Minda Presiden PAS
PAS BERSAMA ISLAM DAN KONTRAK SOSIAL
Kita mendoakan Rahmat Allah kepada semua pejuang kemerdekaan kerana jasa mereka yang sangat besar meletakkan Islam di dalam Perlembagaan Negara tercinta ini.
Walaupun ada perbezaan pendapat selepasnya dari segi pendekatan meletakkan kedudukan Islam, tetapi kita sudah terlepas daripada penjajahan dan banyak ruang dan peluang masih ada untuk membebaskan belenggu yang sengaja ditinggalkan supaya Islam tidak diizinkan pelaksanaan sepenuhnya. Umat Islam sendiri dihalang daripada beramal dengan seluruh ajaran Islam, sedangkan penganut agama lain tidak dihalang untuk beramal dengan agama masing-masing.
Sepatutnya terpulang kepada umat Islam menafsirkan agamanya yang sebenar daripada perkataan Al-Din yang merangkumi segala aspek cara hidup bermasyarakat. Tafsiran yang berbeza dengan kehendak wakil penjajah dalam Suruhanjaya Reid yang sudah pergi, apabila mereka meletakkan Islam dalam ruang perkataan ‘religion’ yang jauh bezanya dengan ‘Al-Din’.
Para pemimpin bukan Islam yang terlibat bersama dalam PERIKATAN pula menerima kedudukan agama masing-masing yang dibebaskan mengikut Perlembagaan yang digubal oleh Suruhanjaya Reid itu. Adapun kalangan Islam teguh berkonsepkan tiada paksaan beragama dan Islam mewajibkan adil terhadap semua kaum dan penganut berbagai agama.
Islam dengan objektif mengikut takrifnya yang tepat, mempunyai pendekatan dari segi kedudukan Islam dengan maksud yang dipercayai umat Islam mengikut kitab suci Al-Quran. Bersama dengannya adalah konsep Raja Berperlembagaan yang diperkasakan oleh Islam mengikut kedaulatannya dalam proses pembinaan yang belum selesai sebelum kedatangan penjajah lagi.
Namun menjadi kewajipan untuk disempurnakan selepas kemerdekaan dengan meletakkan Islam yang mampu menangani perkembangan semasa yang berubah dan tetap mampu menyelesaikan semua masalah di sepanjang zaman. Beginilah apabila Islam yang sebenar ditegakkan pentadbirannya yang berasaskan akidah, berkonsepkan syariat dan akhlaknya.
Walaupun PAS hanya satu-satunya kerusi pembangkang, namun tetap bersepakat mempertahankan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Negara dan kaitannya dengan Raja Berperlembagaan dan terus mendesak perubahan mengikut konsep kerajaan Islam. Maka PAS tidak menyokong pindaan Perlembagaan yang dilakukan di zaman Tun Mahathir dahulu, kerana sebenarnya sekadar mengambil kuasa sahaja tanpa konsep Islam yang sebenar.
Kebebasan beragama bagi penganut agama lain telah dijamin oleh undang-undang yang dinaungi dalam Perlembagaan yang menjadi undang-undang dasar negara, sepatutnya tidak lagi membimbangkan mereka, setelah penerimaan pemimpin MCA dan MIC yang bergabung dalam PERIKATAN di masa itu.
Lebih sepatutnya mereka berterima kasih kepada umat Islam yang menerima mereka dari segi saudara kemanusiaan dan hidup bersama dalam masyarakat majmuk yang sama-sama ditindas pejajah. Mereka telah menyaksikan betapa satu kelompok kecil keluarga bukan Islam boleh hidup aman di tengah masyarakat Melayu yang majoriti penduduk Islam. Walaupun syariat Islam belum lagi diberi peluang sepenuhnya dilaksanakan, tetapi inilah bayangan syariat yang mencipta akhlak Islam dalam hubungan masyarakat majmuk.
PAS menerima kemerdekaan dengan satu kerusi dalam PRU Pra Kemerdekaan pada tahun 1955, tetap mengiktiraf konsep demokrasi dan terus menyertai PRU selepasnya bersama Islam yang dihayati oleh kepimpinan ulama’. Walaupun tidak memuaskan kerana masih ada kelemahan dalam system Demokrasi Barat yang tidak beriman dan budiman, namun tetap menerima konsep tersebut dengan positif yang masih ada bersamanya.
Maka PAS dengan sabar, rebah dan bangun, menang dan kalah, sehinggalah jatuh kerajaan negeri yang dikuasainya di Kelantan dan Terengganu, kembali semula memerintah di Kelantan dan kembali semula di Terengganu dan jatuh semula, namun tetap mengambil pendekatan demokrasi dan berundur daripada gerakan yang boleh merosakkan, contohnya tindakan di atas nama BERSIH yang tidak bersih lagi terhadap Islam dan kedaulatan negara secara umum, serta ada dalang dibelakangnya.
Kekuatan PAS tidak bergantung kepada ukuran kerusi seperti parti lain yang boleh mati kalau tidak ada kerusi. Namun pengaruh PAS terus berkembang dan makin kuat jati diri ahli dan pengikutnya makin bertambah dan berkualiti. Adapun yang bersifat sampah dalam PAS boleh merosakkan perjuangannya, sama ada terbuang atau dibuang. PAS juga tidak rebah kalau ada pemimpin yang rebah dalam perjalanan perjuangannya.
PAS terus tegak bersama Islam yang ditegaskan dalam Perlembagaan yang telah diterima oleh semua parti politik yang ada di masa awal kemerdekaan. Maka PAS memandang adanya parti yang baru lahir selepas kemerdekaan yang cuba untuk merungkai Perlembagaan yang berkonsep kontrak sosial di antara rakyat dan kerajaan, khususnya terhadap Islam dan kedaulatannya. Adapun kepada PAS ditambah kuat lagi dengan perjanjian di hadapan Allah bagi menegakkan Islam yang sempurna.
Kalangan yang cuba mengugut PAS berasaskan kerusi pilihanraya atau kedudukannya dalam kerajaan, sepatutnya mengenali siapa PAS dalam sejarahnya. Bahawa PAS tidak boleh dikuburkan dengan jatuh kerajaan atau hilang kerusinya, bahkan PAS bangkit semula setelah ditendang keluar daripada BN pada tahun 1978 yang dikatakan tinggal dua kerusi batu nisan di Kelantan dan kosong kerusi di Terengganu.
Tiba-tiba PAS bangkit semula, sehingga Pengerusi BN di masa itu terpaksa memanggil kalangan berjenama Islam bagi menyelamatkan diri kerana kebangkitan semula PAS. Rupanya bukan bangkitnya hantu kubur, tetapi bangkit bersama Islam yang mulia dan tidak boleh dipadamkan cahayanya. Sebaliknya pemimpin BN yang mengkhianati PAS pula yang terpelanting keluar daripada partinya sendiri.
Melukut ditepi gantang,
Buka sanggul mencari kutu,
Orang takut akalnya hilang,
Jumpa tunggul disangka hantu.
PAS tidak mengharapkan Pakatan Harapan kerana mengenali semua mereka yang terlibat dengan penubuhannya yang tidak boleh dipercyai harapannya, kerana hanya bergantung harapan dalam kabinet bayangan dan konsep matlamat menghalalkan cara yang lemah.
Harapan PAS bersama Islam berpandukan janji Allah SWT:
وَلَا تَهِنُواْ فِي ٱبۡتِغَآءِ ٱلۡقَوۡمِۖ إِن تَكُونُواْ تَأۡلَمُونَ فَإِنَّهُمۡ يَأۡلَمُونَ كَمَا تَأۡلَمُونَۖ وَتَرۡجُونَ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا يَرۡجُونَۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا (النساء: ١٠٤ (
“Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam menghadapi lawan (yang menentang kamu) itu; kerana kalau kamu menderita sakit atau susah, maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya atau susah seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada Hari Akhirat kelak) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah An-Nisa’: 104)
Keyakinan PAS tetap bersama Islam yang berwawasan dunia sehingga Akhirat, bukan sahaja mempertahankan apa yang sudah dicatat dalam Perlembagaan itu, bahkan berusaha dan berjuang supaya disempurnakan mengikut Al-Quran dan kebijaksanaan Sunnah Rasulullah SAW, serta bekerjasama dengan sesiapa yang mahukan konsep kesempurnaan Islam ini ditegakkan.
Dalam masa yang sama, PAS mengajak umat Islam dan bukan Islam dalam masyarakat majmuk menolak kumpulan yang bersekongkol menghalang usaha yang mulia ini untuk kebaikan bersama.
Bagi umat Islam menjadi kewajipan aqidah, syariat dan akhlaknya menegakkan kepimpinan Islam dan mempertahankannya dalam negara ini supaya menjadi teras kedaulatannya.
PAS tidak mengira siapa sahaja yang mendukung cita-cita ini walaupun kehilangan kerusinya, kerana pergantungan PAS kepada Islam bukannya kerusi dan siapa orangnya. Kerusi hanya alat dan wadah melaksanakan kewajipan, apabila ada orang di atas kerusinya yang boleh menunaikan kewajipan, kita wajib menolongnya. Maka jangan dapat kerusi sahaja tanpa menunaikan amanah menegakkan Islam, tanpa menafikan betapa pentingnya kerusi yang dapat, dan PAS boleh berpijak bersama Islam kalau dinafikan kerusinya sekalipun. PAS tetap berusaha mendapatkan kerusi bagi memimpin atau menjadi pembangkang yang menasihat, bukan merosak.
Bagi yang bukan Islam pula sudah cukup bersama kegagalan ideologi ciptaan manusia timur dan barat yang hanya untuk kebahagiaan segelintir manusia sahaja. Cukuplah menjadi hamba kepada segelintir manusia yang berkuasa dengan ideologi masing-masing, silalah pula memberi peluang kepada Islam yang telah menjadi agama kepada negara ini dalam lingkungan mentadbir dan mengurus berkonsepkan Islam yang adil terhadap semua dengan jaminan kebebasan beragama kepada penganut agama lain daripada Islam yang sudah dicatat dalam Perlembagaan Negara.
Kalangan bukan Islam juga wajib menolak parti fanatik kaum dan kumpulan yang berkonsep sekularisma seperti DAP dan kumpulannya (PH) yang memisahkan urusan kehidupan daripada agamanya sendiri dan boleh menukar agamanya dengan apa sahaja dan menjadi alat kepada siapa sahaja, demi kepentingan politik sementara.
Mereka sudah menunjukkan sifat negatifnya dengan hanya mentadbir negeri, belum lagi negara dan telah pun menunjukkan perangai yang boleh menempah ketegangan dalam masyarakat majmuk ini, lebih-lebih lagi menunjukkan keberaniannya mahu merungkai perkara asas dalam Kontrak Sosial yang telah diikat dalam Perlembagaan Negara. Berbeza dengan PAS di Kelantan yang boleh meneruskan perjuangannya walaupun dicekik dan dijerut lehernya, namun tetap tidak dapat dicucuk hidungnya.
Ahli PAS tidak boleh terikut dengan mereka yang tidak senang dengan pendekatan Islam bersama Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang diperkenalkan dan konsep Ta’awun yang ditunjukkan oleh Al-Quran dan Sunnah yang tidak sama dengan pembangkang di negara lain yang semata-mata membangkang dan berebut kerusi untuk memerintah tanpa mengira benar atau salah dan jauh sekali halal dan haramnya.
PAS tidak perlu terikut dengan propaganda pihak lain yang kononnya bimbang PAS ditipu oleh Umno, atau Umno ditipu oleh PAS, kerana Islam mengajar penganutnya bahawa urusan ikhlas dan niat menipu tidak mengira PAS atau Umno dan sesiapa sahaja adalah perkara tersirat yang menjadi urusan ilmu Allah dan balasannya dari Allah, urusan kita apa yang zahir sahaja.
Namun Allah mewajibkan perdamaian didahulukan dengan sesiapa sahaja termasuk musuh yang menentang Islam yang sedang berperang apabila bersedia menerima Islam secara damai tanpa membelah hati sanubarinya. Inilah maksud firman Allah:
۞وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ ٦١ وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٦٢ وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٞ ٦٣ الأنفال.
“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (61) Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolongan-Nya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman. (62) Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (63)” (Surah Al-Anfal: 61-63)
Kalau berdepan dengan musuh, inilah konsepnya. Maka kita dalam satu negara Malaysia dan masyarakat majmuk bukannya musuh. Maka PAS tetap beristiqamah dengan konsep Islam didahulukan dan kerusi dibelakangnya, dengan mengenal siapa yang menentang Islam dan menghalang perjalanannya dan siapa yang boleh menerima Islam, bukan sekadar siapa yang menjanjikan kerusinya sahaja. PAS tetap beristiqamah bersama Islam, PAS bukan parti mengampu dan menumpang.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 19 Zulhijjah 1438 / 10 September 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan