RAKYAT MENANGGUNG BEBANAN YANG
TINGGI GARA-GARA KEGAGALAN KERAJAAN ATASI HARGA BARANGAN DAN PENGURUSAN EKONOMI
PAS melihat sudah tiba masa yang selanyaknya
rakyat untuk mengubah kerajaan melalui PRU 13 kali ini atas kegagalan Umno-BN
sebagai kerajaan yang baik.
BAGAN DATOH : Merasai tekanan serta bebanan
yang ditanggung rakyat, PAS Kawasan Bagan Datoh menyeru kepada seluruh rakyat
khususnya di kawasan tersebut membuat perubahan melalui Pilihanraya Umum yang
akan dating ini. Demikian seruan ajakan yang dilakukan oleh Yang Dipertuanya,
Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki ketika menyampaikan ceramahnya dalam siri
penerangan PAS kawasan di sini kelmarin.
Turut bersama beliau menyampaikan
ceramah pada majlis tersebut ialah Mazlan Aliman, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
dan Dr. Muhaimin Sulam, Setiausaha PAS Perak bertempat di perkarangan rumah
Saudara Zaini Said, Kg. Sg. Nipah Baroh. Kira-kira 300 orang yang telah hadir
untuk mendengar penjelasan isu-isu semasa tersebut.
Yang Dipertua PAS kawasan, Ustaz
Mohd Misbahul Munir Masduki menekankan beberapa isu tempatan dan nasional
supaya rakyat melihat bagaimana penindasan dan kezaliman yang dilakukan oleh
Umno-BN setelah hampir 50 tahun lebih sebagai kerajaan. Beliau menegaskan
pendedahan tersebut bukan sekadar sebagai meraih undi dan simpati ketika mana
kian dekatnya tempoh PRU 13, namun yang paling penting ialah mempertahankan
hak-hak rakyat selama ini yang cuba dinafikan oleh Umno-BN.
Antara isu dan perkara yang amat
dirasai oleh seluruh rakyat khususnya yang berpendapatan rendah ialah harga
barangan keperluan. Pelbagai rungutan serta suara rakyat yang menyatakan harga
barangan terlalu tinggi serta tidak seimbang dengan pendapatan mereka. Oleh
itu, rakyat terpaksa menanggung bebanan tersebut sehingga sukar untuk memastikan
kestabilan ekonomi keluarga masing-masing.
Selain harga barangan berupa
makanan yang membebankan rakyat, paling
menjadi tumpuan ialah harga minyak yang menjadi isu utama harga barangan lain
naik. Maka jelas Ustaz Misbahul Munir lagi , tawaran serta janji Pakatan Rakyat
adalah untuk menurunkan harga minyak sebagai mengurangkan bebanan tersebut. Tegasnya lagi, ianya ( turun harga minyak )
adalah relevan dan masuk akal berdasarkan pendapatan hasil bahan mentah negara
yang tinggi.
Beliau juga menjawab dakwaan Umno-BN
yang menyatakan bahawa negara ini akan bankrap sekiranya Pakatan Rakyat
melakukan perkara sebagaimana janjinya untuk menurunkan harga minyak,
menghapuskan tol serta pendidikan percuma kepada rakyat. Ustaz Misbahul Munir
yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Perak yakin bahawasanya rakyat
tidak akan mudah tertipu dengan dakwaan Umno-BN itu. Ini kerana, Pakatan Rakyat
melihat ekonomi negara akan sentiasa dalam keadaan stabil dan baik sekiranya
diurus serta ditadbir dengan betul dan jujur.
“ Masalahnya kalau pemerintah tidak
jujur, mengamalkan rasuah dan berkroni maka itulah yang menjadikan negara akan
bankrap. Harga minyak turun, pendidikan percuma adalah tidak akan merugikan negara
kerana sumber hasil negara adalah tinggi. Rakyat berhak untuk merasai bersama
bukannya untuk kroni-kroni tertentu.” Tegasnya lagi ketika mengakhiri
ucapannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan