Nik Aziz: Tak kisah bila PRU, penting rakyat undi PR
KUALA KRAI - Pas tidak ada sebarang masalah dan bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada bila-bila masa termasuk kemungkinan diadakan pada November ini.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pendiriannya sama seperti sebelum ini yang tidak kisah tarikh PRU13 diadakan asalkan rakyat memberikan sokongan kepada parti itu dan Pakatan Rakyat.
“Saya selalu sebut, pilihan raya nak buat bila-bila pun tak apa tetapi pastikan rakyat mengundi Pas atau Pakatan Rakyat. Kita selama-lamanyasiap sedia,” katanya.
Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutup Festival Makanan dan Buah-buahan Kelantan sempena Tahun Melawat Kelantan 2012 (TMK@12) di Dataran Cintawangsa, dekat sini, semalam.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membayangkan PRU13 mungkin diadakan pada November ini ketika berucap sempena perasmian serentak mesyuarat perwakilan UMNO di Sandakan, Sabah semalam.
Pada ucapannya, Perdana Menteri menyifatkan 2012 sebagai tahun yang amat unik kerana banyak peristiwa bersejarah ada kaitan dengan angka 11 seperti genap 66 tahun usia Umno dan 55 tahun negara capai kemerdekaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan