[Minda Anak Muda]
KEPERLUAN PENUBUHAN SURUHANJAYA SIASATAN DIRAJA (RCI) PERISTIWA MEMALI
Oleh:
USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Penyataan berubah-ubah, tidak konsisten, saling mendakwa dan mempertikai melibatkan pelbagai pihak termasuk yang ada kaitan langsung dengan peristiwa Memali, sememangnya mengukuhkan lagi tuntutan dan keperluan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Tragedi kritikal seperti ini tidak harus dibiar menjadi polemik dan dibahas secara sewenang-wenangnya kerana ia melibatkan aspek yang berada dalam ruang lingkup salahguna kuasa dan jenayah di satu pihak, serta tuduhan, kerugian dan kehilangan nyawa serta segala kesan negatif berkaitan di pihak lainnya.
Demikian itu, perkara benar dan betul yang mesti dibuat adalah memberikan keadilan dengan sebenarnya menerusi satu siasatan berkecuali, telus dan berintegriti tinggi. Ia dapat dimandatkan serta diserahkan kepada RCI yang dihasratkan ini dan tidak harus dibayangkan dengan pertikaian negatif atau merasa dimangsakan. Sedangkan inilah peluang dan medannya setiap pihak terlibat untuk menjelaskan atau menafikan. Sekiranya tidak, ianya akan terus diperkatakan sepanjang zaman yang mendatangkan pelbagai perasaan dan mungkin gugatan berkaitan.
Tiba-tiba sahaja Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim dan mantan Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar yang senada menyatakan bahawa tiada keperluan untuk penubuhan RCI hanya kerana didakwa bahawa segalanya telah dihuraikan oleh kerajaan, serta memadai dengan Kertas Putih dibentangkan di Parlimen pada waktu itu. Walhal, mereka adalah antara pihak berkepentingan dalam perkara ini di mana ketika itu masing-masing merupakan Menteri Penerangan dan Ketua Polis Negara. Mereka sendiri menzahirkan sikap negatif di mana ia sebenarnya menimbulkan lebih banyak tanda tanya terhadap wujudnya perkara terselindung yang perlu diserlahkan secara telus.
Jika penubuhan RCI ini dilakukan, ada kemungkinan siasatan RCI ini boleh membongkar hakikat yang sebenarnya berlaku dan tentunya boleh menyebabkan pihak yang terlibat seperti terjejas. Pastinya awam memiliki harapan agar suara dilontarkan Tan Sri Rais dan Tun Hanif tidak mempunyai motif untuk melindungi pihak tertentu atau menutup suatu kebenaran yang amat penting dijelaskan dengan seterang-terangnya. Malah, ia juga penting terhadap reputasi pentadbiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah menimbulkan pelbagai perkara berbangkit ke atas isu itu antaranya berkaitan arahan tindakan.
Lantaran itulah, sokongan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Dato’ Seri Nazri Abdul Aziz bahawa penubuhan RCI akan melanjutkan kajian berkenaannya, amat perlu disokong. Kerana sebagaimana perkara diutarakannya, itu jugalah sedang dipersoal oleh masyarakat hari ini terhadap kewajaran tindakan kerajaan kepada As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan 13 penyokong beliau sebagai terlalu keras dan tidak berpatutan, sedangkan mereka hanyalah sekadar penduduk kampung, bukan pengganas.
Penubuhan RCI ini juga adalah harapan kepada hasrat menuju politik yang lebih matang dan sejahtera bagi negara ini sebagaimana digagaskan PAS. Kerana seperti selalunya, kita melihat terdapatnya pihak yang seperti menangguk di air keruh apabila menjadikannya kesempatan untuk melunaskan dendam kepada sasaran politik mereka. Ini sebagaimana dapat disaksikan pada keghairahan pimpinan DAP dan PAN yang menghentam Presiden PAS dan mengaitkan isu secara tidak relevan dengan ucapan dilabelkan mereka sebagai ‘Amanat Haji Hadi’. Malah, semata-mata juga bersandar kepada letusan yang dibuat oleh Tan Sri Rahim Noor, sedangkan beliau ketika tragedi 1985 itu hanyalah Ketua Polis Selangor.
Begitu juga pertikaian Tan Sri Dr Rais bahawa penubuhan RCI seharusnya bergantung kepada kewujudan bukti baharu atau perkara yang masih tidak dirungkai sehingga kini dalam peristiwa Memali. Maka buku tulisan Officer in Charge of Police District (OCPD) Baling waktu peristiwa Memali itu berlaku iaitu Tunku Muszaffar Shah Tunku Ibrahim, bertajuk “Memali: A Policeman Remembers” terbitan 2011 wajar dijadikan bukti itu. Terdapat sekurang-kurangnya tiga tempat dalam buku itu menyatakan tidak bersetuju dengan cubaan pihak polis untuk menahan Ibrahim Libya di Memali.
Pada muka surat 37, Tunku Muszaffar Shah menulis: “Going after a respected politician and revered religious leader in his own village had been foolhardy. The man travelled regularly to give speeches, sometimes all the way to neighbouring states. We could have arrested him on one of those trips.”
Pada muka surat 74, Tunku Muszaffar Shah menulis: “Ibrahim Mahmood was not a criminal nor was he a communist terrorist who was wanted ‘Dead or Alive’. He was only a politician (a militant, may be). He was a well-respected Tok Guru among his community. The use of excessive force was not the right thing to do.”
Pada muka surat 77, Tunku Muszaffar Shah menulis: “The decision to arrest Ibrahim Mahmood in his stronghold was not a wise move. He was a respected religious teacher in his kampong and also a prominent political figure in his community. It would have been more appropriate for the Special Branch to arrest him when he was on his way to give political talks in Selama Kedah/Perak or at locations in Penang.”
Tentunya perkara ini menarik untuk diberi perhatian apabila OCPD Baling yang terlibat dalam operasi penahanan Ibrahim Libya sendiri mempertikaikan keputusan itu. Pertanyaan yang seharusnya dijawab ialah siapa yang memberi arahan? Kami menyanjung keberanian bekas OCPD Baling membuat catatan ini yang membersihkan nama Ibrahim Libya dari tuduhan kerajaan dan beberapa pihak lain kononnya beliau adalah seorang penjenayah atau pengganas. Pendedahan bekas OCPD Baling ini adalah salah satu bukti baharu yang mewajarkan penubuhan RCI ini kerana banyak persoalan masih tidak dirungkai sehingga kini.
4 Zulhijjah 1438 | 26 Ogos 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan