pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Rabu, 8 Ogos 2012

BANGKIT ANAK MUDA HADAPI PILIHANRAYA!


Kebangkitan pemuda mendepani pilihan raya

Ustaz Yusmi Haniff Ariffin,08 Ogs 2012
Pemuda digambarkan sebagai unsur kekuatan dan menjadi tiang seri kepada pembangunan umat. Pemuda Islam bukan setakat mampu menghadapi gelodak cabaran namun terpikul dipundaknya risalah Islam yang merupakan risalah Nabi Muhammad S.A.W dan risalah Al-Quran. Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya, maka sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan kepada mereka petunjuk.” (al- Kahfi : 13)

Justeru,peranan pemuda Islam dalam Parti Islam Se-Malaysia amat ditagih bagi merealisasikan kemenangan Parti Islam pada Pilihanraya Umum ke-13 ini. Kemenangan Parti Islam di beberapa  buah negara di Timur Tengah seperti di Mesir dan Tunisia adalah berpunca daripada kekuatan pemuda  yang mendokong dan menegakkan Islam. Saya ingin gariskan secara ringkas kekuatan-kekuatan yang wajib dimiliki oleh semua pemuda mujahid Islam ini agar menjadi pedoman dan panduan dalam mendepani pilihan raya yang semakin mendekati kita.

Antara kekuatan yang saya maksudkan adalah seperti berikut:

Pertama: Niat yang ikhlas kepada Allah Taala
Pengorbanan yang ikhlas kepada Allah Taala tidak akan mengharapkan imbuhan dan balasan duniawi tetapi akan mengharapkan keredhaan Ilahi. Pengorbanan yang ikhlas tidak mengharapkan keuntungan kebendaan, pangkat dan kedudukan tetapi mengharapkan keuntungan ukhrawi yang dijanjikan oleh Allah Taala iaitu syurga yang abadi. Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka Dengan (balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah Dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.” (at-Taubah : 111)

Marilah kita mencontohi keikhlasan para sahabat yang tidak mengharapkan sebarang keuntungan duniawi dalam berjuang. Kisah para sahabat seperti Musab bin Umair, Suhaib ar-Rumi yang ditawarkan sama ada ingin memilih harta atau ikut berjuang bersama nabi oleh musuh-musuh Allah menjadi sumber kekuatan dan panduan kepada kita. Kisah kekalahan tentera Islam dalam perang Uhud lantaran mengejar habuan dunia di depan mata dengan sanggup menggadaikan amanah dan tanggungjawab kepada perintah Allah dan Rasulullah SAW menjadi pengajaran yang sangat berharga kepada kita sebagai mujahid Islam. Semoga kita terselamat dari tipu daya syaitan yang ingin menyesatkan.

Kedua: Kekuatan dalam memahami sejarah perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW.
Pemuda-pemuda harus belajar, memahami dan menghayati sejarah hidup Rasulullah sebagai panduan dalam berjuang dan urusan hidupnya. Mereka sepatutnya  melihat sedalam-dalamnya kekuatan yang dimiliki oleh Rasulullah SAW dan generasi sahabat, namun akibat kecuaian umat Islam suatu ketika dahulu, pemuda-pemuda lebih mengetahui sejarah barat. Malah memalukan kerana mereka mengenali Napoleon lebih baik berbanding Nabi Muhammad SAW. Mereka tidak mengetahui melainkan kekejaman Islam dan terpesona dengan peradaban Barat. Firman Allah Taala yang bermaksud:



“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (al-Ahzab ayat 21)

Bermula nabi dibangkitkan sehinggalah nabi wafat, baginda tidak pernah berehat daripada menyerahkan seluruh kehidupan baginda kepada menegakkan Islam. Sikap pengorbanan yang tinggi ini telah membawa kepada penyertaan Rasulullah SAW dalam 28 siri peperangan. Rasulullah SAW bukan sekadar memberi arahan dan melihat dari jauh peperangan yang berlaku tetapi Rasullullah SAW jugalah yang memimpin dan berada dalam barisan paling hadapan. Begitulah sepatutnya yang wajar kita contohi, iaitu bukan hanya pandai memberikan cadangan dan kritikan tetapi turut sama terlibat mendokong dan menggerakkan semua aktiviti serta program yang menuntut kebersamaan. Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (As-Saff : 4)

Ketiga: Kekuatan Bersatu Kerana Islam
Pemuda-pemuda Islam yang berkefahaman jitu dan sanggup bekerja untuk Islam seharusnya bertanggungjawab untuk saling bantu membantu sesama pekerja Islam dan sama-sama berusaha untuk mengembalikan keagungan Islam dan memenangai PRU 13 ini. Tugas ini amatlah berat dan cita-cita ini tidak akan tercapai sekiranya pemuda-pemuda Islam bergerak secara bersendirian. Islam memerlukan pekerja yang bergerak secara berkumpulan dan jiwa pekerjanya diikat dengan tali kasih sayang dan ukhuwwah walaupun terdapat perbezaan corak kerja antara kelompok-kelompok Islam.

Sekiranya Umno mampu untuk bersatu menentang PAS,kenapakah petugas-petugas Islam tidak mampu berganding bahu dan saling bantu membantu serta  bahu membahu untuk melaksanakan tanggungjawab siasah dan dakwah ini ?
Firman Allah yang bermaksud:

“Dan orang-orang kafir sebahagian mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain. Jika kamu (orang-orang Islam) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah itu, nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar.” (al-Anfal : 73)

Wahai pemuda-pemuda Islam jangan sampai kedapatan diantara kita yang sering memberi alasan dan sebab tidak turut serta dalam setiap aktiviti dan program yang dilaksanakan.Sebahagian kita sering memberi alasan pekerjaan,keluarga dan kekangan masa untuk tidak bersama.Ingatlah sekiranya kita memberi seribu alasan sedangkan saudara kita yang lain sibuk berhempas pulas pada setiap ketika berada di medan perjuangan.Persoalannya adilkah kita dan layakkah kita mendabik dada mengaku berjuang bersama tetapi tidak dalam bekerja dan berkorban? Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” (Surah at-Taubah:24)

Keempat: Kekuatan Beramal Dengan Islam
Pohon yang rendang tidak bermanfaat seandainya tidak mengeluarkan buah. Begitulah perumpamaan seorang yang berilmu tetapi gagal beramal dengan ilmunya. Janganlah pemuda Islam menjadi bahan tempelakan Allah seperti Allah menempelak bangsa-bangsa terdahulu yang menerima kitab samawi dan mereka belajar tentangnya tetapi tidak dengan ajaran yang dipelajarinya.
Firman Allah yang bermaksud:

“Perumpamaan orang-orang yang dipikul ke atas mereka Kitab Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya (tidak beramal dengan kandungannya) adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab tebal. Amat buruklah perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.” (al Jumu’ah : 5)

Dakwah Islamiah lebih cepat tersebar melalui qudwah yang baik yang terpancar melalui akhlak dan perilaku umat muslimin. Seandainya pemuda Islam gagal untuk beramal dengan ajaran Islam yang telah dipelajari dan difahaminya, maka usaha penyebaran dakwah akan terbantut. Islam amat indah jika dibaca di dalam buku tetapi dek kerana kesilapan penganutnya yang enggan beramal dengan ajaran Islam secara total maka tampaklah keburukan umat Islam.

Amat menyedihkan umat Islam kini tatkala mendengar kata-kata seorang Barat yang baru menganut agama Islam; “Segala puji bagi Allah, Tuhan yang mengenalkan aku kepada Islam sebelum aku mengenali orang-orang Islam”.

Dalam berhadapan dengan pilihan raya semakin hampir ini, kita disaran supaya mendekati masyarakat dengan mempamerkan nilai akhlak yang baik dan mulia. Menggunakan segala kemahiran yang dipunyai seperti kemahiran berkomunikasi, kepimpinan, teknologi atau sebagainya untuk merealisasikan misi dakwah dan siasah. Perlihatkan kepada mereka bahawa pemuda PAS adalah pemuda yang bersedia dan mampu untuk memimpin dan membimbing golongan muda sekiranya kita diberi mandat untuk memerintah.

Inilah empat kekuatan yang mesti dilangsaikan oleh pemuda PAS untuk memastikan kemenangan PRU yang ke-13 ini. Kita sepatutnya memeriksa setiap kekuatan ini  wujud di dalam diri. Adakah semua tuntutan ini sudah dihadami dan ditunaikan ataupun sebaliknya?. Berbanggalah kita semua tatkala hari kemenangan Islam tiba dan kita merupakan penolong agama Allah. Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Dan pada hari itu bergembiralah orang-orang yang beriman dengan pertolongan Allah. Dia yang menolong sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Perkasa Lagi Maha Pengasih.” (ar- Rum : 4-5)

Semoga kita menjadi batu bata kepada binaan Islam, pewaris generasi Solahuddin al-Ayyubi. Takbir!

Ustaz Yusmi Haniff Ariffin merupakan Ketua Pemuda PAS Kawasan Sepang

Tiada ulasan:

jambori amal kuala kangsar 2008