Pakatan guna tema merdeka sendiri
PETALING JAYA - Pakatan Rakyat (PR) menegaskan pendiriannya mahu menggunakan tema alternatif iaitu Sebangsa Senegara Sejiwa bagi menyambut Hari Kemerdekaan tahun ini walaupun dua negeri naungannya telah memilih tema sendiri.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, tema PR tidak akan berubah dan akan dipakai untuk sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun ini.
Menurutnya, dua negeri PR iaitu Kelantan dan Kedah diberi kebebasan untuk menggunakan temanya sendiri disebabkan Exco Kerajaan Negeri masing-masing telah membuat keputusan agak awal.
"Kita tetap akan guna tema Sebangsa Senegara Sejiwa walaupun Kedah dan Kelantan telah pilih temanya sendiri.
"Kita bagi kebebasan kepada negeri itu untuk meneruskan tema yang dipilih," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.
Sebelum ini, PR telah mendesak Kerajaan Pusat supaya menukar tema Hari Kemerdekaan '55 Tahun Merdeka Janji Ditepati' agar ia tidak mencerminkan BN.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim menegaskan tema Hari Kemerdekaan tidak akan berubah dan lagu serta logo telah digunapakai untuk hari bersejarah itu pada kali ini.
Justeru itu, PR telah memilih logo untuk tema itu, yang akan diumumkan selepas mesyuarat ahli jawatankuasa khas itu pada hari Khamis ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan