Minda Presiden PAS
ISLAM DAN PERPADUAN MASYARAKAT MAJMUK
ISLAM DAN PERPADUAN MASYARAKAT MAJMUK
Para pemikir dan ilmuan Barat meletakkan perpaduan di atas asas persamaan lahiriah sahaja iaitu dari sudut bangsa dan keturunan, persamaan kepercayaan agama yang dipisahkan daripada cara kehidupan, lingkungan sempadan tanah air dan wilayah, ideologi politik dan kepentingan ekonomi yang dipisahkan daripada agama. Maka, dipilih salah satu daripadanya atau dicampur yang terpilih sahaja dan ditubuhkan negara secara kesatuan, persekutuan atau diwujudkan pertubuhan di antara negara.
Semuanya berakhir dengan kekhilafan yang mencetuskan pergeseran, pertembungan sehingga berpecah dan ada yang berperang. Bukan sahaja di antara negara, bahkan dalam satu negara, satu bangsa, satu bahasa, satu agama dan satu ideologi, termasuk kesatuan di antara negara seperti Komanwel, Kesatuan Eropah (EU), Kumpulan Tujuh (G7), Kesatuan Negara Afrika, Kesatuan Negara Teluk, ASEAN dan lain-lain. Hal ini disebabkan apabila berlakunya perlumbaan kepentingan masing-masing sehingga mewujudkan pertembungan.
Kenyataannya berlaku dalam sejarah semua benua, negara dan bangsa. Terkini dipaparkan tentang berita kemunculan kumpulan dan negara baru merdeka dalam negara yang telah wujud sekian lama sama ada yang diiktiraf atau tidak. Ada yang dihapuskan dengan tindakan undang-undang atau ketenteraan, dan bakinya retak menunggu belah.
Islam yang berpandukan petunjuk Al-Quran menegaskan wujudnya kepelbagaian, perbezaan, perselisihan dan pertembungan adalah fitrah kejadian manusia. Manusia yang diciptakan di atas muka bumi bersama makhluk yang lain yang diurus tadbir oleh mereka menjadikannya sangat mencabar sehingga mencetuskan peperangan sesama manusia dan ada yang melampaui batas. Semuanya mengandungi hikmah yang mewajibkan manusia juga hendaklah berhikmah dengan kemuliaan yang diberikan oleh Allah Tuhan Pencipta Alam.
Firman Allah:
۞وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلۡنَٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِيرٖ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلٗا ٧٠ الإسراء
“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam (Manusia) dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan” (Surah Al-Isra’: 70)
Islam yang sempurna ajarannya mencakupi naluri manusia yang berjasad, bersamanya roh, akal dan sifat hidup bersendiri, berkeluarga dan bermasyarakat. Manusia dijadikan kepelbagaian bangsa, kefahaman dan kemampuan dalam berbagai aspek, kerana kepelbagaian itu ada peranan masing-masing bagi memakmurkan bumi melalui pembahagian tugasan mengikut kemampuan dan kedudukan masing-masing, serta wajib bertolong-menolong secara bermasyarakat madani.
Islam yang sempurna ajarannya mencakupi naluri manusia yang berjasad, bersamanya roh, akal dan sifat hidup bersendiri, berkeluarga dan bermasyarakat. Manusia dijadikan kepelbagaian bangsa, kefahaman dan kemampuan dalam berbagai aspek, kerana kepelbagaian itu ada peranan masing-masing bagi memakmurkan bumi melalui pembahagian tugasan mengikut kemampuan dan kedudukan masing-masing, serta wajib bertolong-menolong secara bermasyarakat madani.
Tidak mungkin manusia hidup secara individualistik sahaja, kerana semuanya memerlukan penggunaan dan perkhidmatan yang wajib dilakukan melalui penyelarasan yang saksama. Adalah mustahil manusia itu dapat menyempunakan kehidupan secara bersendirian tanpa hubungan di antara satu sama lain, kerana tidak ada manusia pandai dalam semua perkara dan tidak ada negaranya yang ada semua hasil keperluan.
Islam menegaskan peranan manusia dan tujuan mereka diciptakan yang adanya ikatan hubungan dengan pencipta dan alam semesta. Perlu dihormati juga betapa penting hubungan ibadah dengan Tuhan Pencipta Alam, yang disebut Allah Yang Maha Esa bersifat kepujian semuanya dan Yang Maha Suci daripada segala kekurangan dan kelemahan.
Peranan manusia sebagai khalifah yang bermaksud mentadbir dan mengurus adalah untuk melaksanakan kewajipan menegakkan syariat Allah yang menjadi petunjuk dan dibenarkan menggunakan akal, tenaga dan pengalaman serta kajian pada diri masing-masing (individu) dan secara Jama’ei (kolektif). Namun akal dan ilmu manusia sendiri tetap mempunyai kelemahan makhluk yang memerlukan petunjuk Tuhannya.
Islam juga menegaskan perbezaan itu ada yang wajib diterima hakikatnya dan dipuji peranannya. Apa yang penting diolah dan diselaraskan dengan bijak secara bermasyarakat yang menjadi tabiat manusia yang wajib berhubungan di antara satu sama lain. Ada juga perbezaan yang dikeji apabila menimbulkan kerosakan pada diri sendiri, masyarakat dan alam sekeliling.
Bagi melaksanakan perbezaan yang wajib di atas, perlu diselaraskan secara saksama dengan melaksanakan konsep perpaduan yang unggul supaya bersama dalam titik persamaan dan menjaga sempadan apabila adanya perbezaan.
Perpaduan itu diwujudkan bukan sahaja atas faktor lahiriahnya tanpa peduli aspek rohani yang menjadi fitrah manusia. Maka Islam menegaskan dua aspek hubungan sesama manusia yang dijadikan asas pendekatan kepada perpaduan yang holistik.
Pertama: Hubungan keimanan kepada Allah dan Hari Akhirat yang disimpulkan daripada ajaran Islam yang menyeluruh kesempurnaannya mengikut peranan manusia yang tidak memisahkan aspek kehidupan berpolitik, ekonomi dan kemasyarakatan dan kedudukannya berada di dalam ajaran Islam yang merangkumi aqidah, syariat, akhlak dan semua sistem kehidupan manusia secara menyeluruh yang tidak terkongkong objektifnya di kalangan penganut Islam sahaja dan hanya terkurung dalam kelompok bangsa dan perbatasan negara sahaja, tetapi mewajibkan hubungan dengan pihak lain sama ada menunaikan kewajipan dakwah berkonsepkan tiada paksaan dan kewajipan kemanusiaan walaupun berbeza agama, bangsa dan kemampunnya.
Kedua: Hubungan kemanusiaan yang berkeluarga besar walaupun berbagai bangsa, agama dan tahap kedudukan dan kemampuannya. Islam mewajibkan berlaku adil terhadap semua dan Islam adalah Rahmat Allah kepada seluruh alam.
Perkara tersebut ditegaskan secara huraiannya oleh Al-Quran. Firman Allah terhadap penganut Islam:
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ ١٠ الحجرات
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah Al-Hujurat: 10)
Firman Allah terhadap manusia:
يأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣ الحجرات
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Al-Hujurat: 13)
Islam yang sempurna mewajibkan adanya negara Islam yang melaksanakan Islam yang sempurna dan berlaku adil terhadap semua apabila menunaikan amanah memerintah negara. Firman Allah:
۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨ النساء.
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah An-Nisa’: 58)
Firman Allah:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنََٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨ المائدة
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Maidah: 8)
Islam menegaskan bahawa perpecahan dan pertembungan juga adalah sifat kejadian manusia secara naluri kerana ada di kalangan mereka yang mengikut hawa nafsu dan memaksa pihak yang lain menerimanya secara paksaan. Sifat itu wajib dihalang dan ditentang bagi menyelamatkan semua, maka Allah menyatakan hikmah-Nya:
وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّفَسَدَتِ ٱلۡأَرۡضُ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ ذُو فَضۡلٍ عَلَى ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢٥١ البقرة
“Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini. Tetapi Allah mempunyai karunia (yang dicurahkan) atas semesta alam.” (Surah Al-Baqarah: 251)
Firman Allah menegaskan bahawa keharmonian hanya dapat diwujudkan apabila kepimpinan negara di bawah pemerintahan Islam yang berdaulat:
وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١ الحج
“Kalaulah Allah tidak mendorong sesetengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat ibadat serta gereja-gereja dan tempat-tempat sembahyang, dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; (40) Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (41)” (Surah Al-Hajj: 40-41)
Kedudukan yang sebenar dibuktikan dalam sejarah keemasan apabila Islam dilaksanakan dengan sempurna dalam negara paling besar berkuasa telah melaksanakan syariat Islam yang adil terhadap semua dalam lingkungan sempadan negara yang luas di Timur dan Barat merangkumi Benua Asia, Utara Afrika dan Selatan Eropah yang bermasyarakat majmuk berbagai bangsa, agama dan budaya dalam tempoh beberapa abad.
Kedudukan yang sebenar dibuktikan dalam sejarah keemasan apabila Islam dilaksanakan dengan sempurna dalam negara paling besar berkuasa telah melaksanakan syariat Islam yang adil terhadap semua dalam lingkungan sempadan negara yang luas di Timur dan Barat merangkumi Benua Asia, Utara Afrika dan Selatan Eropah yang bermasyarakat majmuk berbagai bangsa, agama dan budaya dalam tempoh beberapa abad.
Jangan diambil daripada penulisan Orientalis Barat yang menutup kejahatan mereka yang menentang Islam kerana hasad dengki yang salah, sehingga melakukan konsep kolonialisma dan imperialisma serta perluasan penjajahan Barat yang menakluk secara paksaan, perhambaan dan merompak hasil negara yang dijajah. Pendekatannya sangat berbeza dengan kedatangan Islam yang menjadi penyelamat bersama konsep adil dan rahmat.
Kedatangan penjajah Barat ditentang oleh semua penduduk dunia. Malangnya mereka melabelkan pula perjuangan menentang penjajahan yang zalim itu dengan jenama pemberontak, lanun, penderhaka dan sebutan yang jelik.
Kedatangan penjajah Barat ditentang oleh semua penduduk dunia. Malangnya mereka melabelkan pula perjuangan menentang penjajahan yang zalim itu dengan jenama pemberontak, lanun, penderhaka dan sebutan yang jelik.
Pada zaman mutakhir ini ketika memuncaknya pertembungan kuasa Barat dan mencetuskan perang Korea dan kemaraan Komunis di beberapa negara Eropah pada tahun lima puluhan abad yang lalu, maka beberapa tokoh politik Barat memberi amaran bahawa di sana ada lagi yang lebih bahaya daripada Komunis ialah Islam. Jangan diberi peluang kepada Islam berkuasa memerintah, kerana Islam bukan sahaja menakluk tanah air, bahkan menakluk hati manusia. Bukan kerana zalimnya, tetapi kerana adilnya.
Malangnya masih terdapat kalangan yang berjenama penganut Islam tetapi terikut-ikut menggunakan istilah lanun yang dipopularkan oleh para Orientalis terhadap bangsa Islam yang menentang penjajah, termasuk kenyataan mereka menyebut bahawa PAS yang menegakkan Islam lebih bahaya daripada Komunis. Hanya Melayu yang mudah lupa sahaja yang melupai kenyataan ini.
Percayalah bahawa hanya Islam yang sempurna, adil dan rahmat dapat menyatukan masyarakat majmuk dengan selamat.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 3 Rabiul Awal 1439 / 22 November 2017
Presiden PAS
Bertarikh: 3 Rabiul Awal 1439 / 22 November 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan