Bertadaruslah dengan ikhlas, bukannya meniru-niru
Firman Allah SWT:
Maksudnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur” (Surah Al-Baqarah ayat 185).
Syukur dan tahniah kepada sebuah parti kebangsaan-sekular yang tersohor di negara ini kerana sudah meniru program-program yang kebiasaannya dibuat oleh Gerakan Islam.
Kenyataan ini saya kemukakan apabila meneliti sebuah akhbar harian, hari ini (23 Ramadhan1433/12 Ogos 2012) pada laman 10 yang kononnya ada sebuah parti itu menganjurkan tadarus al-Quran yang disertai 1,000 anak muda.
Sekadar ingatan, pihak Kerajaan Negeri Kelantan setakat ini telah mengadakan 20 siri tadarus al-Quran pada setiap Ramadan. Ini bermakna selama 22 tahun pelaksanaan dasar Membangun Bersama Islam di Kelantan telah 20 tahun berturut-turut (sejak tahun 1992) program tadarus menjadi amalan di semua jajahan dan mukim. Tadarus Kerajaan Negeri ini telah disertai ratusan ribu orang pada setiap tahun (sebulan Ramadan). Misalnya pada tahun lalu sahaja untuk tempoh satu petang diadakan Tadarus Anak Muda melibatkan 10,000 anak muda berhimpun di Padang Perdana, Kota Bharu. Ini sebagai cara Kerajaan Negeri membudayakan tadarus sebagai amalan yang disunnah oleh Nabi Muhammad SAW.
Justeru, cara Gerakan Islam akan tetap menghidupkan amalan tadarus sebagai satu tarikan yang pastinya dicukai oleh Allah dan rasul-Nya. Maka bagi Kerajaan Kelantan melaksanakannya atas niat untuk menyuburkan budaya al-Quran dalam kehidupan seharian. Sesuai dengan kesedaran baru anak muda sekarang yang mahukan penghayatan al-Quran.
Sesungguhnya program ke arah penghayatan al-Quran hanya ada dalam parti yang berjuang atas nama Gerakan Islam. Sekiranya ada parti kebangsaan-sekular yang meniru-niru cara Gerakan Islam, maka boleh jadi ia hanya sebagai kempen mendapat tarikan anak muda. Ini kerana cara kempen sebenar bagi parti seperti itu ialah kebendaan – fokusnya material, harta, dan keduniaan.
Ingatlah, sebagaimana bapa munafik Abdullah Bin Ubai yang sanggup membina masjid dirar atas semata-mata ingin menyaingi masjid nabi yang begitu makmur. Kononnya dengan cara itu, orang ramai akan beralih kepadanya. Ternyata cara kempen Abdullah Bin Ubai itu ditolak oleh Nabi dan umat Islam. Justeru cara kempen seumpama itu adalah bahaya kepada masyarakat.
Apa yang dikehendaki oleh Islam ialah sebagai firman-Nya:
“…Oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya daripada al-Quran (dalam sembahyang). Ia juga mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit; dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki daripada limpah kurnia Allah; dan yang lainnya lagi orang-orang yang berjuang pada jalan Allah (membela agama-Nya). Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya daripada al-Quran; dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat; dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas)…” (Surah Al-Muzammil ayat 20).
Natijahnya, al-Quran adalah kalam Allah yang wajib dibaca dan diamal, bukan semata-mata diprogramkan untuk berkempen. Amatlah bahaya apabila ada yang bertadarus (membaca) al-Quran bertujuan meniru-niru.
Ramadhan: Peluang merawat hati dan iman
Bersyukur kehadrat Allah SWT, kerana kita masih diberi peluang oleh-Nya dapat bertemu lagi dengan Ramadhan 1433H, bulan yang mulia (Ramadhan Karim).
Sempena dengannya. marilah kita merenung perjalanan masa kita hidup ini, kita telah memanfaat segala anggota tubuh badan bagi menyempurnakan segala urusan seharian. Jika diibarat sebuah motokar yang kita pakai sehari-hari, akan ada masanya kita perlu bawa motokar ke bengkel untuk diservis atau mungkin perlu dioverhaul bagi memulih dan menjaga kondisi motokar sentiasa berkeadaan baik.
Demikian juga tubuh kita, kena jaga dan perlu dibersihkan luar dan dalam. Maka sampainya Ramadhan adalah bulan untuk kita membersihkan aspek dalaman kita agar pelbagai penyakit berkaitan dengan hati dan iman dapat diubati dengan cara berpuasa dan beribadat. Antara penyakit ialah penyakit syirik, takabur, ujub (seronok sendiri), hasad-dengki, niqmah (dendam), riak (menunjuk-nujuk) dan sebagainya. Maka ibadat sepanjang Ramadhan adalah penawar mujarab bagi semua jenis penyakit ini.
Oleh yang demikian, amalan puasa Ramadhan ini diwajibkan oleh Allah sekali setahun antaranya bertujuan supaya manusia melawan nafsu dalam diri, terutama nafsu makan dan minum. Dengan melawan nafsu kita telah melatih diri untuk menghayati bagaimana mengawal hati dan iman supaya tunduk kepada perintah Allah Taala. Di sebalik perintah Allah, wajib atas kita berhenti makan dan minum di siang hari selama sebulan. Meskipun perintah-Nya bercanggah dengan hak kita sendiri. Apa yang utama, dengan cara puasa dan amal ibadat Ramadhan, ia sebagai cara untuk kita membendong perasaan tamak supaya tahu mana satu hak kita dan mana pula hak orang lain.
Oleh sebab itu, bulan Ramadhan ada kelebihan tertentu, antaranya dimuliakan dengan ibadat solat tarawih. Islam meletakkan solat tarawih sebagai sunat mua’akad dengan tujuan supaya manusia yakin dengan apa sahaja kelebihan yang disebut dalam Al-Quran. Ini kerana Al-Quran adalah sebagai buku panduan “How to Use”. Ibarat kita memandu motokar, bagaimana cara pemanduan yang selamat ada disebutkan dalam buku “How to Use.” Ini bermakna, pemanduan tanpa panduan yang betul, maka berkemungkinan motokar akan rosak dan tidak selamat.
Oleh yang demikian, manusia kena faham tujuan Allah menjadikan manusia. Firman-Nya:
Bermaksud, “Dia-lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (Surah Al-Baqarah 2:29).
Oleh sebab itu manusia yang ramai di dunia ini, perlu ada “How to Use” yakni sentiasa menjadikan Al-Quran sebagai panduan, jika tidak, akan porak peranda masyarakat. Firman Allah SWT:
Bermaksud, “Katakanlah: “Sesungguhnya aku hanya menurut apa yang diwahyukan kepadaku dari Tuhanku. Al-Quran ini ialah panduan-panduan – yang membuka hati – dari Tuhan kamu, dan petunjuk serta menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman” (Surah Al-A’araf 7:203).
Bagi menjayakan perintah ini, Allah menetapkan dalam Al-Quran betapa setiap manusia akan berdepan dengan pembalasan dan pada hari pembalasan setiap manusia kena berdepan dengan Allah SWT. Firman-Nya:
Maksudnya, “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya” (Surah Ali-Imran 3:185).
Di akhirat kelak tidak guna lagi harta, tiada lagi benda untuk kita pujuk, bodek atau rasuah seumpama beli undi untuk masuk syurga. Harta yang kita banggakan di dunia ini sudah tidak berguna di akhirat. Hakikatnya semua manusia akan berdepan dengan suasana pembalasan. Firman Allah SWT:
Bermaksud, “Apabila berlaku hari kiamat itu. Tiada sesiapapun yang dapat mendustakan kejadiannya. Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat)” (Surah Al-Waaqi’ah 56:1-3).
Oleh sebab itulah, diwajibkan sebut “maaliki yaumid-din” dalam segenap kali kita solat, Atas kerananya kita diwajid baca Surah Al-Fatihah dalam solat. Ini kerana intisarinya mengandungi maksud kita mohon dan merayu kepada Allah SWT, berserta dengan kita memuji Allah SWT..
Dalam ayat “maaliki yaumid-din” itu juga disebut “ad-din” iaitu lafaz “musytarikun” iaitu hari ‘agama’ sebagai al-jazak. Sedangkan lafaz “al-jazak” adalah makna asal dalam memahaami “maaliki yaumiddin”, tetapi hikmatnya yang tinggi digunakan “ad-din” supaya diyakini ketika itu berlaku pembalasan mengikut agama. Atas asas agamalah, segala akta, dan undang-undang yang digubal di parlimen atau sebarang keputusan oleh badan tertinggi di dunia seumpama Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mana yang tidak selaras dengan ad-din akan tertolak.
Memahami waqi’ sedemikian, bulan Ramadhan ini hendaklah dilalui dengan penuh keimanan dan ketakwaan. Ia selari dengan kelebihan beribadat sepanjang Ramadhan akan meningkatkan takwa diri kita di sisi Allah SWT. Firman-Nya:
Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa” (Surah Al-Baqarah 2:183).
Selamat menyambut Ramadhan Al-Muabarak dengan penuh ketakwaan.
Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan merangkap Al-Mursyidul Am PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan