- JAN 25, 2014
- BASHIR ISHAK
ALOR SETAR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar membidas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Ku Nan) berkaitan cadangan menjual bahan api RON 95 hanya untuk golongan miskin.
Menurutnya, kenyataan itu disifatkan satu lagi cakap-cakap pemimpin kerajaan yang sudah bankrap idea untuk melihat mekanisme yang terbaik bagi meringankan beban rakyat selepas mereka sendiri yang mencetus punca kenaikan kos sara hidup rakyat.
Baginya, itulah satu lagi cakap-cakap pemimpin kerajaan yang melalut dan pekak badak.
“Mereka tak fahamkah masalah dan keluhan rakyat rakyat di bawah yang mana melihat harga minyak RON 95 itu sendiri pada masa ini sudah begitu mahal yang telah naik dari masa ke semasa,” katanya pada sidang media di Markas PAS Derga, dekat sini semalam.
Tambahnya, tidak adil untuk mengklasifikasikan penggunaan kenderaan itu berdasarkan kereta berkuasa kuda kecil atau besar.
“Orang kaya sendiripun mungkin mempunyai beberapa buah kereta termasuk kereta kecil. Kalau kereta kecil maka mereka pun layak membeli minyak RON 95," jelasnya.
Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat itu lagi, isu pokok yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan ialah harga bahan api di negara ini khusunya RON 95 sudah cukup membebankan rakyat, bukan sahaja golongan miskin malahan kepada seluruh rakyat.
"Tengku Adnan kena ingat, kalau dia guna kaedah orang kaya guna RON 97 dan orang miskin guna RON 95, orang kaya ni kebanyakannya adalah golongan pengusaha atau peniaga.
"Bila golongan ini pula terbeban, mereka akan memindahkan beban itu kepada golongan pengguna di peringkat bawah termasuk golongan miskin. Maka bebanan ini akan berterusan dan bertingkat-tingkat," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan