pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Selasa, 7 November 2017

DPPM : " HULUR BANTUAN RINGANKAN BEBAN MANGSA BENCANA "

PERUTUSAN TAKZIAH
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
6 November 2017 | 17 Safar 1439

“HULUR BANTUAN RINGANKAN BEBAN MANGSA BENCANA”

SESUNGGUHNYA tragedi banjir besar dan tanah runtuh serta kejadian-kejadian berkaitannya ketika ini terutama di Pulau Pinang dan beberapa negeri adalah ujian daripada Allah S.W.T kepada para hamba-Nya dan berharap ia diterima dengan sabar dan redha.
Pihak kami merakamkan takziah kepada semua mangsa yang terjejas oleh bencana banjir besar yang melanda itu. Kami menghulurkan rasa simpati dan solidariti bersama seluruh mangsa banjir yang terlibat.
Di dalam situasi begini, kami berharap agar semua pihak berganding bahu meringankan beban mangsa banjir terutama di Pulau Pinang serta mengenepikan fahaman politik untuk memastikan agar segala bentuk bantuan dapat disalurkan dengan berkesan dan sampai kepada sasaran.
Berikutan bencana banjir ini, kami akan menggerakkan seluruh jentera yang bernaung di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) terutamanya Jabatan Amal Malaysia (JAM) untuk turut sama membantu mangsa banjir buat ketika ini terfokus di Pulau Pinang.
Untuk mengetahui perkembangan terkini keadaan banjir di Pulau Pinang, saya sendiri mewakili DPPM telah mengunjungi Parlimen Tasek Gelugor, Pulau Pinang bersama Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Mohamad Fauzi Yusoff dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden untuk menziarahi mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir. Juga melawat kawasan yang dilanda banjir serta menyampaikan bantuan kepada mangsa yang terlibat untuk meringankan beban mereka.
Buat masa sekarang, DPPM melalui JAM telah menggerakkan jenteranya di Pulau Pinang dan negeri berdekatan dalam misi kemanusiaan membantu mangsa banjir di Pulau Pinang. Jabatan Amal Malaysia telah menyusun 3 fasa dalam melancarkan perjalanan operasi iaitu menyelamatkan mangsa banjir, menempatkan mangsa banjir di pusat pemindahan dan membersihkan kediaman serta kawasan persekitaran. Untuk menjayakan misi tersebut, DPPM melalui JAM akan menerima arahan Khidmat Malaysia dan akan bekerjasama dengan semua agensi kerajaan yang terlibat agar misi kemanusiaan tersebut mencapai sasaran serta objektif yang ditetapkan.
DPPM berharap agar rakyat Pulau Pinang terutamanya mangsa banjir agar bersabar di atas musibah yang melanda dan mematuhi arahan pihak berkuasa dan agensi yang terlibat bagi memastikan segala misi sama ada menyelamat mahupun bantuan dapat dijalankan dengan sempurna demi manfaat semua pihak.
DPPM dengan ini mengajak seluruh rakyat Malaysia berdoa agar keadaan banjir semakin baik dan pulih supaya semuanya kembali seperti sediakala. Kepada Allah jua kita berserah dan kepada Allah jua kita memohon.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”
USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan:

jambori amal kuala kangsar 2008