- FEB 06, 2014
- SAIFUL ISLAM | LABU5839@YAHOO.COM
MUSIM 2013/2014 sudah lama melebarkan tirainya. Pelbagai kejutan, drama, dan ragam pemain mahupun jurulatih yang kita dapat lihat. Kini sudah tiba di pertengahan musim, bahang kehangatan Liga Perdana Barclays yang paling dikenali juga diminati seantero dunia ini sukar untuk dinafikan.
Keseimbangan, mutu permainan berbeza setiap pasukan, juga pelbagai kebarangkalian dalam setiap perlawanan antara faktor-faktor kenapa liga ini menjadi tumpuan berbanding liga-liga lain di dunia seperti Serie A atau Bundesliga.
Pemain yang datang dari pelbagai penjuru dunia mencungkil bakat dan memperkenalkan corak permainan mahupun gaya yang tersendiri bagi mendapat perhatian mahupun publisiti.
Di sebalik peningkatan jumlah pemain-pemain yang beraksi di liga ini, mungkin ramai tidak menyedari bilangan pemain muslim atau yang menganut agama Islam meningkat dari musim sebelumnya iaitu 2012/2013 berbanding musim sekarang 2013/2014.
Jelas menunjukkan bahawa agama Islam bukanlah satu batu sempadan bagi menceburi bidang rekreasi bertaraf dunia ini malah Islam menggalakkan aktiviti riadah asalkan tidak bertentangan dengan syariat.
Biarpun pemain-pemain ini perlu menerima halangan atau faktor-faktor tertentu yang mungkin menganggu aspek rohani, emosi dan kesihatan fizikal selama bergelar pemain profesional di Liga Perdana Barclays, ciri ketegasan dan berprinsip perlu bagi memenuhi tuntutan agama.
Antara halangan atau cabaran yang dihadapi adalah seperti tempat mengerjakan solat dan ruang waktu untuk mengerjakannya, pilihan diet makanan yang ditentukan oleh jurulatih sebelum perlawanan, berpuasa ketika perlawanan, budaya membuka Champagne bagi meraikan kemenangan dan mungkin sikap prejudis (Islamophobia) yang mempunyai kebarangkalian.
Seharusnya pemain-pemain muslim yang tiba di kelab-kelab besar di liga Perdana Barclays mempunyai tahap ketahanan mental dan fizikal yang tinggi juga pendirian tegas seperti pemain penyerang Chelsea, Demba Ba (gambar) ketika di Newcastle United.
Ketika bulan Ramadhan, wujudnya konflik antara beliau dan pengurus pasukan. Beliau menegaskan bahawa puasa adalah satu tanggungjawab bagi dirinya, jika permainannya merosot ketika dia sedang berpuasa dan pengurus melihat beliau tidak menyerlah, beliau rela duduk di bangku simpanan daripada menyalahkan dirinya berpuasa.
Situasi yang sama juga dialami oleh midfielder Arsenal, Abou Diaby, 27. Menurut pemain profesional ini, jurulatih Arsenal mencadangkan beliau untuk tidak berpuasa namun tetap menghormati pendiriannya kerana tahu bulan Ramadhan adalah istimewa untuknya, lapor BBC Sport.
Pemain midfielder berpengaruh di kelab Manchaster City, Yaya Toure menolak dengan beradab hadiah sebotol Champagne ekoran pemilihannya sebagai pemain terbaik perlawanan dengan menyatakan bahawa beliau seorang muslim. Kesan daripada tindakan Yaya Toure tersebut, hadiah sebotol Champagne untuk pemain terbaik perlawanan di liga Perdana Barclays ditukar kepada sebuah trofi kecil sehingga sekarang.
Ketegasan pemain-pemain muslim ini dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai hamba Allah harus di contohi. Ketegasan dan prinsip seperti ini perlu ada bagi setiap pemain untuk menyuarkan pada kelab-kelab ternama di liga Perdana Barclays bahawa pentingnya memenuhi piawaian dan keperluan pemain muslim.
Jika kita imbas 20 atau 30 tahun dahulu, tiada pemain muslim yang beraksi di liga berpengaruh ini tetapi segalanya berubah mengikut rentak edaran masa kerana kini lebih 40 orang pemain muslim beraksi di liga Perdana Barclays tidak termasuk liga Kejohanan.
Bermula dengan seorang pemain midfielder muslim, Nayem (gambar) yang bermain untuk pasukan Tottenham Hotspur pada tahun 1992, pemain muslim di liga Perdana Barclays yang kebanyakannya berpengaruh dan berprofil tinggi semakin meningkat.
Berikut adalah antara pemain-pemain muslim yang bermain di kelab liga Perdana Barclays buat musim 2013/2014;
- Arsenal: Abou Diaby, Bacary Sagna,Mesut Ozil
- Aston Villa: Karim El-Ehmadi
- Liverpool: Oussama Assaidi (pinjaman ke Stoke City), Samed Yesil, Kolo Toure
- Manchaster United: Adnan Januzaj
- Chelsea: Demba Ba
- Newcastle United: Papiss Cisse, Hatem Ben Arfa, Cheick Tiote
- Manchaster City: Edin Dzeko, Samir Nasri, Yaya Toure
- Fulham: M.Diarra, Karim Frei
- Stoke City: Mamady Sibide
- Tottenham Hotspurs: Mousa Dembele, Y Kaboul
- West Bromwich Albion: Youssouff Mulumbu, Yassine El Ghanassy
- West Ham United: Mohamed Diame, Alou Diarra, Modibo Maiga
- Crystal Palace: Maroune Chamakh
Agama tidak menghalang bakat, kebolehan mahupun minat selagi di atas landasan syariat yang betul . Kebolehan atau bakat merupakan anugerah Allah, maka tidak salah kita menggunakannya untuk mencari rezeki sebagai bidang kerjaya seperti pemain-pemain bolasepak bertaraf dunia di atas.
Selagi kita berprinsip dan tegas dalam soal agama, tahu mana haram dan halal dan sentiasa berusaha mencari keredhaan Allah; majulah sukan berteraskan nilai Islam dan syariat sebagai panduan, Insyaallah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan