pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Jumaat, 21 Julai 2017

PRESIDEN PAS : UNTUKMU RAKYAT MALAYSIA - " JADILAH ISLAM YANG MEMIMPIN BUKAN KHADAM "

UNTUKMU RAKYAT MALAYSIA
“JADILAH ISLAM YANG MEMIMPIN BUKAN KHADAM” 

Ramai yang bersemangat ke Putrajaya kerana kerusi dan kedudukan yang dianggap sebagai peluang, bukannya melaksanakan kewajipan yang ada perhitungan dosa atau pahala. Berlumba-lumba berebut kerusi tanpa memilih cara dan apa yang hendak dilakukan setelah mendapat kerusi dan tidak mempedulikan walaupun berpegang kepada konsep ‘matlamat menghalalkan cara’ yang salah.

Ada juga yang berlumba ke arahnya sehingga bersedia menjadi khadam kepada sesiapa sahaja, termasuk musuh Islam yang memonopoli undi satu kaum dalam masyarakat majmuk, mahu menipu umat Islam dan memporak-perandakannya. Mereka itu memilih kalangan umat Islam yang sanggup menawarkan apa sahaja khidmat menjadi khadam, termasuk bersedia menjadi tukang pukul, memaki hamun, menjadi penyapu atau tukang cuci kotoran, asalkan sampai ke Putrajaya.

Ada pula yang berkonsepkan marahkan nyamuk kelambu dibakar, kerana adanya perkara terkini yang dikira salah laku dan perkara negatif yang sangat menyakitkan hati dan pandangan mata. Sehingga mereka sanggup merobohkan asas jati diri dan ketahanan negara yang menjadi aqidah, dalam keadaan kaumnya yang masih ketinggalan. Malangnya lagi, mereka sanggup menempah kemusnahan yang lebih besar dan mudarat yang lebih parah bahayanya dengan tidak sabar terhadap mudarat yang lebih ringan, yang boleh diselesaikan setelah dihadapi terlebih dahulu daripada mudarat yang lebih besar.

Apa yang patut menjadi kewajipan sebenarnya ialah melakukan perubahan ke arah islah bersama Islam yang memimpin dan Islam yang dilaksanakan, walau sesiapa pun yang ada dikerusi Putrajaya. Kalau tidak bersedia berubah, maka kerusi itu wajib diambil alih bagi menunaikan kewajipannya, bukan mengambil peluang sahaja dengan meletakkan Islam dan umatnya dibelakang.

Konsep yang wajib ditegaskan di sini ialah:
“Tegakkan Islam, negara selamat. Tegakkan yang lain tanpa Islam, berakhir semuanya tidak selamat, Islam dan bukan Islam sama-sama tidak selamat. Ternyata yang lain daripada Islam telah gagal”
Inilah pendekatan yang dinyatakan dalam semua perutusan Rasulullah S.A.W. kepada raja-raja dan pemimpin di zamannya:
أسلم تسلم
“Terimalah Islam nescaya kamu selamat”
Mesej yang ditegaskan oleh firman Allah dalam Surah Yasin yang biasa dibaca untuk kematian dan dilupakan pengajaran kepada yang masih hidup menghadapi banyak cabaran.
ٱتَّبِعُواْ مَن لَّا يَسَۡٔألُكُمۡ أَجۡرٗا وَهُم مُّهۡتَدُونَ ٢١ يس
“Ikutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mendapat hidayah petunjuk” (Surah Yasin:21)
Rasulullah S.A.W. menafsirkannya secara praktikal apabila menolak kerusi jawatan percuma yang diberi kepadanya dengan meneruskan wawasan jahiliyyah. Sebaliknya baginda mengekalkan jawatan mereka yang menerima petunjuk tanpa merampas kerusinya dan mengambil jawatan apabila sudah menjadi kewajipannya, setelah tiada pihak yang bersedia membuat perubahan yang sebenar dan baginda S.A.W. diterima oleh semua kaum. 

Mengapa Islam didahulukan di negara ini? 

Umat Islam jangan lupa! Bahawa Islam dahulu berjaya membentuk kerajaan dan tamadunnya yang berasaskan iman dan ilmu di rantau ini mengikut sejarah yang bermula dengan Kerajaan Islam di Melaka, sebelum kedatangan penjajah yang menjatuh dan merosakkan. Bukannya tamadun batu yang dibina menjadi berhala yang disembah atau tamadun yang membina kota yang memaksa rakyat. 

Hakikatnya terkini juga, umat Islam adalah warga teras kepada negara ini perlu dihormati tanpa fanatik agama dan kaum. Jangan lupakan betapa umat Islam telah bersedia menerima masyarakat majmuk tanpa paksaan beragama dan hak beragama mengikut Perlembagaan Persekutuan, bukan sahaja memberi kerakyatan dengan segala haknya yang dijamin oleh Perlembagaan dan undang-undang.
Islam pula diletakkan dalam Perlembagaan menjadi agama negara, yang wajib dihormati oleh semua pihak yang telah dinyatakan hak masing-masing, konsep Raja Berperlembagaan, memartabatkan Bahasa Kebangsaan dan hak Bumiputera, serta batas sempadan yang tidak menzalimi pihak yang lain dalam masyarakat majmuk.

Rakyat wajib menolak mana-mana parti dan sesiapa sahaja yang mahu merungkai Perlembagaan negara laksana tikus membaiki labu bukannya penambahbaikan ke arah memperkasakan Islam dan syariatnya.

Rakyat juga wajib menolak mana-mana parti atau sesiapa sahaja yang sanggup menjadi khadam kepada pihak yang mahu meruntuhkan asas Perlembagaan atau menjadi khadam kepada penjajah atau menjemput penjajah datang semula. 

Jangan khuatir terhadap umat Islam kerana pegangannya kepada Islam. Al-Quran meletakkan asas masyarakat Madani berteraskan perpaduan umat Islam dan umat manusia yang dijalinkan. Perlunya umat Islam kerana aqidahnya dan perlunya umat manusia kerana bermasyarakat madani.
Firman Allah:
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ ١٠ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا يَسۡخَرۡ قَوۡمٞ مِّن قَوۡمٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُونُواْ خَيۡرٗا مِّنۡهُمۡ وَلَا نِسَآءٞ مِّن نِّسَآءٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُنَّ خَيۡرٗا مِّنۡهُنَّۖ وَلَا تَلۡمِزُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَلَا تَنَابَزُواْ بِٱلۡأَلۡقَٰبِۖ بِئۡسَ ٱلِٱسۡمُ ٱلۡفُسُوقُ بَعۡدَ ٱلۡإِيمَٰنِۚ وَمَن لَّمۡ يَتُبۡ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ ١١ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٞۖ وَ لَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًاۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمۡ أَن يَأۡكُلَ لَحۡمَ أَخِيهِ مَيۡتٗا فَكَرِهۡتُمُوهُۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٞ رَّحِيمٞ ١٢ الحجرات .
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (10) Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu kaum (lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan kaum (lelaki) yang lain, (kerana) harus kaum yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. (11) Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (12)” (Surah Al-Hujurat: 10-12) 

Seterusnya firman Allah ditujukan kepada umat manusia:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣ الحجرات
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Al-Hujurat: 13) 

Bahagian pertama (ayat 10-12) ditujukan kepada umat Islam yang dijalinkan persaudaraannya dengan kesatuan Iman bersama Islam yang membawa Rahmat dan Adil kepada semua. 

Bahagian kedua (ayat 13) ditujukan kepada umat manusia seluruhnya yang dijalinkan dengan ikatan kemanusiaan yang wajib bermasyarakat Madani kerana hubungan secara naluri memerlukan gabungan keilmuan, kemampuan dilapangan yang berbeza dan pendapatan yang tidak sama, bagi menghasilkan keperluan hidup di alam dunia yang wajib bertaaruf (bertolong-menolong dan bersaudara). 

Umat Islam diwajibkan berpegang kepada konsep tidak ada paksaan dalam agama. Umat Islam juga wajib meninggikan dan memuliakan kedudukan Islam dalam pemerintahan negara kerana keimanannya meletakkan tuntutan Al-Quran yang mengatasi Perlembagaan. 

Islam mewajibkan adil terhadap semua dengan perintah Allah:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنََٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨ المائدة
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Maidah: 8)
Mengapa masyarakat bukan Islam di sini boleh berjuang menegakkan ideologi yang dicipta oleh pemikir barat seperti Adam Smith, Karl Mark, dan lain-lain yang bukan daripada agama dan bangsa mereka? 

Mengapa tidak boleh mencuba pendekatan Islam dalam urusan politik, ekonomi dan kemasyarakatan tanpa dipaksa meninggalkan agama masing-masing?

Kalaupun tidak mahu menerimanya, janganlah menjadi penghalang pula. Maka pihak yang lain tidak boleh melanggar sempadan yang disebut di atas, dengan menghalang perubahan cara Islam kerana kenyataan Al- Quran:
الٓرۚ كِتَٰبٌ أَنزَلۡنَٰهُ إِلَيۡكَ لِتُخۡرِجَ ٱلنَّاسَ مِنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذۡنِ رَبِّهِمۡ إِلَىٰ صِرَٰطِ ٱلۡعَزِيزِ ٱلۡحَمِيدِ ١ ٱللَّهِ ٱلَّذِي لَهُۥ مَا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِي ٱلۡأَرۡضِۗ وَوَيۡلٞ لِّلۡكَٰفِرِينَ مِنۡ عَذَابٖ شَدِيدٍ ٢ ٱلَّذِينَ يَسۡتَحِبُّونَ ٱلۡحَيَوٰةَ ٱلدُّنۡيَا عَلَى ٱلۡأٓخِرَةِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ وَيَبۡغُونَهَا عِوَجًاۚ أُوْلَٰٓئِكَ فِي ضَلَٰلِۢ بَعِيدٖ ٣ إبراهيم .
“Alif, Laam, Raa´. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan ia kepadamu (wahai Muhammad S.A.W.), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman dengan izin Tuhan mereka ke jalan Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji. (1) Allah jua yang memiliki segala yang ada di langit serta yang ada di bumi dan kecelakaan besar bagi orang-orang yang kufur ingkar (terhadap Al-Quran) dari azab yang amat berat (yang akan menimpa mereka kelak). (2) Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat dan menghalangi manusia dari jalan agama Allah (Islam), serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya. (3) (Surah Ibrahim: 1-3)

Oleh itu, tiada kompromi terhadap kalangan yang menghalang perjalanan Islam atau mereka yang bersekongkol dengan penghalang itu, dan tiada kompromi juga dengan mereka yang sekadar mengkhadamkan Islam atau memainkan sentimen perkauman dengan niat mahu meminggirkan umat Islam tanpa menghormati dan mengenang budinya.

Kami menegaskan, hanya “Sejahtera Bersama Islam”, kerana hanya Islam berteraskan aqidah, syariat dan akhlak dapat menghapuskan segala perkara negatif yang diwar-warkan, seperti rasuah dan semua salah laku. Perubahan tanpa Islam tetap mengulangi perkara negatif yang sama kerana tiada imannya. Tegakkan Islam semuanya selamat, tanpa Islam pasti tidak selamat.

Itulah teladan Rasulullah S.A.W. apabila menegaskan betapa benarnya seorang Yahudi yang mempertahankan Islam setelah bersama Islam dan betapa sesatnya seorang Arab yang berasal dari Madinah, tetapi hanya mempertahankan Madinah tanpa Islam. Maka niatlah di hati kerana menegakkan Islam, jangan niatnya kerana mahukan Putrajaya sahaja. 

“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 26 Syawal 1438H / 20 Julai 2017M

Tiada ulasan:

jambori amal kuala kangsar 2008