Merdeka: Masih ada masa kabinet bincang semula
PULAU PINANG: PAS menegaskan, masih ada masa lagi isu tema Hari Kemerdekaan Malaysia Ke 55 'Janji Ditepati' dibawa berbincang dalam kabinet semula kerana tema tersebut tidak sesuai dengan hasrat rakyat yang mahu melihat Malaysia terus utuh dipersada dunia.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, tema 'Janji Ditepati' lebih kepada slogan kempen Barisan Nasional (BN) untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat tambahan lagi senikata lagunya juga menjurus kepada memuja langkah BN yang memperkenalkan dasar-dasar baru bukan bersifat patriotik.
"Rais Yatim usah mendabik dada dengan alasan ia adalah keputusan Kabinet. Dia tak akan berganjak kononnya tema tersebut sesuai sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Kali Ke 55.
"Masih ada masa berbincang semula dalam Kabinet sebab tema itu menimbulkan kontraversi dan tidak disukai kebanyakan rakyat memandangkan ia tidak langsung mengambarkan slogan patriotik, " katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Tekanan semakin kuat terhadap Rais ekoran slogan, lagu dan logo sambutan Merdeka ke 55 yang disifatkan banyak pihak tidak sesuai.
Ekoran kedegilan Rais Yatim mengubah tema sambutan kali ini membuatkan negeri di bawah Pakatan Rakyat memilih tema sendiri iaitu ' Sebangsa Sejiwa Senegara' hasil pencarian yang diambil dari nukilan rakyat sendiri.
Sehingga kini, Rais telah menarik balik logo Hari Merdeka tetapi masih mempertahankan slogan "Janji Ditepati' dan lagu Hari Merdeka tahun ini.
Sejak dulu Malaysia tidak pernah lari dari memperkenalkan slogan berbentuk patriotik antaranya ialah Muhibbah dan Perpaduan, Masyarakat Budaya Bangsa, 20 tahun Bersatu Maju, Berdisplin Berharmoni, Setia Bersatu Maju, Negara Tanggungjawab Kita, Malaysiaku Gemilang dan sebagainya.
Bagi Mujahid yang juga anggota Parlimen Parit Buntar, seandainya Rais Yatim dan kerajaan mengekalkan tema Janji Ditepati bermakna di era pemerintahan Datuk Seri Najib merupakan satu-satunya kejadian yang memalukan apabila rakyat mempertikai tema yang dicadangkan.
Katanya, dulu isu ini tidak timbul disebabkan tema yang diguna pakai tidak berbaur politik tetapi lebih kepada mengajak rakyat menghayati perpaduan, kemakmuran, keadilan atau mempertahankan maruah bangsa Malaysia.
"Saya menyeru di atas nama baik negara jawatankuasa kabinet yang menetapkan tema tersebut menilai semula agar tema sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke 55 selari dengan semangat patriotik sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, " pohon beliau
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan