Tiada tempat berteduh
BAGAN DATOH (HILIR PERAK) - Akibat hilang tempat berteduh dalam kejadian ribut pada Jumaat lalu, seorang ibu tunggal, Siti Rubiah Sulaiman, 51, merayu kepada Kerajaan Negeri untuk menyediakan sebuah rumah baginya sekeluarga.
Dia yang kematian suaminya sejak setahun lalu terpaksa menumpang rumah anaknya di Ampang sebelum berpindah ke Kampung Bagan Pasir Laut, di sini.
Menurutnya, keputusan untuk berpindah itu adalah kehendaknya dengan menyewa sebuah rumah di sini sebanyak RM100 sebulan.
"Saya kini menjual nasi lemak untuk menampung perbelanjaan empat anaknya dan pendapatan yang diperoleh hanya cukup-cukup makan sahaja.
"Anak lelaki saya yang sudah tidak bersekolah turut membantu dalam penyediaan nasi lemak untuk menghantar ke kedai berhampiran," katanya kepada Sinar Harian.
Bercerita mengenai kejadian ribut itu, Siti Rubiah berkata, bencana alam tersebut menyebabkan struktur rumah sewanya mengalami masalah dan tidak selamat untuk diduduki.
Jelasnya, banyak peralatan untuk berniaga rosak menyebabkan dia tidak boleh meneruskan perusahaan itu seketika.
“Sudahlah tiada tempat bergantung, kini rumah sewa menjadi tempat kami anak-beranak tidak selamat selepas kejadian ribut itu dan saya merayu kepada pihak berkenaan untuk bantu kami sekeluarga,” katanya.
Dalam kejadian itu, 11 keluarga termasuk ibu tunggal, peniaga pasar malam dan pekebun kecil mengalami kerugian dianggarkan RM200,000 apabila kediaman mereka rosak.
Enam rumah termasuk kediaman Siti Rubiah mengalami rosak teruk di Kampung Bagan Pasir Laut, di sini.
Sementara itu, pasangan suami isteri, Kamari Miharto, 54, dan isteri Rasidah Mohd Tahir 45 turut mengalami kerugian apabila zink rumahnya diterbangkan angin.
“Hujan ribut bersama petir berlaku selama satu jam ,kami terkurung dalam rumah,tidak berani keluar kerana bekalan elektrik terputus akibat kabel dihempap pokok kelapa yang tumbang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan