Waktu Berkuasa, Buatlah Apa Sahaja.
Hj Idris Hj Ahmad
Naib Presiden PAS
28/7/17
Buatlah apa sahaja waktu kita berkuasa. Sapu apa yang ada. Buat pekak ja apa orang hendak gelar. Apa yg penting anak pinak dan kroni kita kaya dan kenyang. TV kita kuasai. Media yg garang, kita beri amaran. Kita ada kuasa, siapa berani lawan kita. Lawan sahaja kita sumbat jel. Buat demo, sembur dengan gas FRU. Apa cadangan pembangkang kita tolak. Siapa yang tidak undi kerajaan, ini pelampau kaum dan pelampau agama. Ini hujah apabila ada kuasa Lebih-lebih lagi memang sudah lama berkuasa. Kalau boleh hendak mati sambil berdiri di dalam pejabat Perdana Menteri.
Apabila kita tidak ada kuasa maka macam- macam pula kita kritik dan balun orang yang sedang berkuasa kerana masalah peribadi, bukan maslahat rakyat. Pada hal ini semua produk yang dihasil oleh acuan yang sama. Acuannya ialah apabila berkuasa, bukan hendak laksanakan amanah kepada rakyat tetapi untuk tunjuk aku yang paling berkuasa.
Begitu murah nilai politik di negara ini. Perut sudah kenyang, kroni sudah kaya. Sekarang berpesta pula maki hamun orang yang kita benci kerana masalah peribadi. Sewaktu berkuasa dahulu berapa ramai rakyat dizalimi. Berapa ramai kontraktor bankrap akibat pilih kasih. Berapa ramai kakitangan kerajaan tidak naik pangkat dan ditukar tempat kerja. Berapa banyak gas FRU yang disembur ketika demontrasi. Berapa ramai yang kena sepak ketika demo.
Oleh itu DS Najib tidak risau dengan maki hamun yang dihambur sekarang. Dia sudah ada guru yang mengajarnya. Nanti apabila sudah tidak jadi Perdana Menteri, maka naik atas pentas pembangkang balun pemimpin yang sedia ada pada waktu itu. . Ketika itu semua kesalahan selama ini akan suci seperti air mutlak, suci lagi menyucikan.
Tidak perlu minta maaf dan mengaku kesilapan yang lampau. Akhirnya rakyat yang paling malang. Negara tidak diurus dengan baik, hutang pula bertimbun. Politik seperti ini akan mendatang musibah kepada anak kecil kita yang akan mewarisi negara. Betullah acuan baulu tidak akan hasil kueh kacang. Rakyat perlu tukar dasar, bukan orang. Kalau tidak, pi mai, pi mai tang tu ja. Sejahtera Bersama Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan