- JAN 08, 2014
- TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Firman Allah:
أَمَّا السَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَاكِينَ يَعْمَلُونَ فِي الْبَحْرِ فَأَرَدْتُ أَنْ أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَاءَهُمْ مَلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا (79)الكهف.
Maksudnya:
Khadir berkata: “Adapun kapal (yang aku rosakkan) ini adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut. Aku jadikannya rosak, kerana mereka akan melalui negeri yang Rajanya merampas setiap kapal yang tiba.”
Firman Allah:
قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَى أَنْ تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا (94) قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا (95) آتُونِي زُبَرَ الْحَدِيدِ حَتَّى إِذَا سَاوَى بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ قَالَ انْفُخُوا حَتَّى إِذَا جَعَلَهُ نَارًا قَالَ آتُونِي أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا (96(الكهف.
Maksudnya :
Mereka berkata: "Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya Kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat Engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?" (94)
Dia menjawab: "(Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku kurniakan kepadaku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah aku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh." (95)
"Bawalah kepadaku ketul-ketul besi"; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu. Dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: "Tiuplah dengan alat-alat kamu." Sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: "Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya." (96)
Al Quran memaparkan dalam satu surah, dua kisah benar di zaman silam, supaya diambil iktibar. Ianya merupakan kisah perbandingan di antara kerajaan yang zalim yang merampas setiap kapal yang lalu ke negerinya tanpa mengira pemiliknya kaya dan meskin, lalu nabi Khaidir merosakkan kapal kepunyaan orang-orang miskin bagi menyelamatkannya. Berbeza pula kerajaan yang adil, Rajanya seorang yang soleh dan bijak bernama Dzulqarnain, membantu kaum yang lemah, kerana kewangannya surplus, sehingga menolak tawaran untuk membayar cukai bagi membantu mereka menghadapi pencerobohan kaum yang ganas.
sumber kewangan negara
Islam adalah membawa rahmat kepada seluruh manusia. Dalam konsep mengumpul sumber kewangan negara yang dilaksanakan dalam sistem ekonomi di peringkat masyarakat dan negara, nasional dan antara bangsa dan inter negara-negara, Islam menentang pengambilan kekayaan secara rakus tanpa mengira batas timbang rasa kemanusiaan.
Dalam hal ini, Islam tetap menggalakkan kemajuan ekonomi sehingga berkemampuan untuk diri dan membantu pihak yang memerlukan bantuan. Islam juga tidak menyekat kekayaan yang diambil dengan cara yang baik dan membelanjakannya juga untuk kebaikan, dengan menetapkan sempadan dan kewajipan, serta menghalang kekayaan negara berpusing di kalangan orang-orang yang kaya dan pihak yang berkuasa. Batas halal dan haram dalam segala aspek, barangan, operasi dan akhlak dalam semua urusan, adalah sempadan dalam kegiatan ekonomi. Sistem ekonomi liberal kapitalis tidak mempunyai roh akhlak, halal – haram ini. Semua ini bertujuanuntuk menjaga kesaksamaannya dan keharmonian dalam kehidupan manusia yang bermasyarakat madani.
Dalam aspek sumber kewangan masyarakat dan negara, maka Islam mewajibkan sumber zakat secara ibadat yang menjadi rukun Islam kepada penganutnya. Para ulama juga mengizinkan percukaian dilaksanakan sekiranya sumber kewangan negara tidak mencukupi dengan konsep yang adil seperti zakat juga.
Zakat diwajibkan keatas penganut Islam sehingga dimasukkan dalam rukun agama dan ibadat yangtidak boleh dibatalkan. Maka zakat tidak boleh dikenakan kepada penganut bukan Islam kerana hak yang berbeza dalam prinsip ibadat dan konsepnya. Adapun cukai dikenakan kepada penganut bukan Islam dan penganut Islam juga dalam konsep bermasyarakat dan bernegara. Sekiranya kewangan negara mendesak maka cukai boleh ditambah; dikurang dan boleh pula dihapuskan sekiranya sudah ada sumber kewangannya mencukupi atau sebab-sebab yang lain.
golongan tidak diwajibkan zakat
Zakat terhadap penganut Islam diwajibkan kepada kalangan berkemampuan dan kaya sahaja, dimana kalangan miskin tidak diwajibkan zakat. Maka hukum Islam menetapkan kadar mewajibkannya yang dinamakan nisob. Dimana nisob ini juga dikira kadar lebihan daripada keperluan diri, keluarga dan pengurusan, dengandikecualikandaripada perkiraannya. Mereka yang berpendapatan tidak mencapainisob dikira miskin atau yang tegarnya dinamakan fakir dan tidak diwajibkan zakat. Pungutan zakat pula mengikut haul (tahunan) atau musim bagi hasil pertanian.
Maka cukai yang dikenakan bagi keperluan negara yang melibatkan rakyat supaya menyumbang, tanpa mengira agama hendaklah berpandukan konsep pungutan zakat dengan mengecualikan kalangan miskin daripada cukai dan juga tidak membebankan lebih daripada kemampuan, serta menghalang bebanan daripada kesannya seperti berlakunya inflasi.
Khalifah Umar bin Al Khattab r.a. dan Umar bin Abdul Aziz yang banyak memperkenalkan cukai yang dinamakan jizyah,kharaj dan usyur, daripada sumber kegiatan ekonomi, berpandukan kepada konsep yang tidak membebankan rakyat miskin dalam sistem zakat. Maka cukai tidak dikenakan terhadap kalangan rakyat yang pendapatannya tidak mencapai tahap selesa atau kalangan penganggur atau kalangan yang bergantung sumbangan daripada pihak lain seperti paderi dan sami atau yang berkhidmat kepada negara dan masyarakat.
cukai boleh dihapuskan
Cukai boleh dihapuskan kerana tidak berkait dengan ibadat, tidak seperti zakat yang diwajibkan dan tidak boleh dibatalkan kepada penganut Islam kerana ianya dimasukkan dalam perkara ibadat sepanjang masa. Sejarah membuktikan bagaimana cukai lebih rendah kadarnya dibandingkan dengan zakat. Penurunan dan sehingga penghapusan cukai pula berlaku tidak seperti zakat, apabila tujuan daripada pungutannya tidak ada lagi kerana hasil lain yang mencukupi atau pihak berkenaan tidak berfungsi menunaikan tanggung jawab terhadap pembayar.
Contohnya Abu ‘Ubaidah (pemerintah wilayah Syam) membatalkan cukai jizyah yang bertujuan menjaga keselamatan pihak yang membayar daripada kalangan bukan Islam, apabila beliau menghadapi ancaman pihak tentera Rom, sehingga tidak mampu menjaga keamanan pembayar, atau mereka yang terlibat bertugas menjaga keamanan dan keselamatan.Cukai juga dikurang bahkan ditiadakan apabila sumber yang lain telah mencukupi, contohnya Khalifah Umar bin Al Khattab pernah menghapuskan Usyur (cukai perniagaan) yang dikenakan kepada barangan asasi keperluan harian rakyat di tahun kemelesetan ekonomi bagi menurunkan harganya. Adanya kalangan negara Arab yang mempunyai sumber petroleum yang banyak membatalkan beberapa cukai kerana mewarisi kesan pemerintahan Islam.
Khalifah Umar bin Al Khattab dan Umar bin Abdul Aziz adalah contoh yang paling ideal kerana memerintah di zaman paling majmuk, wilayah yang luas dan mencabar. Di antara arahan mereka adalah melarang sekeras-kerasnya mengenakan cukai tanpa kemampuan pembayarnya. Mereka menggalakkan pengurusan yang menambahkan sumber yang ada tanpa membebankan rakyat bahkan mengancam untuk memecat sesiapa sahaja yang menaikkan cukai tanpa berlaku adil dan menunjukkan tidak berkemampuan mengendalikan urusan kewangan wilayahnya yang diberi autonomi.
krisis kewangan
Terkini negara kita sedang menghadapi krisis kewangan walaupun pihak kerajaan sentiasa menafikannya. Maka dilakukan kenaikan cukai yang telah sedia ada dan mengadakan cukai baru. Terakhir pula diperkenalkan GST, cukai terhadap barangan dan perkhidmatan. Alasannya supaya berlaku adil dengan melibatkan semua rakyat tanpa mengira kaya dan miskin menanggung bebanan menampung keperluan negara. Pendekatan ini adalah salah tafsir terhadap prinsip keadilan, konsep dan objektifnya.
Adil mengikut takrif Islam adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya, bukannya membebankan kepada semua tanpa mengira tahap kemampuan. Sudah pasti ada kalangan yang miskin yang terbeban dengan terlalu sedikit penambahan cukai daripada barangan keperluan dan menanggung kesan inflasi juga terhadap barangan yang kononnya tidak bercukai atau dalam kawalan. Dalam masa yang sama ada segelintir kalangan yang kaya-raya dan tidak bermasalah dalam semua keadaan, mereka inilah yang sepatutnya mengambil tanggung jawab cukai tambahan.
Sepatutnya pihak kerajaan yang diamanahkan melakukan muhasabah diri secara ikhlas, terhadap ketirisan daripada sumber yang telah sedia ada dan membetulkan kesilapan yang berlaku serta berani,tegas dan telus bertindak terhadap penyelewengan, disamping melakukan islah(reformasi) sebelum transformasi. Transfomasi tanpa Islah boleh membawa keadaan yang lebih parah.
Saya tegaskan dalam ucapan bajet, bahawa ketirisan berlaku dengan sebab projek mewah sehingga meninggalkan perkara aulawiyyat (keutamaan) bagi rakyat menyebabkan keborosan dan pembaziran. Masih berlakunya rasuah yang mencacatkan projek yang dirancang dengan baik dan menggagalkannya. Hutang bersama riba yang terpaksa dibayar daripada peruntukan negara dan bencana alam disebabkan kesalahan manusia dan lain- lain. Kebocoran ini menyebabkan defisit yang memerlukan penampungan daripada sumber kewangan tambahan. Semuanya daripada kesalahan kerajaan, bukannya rakyat.
Penyelesaiannya bukan dengan membebankan rakyat yang lemah,dengan menaikkan cukai sedia ada, mengadakan cukai baru dan kenaikan harga barangan daripada kesannya yang tidak terkawal, termasuklah bayaran tol yang sepatutnya diturun dan akhirnya dihapuskantetapi dijadikan kesempatan mengambil duit rakyat tanpa mengira kaya dan miskin.
menyekat ketirisan
Penyelesaiannya ialah menyekat ketirisan dan menghapuskannya. Bertindak terhadap sumber dan puncanya dengan berani, ikhlas dan tegas. Menampung kekurangan sementara waktu terhadap mereka yang berkemampuan sahaja dengan menukarkan bayaran rasuah untuk segelintir manusia, digantikan kenaikan cukai untuk semua rakyat. Memayungi rakyat yang lemah supaya tidak menerima tempiasnya dengan langkah yang bijak, saperti kawalan harga barangan keperluan, penurunan dan penghapusan cukai dan subsidi dengan cara yang sistematik daripada sumber kekayaan dan keuntungan pihak tertentu.
Malangnya kerajaan mengambil jalan pintas tanpa peduli rakyat. GST adalah percukaian zalim, kalau zakat dikira nisob nya, adapun GST tanpa nisob mengambil daripada sekecil-kecil barangan dan mencakar paling miskin, sehinggalah paling mahal dan paling kaya, bahkan yang kaya lebih selesa. Kalau zakat mengikut haul (tahun) dan musim, maka GST setiap hari dan saat. Kalau cukai mengikut Islam mengambil iktibar daripada zakat, maka GST mengikut selesa tanpa iktibar. Laksana lebih daripada raja yang merampas kapal yang elok, adapun yang dirosakkan tidak dirampas. Maka jauh sekali daripada menyontohi raja yang adil, Dzulkarnain yang disanjung oleh Al Quran apabila tidak menerima cukai kerana kewangannya surplus, bahkan GST adalah menyontohi raja zalim yang merampas setiap kapal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan