Bekalan diesel subsidi terhad
BAGAN DATOH - Kesukaran untuk mendapatkan bekalan minyak diesel di pusat jualan diesel subsidi menyebabkan para nelayan terpaksa bersesak-sesak untuk mendapatkan bekalan itu.
Bukan itu sahaja, ada daripada nelayan di Bagan Sungai Tiang, di sini tidak dapat turun ke laut dan terpaksa menanggung kerugian antara RM1,000 hingga RM2,000 gara-gara tidak mendapat bekalan minyak.
Salah seorang nelayan, Lim Beng Hoe, 40, berkata, di perkampungan nelayan Bagan Sungai Tiang hanya ada sebuah pusat jualan diesel subsidi disediakan Lembaga Kemajuan lkan Malaysia (LKIM).
Menurutnya, pusat jualan itu dibuka bagi memenuhi keperluan 135 bot besar laut dalam dan 300 bot kecil yang mempunyai 450 nelayan.
"Pusat jualan ini beroperasi daripada jam 7 pagi, ditutup jam 6 petang setiap hari dan kebanyakan bot yang pulang dari laut sebelah petang terpaksa berebut-rebut untuk mengisi minyak.
“Ada nelayan yang pulang lewat tidak dapat mengisi minyak dan terpaksa tunggu pada tengah hari esok ketika air laut pasang, barulah bot nelayan boleh rapat ke pusat jualan untuk mengisi diesel,” katanya.
Beng Hoe berkata, bagi setiap bot besar, sebanyak 7,000 liter diesel perlu diisi sementara bot kecil 2,500 liter yang mengambil masa antara 30 minit hingga 60 minit dalam satu-satu masa.
"Pada sebelah petang hanya tiga hingga lapan bot besar sahaja dapat mengisi diesel sebelum pusat jualan ditutup jam 6 petang," katanya.
Dalam nada sama, nelayan, Lian Poh Huat, 50, berkata, sebelum ini pernah berlaku pergaduhan antara sesama nelayan kerana berebut-rebut untuk mengisi diesel terutama pada waktu petang.
Katanya, nelayan benar-benar tertekan dengan keadaan itu dan berharap masalah mereka segera mendapat perhatian Kerajaan.
Sementara itu, nelayan, Tan Eng Chuan, 39, berkata, apabila bot tidak diisi minyak, ia boleh menyebabkan nelayan kehilangan mata pencarian mereka.
Katanya, pihaknya merayu kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman supaya dapat datang melihat kesulitan nelayan di kawasan itu.
"Nelayan tidak turun laut boleh menyebabkan harga ikan naik mendadak dan secara langsung menjadi rungutan pengguna," katanya.
Manakala, jurucakap Persatuan Nelayan Hilir Perak mengesahkan Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid telah meminta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani segera menangani masalah itu.
Katanya, mereka juga telah menulis surat membuat aduan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam surat bertarikh 7 Mac 2011 dan Jabatan Perdana Menteri telah mengarahkan Pengarah Pembangunan Kemajuan Negeri Perak segera menangani masalah itu.
“Tetapi hingga kini tidak ada sebarang tindakan diambil oleh jabatan berkenaan. Kami berharap bilangan pusat jualan diesel dapat ditambah di kawasan Bagan Sungai Tiang bagi memudahkan lagi urusan nelayan di sini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan