba disegarkan ini mengulangi usaha-usaha pernah dibuat ke atas agama Kristian untuk keluar dari ‘zaman kegelapan’ dahulu. Antara pendekatan paling mudah adalah mendebatkan agama dengan pelbagai disiplin ilmu yang diada-adakan. Tanpa disedari banyak sendi Islam dilonggarkan dalam ruang lingkup akademik seperti itu.
7. Islam cuba diperkenalkan dengan pelbagai interpretasi dan boleh diterima keberadaannya walau sekadar konsep, tanpa perlunya kepada keimanan dan syariat. Maka, berkembanglah Islam dengan pelbagai citra baru bersifat kosmetik serta kekaguman kepada istilah, teori dan tokoh. Sedangkan semakin menjauhkan umat daripada mengangkat perintah Allah yang syumul dan menjadikan keabadian akhirat terawang-awangan.
8. Oleh itu pihak berkuasa agama juga perlu lebih proaktif dalam menangani penyebaran fahaman ini. Antara dikesan adalah penganjuran terbaru oleh Islamic Renaissance Front menerusi beberapa wacana dalam negara bulan lalu dengan membawa tokoh-tokoh yang dikenali umum dengan jurnal-jurnal Islam Liberalnya. Selain itu perlu juga menangani kumpulan-kumpulan dalam negara yang semakin ghairah mempromosikan fahaman ini.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”
USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Naib Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan