pas kawasan

Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh ll Alamat Markaz : Markaz Tarbiyyah Pas Kawasan, Lot 4986, Perkampungan Ikhwan, Jalan Sungai Tiang Baharu, 36200 Selekoh, Perak || Emel DPPK : dewanpemudapasbagandatoh@gmail.com || Blog : www.pasbagandatoh.blogspot.com ll Facebook : Pemuda Pas Bagan Datoh

Selasa, 29 Ogos 2017

PRESIDEN PAS : KEWAJIPAN MENGUNDI


Kenyataan Media Presiden PAS

KEWAJIPAN MENGUNDI



Apabila politik menjadi sebahagian daripada ajaran Islam, maka kewajipan memilih pemimpin adalah sebahagian daripadanya. Dalam sistem demokrasi diadakan pilihanraya dengan mensyaratkan seseorang itu mendaftarkan diri menjadi pemilih yang membolehkannya mengundi. 

Walaupun demokrasi berasal daripada barat, namun tidak boleh dipisahkan daripada kewajipan politik yang ditegaskan oleh hukum Islam selagi tidak bercanggah dengan dasar dan konsep Islam yang sempurna, teguh dan anjal. Pemerintahan Islam di sepanjang zaman keemasannya menerima segala yang baik daripada semua bangsa yang bertamadun dan mengislahkan kelemahan serta menolak kemungkarannya. 

Perlu disedari mengikut kajian sejarah, demokrasi moden di negara barat adalah terpengaruh daripada Politik Islam yang dikaji oleh ilmuan barat daripada Tamadun Islam dalam segala aspek, bukan sahaja dalam bidang sains teknologi, bahkan sebenarnya termasuk juga dalam ilmu sains politik. Di mana mereka mengenali amalan memilih pemimpin dalam syariat Islam sehingga diadakan sistem pilihanraya, tetapi mereka memisahkannya daripada agama. 

Demokrasi purba di Greek yang dicipta oleh tamadun barat tidak boleh menandingi Feqah Politik Islam. Apabila caranya tidak berpijak di lapangan rakyat semua peringkat, maka dilakukan perubahan pemerintah secara revolusi seperti di Perancis, England dan lain-lain. Di beberapa negara lain pula mengorbankan rakyat silih berganti, sehinggalah para orientalis bertemu dengan pengajian Islam. 

Islam menempa sejarah politik ketika wafatnya Rasulullah S.A.W. Para sahabat R.A. di kalangan Muhajirin dan Ansar yang mewakili semua kumpulan dan kelompok melaksanakan konsep syura yang disebut di dalam Al-Quran. Mereka berhimpun di tempat bernama Thaqifah Bani Sa’idah (Dataran Bani Sa’idah), sekarang dibina Kompleks Percetakan Al-Quran. 

Tujuan perhimpunan itu adalah bagi memilih Khalifah (Ketua Negara) menggantikan Rasulullah S.A.W. selepas kewafatannya. Himpunan itu dilakukan selepas selesai menyembahyangkan jenazah Rasulullah S.A.W. sebelum dikebumikan jasadnya yang mulia itu. Ini menunjukkan betapa besarnya kewajipan memilih pemimpin dalam ajaran Islam, sehingga lebih diutamakan daripada mengebumikan jasad Rasulullah S.A.W. 

Ada tiga calon yang dicadangkan. Kalangan Ansar (penduduk asal Madinah) mencalonkan pemimpin mereka, Saad bin Ubadah R.A, adapun keluarga Rasulullah S.A.W dan beberapa orang yang lain mencalonkan Ali bin Abi Talib K.W.H (menantu dan sepupu Rasulullah S.A.W.), kalangan Muhajirin pula mencalonkan Abu Bakar R.A. daripada Muhajirin Qabilah Quraisy. Apabila mereka mendengar Hadis Rasulullah S.A.W. yang pernah bersabda: 

الأئمة من قريش 

“Para pemimpin utama hendaklah daripada Quraisy”

Akhirnya Abu Bakar R.A dipilih menjadi Khalifah. Para ulama yang menulis berkenaan Politik Islam menegaskan dalil mafhum daripadanya adalah memilih pemimpin yang muslim dan mempunyai kelayakan daripada kaum yang paling kuat pengaruhnya dalam masyarakat. Syarat muslim kerana Islam menjadi aqidah negara, manakala syarat Quraisy kerana dominasi dalam masyarakat. 

Kuasa Khalifah Abu Bakar R.A tidak mutlak dan pentadbirannya secara syura yang melibatkan anggota kabinet di kalangan pemimpin para sahabat dan masyarakat umum yang bebas menasihat dan mengkritik, berprinsipkan patuh kepada hukum tertinggi Al-Quran dan Sunnah serta menghayati amalan syura. 

Cara pemilihannya sentiasa berubah mengikut perkembangan masyarakat dan zamannya seperti juga hukum Islam yang lain. Contohnya haji yang diwajibkan menjadi rukun Islam, tidak lagi musafirnya melalui unta atau berjalan kaki sahaja. Zaman kini perjalanannya melalui pesawat udara dan keselamatannya melalui amalan visa. Maka semuanya menjadi wajib kerana termasuk di dalam kaedah hukum Syara’:

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب 

“Apa-apa yang tidak sempurna perkara wajib melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib juga” 

Contoh lain juga adalah wajibnya pakaian menutup aurat bagi menunaikan sembahyang, tanpa dipersoalkan siapa yang membuat kainnya dan siapa peniaganya, tanpa ditanya agama tukang jahit dan bentuknya dari negara mana, tetapi syarat sah orang sembahyang itu adalah Islam. 

Begitulah juga perubahan masyarakat dan zaman dalam amalan politik yang mengadakan pilihanraya umum pada hari ini, tidak boleh dipisahkan daripada kewajipan politik yang menjadi sebahagian daripada syariat Islam.

Rasulullah S.A.W. telah memberi amaran kepada umatnya yang cuai melaksanakan kewajipan ini di akhir zaman menyebabkan kemusnahan mereka. 

Sabda baginda SAW:

لَيُنْقَضَنَّ عُرَى الإِسْلاَمِ عُرْوَةً عُرْوَةً فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِى تَلِيهَا وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضاً الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلاَةُ (مسند أحمد)

“Demi sesungguhnya (akan berlaku) dirungkainya tali simpulan teguh yang mengikat ajaran Islam, satu demi satu. Apabila satunya dirungkai menyebabkan orang ramai menjadi berselerak terpaksa berpegang dengan simpulan ikatan yang ada selepasnya. Perkara pertama yang dirungkai ialah hukum (yang berkait dengan pemerintahan negara) atau politik dan yang terakhirnya ialah sembahyang” 

Imam Al-Ghazali yang banyak menulis berkenaan tasawuf juga memberi perhatian khusus dalam aspek pemerintahan negara dalam kitabnya yang berkait dengan aqidah menegaskan: 

“Agama menjadi asas, kuasa pemerintahan (politik) menjadi pengawasnya. Kalau tidak ada asas menyebabkan runtuh dan kalau tidak ada pengawas menjadikan hukum agama itu sia-sia sahaja”

Kita menyaksikan sekarang betapa ramai di kalangan umat Islam tidak mengambil kisah atau menganggap tidak penting dalam aspek ini. Ada juga yang merasa bosan kerana banyaknya karenah yang tidak menyenangkan dalam aspek politik, lalu mereka menyerah kalah atau mencari pendekatan yang salah apabila lebih mudarat bencananya. Mereka lupa betapa politik banyak mempengaruhi aspek yang lain, khususnya aspek kedaulatan negara dan keselamatan umat, bukan sahaja aspek ekonomi dan lain-lain. 

Rasulullah S.A.W. menyuruh umatnya bersabar menghadapi penyelewengan politik kerana wajib memelihara urusan politik supaya tidak terjerumus ke dalam bencana yang lebih besar akibatnya.

Banyak ayat-ayat Al-Quran dan Hadis-hadis yang menunjukkan betapa Allah dan Rasul-Nya sangat murka terhadap orang yang tidak mengambil perhatian terhadap kepentingan umatnya sehingga menerima bencana yang memusnahkan semuanya.

Maka hendaklah difahami betapa mendaftarkan diri untuk menjadi pengundi di zaman kini adalah satu kewajipan agama yang besar terhadap setiap orang lelaki dan wanita apabila mempunyai kelayakan. 

Allah berfirman:

وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم ٣٨ محمد

“Dan jika kamu berpaling (daripada beriman dan menegakkan Islam) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu” (Surah Muhammad: 38)

Urusan menegakkan Islam dengan menjadi pemerintah berkuasa politik adalah kewajipan besar bagi umat Islam. Adapun yang datang menguar-uarkan supaya umat Islam melupakan politik adalah warisan peninggalan penjajah supaya umat ini lemah dan hilang kuasanya. Akhirnya menjadi hamba kepada sesiapa yang mengambil kuasa. 

Mengundi bukan sahaja memilih pemimpin bagi pihak rakyat, bahkan tanggungjawab mengundi adalah melantik wakil rakyat untuk melaksanakan Amar Maaruf dan Nahi Mungkar yang menjadi tonggak penting dalam menjaga jati diri umat melalui kekuasaan atau bersuara dan menentukan sikap. Mengundi juga adalah menjadi hakim terhadap kerajaan dengan melakukan hisbah di sepanjang penggal pemerintahannya.

Konsep ini bersandarkan kepada firman Allah:

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٠٤ آل عمران

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”(Surah Ali-Imran: 104)

Sabda Rasulullah S.A.W.

وَالَّذِي نَفْسي بِيَدِهِ، لَتَأْمُرُنَّ بِالمَعْرُوفِ، وَلَتَنْهَوُنَّ عَنْ المُنْكَرِ أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللهُ أنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَاباً مِنْهُ ثُمَّ تَدْعُوْنَهُ فَلا يُسْتَجَابُ لَكُمْ. (رواه الترمذي) 

“Demi Tuhan yang diriku berada dalam genggaman kekuasaannya. Kamu hendaklah menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran atau kalau kamu tidak melaksanakannya, hampirlah Allah menghukum kamu dengan balasan daripadanya. Kemudian kamu berdoa kepadanya, tiba-tiba doa kamu tidak diperkenankan” (Riwayat Tarmizi)

Hanya Muslim tanpa pedulikan maruah umatnya sahaja tidak mahu mengundi.

Padi bukan sebarang padi,
Padi ditanam di dalam sawah,
Mengundi bukan sebarang mengundi,
Mengundi kerana pertahan maruah. 

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 6 Zulhijjah 1438H / 28 Ogos 2017

Tiada ulasan:

jambori amal kuala kangsar 2008